Tarikh:04 Oktober 2024
Disediakan oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar
Pengenalan
Hijrah merupakan peristiwa terpenting dalam sejarah Islam bagi kaum muslimin di mana Rasulullah SAW telah melalui pelbagai tentangan dan ancaman yang diberikan oleh penduduk Quraisy Mekah. Selain itu, peristiwa hijrah juga telah menunjukkan pengorbanan Rasulullah SAW bersama para Sahabatnya yang mulia. Antara kisah yang sering didengari adalah peristiwa Saidina Ali RA menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW. Namun, ada segelintir pihak yang mempertikaikan kesahihan dan menjadi tanda tanya adakah kisah ini benar berlaku atau sekadar rekaan sahaja. Justeru, artikel ini ingin membincangkan mengenai status riwayat Saidina Ali RA menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW mengikut necara para ulama.
Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW mengikut Riwayat Imam al-Bukhari
Terdapat hadis yang menceritakan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah sepertimana yang telah diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari di dalam Sahihnya. Oleh itu, sebagai perbandingan dengan riwayat yang dikemukakan oleh para ahli sirah berhubung dengan peristiwa hijrah, sebaiknya dikemukakan di sini riwayat Al-Bukhari di dalam Sahihnya yang agak panjang berhubung dengan peristiwa ini agar sama-sama umat Islam dapat memahami peristiwa hijrah melalui dua sandaran yang muktabar di dalam sejarah Islam. Di sini dinyatakan secara ringkas hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah RA berkata:
- Nabi SAW pernah berkata kepada orang-orang Islam pada hari-hari sebelum hijrah, “Sesungguhnya aku telah bermimpi melihat negeri hijrah itu, letaknya dalam kebun tamar di antara dua kawasan berbatu hitam”.
- Setelah itu berhijrahlah sesiapa yang mahu berhijrah ke Madinah. Kebanyakan orang-orang yang telah berhijrah ke bumi Habsyah kembali ke Madinah. Abu Bakr RA juga telah bersedia berangkat ke Madinah. Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau tunggu dulu kerana aku berharap akan diizinkan kepada aku untuk berhijrah”. Abu Bakr RA lantas berkata: “Kutebus engkau dengan ayahku dan ibuku. Adakah engkau berharap demikian?”. Abu Bakr RA pun menahan dirinya dari terus pergi ke Madinah untuk bersama-sama Rasulullah SAW nanti. Beliau memberi daun samur sebagai makanan kepada 2 ekor unta kepunyaannya selama 4 bulan.
- Ibnu Syihab berkata: “Kata Urwah: ‘Aishah terus bercerita: Bahawa Nabi datang ke rumah Saidina Abu Bakr RA dalam waktu yang bukan kebiasaan Baginda datang. Kemudian Baginda memberitahu kepada Abu Bakr bahawa Allah SWT telah mengizinkannya untuk berhijrah keluar dari kota Mekah ke Madinah. Abu Bakr RA pun berkata: “Kutebus engkau dengan ayahku, wahai Rasulullah, adakah engkau mahukan aku bersama?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya”. Kemudian ‘Aisyah dan Asma’ menyediakan kelengkapan bagi perjalanan mereka berdua sehingga diberikan gelaran kepada Asma’ sebagai ‘perempuan yang mempunyai dua tali pinggang’ (Zaatu an Nithaqain)” kerana beliau membelah dua tali pinggangnya lalu mengikat bungkusan itu dengannya untuk meletakkan makanan.
