Tarikh:
15 Oktober 2024
Disediakan
oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar
Pendahuluan
Pengamalan bacaan
Qunut Nazilah adalah perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan umat Islam di
negara kita. Seringkali Qunut Nazilah ini dibaca sama ada semasa negara kita
ditimpa sesuatu bencana atau wabak dan juga ketika terdapat mana-mana negara
Islam yang ditindas oleh kezaliman seperti yang dialami oleh negara Palestin
sekarang. Pengamalan ini adalah baik dan sangat digalakkan. Walaupun begitu,
jika tidak difahami dengan baik tentang hakikat di sebalik bacaan Qunut Nazilah
ini, ia boleh membawa kepada pengamalan yang salah ketika membaca doa ini.
Terutama apabila bacaan ini melibatkan umat Islam yang lain. Oleh itu, artikel
ini akan membahas berkaitan hukum bacaan Qunut Nazilah.
Pengenalan
Bacaan Qunut
Sebelum mengenali
hukum berkaitan Qunut Nazilah, perlu dikenali terlebih dahulu apa yang
dimaksudkan dengan qunut berserta hukumnya. Qunut pada bahasa adalah doa atau
pujian.[1]
Manakala, qunut pada sudut syarak pula adalah satu zikir khusus yang mempunyai
doa dan pujian kepada Allah SWT. Definisi ini bertepatan dengan apa yang
dikatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani dalam kitab beliau:
ذكر مخصوص مشتمل على دعاء وثناء كاللهم اغفرلي يا غفور،
فلو لم يشتمل الذكر عليهما لم يكن قنوتا
Maksudnya: Zikir tertentu yang merangkumi
doa dan pujian seperti mengucapkan “ya Allah, ampunkanlah aku wahai Tuhan Yang
Maha Mengampuni”. Jika zikir ini tidak merangkumi doa dan pujian maka ia tidak
dikira sebagai qunut.[2]
Secara asanya,
dalam mazhab Shafi’i, qunut disunatkan baca dalam dua keadaan. Pertama, bacaan
qunut semasa iktidal rakaat kedua pada solat fardu Subuh. Kedua, bacaan qunut
pada solat sunat Witir ketika separuh kedua bulan Ramadhan.[3]
Membaca doa qunut pada kedua-dua keadaan ini hukumnya adalah sunat ab’adh[4], iaitu disunatkan
untuk melakukan sujud sahwi ketika tertinggal atau terlupa melakukannya. Hal
ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, kata
beliau:
ما زال رسول الله صلى الله عليه وسلم يقنت في الفجر حتى فارق الدنيا
Maksudnya: Rasulullah SAW tidak pernah
meninggalkan bacaan qunut pada solat Subuh sehinggalah Baginda SAW meninggalkan
dunia.
(Riwayat Ahmad)[5]
Qunut
Nazilah Dan Hukum Bacaannya
Qunut Nazilah berasal
daripada dua perkataan yang berbeza iaitu “qunut” dan “nazilah”. Kedua-dua
perkataan ini juga memberikan maksud yang berbeza. Qunut seperti yang telah
diketahui adalah satu zikir khusus yang mempunyai doa dan pujian kepada Allah
SWT. Manakala, “nazilah” bermaksud:
أن ينزل بالمسلمين خوف أو قحط أو وباء أو جراد، أو نحوها
Maksudnya: Sesuatu musibah yang menimpa
umat Islam daripada perkara menakutkan, ditimpa kemarau, wabak, serangan
belalang (serangga) dan sebagainya.[6]
Maka, dapat
difahami bahawa Qunut Nazilah adalah doa yang dibaca ketika umat Islam ditimpa
sesuatu musibah sama ada sebarang perkara yang menakutkan, ketika ditimpa
kemarau, wabak dan segala musibah yang lain.
