#66 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Solat Pada Waktu Rembang

Tarikh: 9 Ogos 2024

Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman

Pendahuluan

Waktu rembang atau juga dikenali sebagai waktu istiwā’ atau waktu transit iaitu tempoh waktu ketika mana pusat matahari melintasi titik meridian samawi tempatan. Dalam ilmu Falak, waktu rembang menjadi rujukan asas dalam membuat hitungan waktu solat utama iaitu waktu Solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Namun, adakah ibadah solat boleh dilakukan pada waktu rembang? Artikel ini akan membahaskan waktu rembang dan hukum solat pada waktu tersebut.

Epistemologi Waktu Rembang

Waktu rembang adalah istilah yang sering diguna pakai oleh masyarakat sebagai indikasi waktu yang mana matahari panas tegak di atas kepala. Sinonim dengan istilah ilmu Falak, waktu rembang juga disebut sebagai waktu istiwā’. Ia merujuk kepada waktu ketika pusat cakera matahari melintasi garisan meridian tempatan[1]. Meridian tempatan adalah garisan tengah langit bagi sesuatu tempat yang memisahkan antara timur dan barat melalui titik tengah (zenit).



Rajah 1.1 Kedudukan matahari rembang atau istiwā’. Pusat matahari berada di meridian tempatan.
 Sumber: Hardi 2011[2]

Fenomena ini boleh diperhatikan keadaan dan tempohnya melalui panjang bayang objek (yang tegak) pada waktu tersebut. Pada waktu rembang, bayang-bayang objek yang tegak menunjukkan bayang-bayang yang terpendek, dan ukurannya berubah-ubah sepanjang tahun bergantung kepada deklinasi (kecondongan) matahari. Ini bermaksud, waktu rembang harian adalah waktu di mana ukuran bayang-bayang objek berada pada tahap paling minima. Namun, pada tarikh-tarikh tertentu didapati tiada bayang yang terbentuk kerana matahari tidak condong dan berada tepat pada tengah langit[3]. Rajah menunjukkan keadaan matahari rembang (di dalam rajah ditulis istiwā’) dan hasil bayangan objek yang tegak pada waktu rembang.


Rajah 1.2 Kedudukan matahari semasa istiwā’
 Sumber: Wan Kamel Wan Hussaid[4]

Dalam ilmu Falak, waktu rembang yang dipanggil sebagai waktu istiwā’ dianggap sebagai waktu asas dalam membuat kiraan waktu solat yang lain. Umumnya, waktu solat telah diterangkan di dalam al-Quran dan hadis, seperti dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 78;


 
أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْءَانَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْءَانَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: Dirikanlah olehmu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) solat subuh sesungguhnya solat subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).

(Surah al-Isra’: 78)

Waktu solat boleh ditentukan melalui pengamatan kedudukan matahari. Tergelincir matahari di dalam dalil di atas merujuk kepada kedudukan matahari setelah berakhirnya waktu rembang dan masuknya waktu Zohor. Orang Islam boleh mengukur bayang-bayang objek untuk mengetahui masuknya waktu solat sehingga solat-solat berikutnya. Solat merupakan ibadah paling utama kepada Allah SWT. Solat fardu wajib dilakukan oleh setiap mukalaf pada waktu-waktu yang tertentu. Manakala solat sunat juga dituntut untuk menyempurnakan kekurangan pada solat fardu tersebut. Sabda Rasulullah SAW:

قَالَ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ قَالَ أَتِمُّوا لِعَبْدِي فَرِيضَتَهُ مِنْ تَطَوُّعِهِ ثُمَّ تُؤْخَذُ الأَعْمَالُ عَلَى ذَاكُمْ[5]

Maksudnya: Dia (Allah SWT) berfirman: Lihatlah apakah hamba-Ku (melakukan) tatawwu’ (solat sunat)? Jika ada, maka disempurnakanlah dengannya apa yang kurang dari solat fardunya, kemudian begitu pula dengan seluruh amalan mereka.

(Riwayat Abi Dāwūd)

            Namun, persoalannya di dalam konteks ini, adakah waktu rembang termasuk dalam waktu yang dibolehkan solat atau sebaliknya?


