#63 Taudhih Al-Hukmi : Keutamaan Puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’

Tarikh: 12 Julai 2024

Disediakan oleh: Nor Hanani binti Ahmad

 

Pendahuluan

Seringkali didengari tentang puasa Tasu’aa’ dan‘Asyuraa’ apabila memasuki tahun baru hijrah. Ia berlaku pada bulan Muharram yang merupakan salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Justeru itu, apakah keistimewaan puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ sehingga menjadi keutamaan amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam?

 

Keistimewaan Bulan Muharram

Bulan Muharram merupakan salah satu daripada empat bulan haram (asyhur al-hurum) iaitu bulan-bulan yang dimuliakan daripada 12 bulan yang diciptakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Taubah ayat 36:

 

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

 

Menurut tafsir Ibn Kathir empat bulan yang dimaksudkan adalah bulan Zulqa’dah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab[1] sebagaimana diriwayatkan daripada Abi Bakrah bahawa Nabi SAW bersabda[2]:

 

‌إِنَّ ‌الزَّمَانَ ‌قَدِ ‌اسْتَدَارَ ‌كَهَيْئَتِهِ ‌يَوْمَ ‌خَلَقَ ‌الله ‌السماوات ‌وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حرم ثلاث متواليات: ذو القعدة وذو الحجة وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Sesungguhnya waktu telah berputar sebagaimana pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun ada 12 bulan, empat di antaranya adalah bulan haram, tiga berturut-turut iaitu Zulqa’dah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab berada di antara Jumada dan Sya’ban.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

 

Tafsir al-Munir menukilkan bahawa empat bulan ini merupakan bulan yang mulia di mana kemaksiatan dibalas dengan azab yang lebih dahsyat dan ketaatan yang dilakukan menjanjikan pahala yang lebih besar serta Allah SWT memuliakan beberapa waktu dan tempat sebagaimana yang dikehendaki-Nya.[3]

 

Peristiwa yang Berlaku pada Bulan Muharram

 

Terdapat peristiwa yang berlaku khususnya pada 10 Muharram atau hari ‘Asyuraa’ sebagaimana diriwayatkan daripada A’ishah RA[4]:

 

‌كَانَ ‌يَوْمُ ‌عَاشُورَاءَ ‌تَصُومُهُ ‌قُرَيْشٌ ‌فِي ‌الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ فَلَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ صَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: Pada zaman Jahiliah, orang-orang Quraisy berpuasa pada hari ‘Asyuraa’. Rasulullah SAW juga berpuasa pada masa tersebut. Apabila Baginda tiba di Madinah, Baginda berpuasa dan memerintahkan umatnya untuk berpuasa.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

 

Hadis lain yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA telah berkata[5]:

 

‌قَدِمَ ‌النَّبِيُّ ‌صَلَّى ‌اللَّهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌الْمَدِينَةَ ‌فَرَأَى ‌الْيَهُودَ ‌تَصُومُ ‌يَوْمَ ‌عَاشُورَاءَ فَقَالَ: مَا هَذَا. قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صالح هذا يوم نجى الله نبي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ: فَأَنَا أحق بموسى منكم. فصامه وأمر بصيامه

Maksudnya: Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyuraa’. Baginda bertanya: Apa ini? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka, maka Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran. Nabi SAW menjawab: Aku lebih berhak terhadap Nabi Musa daripada kalian (Yahudi), maka kami berpuasa pada hari itu dan Baginda menyuruh kami agar berpuasa.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

 

Berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi pada hari tersebut sebagai memperingati peristiwa yang telah berlaku iaitu peristiwa Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel diselamatkan daripada Fir’aun.

 

Walaupun begitu, daripada hadis ini Nabi SAW perintahkan umatnya untuk berpuasa berbeza dengan amalan kaum Yahudi iaitu dengan menambah puasa sehari sebelum hari ‘Asyuraa’ sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas berkata, Nabi SAW bersabda:

 

صوموا يوم عاشوراء وخالفوا فيه اليهود صوموا قبله يوماً أو بعده يوماً

Maksudnya: Puasalah kalian pada hari ‘Asyuraa’ berbeza dengan puasa kaum Yahudi iaitu puasalah sehari sebelum atau selepasnya.

(Hadis Riwayat Ahmad)

 

Menurut Imam al-Nawawi disunatkan berpuasa pada hari ‘Asyuraa’ dan hari sebelumya atau dikenali sebagai puasa hari Tasu’aa’[6] berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda[7]:

 

لئن ‌بَقِيتُ ‌إلى ‌قابلٍ ‌لأصومنّ ‌اليومَ ‌التاسع

Maksudnya: Sungguh jika aku masih hidup hingga tahun depan maka aku akan berpuasa pada hari ke sembilan.