Manakala, hukum
bacaan Qunut Nazilah adalah sunat. Ia disunatkan membacanya semasa iktidal
rakaat yang terakhir dalam mana-mana solat fardu. Sunat bacaan qunut nazilah
ini hanya dilakukan pada solat fardu sahaja. Kata Khatib al-Syirbini dalam kitab beliau:
(ويشرع) أي يسن (القنوت) بعد التحميد (في) اعتدال أخيرة (سائر)
أي باقي (المكتوبات للنازلة) التي نزلت كأن نزل بالمسلمين خوف أو قحط أو وباء أو جراد
أو نحوها للاتباع
Maksudnya: Disyariatkan iaitu disunatkan
membaca qunut selepas tahmid semasa iktidal terakhir pada mana-mana solat Fardu
kerana musibah yang menimpa umat Islam daripada perkara menakutkan, ditimpa
kemarau, wabak, serangan belalang (serangga) dan sebagainya mengikuti sunnah
Nabi SAW.[7]
Pengamalan bacaan
Qunut Nazilah ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW yang mendoakan laknat ke atas
musuh-musuh Islam. Hal ini seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik
RA:
أن رعلا وذكوان وعصية وبني لحيان، استمدوا رسول الله صلى
الله عليه وسلم على عدو، فأمدهم بسبعين من الأنصار، كنا نسميهم القراء في زمانهم، كانوا
يحتطبون بالنهار ويصلون بالليل، حتى كانوا ببئر معونة قتلوهم وغدروا بهم، فبلغ النبي
صلى الله عليه وسلم فقنت شهرا يدعو في الصبح على أحياء من أحياء العرب، على رعل وذكوان
وعصية وبني لحيان
Maksudnya: Sesungguhnya Ri’lan, Zakwan,
Usaiyah dan Bani Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk memerangi musuh
mereka. Maka Baginda SAW telah menghantar kepada mereka tujuh puluh orang
lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai al-Qurra’. Mereka ini
membantu untuk mengumpul kayu api pada siang hari dan beribadah kepada Allah
SWT pada waktu malam. Sehinggalah ketika mereka golongan Ansar sedang berada di
lembah Ma’unah, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada
Rasulullah, baginda membaca Qunut Nazilah selama sebulan pada solat subuh bagi
mendoakan laknat ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan Bani Lahyan.
(Riwayat
al-Bukhari)[8]
Siapakah Yang Boleh Memerintahkan Supaya Qunut Nazilah
Dibacakan?
Seperti yang telah diketahui, Qunut Nazilah dibaca apabila umat Islam ditimpa sesuatu musibah. Dalam
erti kata lain, mana-mana umat Islam boleh membaca Qunut Nazilah apabila
mengetahui umat Islam sedang ditimpa suatu musibah tanpa menunggu arahan
daripada mana-mana pihak. Tambahan pula disunatkan membacanya apabila musibah
menimpa umat Islam. Kata al-Syarwani dalam hasyiah beliau kepada Tuhfah al-Muhtaj:
فيسن لأهل ناحية لم تنزل بهم فعل ذلك لمن نزلت به
Maksudnya:
Disunatkan kepada pendudukan suatu kawasan yang tidak ditimpa musibah melakukan
sedemikian (bacaan Qunut Nazilah) kepada mereka yang ditimpa musibah.[9]
Walaupun begitu,
berdasarkan kepada konteks negara kita, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan dan
agensi-agensi agama mempunyai kuasa untuk memerintahkan dan memberhentikan
bacaan Qunut Nazilah. Tambahan pula DYMM Sultan adalah ketua agama Islam di
sesebuah negeri mahupun pada peringkat persekutuan. Hal ini bertepatan dengan
umum firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 59:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ
وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah
kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri”
(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Kata Sahl bin
Abdullah al-Tustari:
أطيعوا السلطان في سبعة: ضرب الدراهم والدنانير،
والمكاييل والأوزان، والأحكام والحج والجمعة والعيدين والجهاد
Maksudnya: Taatlah kepada penguasa pada
tujuh perkara, iaitu penentuan dirham dan dinar, sukatan dan timbangan,
hukum-hakam, haji, solat Jumaat, dua hari raya serta jihad.[10]
Hukum
Bacaan Qunut Nazilah Ke Atas Orang Islam
Berdasarkan
penerangan sebelum ini, tujuan bacaan Qunut Nazilah adalah bagi mendapatkan bantuan
Allah SWT kepada umat Islam menghadapi sesuatu musibah. Tidak kira musibah itu
dalam bentuk apa jua sekalipun. Bukan itu sahaja, berdasarkan hadis yang
diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA sebelum ini, jelas perbuatan Nabi SAW
membaca Qunut Nazilah adalah bagi mendoakan laknat ke atas orang yang
mengkhianati Baginda SAW dan umat Islam. Bertepatan dengan kata Ibnu Hajar
al-Haytami dalam kitab beliau:
للنازلة العامة أو الخاصة التي في معنى العامة لعود
ضررها على المسلمين على الأوجه كوباء وطاعون وقحط وجراد، وكذا مطر مضر بعمران أو زرع
… وخوف عدو كأسر عالم أو شجاع
Maksudnya: Musibah yang menimpa manusia
sama ada musibah secara umum atau musibah yang khusus dengan makna umum.