- Kemudian Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA pun menyusul ke sebuah gua di Jabal Thur. Di situlah mereka bersembunyi selama tiga malam ditemani oleh Abdullah anak Abu Bakr RA. Ketika itu beliau masih muda belia, sangat pintar dan cerdas. Dia keluar dari tempat itu sebelum fajar. Pada waktu pagi beliau sudah berada di Mekah bersama orang Quraisy seolah-olah dia juga bermalam di Mekah. Tidak didengarnya sesuatu yang mengancam Rasulullah SAW dan ayahnya melainkan dibawanya berita itu kepada mereka pada waktu malam.[1]
Justeru, di dalam riwayat Al-Bukhari ini tidak disebutkan peristiwa Saidina Ali RA menggantikan tempat tidur Baginda ketika Nabi SAW keluar dari rumahnya ke suatu gua dinamakan gua Thur. Walau bagaimanapun, terdapat riwayat-riwayat lain yang mensabitkan berlakunya peristiwa tersebut yang akan dijelaskan selepas ini. Ini bermakna tidak semestinya tiada peristiwa tersebut di dalam riwayat Al-Bukhari bermakna peristiwa itu tidak berlaku.
Riwayat Sirah Mengenai Saidina Ali Bin Abu Talib RA Tidur Menggantikan Tempat Baginda SAW Berhijrah Ke Kota Madinah
Kebanyakan kitab sirah yang menceritakan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah melalui kisah menarik yang berlaku ketika Saidina Ali RA diminta oleh Baginda sendiri untuk menggantikan tempat tidurnya oleh kerana perancangan pihak Quraisy Mekah ingin membunuh Nabi SAW pada malam tersebut. Antaranya seperti;
- Riwayat Ibn Hisyam[2], Sirah Nabawiyyah Ibn Kathir[3] dan lain-lain lagi. Berikut adalah teks yang sama yang menunjukkan peristiwa Saidina Ali RA menggantikan tempat Baginda SAW ketika hijrah;
فَأَتَى جِبْرِيلُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: لا تَبِتْ هَذِهِ اللَّيْلَةَ عَلَى فِرَاشِكَ الَّذِي كُنْتَ تبيت عليه، قَالَ: فَلَمَّا كَانَتْ عَتْمَةٌ مِنَ اللَّيْلِ اجْتَمَعُوا عَلَى بَابِهِ يَرْصُدُونَهُ حَتَّى يَنَامَ فَيَثِبُونَ عَلَيْهِ، فَلَمَّا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَانَهُمْ قَالَ لِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ: «نَمْ عَلَى فِرَاشِي وَتَسَجَّ بِبُرْدِي هَذَا الْحَضْرَمِيِّ الأَخْضَرِ فَنَمْ عَلَيْهِ، فَإِنَّهُ لَنْ يَخْلُصَ إِلَيْكَ شَيْءٌ تَكْرَهُهُ مِنْهُمْ»
Maksudnya: Maka telah datang Saidina Jibril AS kepada Rasulullah SAW memberitahukan satu berita supaya Baginda tidak tidur pada malam tersebut di tempat kebiasaan tidurnya. Ketikamana malam telah berlalu, maka puak Quraisy berkumpul di rumah Nabi SAW untuk mengawasi keadaan Baginda sehingga Baginda tidur untuk menyerbu membunuh Baginda. Apabila Rasulullah SAW mengetahui kehadiran mereka maka Baginda menyuruh Saidina Ali bin Abi Talib dengan berpesan: Tidurlah kamu di tempat tidurku dan selimutlah tubuhmu dengan jubah Hadrami hijau milikku ini. Tidurlah di dalamnya, tiada bahaya akan menimpamu daripada mereka.
