#69 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Merenjiskan Kenderaan Dengan Air Ruqyah

Tarikh: 5 September 2024

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

 

Pendahuluan

Allah SWT memberikan ujian buat hambanya sebahagiannya berbentuk zahir seperti sakit dan sebahagian yang lain berbentuk batin seperti penyakit hati. Kesemua yang berlaku di atas alam ini adalah dengan izin Allah SWT. Allah SWT memberikan penawar kepada semua jenis sakit tersebut serta kaedah-kaedah untuk mencegahnya melalui penerangan daripada Nabi SAW. Sebahagian daripada penyakit yang tidak berbentuk zahir itu adalah penyakit ‘ain yang menimpa sesetengah daripada hambanya. Tular dalam kalangan masyarakat kita, perbuatan sebahagian daripada tokoh agama merenjiskan air ruqyah yang telah dibacakan ayat-ayat tertentu kepada kenderaan bagi tujuan mengelakkan musibah. Adakah perbuatan ini terdapat asal dalam agama?

 

Ruqyah Dalam Islam

Ruqyah Syar’iyyah merupakan suatu kaedah perubatan bagi menghilangkan gangguan dengan menggunakan ayat suci al-Quran, zikir atau dengan membaca doa-doa tertentu sama ada lafaznya disebutkan dalam hadis atau tidak disebutkan selagi mana bacaannya tidak bercanggah dengan syarak.[1] Menggunakan ayat suci al-Quran atau apa-apa bacaan sebagai suatu kaedah perubatan atau rawatan adalah perbuatan yang diiktiraf oleh syarak berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 82:

 

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

 

Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

 

Menurut Imam Al-Razi, perkara (من) pada ayat ini menunjukkan liljins (jenis) dan bukannya li al-Tab’idh (sebahagian). Ini bermaksud keseluruhan ayat daripada al-Quran boleh dijadikan sebagai penawar atau penyembuh kepada penyakit rohani dan juga jasmani.[2] Antara penyakit yang boleh diubati dan dihindari melalui bacaan ayat suci al-Quran ini dikenali sebagai penyakit ‘ain.

 

 

Penyakit Ain

Penyakit ‘ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad (boleh juga terjadi).[3] Penyakit ‘ain ini sabit daripada pelbagai kisah melalui hadis Nabi SAW antaranya sebuah hadis daripada Sahl bin ‘Anif, sabda Rasulullah SAW:

 

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ أَوْ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ[4]

 

Maksudnya: Jika seseorang melihat perkara yang menakjubkannya daripada saudaranya, dirinya atau hartanya, maka doakan untuk mereka dengan keberkatan. Sesungguhnya ‘ain itu benar.

(Riwayat Ahmad, Al-Nasaie dan al-Hakim)

 

Menurut Imam al-Hakim, hadis ini sanadnya sahih dan tidak dikeluarkan dalam Bukhari dan Muslim. Berdasarkan hadis ini juga, penyakit ‘ain tidak terhad kepada manusia sahaja, malah turut menimpa harta benda seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan barang-barang seperti kenderaan, rumah dan lain-lain.

 

Diketahui bahawa manusia boleh kena penyakit ‘ain dan perkara ini dibuktikan secara musyahadah oleh masyarakat selain dibuktikan melalui hadis yang disebutkan. Selain daripada manusia, objek tidak hidup (jamadat) seperti kenderaan juga boleh terkena musibah atau penyakit ‘ain.

 

Selain itu, Firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa jamadat (benda tidak hidup) seperti batu juga terkesan dengan bacaan ayat al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 74:

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ

Maksudnya: Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah.

 

 

Rawatan Dengan Cara Merenjiskan Air

Penyakit ‘ain boleh dirawat dengan beberapa kaedah, antaranya adalah dengan cara memandikan atau mewudukkan pesakit dengan air. Kaedah ini sabit berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata:

 

Amir bin Rabi’ah melalui Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: Aku tidak pernah melihat kulit yang begitu indah sebagaimana hari ini. Tidak berapa lama kemudian Sahl jatuh sakit, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit. Baginda SAW bersabda: Siapa yang kamu anggap telah menyebabkan ini? Mereka berkata: Amir bin Rabi’ah. Baginda SAW bersabda:

 

عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ  فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ[5]

 

Maksudnya: Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.

 

Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwuduk. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wuduknya) kepada Sahl.