Hukum Solat Waktu Rembang

Secara asasnya, antara waktu yang diharamkan solat sunat adalah pada waktu matahari berada pada pertengahan langit. Daripada ‘Uqbah Ibn ‘Amir katanya:

ثَلاَثُ سَاعَاتٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَنْهَانَا أَنْ نُصَلِّيَ فِيهِنَّ أَوْ أَنْ نَقْبُرَ فِيهِنَّ مَوْتَانَا حِينَ تَطْلُعُ الشَّمْسُ بَازِغَةً حَتَّى تَرْتَفِعَ وَحِينَ يَقُومُ قَائِمُ الظَّهِيرَةِ حَتَّى تَمِيلَ الشَّمْسُ وَحِينَ تَضَيَّفُ الشَّمْسُ لِلْغُرُوبِ حَتَّى تَغْرُبَ[6]

Maksudnya: Ada tiga waktu yang Rasulullah SAW melarang kami untuk solat atau mengebumikan mayat pada waktu tersebut, iaitu ketika matahari terbit sehingga meninggi, ketika matahari rembang (waktu istiwā’ iaitu ketika matahari tegak atas kepala) sehingga tergelincir matahari dan ketika matahari hendak terbenam sehingga terbenam.

(Riwayat Muslīm)

Berdasarkan dalil ini, solat pada waktu rembang adalah diharamkan, dan menurut pendapat muktamad, larangan solat pada waktu rembang adalah larangan makruh tahrim. Dalam kitab Mughnī al-Muhtāj;

وَتُكْرَهُ الصَّلَاةُ عِنْدَ الِاسْتِوَاءِ كَرَاهَةَ تَحْرِيمٍ [7]

Maksudnya: Makruh tahrim (berdosa) melakukan solat ketika matahari berada di tengah-tengah langit.

Walau bagaimanapun, solat pada waktu rembang boleh dilakukan dalam beberapa keadaan iaitu pada hari Jumaat (bagi lelaki) dan di Tanah Haram Mekah, seperti sabda Rasulullah SAW daripada Jubair bin Mut’im RA;

يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ لَا تَمْنَعُوا أَحَدًا طَافَ بِهَذَا الْبَيْتِ وَصَلَّى أَيَّةَ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ[8]

Maksudnya: Wahai Abd Manaf, janganlah kamu larang sesiapapun melakukan tawaf dan solat di Kaabah ini pada bila-bila masa yang dikehendakinya sama ada malam ataupun siang.

(Riwayat Ibn Mājah)

Perbahasan ini juga disebutkan di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiah:

تحرم الصَّلَاة فِي غير حرم مَكَّة وَقت طُلُوع الشَّمْس حَتَّى ترْتَفع قدر رمح وَوقت الاسْتوَاء إِلَّا يَوْم الْجُمُعَة حَتَّى تَزُول وَوقت الاصفرار حَتَّى تغرب وَبعد صَلَاة الصُّبْح حَتَّى تطلع وَبعد صَلَاة الْعَصْر حَتَّى تغرب[9]

Maksudnya: Diharamkan solat selain di Masjidil Haram di Mekah i) pada waktu terbit matahari sehinggalah ia naik pada kadar segalah. ii) Juga pada waktu istiwā’ (matahari rembang) kecuali pada hari Jumaat sehingga gelincir matahari. iii) Waktu senja sehingga terbenam matahari. iv) Waktu selepas solat Subuh hingga terbit matahari. v) Waktu selepas solat Asar sehingga terbenam matahari.

Solat juga diharuskan ketika wujudnya sebab yang mendahului solat tersebut, seperti solat sunat tahiyyatul masjid, solat qada’ dan lain-lain seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawī;

أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَمَذْهَبُنَا أَنَّ النَّهْيَ عَنْ الصَّلَاةِ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ إنَّمَا هُوَ عَنْ صَلَاةٍ لَا سَبَبَ لَهَا. فَأَمَّا مَا لَهَا سَبَبٌ فَلَا كَرَاهَةَ فِيهَا وَالْمُرَادُ بِذَاتِ السَّبَبِ الَّتِي لَهَا سَبَبٌ مُتَقَدِّمٌ عَلَيْهَا فَمِنْ ذَوَاتِ الْأَسْبَابِ الْفَائِتَةُ فَرِيضَةً كَانَتْ أَوْ نَافِلَةً إذَا قُلْنَا بِالْأَصَحِّ أَنَّهُ يُسَنُّ قَضَاءُ النَّوَافِلِ فَلَهُ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ قَضَاءُ الْفَرَائِضِ وَالنَّوَافِلِ الرَّاتِبَةِ وَغَيْرِهَا وَقَضَاءُ نَافِلَةٍ اتَّخَذَهَا وِرْدًا وَلَهُ فِعْلُ الْمَنْذُورَةِ وَصَلَاةُ الْجِنَازَةِ وَسُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ وَصَلَاةُ الطَّوَافِ وَلَوْ تَوَضَّأَ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ فَلَهُ أَنْ يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْ الْوُضُوءِ[10].