Selain itu, riwayat peristiwa ini juga terdapat di dalam kitab-kitab tarikh (sejarah) dan athar yang diriwayatkan secara bersanad, kesemua riwayat ini adalah athar dari Saidina Ibn Abbas RA dan beliau juga merupakan titik temu perawi (madar) melalui pelbagai jalur perawi yang meriwayatkan kisah tersebut, seperti dalam:
- Al-Mustadrak yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn ‘Abbas RA berkata:
شَرَى عَلِيٌّ نَفْسَهُ، وَلَبِسَ ثَوْبَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ نَامَ مَكَانَهُ، وَكَانَ الْمُشْرِكُونَ يَرْمُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلْبَسَهُ بُرْدَةً، وَكَانَتْ قُرَيْشٌ تُرِيدُ أَنْ تَقْتُلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَعَلُوا يَرْمُونَ عَلِيًّا، وَيَرَوْنَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ لَبِسَ بُرْدَةً، وَجَعَلَ عَلِيٌّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَتَضَوَّرُ، فَإِذَا هُوَ عَلِيٌّ
Maksudnya: Saidina Ali RA telah membeli jiwa raganya (untuk Islam), Dan beliau memakai pakaian Rasulullah SAW kemudian tidur di tempat Baginda. Hal ini kerana kaum musyrikin Mekah menginginkan Rasulullah SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW memakaikan beliau dengan selimut Baginda. Di samping itu, kaum musyrikin ingin membunuh Nabi SAW akan tetapi sebenarnya mereka sedang mengejar Saidina Ali RA di tempat Baginda dengan menganggap itu adalah Nabi SAW dengan ditutupi selimut.[4]
- Tarikh Dimasq yang diriwayatkan daripada Maimun bahawa dia mendengar Saidina Abdullah bin ‘Abbas RA berkata:
أنام رسول الله (صلى الله عليه وسلم) عليا على فراشه ليلة انطلق إلى الغار فجاء أبو بكر يطلب رسول الله (صلى الله عليه وسلم) فأخبره علي أنه قد انطلق فاتبعه أبو بكر وباتت قريش تنظر عليا وجعلوا يرمونه فلما أصبحوا إذا هم بعلي فقالوا أين محمد قال لا علم لي به
Maksudnya: Daripada Saidina Ibn ‘Abbas RA berkata: Rasulullah SAW menyuruh Saidina ‘Ali tidur di atas tilamnya ketika ingin bertolak ke gua. Kemudian datangnya Saidina Abu Bakr RA mencari Rasulullah SAW dan Saidina Ali memberitahu bahawa Nabi SAW telah pun bergerak, maka Saidina Abu Bakr terus mengikuti jejak Baginda. Para Quraisy pun tertidur menunggu saat Baginda gerak akan tetapi sebenarnya mereka hanya menunggu Saidina Ali RA. Apabila sudah siang maka mereka mendapati bahawa yang ada di rumah itu cumalah Saidina Ali RA lalu mereka bertanya di manakah Muhammad maka Saidina Ali menjawab bahawa aku tidak mengetahui.[5]
- Musnad Ahmad[6] dan Mu’jam al-Tabrani[7] yang diriwayatkan melalui sanad dan perawi-perawi yang berbeza tetapi matan kisahnya yang sama:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: فِي قَوْلِهِ {وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ} [الأنفال: 30] ، قَالَ: ” تَشَاوَرَتْ قُرَيْشٌ لَيْلَةً بِمَكَّةَ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: إِذَا أَصْبَحَ، فَأَثْبِتُوهُ بِالْوَثَاقِ، يُرِيدُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلِ اقْتُلُوهُ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ أَخْرِجُوهُ، فَأَطْلَعَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ نَبِيَّهُ عَلَى ذَلِكَ، فَبَاتَ عَلِيٌّ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ، وَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى لَحِقَ بِالْغَارِ، وَبَاتَ الْمُشْرِكُونَ يَحْرُسُونَ عَلِيًّا، يَحْسَبُونَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أَصْبَحُوا ثَارُوا إِلَيْهِ، فَلَمَّا رَأَوْا عَلِيًّا، رَدَّ اللهُ مَكْرَهُمْ، فَقَالُوا: أَيْنَ صَاحِبُكَ هَذَا؟ قَالَ: لَا أَدْرِي
Maksudnya: Diriwayatkan dari Ibn ‘Abbas RA mengenai firman Allah SWT dalam surah al-anfal ayat ke-30, beliau berkata: musyrikin Quraisy berkumpul suatu malam bermesyuarat di Mekah, ada sebahagian yang memberi cadangan untuk menangkap serta memenjarakan Nabi SAW apabila telah terbit siang hari. Bahkan, ada sebahagian yang memberikan cadangan untuk membunuh Baginda. Ada sebahagian yang lain hanya ingin mengeluarkannya dari Mekah. Maka Allah SWT memberitahu perkara tersebut kepada Baginda. Kemudian Saidina Ali’ RA tidur di atas tilam Baginda pada malam itu. Kemudian Baginda bertolak keluar sehinggalah sampai ke suatu gua. Maka para musyrikin Mekah tertidur kerana mengawasi Nabi tetapi sebenarnya di dalam rumah itu adalah Saidina Ali RA. Apabila sudah pagi, mereka mencari-cari Nabi di dalam rumahnya akan tetapi yang mereka jumpai adalah Saidina Ali RA. Itulah tanda bahawa Allah SWT telah menempelak perancangan mereka. Maka mereka bertanya kepada Saidina Ali di manakah Nabi Berada? Beliau menjawab: Aku tidak mengetahuinya.
