#74 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Melagukan Bacaan al-Quran ketika Solat

 

Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri

Tarikh: 21 Oktober 2024

 

Pendahuluan

Umat Islam dituntut memelihara adab ketika berinteraksi dengan al-Quran sama ada daripada sudut bacaan, tadabbur, dan sebagainya. Hal ini kerana, al-Quran ialah  kalamullah yang mengandungi mukjizat, ia diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS sebagai rahmat dan petunjuk kepada seluruh manusia yang beriman. Justeru itu, seseorang yang beriman perlu menjadikan Al-Quran sebagai pegangan dalam kehidupan serta beramal dan menjaga adab  dengannya kerana ia akan menjadi hujah ke atas manusia ketika hari akhirat kelak. Namun begitu, adakah bacaan al-Quran secara berlagu dikira sebagai beradab dan dibenarkan? Perkara ini timbul kerana terdapat tegahan mengenai bacaan al-Quran secara berlagu khususnya di dalam solat. Justeru artikel pada kali ini akan membincangkan perbahasan berkenaan hukum melagukan bacaan al-Quran ketika solat.

 

Memahami Isi Kandungan Al-Quran

Secara asasnya, perbuatan membaca al-Quran untuk tujuan zikir, dan tadabbur adalah dituntut di sisi agama Islam kerana ia membawa kepada pengamalan terhadap isi kandungan al-Quran. Hal ini dijelaskan berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 24:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

 

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat di atas merupakan perintah daripada Allah SWT agar umat Islam merenungi dan memahami isi kandungan yang terdapat di dalam al-Quran. Bahkan kita juga dilarang berpaling daripadanya[1]. Maka dapat difahami bahawa tadabbur adalah satu proses untuk memahami ayat al-Quran secara umum dan ia pula berbeza dengan tafsir yang merupakan satu ilmu untuk memahami makna sebenar daripada ayat-ayat al-Quran. Namun begitu, kedua-dua perkara ini adalah sebagai wasilah yang akan menatijahkan kefahaman yang sahih terhadap kalam Allah SWT.

 

 

Bacaan Al-Quran secara berlagu

Sememangnya terdapat galakan memperindah suara ketika membaca Al-Quran. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Barra’ bin ‘Adzib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ[2]

Maksudnya: Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.

      

(Riwayat Abu Dawud)

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan memperindahkan suara adalah menyibukkan suara-suara kamu dengan al-Quran serta melazimkan diri kamu dengan membacanya dan menjadikan al-Quran sebagai syiar dan perhiasan bagi kamu[3].

 

Meskipun begitu, para ulama secara keseluruhannya bersetuju tentang keutamaan menghias suara dengan bacaan al-Quran. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ulama daripada kalangan sahabat, tabi’in, dan ulama yang terkemudian telah bersepakat tentang keutamaan memperindah suara dalam membaca al-Quran berdasarkan hadis di atas[4].

 

Di samping itu, terdapat juga anjuran memperindahkan bacaan al-Quran berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

لَيْسَ مِنَّا ‌مَنْ ‌لَمْ ‌يَتَغَنَّ ‌بِالْقُرْآنِ. وَزَادَ غَيْرُهُ: يَجْهَرُ بِهِ[5]

Maksudnya: Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak memperindahkan bacaan al-Quran. Sebahagian yang lain menyebut: Menyaringkannya.

 

(Riwayat al-Bukhari)

 

Namun begitu, dalam mengulas berkenaan perkara ini kita perlu perhatikan sejauh mana konteks memperindahkan bacaan al-Quran boleh diamalkan. Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Al-Azkar menjelaskan, katanya:

 

ويستحبّ تحسين الصوت بالقراءة وتزيينها ‌ما ‌لم ‌يخرج ‌عن ‌حدّ ‌القراءة ‌بالتمطيط، فإن أفرط حتى زاد حرفاً أو أخفى حرفاً، هو حرام. وأما القراءة بالألحان، فهي على ما ذكرناه إن أفرط، فحرام، وإلا فلا[6]

Maksudnya: Disunatkan memperindahkan suara ketika membaca (Al-Quran) dan menghiasinya selagi ia tidak melampaui had batasan bacaan secara berlebih-lebihan. Sekiranya berlebih-lebihan sehingga menambah satu huruf atau menghilangkan satu huruf, maka ia adalah haram. Adapun membaca al-Quran  secara berlagu hukumnya seperti yang disebutkan, iaitu menjadi haram sekiranya berlebih-lebihan, dan sekiranya tidak berlebih-lebihan maka tidak diharamkan.