(Hadis Riwayat Ahmad)

 

Menurutnya lagi, istilah Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ merupakan istilah yang masyhur digunakan dalam kitab bahasa (lughah) sebagaimana diceritakan oleh Ibn ‘Umar dan al-Shaybani secara ringkas bahawa Asyura’ adalah hari ke 10 dan Tasu’aa’ hari ke 9 daripada bulan Muharram. Hal ini demikian, bagi membezakan amalan puasa umat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.

 

Diceritakan oleh Ismail bin Umayyah bahawa beliau mendengar Abu Ghatfan bin Tarif al-Mariyy berkata: Aku mendengar Abdullah bin ‘Abbas RA berkata[8]:

 

حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى. فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: فإذا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ ‌إِنْ ‌شَاءَ ‌اللَّهُ ‌صُمْنَا ‌الْيَوْمَ ‌التَّاسِعَ. قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyuraa’ dan Baginda memerintahkan mereka untuk berpuasa, mereka berkata: Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya hari tersebut diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW bersabda: Tahun depan inshaAllah kita berpuasa pada hari kesembilan (Tasu’aa’), akan tetapi sebelum tiba tahun hadapan Rasulullah SAW telah wafat.

(Hadis Riwayat Muslim)


Keutamaan Puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’

 

Keutamaan puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ telah disebutkan oleh beberapa hadis sebagaimana berikut:

 

Puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu. Ia merupakan salah satu nikmat dan kemurahan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Perkara ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah, bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya mengenai puasa dan Baginda SAW bersabda[9]:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ‌وَصِيَامُ ‌يَوْمِ ‌عَاشُورَاءَ ‌أَحْتَسِبُ ‌عَلَى ‌اللَّهِ ‌أَنْ ‌يكفر ‌السنة ‌التي ‌قبله

Maksudnya: Puasa pada hari Arafah akan diampunkan dosa setahun sebelum dan selepasnya dan puasa hari Asyura’ akan diampunkan dosa setahun sebelumnya.

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA dia berkata[10]:

 

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌يَتَحَرَّى ‌صِيَامَ ‌يَوْمٍ ‌فَضَّلَهُ ‌عَلَى ‌غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شهر رمضان

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Nabi SAW bersungguh-sungguh berpuasa pada hari yang dilebihkan oleh Baginda melainkan pada hari ini, iaitu hari ‘Asyuraa’ dan bulan ini, iaitu bulan Ramadhan.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

 

Kesungguhan Nabi SAW berpuasa pada hari ‘Asyuraa’ menjadi sebab keutamaan puasa ‘Asyuraa’ dilakukan dengan menambah puasa Tasu’aa’ pada hari sebelumnya bagi membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani.

 

Kesimpulan

Puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ merupakan amalan puasa yang digalakkan sebagaimana amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.  Disamping itu, amalan ini dapat membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa orang Yahudi. Ganjaran yang dijanjikan juga mendorong umat Islam untuk mempertingkatkan ibadah puasa khususnya pada bulan-bulan haram.



[1] Ibn Kathīr, Abū al-Fidā’ Ismā’il bin Umar bin Kathīr al-Qurasyī al-Baṣarī Thumma al-Dimasyqī, Tafsīr Ibn Kathīr, (Dār Ṭayyibah lil Nasyr wa al-Tawzī’, 1999), Jil. 2, ms. 9.

[2] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi (M. 256), Ṣahīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993), Hadis no. 4385, Jil. 4, Ms. 1712.

[3] Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-’Aqidah wa al-Syariah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1991), Jil. 10, ms. 201.

[4] Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Ṣahīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993), Hadis no. 1898, Jil. 2, Ms. 704.

[5] Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Ṣahīh al-Bukhārī, Hadis no. 1900 Jil. 2, Ms. 704.

[6] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Syarf al-Nawawi, (1929), al-Majmu’ Syarḥ al-Muhaẓab, (Kāherah: Idārah al-Tibā’ah al-Muniriah), Jil. 6, ms. 382.

[7] Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal, Musnad al-Imām Aḥmad bin Hanbal, (Kaherah: Dār al-Ḥadīth, 1995), Hadis no, 1972, Jil. 2, Ms. 468.

[8] Abu al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujaj al-Qusyairi al-Naysābūrī, Sahih Muslim, (Kaherah: Matba’ah Isa al-Bābī al-Ḥalbī wa Syarkahu, 1955), Hadis no. 1134, Jil. 2, 797.

[9] Abū al-Ḥusayn Muslim bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qushayrī Al-Nisāburī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu, 1955), Hadis no. 1162, Jil. 2, ms. 818.

[10] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi (M. 256), Ṣahīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993), Hadis no. 1902, Jil. 2, Ms. 705. 

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com