Takhrij Athar Riwayat Mengenai Peristiwa Saidina Ali RA Tidur Di Atas Tilam Baginda SAW
- Athar ini diriwayatkan oleh Imam al-Hakim al-Naysaburi dalam al-Mustadrak berkata bahawa sanad bagi hadis ini adalah sahih akan tetapi tidak diriwayatkan oleh Syaikhan (Imam Bukhari dan Muslim). Selain itu, Imam al-Dhahabi sendiri memberi komentar terhadap riwayat ini dengan mengatakan ianya sahih.
- Riwayat Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimashq dengan sanad yang terhenti kepada Saidina Ibn ‘Abbas RA.
Rantaian sanad dalam riwayat ini seperti:
‘Abbad bin Thabit → Sulayman bin Qarm → ‘Abdurrahman bin Maimun Abu Abdullah → Maimun → Abdullah bin ‘Abbas RA
- Riwayat ini dihukumkan sanadnya sebagai dhaif kerana terdapat padanya perawi bernama Maimun Abu Abdullah merupakan seorang yang dhaif.[8]
- Abdurrahman bin Maimun: Ibn Hibban menyebutnya dalam kitabnya al-Thiqat[9], Ibn Majah meriwayatkan satu hadis darinya dalam sunan[10] dan Ibn Hajar[11] mengatakannya sebagai Maqbul
- Sulayman bin Qarm: Imam ‘Uqailiy mengatakan beliau la ara bihi ba’san akan tetapi beliau berlebihan dalam tashayyu’, menurut Yahya bin Ma’in mengatakan bahawa beliau adalah [12]
- Athar ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dan Imam Tabrani dalam Mu’jamnya yang kedua-dua sanadnya terhenti pada perawi bernama Uthman bin ‘Amru al-Jazari sehinggalah sampai ke Saidina Ibn ‘Abbas RA. Namun, terdapat perbezaan pandangan ulama dalam menetapkan status beliau. Di sisi Imam Ibn Hibban Al-Busti, beliau berpandangan dalam menghukumkan Uthman bin ‘Amru adalah seorang yang thiqah berbanding ulama yang lain mengatakan beliau adalah dhaif di samping perawi-perawi yang lain adalah sahih.[13]
- Pandangan-pandangan ulama hadis mengenai riwayat akan peristiwa ini seperti;
- Imam Ibn Kathir dalam Kitab Bidayah Wa Nihayah menghasankan riwayat ini dengan berkata: “sanad ini adalah hasan dan ia merupakan jalan periwayatan yang terbaik (ajwad) dalam meriwayatkan cerita ini.[14]
- Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkata: Imam Ahmad menyebutkan riwayat ini merupakan hadis Ibn ‘Abbas dengan sanad yang hasan.[15]
- Khulasah (rumusan) bagi riwayat ini dihukumkan sebagai hasan lighayrih. Hal ini kerana riwayat-riwayat tersebut saling menguatkan antara satu sama lain.