Musibah ini memberikan mudarat kepada umat Islam dalam pelbagai bentuk sama ada
wabak, taun, kemarau, serangan serangga. Begitu juga hujan yang memudaratkan
bandar dan tanaman … dan ketakutan yang datang daripada musuh seperti
penawanan orang alim atau penawanan pahlawan yang berani.[11]
Berdasarkan kenyataan Ibnu Hajar al-Haytami ini, jelas difahami Qunut
Nazilah dibaca apabila umat Islam ditimpa sebarang bentuk musibah yang
memudaratkan. Sama ada musibah itu berbentuk cuaca ekstrim, wabak penyakit
ataupun mudarat yang datang daripada para musuh. Maka, bacaan Qunut Nazilah
adalah doa umat Islam bagi mendapatkan bantuan Allah SWT untuk menghadapi
mudarat dan musibah yang menimpa umat Islam sendiri. Begitu juga ia adalah doa
mengharapkan umat Islam mendapat bantuan Allah SWT bagi menghadapi kezaliman
orang-orang kafir dan musuh-musuh Islam. Akan tetapi, persoalannya bolehkah umat Islam
membaca Qunut Nazilah ditujukan ke atas orang Islam yang lain?
Setakat penelitian terkini, tidak ditemui dalam mana-mana kitab fiqh
al-Shafi’i menyebut secara jelas akan keharusan atau larangan bacaan Qunut
Nazilah ditujukan ke atas orang Islam. Walau bagaimanapun, berdasarkan
penerangan al-Syarwani dalam hasyiah beliau kepada Tuhfah al-Muhtaj,
bacaan Qunut Nazilah boleh ditujukan ke atas orang Islam yang terdiri daripada
kalangan musuh. Kata al-Syarwani:
وخوف عدو أي ولو مسلمين
Maksudnya: Dan
ketakutan yang datang daripada musuh walau orang Islam sekalipun.[12]
Begitu juga seperti yang dinyatakan Syeikh Taha bin Abdul Hamid ketika
beliau mensyarahkan kitab Umdah al-Salik:
وإن نزل بالمسلمين نازلة عامة كقحط وخوف من عدو ولو
مسلمين كما هو ظاهر
Maksudnya: Dan
jika musibah yang menimpa umat Islam daripada musibah yang umum seperti kemarau
dan ketakutan yang datang daripada musuh walau orang Islam sekalipun seperti mana
yang jelas (daripada maksud musibah).[13]
Walaupun pandangan tersebut membenarkan bacaan Qunut Nazilah ditujukan
ke atas orang Islam yang lain, ini tidak bermakna ia dibenarkan secara mutlak.
Perlu difahami bahawa keharusan bacaan Qunut Nazilah ke atas orang Islam lain
adalah apabila seseorang muslim itu terdiri daripada kalangan musuh atau
menjadi musuh kepada umat Islam lain. Akan tetapi, berdasarkan konteks negara
kita yang masih aman dan tiada permusuhan, mendakwa seseorang muslim lain
sebagai musuh adalah tidak relevan dan boleh membawa kepada sikap yang ekstrim.
Walaupun wujud perbezaan pandangan dan ideologi tertentu sesama
masyarakat muslim di Malaysia, ia tidak menatijahkan muslim lain sebagai musuh.
Maka, membaca Qunut Nazilah ke atas orang Islam lain adalah dilarang dan tidak
menepati tujuan sebenar bacaan Qunut Nazilah.
Antara intipati bacaan Qunut Nazilah adalah mendoakan kecelakaan dan
laknat kepada para musuh yang menzalimi umat Islam. Maka, bacaan Qunut Nazilah
yang ditujukan ke atas orang Islam merupakan doa laknat kepada orang Islam
sendiri. Mendoakan keburukan dan laknat sesama orang Islam adalah dilarang dan
ditegah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 11:
وَيَدْعُ الإِنسَانُ بِالشَّرِّ دُعَاءَهُ بِالْخَيْرِ ۖ وَكَانَ
الإِنسَانُ عَجُولا
Maksudnya: Dan
manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia
berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat)
terburu-buru.
