Tarikh: 27
Februari 2024
Disediakan
oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Menjadi kewajipan umat Islam untuk mempelajari hukum-hakam
sesuatu ibadah bagi memastikan keabsahannya dan agar ia diterima disisi Allah
SWT. Ilmu-ilmu berkaitan sesuatu ibadah terbahagi kepada beberapa perkara
seperti rukun, syarat sah, syarat wajib, hukum dan sebagainya. Ibadah solat
merupakan ibadah harian yang wajib dilakukan oleh semua mukallaf. Sebahagian
hukum-hakamnya bersifat terperinci dan sebahagian yang lain bersifat diketahui
secara umum.
Pelaksanaan solat secara berjemaah
mempunyai tatacara dan hukum-hakam yang tersendiri yang mesti diketahui oleh
imam khususnya sebagai orang yang mengetuai ibadah solat. Tidak dinafikan, fiqh
solat berjemaah merupakan suatu topik yang luas dan mendalam perbahasannya.
Artikel kali ini akan menfokuskan kepada isu berkaitan imam yang bangun untuk
rakaat ke-3 dalam keadaan terlupa untuk mengerjakan tahiyat awal, kemudian
duduk semula setelah teringat.
Sunat Ab’ad
Dalam Solat
Tahiyat awal merupakan salah satu
daripada sunat Ab’ad dalam solat. Orang yang meninggalkannya disunatkan untuk
sujud sahwi sebelum memberi salam.
Secara umumnya, Imam yang
meninggalkan tahiyat awal tidak boleh kembali semula ke kedudukan tahiyat awal
apabila dia telah bangun dalam keadaan sempurna qiyam. Ini berdasarkan kepada
hadis daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Nabi SAW bersabda:[1]
إذا قامَ
أحدُكم منَ الرَّكعتينِ فلم يستتمَّ قائمًا فليجلِس فإذا استتمَّ قائمًا فلا
يجلِسْ ويسجدُ سجدتَي السَّهوِ
Maksudnya: Jika seseorang bangun daripada rakaat kedua dan
belum sempurna qiyamnya, maka hendaklah dia duduk (kembali kepada kedudukan
tahiyat). Jika dia telah sempurna qiyamnya, maka janganlah dia duduk dan
hendaklah dia melakukan dua kali sujud kerana terlupa (sujud sahwi).
(Riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis ini, seseorang tidak boleh kembali kepada
Tahiyat Awal setelah sempurna qiyam kerana qiyam merupakan rukun sedangkan
duduk Tahiyat Awal adalah sunat. Perkara ini dijelaskan oleh Muhammad bin ‘Ali
al-Damiri al-Syafi’i:
ولأن القيام
فرض والتشهد الأول سنة، والفرض لا يقطع للسنة
Maksudnya: Kerana qiyam merupakan fardu sedangkan Tahiyat
Awal adalah sunat. Fardu tidak boleh diputuskan dengan perkara sunat.[2]
Oleh itu, jika seseorang terlupa melakukan Tahiyat Awal,
dalam keadaan dia telah bangun untuk melakukan qiyam. Terdapat beberapa keadaan
dalam situasi ini.
Pertama – Kembali ke kedudukan Tahiyat Awal setelah sempurna
qiyamnya, maka Ibn Nuqaib al-Syafi’i menyatakan:[3]
ولو نسي التشهد
الأول، فذكره بعد انتصابه، حرُم العود إليه، فإن عاد عمداً بطلت، أو سهواً أو
جاهلاً سجد، ويلزمه القيام إذا ذكره
Maksudnya: Jika seseorang lupa melakukan Tahiyat Awal, lalu
dia teringat selepas dia bangun qiyam. Haram dia kembali ke kedudukan Tahiyat
Awal. Jika dia kembali dalam keadaan sengaja, batal solatnya. (jika dia
kembali) dalam keadaan tidak sengaja, atau jahil (akan pengharaman), hendaklah
dia melakukan sujud sahwi, dan dia perlu bangun qiyam segera setelah dia
teringat.
Kedua – Kembali ke kedudukan Tahiyat Awal dalam keadaan
qiyamnya belum sempurna, maka Ibn Nuqaib al-Syafi’i menyatakan:[4]
وإن عاد قبله
لم يسجد إن لم يكن إلى القيام أقرب وإلا فيسجد
Maksudnya: Jika dia kembali sebelumnya (sempurna qiyam),
maka dia tidak perlu sujud sahwi jika kedudukannya belum menghampiri kedudukan
qiyam. Manakala (jika dia kembali setelah sempurna qiyam), hendaklah dia sujud sahwi.
Berdasarkan dua situasi ini, keadaan qiyam sempurna atau
tidak, memberi kesan kepada hukum kembali ke Tahiyat Awal. Selain itu,
perbuatan sengaja bangun ke kedudukan qiyam daripada tasyahud juga dijelaskan seperti berikut:
ولو نهض
عامداً، ثم عاد بعد ما صار إلى القيام أقرب بطلت، وإلا فلا
Maksudnya: Jika dia bangun secara sengaja, kemudian dia
kembali (duduk) setelah hampir kepada kedudukan qiyam, batal solatnya. Jika
belum hampir ke kedudukan qiyam, tidak batal.