 

Berdasarkan kenyataan ini, sesuatu bacaan yang dibaca secara alunan mestilah tidak melebihi batasan-batasan yang dibenarkan oleh syarak. Hal ini kerana, sikap berlebih-lebihan akan membawa kepada kerosakan pada hukum tajwid yang terdapat dalam al-Quran serta boleh membawa kepada penambahan huruf dan pengurangan huruf bagi sesuatu ayat al-Quran.

 

Selain itu, para ulama bersepakat bahawa membaca al-Quran dengan alunan yang mengubah huruf atau memanjangkan sesuatu yang tidak perlu adalah haram. Imam al-Mawardi menyatakan bahawa membaca al-Quran dengan melagukannya menjadi haram jika irama tersebut mengubah lafaz al-Quran seperti menambah atau menghilangkan harakat, memendekkan atau memanjangkan lafaz yang salah sehingga mengelirukan makna. Pembaca dan pendengar dianggap berdosa kerana menyimpang daripada kebenaran. Namun, jika alunan itu tidak mengubah tartil bacaan, ia dibolehkan kerana hanya menambah keindahan bacaan.[7].

 

Adapun menurut Syeikh Abu al-Abbas al-Qurtubi menyatakan bahawa perubahan dalam huruf atau lafaz al-Quran melalui alunan yang berlebihan adalah haram tanpa keraguan. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kesalahan dalam makna al-Quran dan mengganggu kefahaman pendengar terhadap maksud ayat-ayat al-Quran[8].

 

Justeru, dapat kita fahami bahawa sesuatu bacaan yang dibaca dengan alunan adalah diharuskan sekiranya dibaca secara tartil dan tidak berlaku sebarang perkara yang boleh merosakkan ayat-ayat al-Quran serta maknanya. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Muzammil ayat 4:

 

 

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya: dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

 

Oleh itu, kita perlu kembali kepada tujuan sebenar dalam memperindahkan bacaan al-Quran. Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa tujuan memperindahkan bacaan al-Quran adalah:

 

‌وَالْغَرَضُ ‌أَنَّ ‌الْمَطْلُوبَ ‌شَرْعًا ‌إِنَّمَا ‌هُوَ ‌التَّحْسِينُ ‌بِالصَّوْتِ ‌الْبَاعِثِ ‌عَلَى ‌تَدَبُّرِ ‌الْقُرْآنِ وَتَفَهُّمِهِ وَالْخُشُوعِ وَالْخُضُوعِ وَالِانْقِيَادِ لِلطَّاعَةِ، فَأَمَّا الْأَصْوَاتُ بِالنَّغَمَاتِ الْمُحْدَثَةِ الْمُرَكَّبَةِ عَلَى الْأَوْزَانِ وَالْأَوْضَاعِ الْمُلْهِيَةِ وَالْقَانُونِ الْمُوسِيقَائِيِّ، فَالْقُرْآنُ يُنَزَّهُ عَنْ هَذَا وَيُجَلُّ وَيُعَظَّمُ أَنَّ يُسْلَكَ فِي أَدَائِهِ هَذَا الْمَذْهَبُ[9]

Maksudnya: Tujuan syarak adalah memperindahkan suara supaya mendorong untuk mentadabbur, memahami al-Quran, khusyuk, patuh, dan tunduk kepada ketaatan. Adapun suara-suara dengan irama baru yang disusun dengan cara yang melalaikan dan mengikut hukum muzik, maka haruslah dijauhkan al-Quran daripada ini, serta dijaga dan dihormati agar tidak digunakan dalam pembacaan seperti ini.

 

Melagukan bacaan Al-Quran ketika solat

            Berhubung isu melagukan bacaan al-Quran di dalam solat, maka terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan khususnya terhadap syarat sah bacaan di dalam solat. Syeikh Taqiy al-Din al-Hisni di dalam Kifayat al-Akhyar menyatakan:

 

وَتجب قِرَاءَة الْفَاتِحَة بِجَمِيعِ حروفها وتشديداتها فَلَو أسقط حرفا أَو خفف مشدداً أَو بدل حرفا بِحرف سَوَاء فِي ذَلِك الضَّاد وَغَيره لم تصح قِرَاءَته وَلَا صلَاته وَلَو لحن لحنا بِغَيْر الْمَعْنى كضم تَاء أَنْعَمت أَو كسرهَا أَو كسر كَاف إياك لم يُجزئهُ[10]

Maksudnya: Wajib membaca surah al-Fatihah dengan semua huruf dan tasydidnya. Jika seseorang meninggalkan satu huruf atau meringankan huruf yang bertasydid, atau menukar satu huruf dengan huruf lain, sama ada huruf dhad atau selainnya, maka tidak sah bacaannya dan solatnya. Jika seseorang melakukan kesalahan bacaan yang tidak mengubah makna, seperti menukarkan baris ta dalam an’amta kepada baris hadapan atau baris bawah, atau menukarkan baris kaf dalam iyyaka kepada baris bawah, maka ia tidak memadai.