Imam al-Ghazali juga melarang orang Islam mendoakan keburukan dan laknat
kepada orang Islam yang lain. Kata beliau dalam Ihya’ Ulum al-Din:
ويقرب من اللعن الدعاء على الإنسان بالشر حتى الدعاء
على الظالم كقول الإنسان مثلا لا صحح الله جسمه ولا سلمه الله وما يجري مجراه فإن ذلك
مذموم
Maksudnya: Dan
yang hampir sama dengan perbuatan melaknat orang lain adalah mendoakan
keburukan kepada orang lain walaupun doa laknat yang ditujukan ke atas orang
zalim. Seperti mengatakan “semoga Allah tidak memberikan kesihatan kepada
jasmaninya dan semoga Allah tidak menyelamatkannya” dan apa-apa bentuk doa yang
serupa, maka kesemua ini adalah perbuatan yang buruk.[14]
Oleh itu, bacaan Qunut Nazilah ke atas orang Islam adalah sangat
dilarang dan ditegah kerana perbuatan ini merupakan perbuatan yang buruk kerana
mendoakan keburukan dan kecelakaan bagi umat Islam. Hayatilah pesanan dan
nasihat al-Ghazali kepada kita melalui ucapan beliau dalam Bidayah al-hidayah:
فاحفظ لسانك عن الدعاء على أحد من خلق الله تعالى
Maksudnya: Maka
jagalah ucapan kamu ketika mendoakan kepada seseorang daripada kalangan makhluk
Allah SWT.[15]
Kesimpulan
Kesimpulannya, hukum bacaan Qunut Nazilah adalah sunat ketika umat Islam
ditimpa sesuatu musibah yang memudaratkan. Musibah itu sama ada dalam bentuk
cuaca yang ekstrim, wabak penyakit, serangan musuh dan lain-lain lagi.
Disunatkan kepada umat Islam membaca Qunut Nazilah apabila mengetahui umat
Islam sedang ditimpa musibah. Walaupun begitu, DYMM Sultan dan agensi-agensi
agama mempunyai kuasa memerintahkan untuk dibaca Qunut Nazilah mahupun untuk
diberhentikan bacaan tersebut. Manakala,
bacaan Qunut Nazilah ke atas orang Islam adalah dilarang dan ditegah dalam
Islam terutama dalam konteks negara kita yang aman damai daripada permusuhan.
Perbuatan bacaan Qunut Nazilah yang ditujukan kepada orang Islam adalah
perbuatan yang buruk dan ekstrim.
[1] Al-Bantānī al-Jāwī, Muḥammad
Nawawī bin ʿUmar. Qūt al-Ḥabīb al-Gharīb Tawshīḥ ʿAlā Ibn Qāsim.
(Indonesia: Dār al-Kutub al-Islāmiyyah, 2022) 123.
[2] Al-Bantānī al-Jāwī, Muḥammad
Nawawī bin ʿUmar. Qūt al-Ḥabīb al-Gharīb Tawshīḥ ʿAlā Ibn Qāsim. 123.
[3] Al-Bantānī al-Jāwī, Muḥammad
Nawawī bin ʿUmar. Qūt al-Ḥabīb al-Gharīb Tawshīḥ ʿAlā Ibn Qāsim. 123-124.
[4] Al-Zuhaylī,
Wahbah al- Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī Wa Adillatuhu. (Syria: Dār
al-Fikr, 1985) 1/812.
[6] Al-Zuhaylī, Wahbah al- Zuhaylī. Al-Fiqh
al-Islāmī Wa Adillatuhu. 1/817.
[7] Al-Khaṭīb
al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār
al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994) 1/371.
[8] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ
al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893) 4090.
[9] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Tuḥfat
al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā,
1983) 2/68.
[10] Al-Qurṭubī,
Muḥammad bin Aḥmad, al-Jāmiʿ Li’aḥkām al-Qurān. (Mesir: Dār al-Kutub
al-Miṣriyyah, 1964)
5/258.
[12] Al-Haytamī. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi
Sharḥ al-Minhāj. 2/68.
[13] Ṭāhā bin ʿAbdul Ḥamīd bin Muḥammad
Ḥammādī. Fatḥ al-Wahhāb al-Mālik Fī Ḥalli al-Alfāẓ ʿUmdah al-Sālik Wa ʿUddah
al-Nāsik. (Kuwait: Dār al-Ḍiyā’, 2014) 1/419.
[14] Al-Ghazālī,
Abū Ḥāmid Muḥammad bin Muḥammad. Iḥyā’ ʿUlūm al-Dīn. (Saudi: Dār
al-Minhāj, 2011) 5/452.
[15] Al-Ghazālī, Abū Ḥāmid Muḥammad bin
Muḥammad. Bidāyah al-Hidāyah. (Mesir: Maktabah Madbūlī, 1993) 55.