Walau bagaimanapun, seseorang yang kembali ke kedudukan
Tahiyat Awal dalam keadaan jahil mengenai pengharamannya, dihukumkan sebagai
tidak berdosa dan tidak membatalkan solatnya. Imam Syihabuddin al-Ramli dalam
kitabnya Fath al-Rahman menjelaskan:[5]
فإن عاد، أي
عامدا علما بالتحريم .. حرم عوده لزيادة قعوده وجاهل التحريم أو ناس له .. فلا
يبطل عوده الصلاة أما الناسي .. فلرفع القلم عنه، وأما الجاهل .. فلأنه مما يخفي
على العوام
Maksudnya: Jika dia kembali (ke kedudukan Tahiyat Awal)
dalam keadaan sengaja dan tahu akan pengharamannya… haram hukumnya kerana dia
telah menambah perbuatan duduk. Adapun orang yang jahil mengenai pengharamannya
atau orang yang lupa… kembalinya (ke kedudukan Tahiyat Awal) tidak membatalkan
solatnya. (Tidak batal solat bagi) Orang yang lupa… kerana diangkat pena (tidak
ditulis amalan), dan orang yang jahil… kerana isu ini adalah perkara yang
tersembunyi dalam kalangan orang awam.
Rumusannya, mereka yang kembali ke kedudukan Tahiyat Awal
dimaafkan dalam 3 keadaan iaitu:
● Orang
yang bangun dalam keadaan belum sempurna qiyamnya
● Orang
yang jahil mengenai hukum tersebut
● Orang
yang terlupa
Manakala, mereka yang tidak dimaafkan iaitu boleh
membatalkan solatnya dalam keadaan berikut:
● Orang
yang kembali ke kedudukan Tahiyat Awal dalam keadaan sengaja dan tahu akan
pengharamannya.
Tindakan
Individu yang Terlupa Tahiyat Awal
Berdasarkan perbahasan diatas, berikut merupakan beberapa
tindakan yang perlu dilakukan oleh seseorang yang duduk kembali untuk
mengerjakan Tahiyat Awal berdasarkan situasi berikut:
● Teringat
dalam keadaan sebelum sempurna qiyam – Disunatkan untuk duduk kembali ke
Tahiyat Awal kerana dia belum dikira masuk ke dalam rukun seterusnya iaitu
qiyam.
● Teringat
dalam keadaan telah sempurna qiyam secara sengaja dan tahu pengharamannya –
Solatnya terbatal kerana dia telah masuk ke dalam rukun berikutnya iaitu qiyam.
● Teringat
dalam keadaan telah sempurna qiyam secara tidak sengaja dan tidak tahu
pengharamannya – Solatnya tidak batal kerana permasalahan ini merupakan masalah
yang terperinci. Disunatkan untuk dilakukan sujud sahwi setelah dia teringat.
Tindakan
Makmum Jika Imam Terlupa Tahiyat Awal
Bagi solat berjemaah, makmum perlu mengetahui tindakan yang
perlu dilakukan dalam situasi imam melakukan kesilapan. Ibn Nuqaib al-Syafi’i
menjelaskan berdasarkan dua situasi.[6]
Pertama – Imam turun semula ke kedudukan Tahiyat Awal
setelah sempurna qiyam:
ولو نهض
الإمام لم يجز للمأموم القعود له إلا أن ينوي مفارقته، فلو انتصب مع الإمام فعاد
الإمام إليه حرمت موافقته بل يفارقه أو ينتظره قائماً، فإن وافقه عمداً بطلت.
Maksudnya: Jika imam telah bangun (qiyam), makmum tidak
boleh duduk melakukan Tahiyat Awal kecuali dia berniat mufaraqah (daripada Imam). Jika dia mengikut Imam (bangun qiyam),
lalu Imam kembali (ke kedudukan Tahiyat Awal) haram bagi seorang makmum mengikutinya.
Bahkan makmum hendaklah berniat mufaraqah
atau menunggu Imam dalam keadaan berdiri. Jika makmum mengikut Imam dalam
keadaan sengaja, batal solatnya.
Kedua – Imam duduk Tahiyat Awal, sedangkan makmum bangun ke
kedudukan Qiyam dalam keadaan terlupa:
ولو قعد
الإمام وقام المأموم سهواً لزمه العود لموافقة إمامه
Maksudnya: Jika Imam duduk (Tahiyat Awal), sedangkan makmum
berdiri (Qiyam) dalam keadaan terlupa, makmum hendaklah kembali mengikut Imam
(duduk semula).
Kesimpulan
Sebahagian hukum fikah bersifat terperinci dan sebahagian
lagi bersifat diketahui secara umum. Imam dinasihatkan agar mempelajari
hukum-hakam solat berjemaah secara terperinci bagi memastikan tindakan yang
dilakukan menepati ketetapan hukum.
[1] Ibn Mājah Abū Abdullah Muhamad Yazid
al-Qizwini (m. 273 H), Sunan Ibn Mājah. Qatar: Dār Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah. T.t. Hadis no.
1208.
[2] Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri
al-Syafi’i. Al-Najm al-Wahhaj Fi Syarh
al-Minhaj. Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004. Jil. 2, ms. 255.
[3] Ibn Nuqaib al-Syafi’i, Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik. Qatar: Syu’un al-Diniyyah, 1982.
Ms. 63
[4] Ibn Nuqaib al-Syafi’i, Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik. Qatar: Syu’un al-Diniyyah, 1982.
Ms. 63
[5] Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli. Fath
al-Rahman Bi Syarh Zubad Ibn Ruslan. Beirut: Lubnan, Dar al-Minhaj, 2009. Ms.
337.
[6] Ibn Nuqaib al-Syafi’i, Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik. Qatar: Syu’un al-Diniyyah, 1982.
Ms. 63