Maksudnya: Adapun hukum dalam perbahasan ini bagi mazhab kami (mazhab al-Shāfi’i) bahawa larangan solat pada waktu-waktu ini ialah bagi solat yang tiada sebab. Manakala bagi solat yang mempunyai sebab maka tidak diharamkan. Maksud solat yang mempunyai sebab ialah sebab (yang disunatkan untuk solat) itu mendahului solat tersebut. Antara sebab yang mendahului solat tersebut ialah solat yang ditinggalkan sama ada solat fardu ataupun sunat. Hal ini jika kita menyatakan dengan pandangan yang paling sahih (di sisi mazhab al-Shāfi’i) bahawa disunatkan untuk mengqadakan solat sunat, maka pada waktu tersebut dibolehkan mengqadakan solat fardu, sunat rawatib dan selainnya. Begitu juga, harus mengqadakan solat sunat yang dijadikan kebiasaan baginya, solat yang dinazarkan, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, solat tawaf, serta jika dia berwuduk pada waktu-waktu ini maka dia boleh melaksanakan solat sunat dua rakaat.

Oleh itu, solat yang sebabnya mendahului sebagaimana contoh yang diberikan oleh Imam al-Nawawī atau solat yang sebabnya datang serentak seperti solat sunat gerhana, maka boleh dilakukan kerana tidak termasuk dalam larangan. Namun, jika sebabnya kemudian seperti solat sunat istikharah dan ihram hukumnya adalah haram dan tidak sah dilakukan.  Imam al-Khātib al-Shirbīnī mengungkapkan;

أما مَا لَهُ سَبَب مُتَأَخّر كركعتي الاستخارة وَالْإِحْرَام فَإِنَّهَا لَا تَنْعَقِد كَالصَّلَاةِ الَّتِي لَا سَبَب لَهَا[11]

Maksudnya: Adapun solat sunat yang sebabnya terkemudian seperti solat sunat istikharah dan ihram maka ia tidak sah (dilaksanakan pada waktu yang diharamkan) kerana (hukumnya) sama seperti solat yang tiada sebab baginya.


Tempoh Waktu Rembang

Waktu rembang yang dilarang melakukan solat sunat mutlak atau solat sunat yang sebabnya kemudian bermula setelah berakhirnya waktu dhuha, Imam al-Rāfi’ī di dalam kitabnya Fath al-’Azīz bi Syarh al-Wajīz berkata;

 وَقْتُهَا مِنْ حِينِ تَرْتَفِعُ الشَّمْسُ إلَى الِاسْتِوَاءِ[12]

Maksudnya: Dan waktu (solat Dhuha) ketika matahari terbit sehingga waktu istiwā’.

Manakala, tempoh waktu rembang adalah singkat sehinggakan tidak sempat pun untuk mengerjakan satu solat dalam waktu tersebut kerana ianya berakhir ketika gelincirnya matahari iaitu ketika masuknya waktu Zohor.

Dalam kitab Nihāyah al-Muhtāj, Imam Syihābuddin berkata;

وَاعْلَمْ أَنَّ وَقْتَ الِاسْتِوَاءِ لَطِيفٌ ‌لَا ‌يَتَّسِعُ ‌لِصَلَاةٍ وَلَا يَكَادُ يُشْعَرُ بِهِ حَتَّى تَزُولَ الشَّمْسُ إلَّا أَنَّ التَّحَرُّمَ قَدْ يُمْكِنُ إيقَاعُهُ فِيهِ فَلَا تَصِحُّ الصَّلَاةُ[13]

Maksudnya: Ketahuilah bahawa waktu istiwā’ itu hanya sekejap sahaja, tidak sempat untuk mengerjakan solat, dan hampir tidak disedari sehingga tergelincir matahari, tetapi takbiratul ihram mungkin sempat dilakukan pada waktu itu, maka solat menjadi tidak sah.