 

Berdasarkan kenyataan ini, bacaan al-Quran secara berlagu di dalam solat adalah diharuskan dan tidak membatalkan solat sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Tidak Menyebabkan Penambahan atau Pengurangan Huruf:  Jika berlagu menyebabkan perubahan pada baris atau sebutan huruf sehingga makna asalnya berubah, maka bacaan tersebut menjadi tidak sah dan solat boleh terbatal. Bacaan secara berlagu mesti dijaga agar tidak mengubah makna ayat-ayat al-Quran.
  2. Memelihara Tertib dan Tajwid: Bacaan berlagu mestilah mematuhi hukum tajwid dengan sempurna, seperti sebutan huruf yang betul, pemanjangan (mad), penekanan (tasydid), dan hukum-hukum lain. Membaca secara berlagu tidak boleh menyebabkan pengabaian tajwid dan tertib ayat.
  3. Tidak Berlebihan atau Melampaui Batas: Bacaan secara berlagu hendaklah bersederhana, dan tidak boleh dilakukan dengan cara yang berlebihan atau dibuat-buat sehingga kelihatan seperti pertunjukan. Matlamat utama adalah untuk khusyuk dalam solat, bukan untuk menunjuk-nunjuk keindahan suara.
  4. Mengutamakan Kekhusyukan: Tujuan membaca secara berlagu adalah untuk mencapai keindahan dalam bacaan dan meningkatkan kekhusyukan. Jika bacaan berlagu mengganggu kekhusyukan diri sendiri atau makmum (bagi seorang imam), maka lebih baik untuk tidak berlagu dan membaca dengan cara biasa.
  5. Tidak Menyebabkan Kelalaian: Bacaan secara berlagu tidak boleh menyebabkan seseorang lalai daripada pemahaman dan maksud ayat-ayat yang dibaca. Ia sepatutnya membantu meningkatkan rasa tawaduk dan mendekatkan diri kepada Allah.

 

Kesimpulan

Membaca al-Quran secara berlagu di dalam solat adalah diharuskan, selama mana ia tidak mengganggu kesahihan bacaan iaitu meraikan tajwid dan tartil serta tidak mengubah lafaz dan makna. Namun, penting untuk memastikan bahawa fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah terhadap penghayatan makna al-Quran, khusyu’, dan memberi kesan besar kepada pembacanya.



[1]Ibn Kathīr, Abū al-Fidā’ Ismā’īl. Tafsīr Ibn Kathīr. (Dar al-Tayyibah li al-Nasyr wa al-Tawzi’, 1999). 7/320.

[2]Abū Dāwud al-Sijistānī. Sunan Abī Dāwud. (Beirut: Maktabah al-’Asriyyah, t.t). 2/74. Hadis no. 1468.

[3]Al-’Azīm Ābādī, Syaraf al-Haq. ‘Awn al-Ma’būd Syarḥ Sunan Abī Dāwud. (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, t.t). 4/239.

[4]Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf. Al-Tibyān fī Adāb Hamlat al-Qurān. (Beirut: Dar Ibn Hazm, t.t). 109.

[5] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah, 1993). 6/2737. Hadis no. 7089.

[6]Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf. Al-Adhkār. (Beirut: Dar al-Fikr, 1994). 108.

[7]Al-Māwardī, Abū al-Hasan ‘Alī. Al-Hāwī al-Kabīr. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1999). 17/198.

[8]Abū al-‘Abbās al-Qurtubī. Al-Mufhim Li Mā Asykala min Talkhīs Kitāb Muslim. (Beirut: Dar Ibn Kathir, 1996). 2/421.

[9]Ibn Kathīr, Abū al-Fidā’ Ismā’īl. Tafsīr Ibn Kathīr.  (Dar al-Tayyibah li al-Nasyr wa al-Tawzi’, 1999). 1/64.

[10]Taqīy al-Dīn al-Ḥiṣnī. Kifāyat al-Akhyār fī Hal Ghāyah al-Ikhtisār. (Damsyiq: Dar al-Khayr, 1994). 105

Accessibility Toolbar