Selain itu, perkara ini melibatkan sirah maka melihat kepada pendapat ahli sirah adalah lebih utama kerana mereka merupakan ahli di dalam bidang tersebut dan kisah ini juga tidak melibatkan isu aqidah atau ibadah. Tambahan pula, tiada ulama yang menyatakan bahawa riwayat peristiwa ini adalah asalnya dari kelompok syiah dan majoriti dari mereka mensabitkan peristiwa ini serta meriwayatkannya di dalam kitab-kitab mereka.
Tarjih Antara Riwayat Hadis Sahih Al-Bukhari Dan Sirah Nabawiyyah
Persoalan yang timbul apabila kelihatan seakan-akan ada pertembungan antara kedua-dua riwayat yang mana di dalam hadis sahih Al-Bukhari tidak menceritakan peristiwa Saidina Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW. Oleh itu, ada sesetengah pihak yang mengenepikan kisah ini dan menafikannya serta mendakwa bahawa ia hanyalah rekaan semata-mata. Justeru, pendekatan yang lebih baik di sini adalah dengan menggabungkan kedua-duanya ketika berada dalam keadaan yang seakan-akan bertentangan. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menjelaskan perkara tersebut seperti:
إِعْمَال الْكَلَامِ أَوْلَى مِنْ إِهْمَالِهِ
Maksudnya: Menggunakan kedua-dua riwayat lebih baik dari meninggalkan salah satunya.[16]
Selain itu, periwayatan sirah juga menjelaskan lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku yang tidak diceritakan oleh perawi-perawi hadis oleh kerana mereka mempunyai sina’ah (pendekatan) tersendiri dalam pengumpulan dan periwayatan cerita berkaitan dengan Nabi SAW. Sebagai contoh, ahli sirah menerangkan bahawa Nabi SAW pulang semula setelah bertemu Abu Bakr RA bagi mengkhabarkan berita keizinan Allah SWT untuk Baginda berhijrah:
- Al-Sirah Al-Nabawiyah Fi Dhau Al-Quran Wa Al-Sunnah
ثم عاد رسول الله صلّى الله عليه وسلّم بعدما أخبر أبا بكر بالإذن له في الهجرة، وبعد أن أعدّا العدة للهجرة- إلى بيته
Maksudnya: Kemudian Rasulullah SAW pulang semula kerumahnya setelah Baginda memberitahu Abu Bakr RA mengenai keizinan untuk berhijrah bersamanya.[17]
Lanjutan dari itu, peristiwa hijrah Nabi SAW bersama Saidina Abu Bakr RA berlaku pada waktu malam dan selayaknya peristiwa Saidina Ali RA menggantikan tempat tidur Baginda boleh berlaku. Hal ini juga disebutkan oleh para ulama dan mereka tidak mengingkari berlakunya kejadian ini, antaranya:
- Kitab ‘Umdah al-Qari
قلت: الَّذِي يفهم من كَلَام ابْن إِسْحَاق كَانَ خُرُوجه بِاللَّيْلِ، وَذَلِكَ أَن أَعْيَان قُرَيْش لما اجْتَمعُوا فِيمَا يَفْعَلُونَ فِي أَمر النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم أَشَارَ كل وَاحِد بِرَأْي
Maksudnya: Aku berkata: apa yang dapat difahami dari ucapan Ibn Ishaq bahawa Nabi SAW keluar berhijrah pada waktu malam, di samping golongan Quraisy berkumpul bagi merencanakan perancangan yang telah dibuat ke atas Nabi SAW.[18]
- Kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah
لَقَدْ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ انْطَلَقَ إِلَى الْغَارِ، وَمَعَهُ أَبُو بَكْرٍ فَجَعَلَ يَمْشِي سَاعَةً بَيْنَ يَدَيْهِ، وَسَاعَةً خَلْفَهُ، حَتَّى فَطِنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: Maka telah keluar Rasulullah SAW pada waktu malam untuk bertolak ke gua Thur, bersamanya Abu Bakr RA yang mana setiap kali berjalan bersama Nabi beliau bertukar-tukar posisinya ada ketika berada di sisi Baginda, ada pula berada di belakang baginda, sehingga Baginda perasan keadaan beliau ketika itu.[19]
- Kitab Fath al-Bari oleh Ibn Hajar
وَفِي دَلَائِلِ النُّبُوَّةِ لِلْبَيْهَقِيِّ مِنْ مُرْسَلِ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ لَيْلَةَ انْطَلَقَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْغَارِ كَانَ يَمْشِي بَيْنَ يَدَيْهِ سَاعَةً وَمِنْ خَلْفِهِ سَاعَةً
