#59 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Memberi Upah Kepada Penyembelih dan Pelapah Korban

Tarikh: 12 Jun 2024

Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad

 

Pendahuluan

Ibadah korban merupakan sunat muakkad dan amalan yang paling afdal dilakukan pada Hari Raya Korban. Ramai umat Islam yang berkemampuan mengambil peluang untuk melaksanakannya. Bagi menyempurnakan ibadah korban, beberapa syarat dan hukum haruslah dipatuhi oleh peserta, pihak pengurusan, penyembelih dan pelapah korban. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah berkenaan pemberian upah kepada penyembelih dan pelapah korban bagi menyempurnakan ibadah korban.

Perbahasan Tentang Upah

Setiap pekerja mempunyai hak sebagai seorang pekerja untuk mendapat ganjaran daripada penggunaan tenaga atau kepakarannya dalam melakukan sesuatu pekerjaan khususnya pekerjaan yang halal dan menepati syariat. Ganjaran yang dimaksudkan adalah gaji pekerja seperti yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda:

أَعْطُوا ‌الْأَجِيرَ ‌أَجْرَهُ، ‌قَبْلَ ‌أَنْ ‌يَجِفَّ ‌عَرَقُهُ[1]

Maksudnya: Berilah pekerja itu upahnya sebelum kering peluhnya

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Memberi upah menurut kitab Hasyiah al-Sanadi ala Sunan Ibn Majah bermaksud memberi upah terhadap sesuatu pekerjaan[2]. Hal ini jelas menunjukkan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah diberikan upah dengan segera mengikut persetujuan antara majikan dan pekerja.

Manakala upah menurut Kamus Dewan ialah wang dan lain-lain yang diberikan kepada orang yang disuruh mengerjakan sesuatu atau bayaran sebagai pembalasan jasa serta ganjaran untuk tenaga orang yang telah digunakan[3].

Berdasarkan huraian di atas, penyembelih dan pelapah juga merupakan suatu pekerjaan yang selayaknya diberi upah atas kelayakan dan kepakaran yang diberi. Upah yang diberikan mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan dalam hukum sembelihan korban.

Hukum Memberi Daging Korban Sebagai Upah Kepada Penyembelih dan Pelapah

Apabila seseorang melakukan ibadah korban, daging, kulit atau mana-mana bahagian anggota haiwan korban haram diberikan kepada penyembelih dan pelapah sebagai upah menyembelih dan melapah Binatang korban. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA:

 أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا، وَأَجِلَّتِهَا، ‌وَأَنْ ‌لَا ‌أُعْطِيَ ‌الْجَزَّارَ مِنْهَا، قَالَ: نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا[4]

Maksudnya: Rasulullah SAW memerintahkan kepadaku untuk menguruskan haiwan korbannya dan membahagikan dagingnya, kulitnya serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku tidak dibenarkan memberikan kepada tukang sembelih apa-apa bahagian daripadanya. Ali berkata: Kami membayar upahnya daripada harta kami sendiri.

(Muttafaqun ‘Alaih)

 

Berdasarkan hadis ini, para sahabat memberi upah kepada penyembelih dengan upah lain yang ditanggung sendiri oleh mereka. Hal ini menunjukkan larangan mengambil daging atau anggota korban sebagai upah namun begitu tidak melarang untuk diberikan upah kepada penyembelih[5].

Selain itu, dalam kitab Bulugh al-Maram menjelaskan bahawa tidak diberi upah kepada penyembelih dan pelapah dengan daging atau anggota haiwan korban kerana dianggap sebagai jual beli seperti kenyataan berikut: 

وَدَلَّ عَلَى أَنَّهُ يَتَصَدَّقُ بِالْجُلُودِ وَالْجِلَالِ كَمَا يَتَصَدَّقُ بِاللَّحْمِ وَأَنَّهُ لَا يُعْطِي الْجَزَّارَ مِنْهَا شَيْئًا أُجْرَةً لِأَنَّ ذَلِكَ فِي حُكْمِ الْبَيْعِ لِاسْتِحْقَاقِهِ الْأُجْرَةَ؛ وَحُكْمُ الْأُضْحِيَّةِ حُكْمُ الْهَدْيِ فِي أَنَّهُ لَا يُبَاعُ لَحْمُهَا وَلَا جِلْدُهَا وَلَا يُعْطَى الْجَزَّارُ مِنْهَا شَيْئًا

Maksudnya: Dan ini menunjukkan bahawa dia (Saidina Ali) bersedekah dengan kulit sebagaimana dia bersedekah dengan daging, dan penyembelih tidak diberikan sedikit pun daripadanya sebagai upah kerana ia akan menyebabkan (daging korban itu dijadikan) seperti hukum jual beli kerana penyembelih mendapat bayaran (daripada daging korban). Hukum korban ialah sepertimana hukum hadyu, iaitu daging dan kulitnya tidak boleh dijual dan tidak diberikan sedikit pun kepada penyembelih.