            Menurut hitungan Falak, masa yang diambil pada waktu rembang di mana kedudukan matahari berada di meridian tempatan adalah 1 minit 4 saat sebelum gelincirnya matahari[14] (rujuk rajah 1.3: M2 beralih ke M3). Ini berdasarkan saiz purata separa diameter matahari (SD) iaitu 16’ minit arka. Setiap 1’ minit arka bersamaan 4 saat, maka 16’ minit arka bersamaan 1 minit 4 saat. Walau bagaimanapun, sebagai langkah ihtiyāt (berjaga-jaga) dalam menentukan waktu rembang, tempoh peralihan pusat matahari di sebelah timur masuk ke garisan meridian (rujuk rajah 1.3: M1 beralih ke M2) juga diambil kira. Hasilnya, peralihan matahari dari M1 ke M3 menjadikan tempoh waktu rembang secara ihtiyāt adalah 2 minit 8 saat keseluruhannya sebelum gelincirnya matahari. Gelincirnya matahari pula menandakan masuknya waktu Zohor.



Rajah 1.3 Peralihan matahari dari M1 ke M3

Sebagai contoh, pada 20 Julai 2024, waktu Zohor dalam zon 1 Negeri Selangor bermula pada jam 1.22 petang. Apabila mengambil kira tempoh 2 minit 8 saat sebelum masuk waktu Zohor, maka waktu rembang bermula pada 1.20 petang. Walaupun tempoh waktu rembang adalah sebentar sahaja, namun bila mana rukun solat dilakukan pada waktu tersebut, maka solatnya tidak sah.

Kesimpulan

Waktu rembang atau waktu istiwā’ adalah waktu di mana matahari melintasi garisan meridian tempatan. Secara ihtiyat, waktu rembang memakan masa 2 minit 8 saat sebelum masuknya waktu Zohor. Hukum solat pada waktu rembang adalah haram kecuali pada beberapa keadaan iaitu pada hari Jumaat (bagi lelaki); ketika di Masjidil Haram; dan ketika solat sunat yang dilaksanakan mempunyai sebab yang mendahului solat tersebut atau sebabnya selari dengan solat tersebut.

 



[1] Saedah Haron, Raihana Abd. Wahab & Mohd Zambri. 2009. “Astronomi dan Ibadah” Prosiding Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-9. Universiti Teknologi Malaysia. Ms. 9.

[2] Hardi. 2011. Kajian Penetapan Takwim Solat Pulau Pinang Menurut Ilmu Falak. Disertasi Sarjana, Universiti Malaysia. Ms. 65.

[3] Fenomena ini disebut sebagai hari tanpa bayang yang berlaku hanya dua kali dalam setahun.

[4] Wan Kamel Wan Hussaid. Slide Hitungan Waktu Solat (Bahagian Ukur Geodetik, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, t.t).

[5] Abū Dāwūd (Dā’ūd), Sulaymān ibn al-Ash’ath al-Azdī al-Sijistānī. (2009). Sunan Abi Dāwūd. Beirut: Dār al-Risalah al-Alamiah. Hadis no. 864. Jil. 2, ms 149.

[6] Abū Husayn Muslim ibn al-Hajjāj ibn Muslim al-Qusyairī al-Nisāburī. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī. Hadis no. 831. Jil. 5, ms 568.

[7] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. 2009. Mughnī al-Muhtāj Ilā Ma’rifat Ma’āni alfāz al-Minhāj Beirut: Dār al-Risalah al-Alamiah. Jil. 1, ms 309.

[8] Ibn Mājah, Abū ʿAbd Allāh Muḥammad ibn Yazīd al-Qazwīnī. (tt.) Sunan Ibn Mājah. Beirut: Dār Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah. Hadis no. 1254. Jil. 1, ms 398.

[9] Al-Hadramiy, Abdullāh Ibn Abd al-Rahmān. 1993. al-Muqaddimah al-Hadramiah. Damsyik: Dār al-Muttahidah. Jil. 1, ms 58.

[10] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī. (t.t). al- Majmū’ Syarh al-Muhazzab. Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 4, ms 170.

[11] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. (tt.) al-Iqnā’ fī Hāl Alfāz Abi Syujā’. Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 1, ms 161.

[12] Al-Rāfi’ī, Imam Abū al-Qāsim Abdul Karīm bin Muhammad al-Rāfi’ī. (t.t). Fath al-’Azīz bi Syarh al-Wajīz. Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 4, ms. 258.

[13] Al-Ramlī, Shams al-Dīn Muhammad bin Abū al-Abbās Ahmad bin Hamzah. (1984). Nihāyah al-Muhtāj ilā Syarh al-Minhāj. Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 1, ms 384.

[14] Hardi. Kajian Penetapan Takwim Solat Pulau Pinang Menurut Ilmu Falak. Ms. 65.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com