Maksudnya: Di dalam Dalail al-Nubuwwah oleh Imam Baihaqi dari riwayat mursal daripada Muhammad Bin Sirin mengatakan sesungguhnya Saidina Abu Bakr RA bertolak ke gua Thur bersama Rasulullah SAW ketika malam, beliau berjalan dalam keadaan bertukar-tukar posisinya ada ketika berada di sisi Baginda, ada pula berada di belakang Baginda.[20]
Penerimaan Riwayat-Riwayat Sirah Mengikut Pandangan Ulama
Isu periwayatan sirah telah dibahaskan oleh ulama sekian lama sama ada diterima atau ditolak. Selain itu, dalam penilaian riwayat biasanya tidak akan lari dari perbahasan ulama hadis kerana mereka bertanggungjawab dalam menjaga berlakunya penyebaran riwayat-riwayat palsu dan menyeleweng atau israiliyyat yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Adapun pendekatan yang digunakan dalam konteks sirah, tarikh dan maghazi (kisah-kisah peperangan) yang didominasi oleh ulama muarrikhun (ulama sirah) adalah berbeza dengan pendekatan yang digunakan dalam konteks hadis.
Justeru, dalam periwayatan sirah, terdapat khilaf iaitu perbezaan pendapat ulama hadis yang boleh diambil dan dijadikan sebagai panduan ketika berinteraksi dengan periwayatan sirah dan sejarah. Secara ringkasnya, jumhur ulama hadis mempermudah jika sesuatu riwayat berkaitan dengan sirah dan sejarah. Namun jika mereka meriwayatkan hadis-hadis yang berkaitan dengan halal dan haram maka mereka akan bertegas. Pandangan ini seperti yang dinyatakan oleh Abdul Rahman bin Mahdi:
إذا روينا في الثواب والعقاب وفضائل الأعمال، تساهلنا في الأسانيد، وتسامحنا في الرجال، وإذا روينا في الحلال والحرام والأحكام، تشدّدنا في الأسانيد وانتقدنا الرجال
Maksudnya: Apabila kami meriwayatkan berkaitan pahala, dosa dan kelebihan beramal kami akan mempermudah dalam bab sanad dan perawi, adapun jika kami meriwayatkan dalam bab hukum hakam seperti halal dan haram kami akan lebih tegas dalam bab sanad dan kritikan kepada perawi-perawi hadis.[21]
Tambahan pula, kita dapat lihat para ulama seakan telah bersepakat dalam hal ini. Hal ini seperti nukilan Imam al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Kifayah fi Ilmi al-Riwayah menceritakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal.[22] Melihat kepada pandangan yang disebutkan oleh Imam Suyuti telah dipersetujui oleh Imam-imam muktabar seperti Imam al-Nawawi, Imam Badruddin Ibn Jamaah, Imam Taybi, Imam al-Bulqini dan Imam al-Iraqi akan penerimaan riwayat yang dhaif selain dari hukum-hakam dan akidah.[23]
Menurut Ibn Rajab al-Hanbali dalam Syarah ‘Ilal al-Tirmizi, kebanyakan ulama seperti Ibn Mahdi dan Imam Ahmad tidak terlalu tegas dalam meriwayatkan kisah-kisah berkaitan sirah, bahkan mereka membenarkan kisah-kisah berkaitan sirah diriwayatkan dari perawi yang lemah.[24] Selain itu, Imam Ibn Solah dalam kitabnya Muqadimah Ibn Solah menjelaskan bahawa di sisi ahli hadis dan selain dari mereka ada sedikit bermudah-mudah dalam bab sanad dan meriwayatkan semua jenis hadis dhaif kecuali maudu’ tanpa perlu untuk menerangkan status hadis tersebut jika riwayat tersebut berkaitan dengan nasihat, kisah dan kelebihan beramal.[25]
Kesimpulan
Berdasarkan penelitian yang telah dijalankan, kisah yang menyatakan bahawa “Saidina Ali RA menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW” adalah riwayat daripada Saidina Ibn ‘Abbas RA dan disebutkan dalam pelbagai kitab-kitab sirah. Riwayat ini dihukumkan sebagai dhaif pada sanadnya. Walau bagaimanapun, riwayat ini dapat dihukumkan sebagai hasan lighayrih disebabkan riwayat-riwayat lain yang saling menguatkan antara satu sama lain.