Begitu juga yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

وأن لا يعطى الجزار منها لِأَنَّ عَطِيَّتَهُ عِوَضٌ عَنْ عَمَلِهِ فَيَكُونُ فِي مَعْنَى بَيْعِ جُزْءٍ مِنْهَا وَذَلِكَ لَا يَجُوزُ وَفِيهِ جَوَازُ الِاسْتِئْجَارِ عَلَى النَّحْرِ وَنَحْوِهِ[6]

Maksudnya: Penyembelih tidak boleh mengambil upah dari anggota haiwan korban kerana pemberian tersebut dianggap sebagai pertukaran daripada pekerjaannya yang memberi makna menjual sebahagiannya. Maka demikian ia tidak diharuskan. Dan harus bagi penyembelih diberikan upah atas sembelihan itu dengan yang lain.

Jelas di sini bahawa seseorang yang melakukan ibadah korban hendaklah bertanggungjawab memberi upah kepada penyembelih dan pelapah korban menggunakan kosnya sendiri. Adapun begitu, seseorang yang melakukan ibadah korban harus memberi daging korban kepada penyembelih dan pelapah atas kapasiti sebagai salah seorang ahli qariah yang layak menerima daging korban[7].

Tambahan, adalah lebih mudah dan sewajarnya jika mereka diberikan upah dalam bentuk wang ringgit yang ditanggung oleh peserta korban itu sendiri. Bahkan, pihak masjid atau agensi yang menguruskan perkhidmatan untuk melakukan ibadah korban juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan sebagai peruntukan untuk diberikan sebahagiannya kepada penyembelih dan pelapah sebagai upah menggunakan kepakaran dan perkhidmatan mereka. Kos tersebut boleh merangkumi kos yang ditanggung oleh penyembelih dan pelapah seperti kos pengangkutan, persediaan peralatan serta masa yang diperuntukkan.

Kesimpulan

Penyembelih dan pelapah merupakan antara individu yang diperlukan bagi menyempurnakan ibadah korban. Justeru itu, perkhidmatan dan kepakaran mereka harus diberi upah dengan menggunakan kos lain seperti memberikan kepada mereka wang tunai sebagai upah. Daging atau anggota haiwan korban tidak boleh dijadikan sebagai upah kerana ia akan menyebabkan pemberian daging korban itu berstatus jual beli, sedangkan daging korban merupakan ibadah yang perlu disedekahkan dagingnya.



[1] Ibn Mājah Abū ‘Abd Allah Muḥammad bin Yazīd al-Quzwainī, Sunan Ibn Mājah, (Dār Iḥyā’ al-Kutub al-’Arabiyah), No. Hadis 2443, Jil. 2, ms. 817.

[2] Muḥammad bin ‘Abd al-Hādī al-Tatawī, Abū al-Ḥasan, Nūr al-Dīn al-Sanadī, Ḥāsyiah al-Sanadī ala Sunan Ibn Mājah, (Beirut: Dār al-Jayl), t.t, Jil. 2, ms, 84.

[3] Laman Sesawang Dewan Bahasa dan Persuratan Melayu, pencarian istilah ‘upah’, maklumat dicapai pada 2 Jun 2023, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=upah

[4]Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujaj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Tabaā’ah al-Amirah, 1916), No. 1317, Jil. 4, ms. 87.

[5]Ibn Daqīq al-‘Aid, Iḥkām al-Aḥkām Syarḥ ‘Umdah al-Aḥkām (Matba’ah al-Sunnah al-Muḥammadiah), No. Hadis 237, Jil. 2, ms, 82.

[6] Abu Zakaria Muḥy al-Dīn Yaḥya bin Sharf al-Nawawī, Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Hujaj, (Beirut: Dār Iḥya’ al-Turāth al-’Arabi, 1392), Jil. 9, ms. 65.

[7] Hisyām al-Kāmil Ḥamid Mūsā al-Shāfi’ī al-Azharī, Is’ād al-Bariyyah Fī Aḥkām al-Udhiyyah, (t.p: 2019), 28.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com