(Riwayat Ibnu Majah dan al-Nasa’ie)

 

Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani, kesan penyakit ‘ain itu diibaratkan seperti percikan api yang menyala pada badan, maka perbuatan memercikkan air atau memandikannya boleh menghapuskan kepanasan api tersebut pada badan.[6]

 

Keharusan meruqyah sesuatu harta dengan air ruqyah disebutkan oleh pelbagai ulama. Perkara ini boleh dilihat menerusi kitab-kitab seperti Madarij al-Salikin oleh Ibn Qayyim, Mausu’ah Syar’iyyah fi Ilm al-Ruqa oleh Usamah Ibn Yasin serta buku-buku Rawatan Islam di tanah air. Ulama mazhab Syafi’i seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Imam al-Nawawi turut menerangkan kaedah meruqyah daripada penyakit ‘ain dengan air ketika mensyarahkan hadis di atas. Menurut Imam al-Nawawi, galakkan untuk meruqyah segala penyakit ini tidak terhad kepada penyakit ain semata-mata malah turut kepada penyakit-penyakit lain kerana Nabi SAW pernah melakukan ruqyah pada selain daripada penyakit yang disebutkan dalam hadis tersebut.[7]

 

Walau bagaimanapun, mereka yang menjadikan kaedah rawatan ini sebagai senda gurauan dan permainan tidak akan mendapat manfaat daripada kaedah ini. Perkara ini disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim:

 

هَذِهِ الْكَيْفِيَّةُ لَا يَنْتَفِعُ بِهَا مَنْ أَنْكَرَهَا وَلَا مَنْ سَخِرَ مِنْهَا وَلَا مَنْ شَكَّ فِيهَا أَوْ فَعَلَهَا مُجَرِّبًا غَيْرَ مُعْتَقِدٍ[8]

Maksudnya: Kaedah ini tidak mendatangkan manfaat kepada orang yang mengingkarinya, orang yang memperolok-olokkannya, orang yang syak padanya atau orang yang melakukannya untuk tujuan mencuba tanpa meyakini keberkesanannya.

 

Oleh itu, disamping usaha-usaha yang dilakukan seperti membuat servis kenderaan mengikut jadual, mematuhi isyarat di jalan raya dan sebagainya. Maka ikhtiar melalui ruqyah dengan merenjis kenderaan dengan air ruqyah padanya juga boleh menjadi asbab kepada keselamatan dengan izin Allah SWT.

 

Kesimpulan

Merenjis air ruqyah pada kenderaan adalah diharuskan pada syarak kerana terdapat dalil yang jelas membenarkan perbuatan tersebut. Ia juga merupakan suatu bentuk ruqyah yang dilakukan atas harta bagi mengelakkan musibah atau penyakit ‘ain. Namun, dalam sesetengah situasi iaitu jika perbuatan ini boleh membawa kepada fitnah dalam masyarakat seperti terdapat unsur ritual yang menyerupai agama lain, iktikad yang lemah orang yang mengamalkannya dan lain-lain, maka perbuatan seperti ini sewajarnya dielakkan. Memelihara pegangan akidah umat Islam perlu menjadi keutamaan dalam menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar.

 



[1] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1959. Jil. 4, ms. 457.

[2] Al-Razi. Mafatih al-Ghaib, (Beirut: Dar Turath ‘Arabi) Jil. 21, ms. 389.

[3] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1959). Jil. 10, ms. 205.

[4] Ahmad bin Hanbal. Musnad Imam Ahmad (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2001) Jil. 24, ms. 466 ; al-Nasaie, Abu Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasaie. Al-Sunan al-Kubra (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2001) Jil. 9, ms. 380. No. 10805; Al-Hakim Muhammad bin Abdillah. al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, t.t.) Jil. 4, ms. 240. No. 7500.

[5] Muhammad Yazīd bin Mājah al-Qazwinī (m. 273H).  Sunan Ibn Mājah. Damsyik, Beirūt: Dār al-Risālah al-‘Alamiyyah. 2009M/1430H, no. 3509; al-Nasaie, Abu Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasaie. Al-Sunan al-Kubra (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2001) no. 7571.

[6] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. Jil. 10, ms. 205.

[7] Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (m. 676H). Syarḥ al-Nawawī ‘ala Muslim. Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ Turath ‘Arabiy, 1972. Jil. 14, ms. 185.

[8] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1959. Jil. 10, ms. 205.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com