[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893), 5/58. Hadis no. 3905.
[2] Abū Muhammad, Abdulmalik bin Hisyām bin Ayyūb al-Ḥumairī al-Mu’āfirī. Al-Sīrah al-Nabawiyyah li Ibn Hisyām. (Mesir: Syarikah Maktabah Wa Maṭba’ah Muṣtafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), 1/482-483.
[3]Abu al-Fidā’ Ismaīl bin Kathīr. Al-Sīrah al-Nabawiyyah (min al-Bidāyah wa al-Nihāyah li Ibn Kathīr). (Kaherah: ‘Isā al-Bābī al-Ḥalabī, 1976), 2/229.
[4] Abū ‘Abdullah Muhammad bin ‘Abdullah al-Ḥākim al-Naysābūrī. Al-Mustadrak ‘ala al-Ṣahīhain. (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), 3/5. Hadis no. 4263.
[5] Abū al-Qāsīm, ‘Alī bin al-Ḥasan bin Hibatullah al-Ma’rūf bi Ibn ‘Asākir. Tārīkh Madinah Dimashq. (t.p: Dār al-Fikr li al-Ṭibā’ah wa al-Nashr wa Tawzī’, 1995), 42/68.
[6] Aḥmad bin Ḥanbal. Musnad Aḥmad. (Beirut: Mu’assasat al-Risālah, 2001), 5/301. Hadis no. 3251.
[7] Abū al-Qāsim, Sulaymān bin Aḥmad bin Ayyūb al-Shāmī al-Ṭabrānī. Al-Mu’jam al-Kabīr. (Kaherah: Maktabah ibn Taymiyyah, t.t), 11/407.
[8] Abū al-Faḍl Aḥmad bin ‘Alī bin Muhammad bin Aḥmad bin Ḥajar al-‘Asqalānī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Syria: Dār al-Rashīd, 1986), 556.
[9] Abū Ḥātim, Muhammad bin Ḥibbān bin Aḥmad bin Ḥibbān bin Mu’ādh al-Bustī. Al-Thiqāt. (Hyderabad: Dāirah al-Ma’ārif al-‘Uthmāniyyah, 1973), 5/106.
[10] Jamāluddīn Abū al-Ḥajjāj Yūsuf al-Mizzī. Tahdhīb al-Kamāl fī Asmā’ al-Rijāl. (Beirut: Muassasah al-Risālah, 1992), 17/453.
[11] Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī. Taqrīb al-Tahdhīb. 351.
[12] Abū Ja’far Muhammad bin ‘Amru bin Mūsā bin Ḥammād al-‘Uqailīy al-Makkī. Al-Ḍu’afā’ al-Kabīr. (Beirut: Dār al-Maktabah al-‘Ilmiyyah, 1984), 2/136.
[13] Abū al-Ḥasan Nūruddīn ‘Alī bin Abū Bakr bin Sulaymān al-Haithamī. Majma’ al-Zawāid wa Manba’ al-Fawāid. (Kaherah: Maktabah al-Qudsī, 1994), 7/27.
[14] Abu al-Fidā’ Ismaīl bin ‘Umar bin Kathīr al-Dimashqī. Al-Bidāyah wa al-Nihāyah. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turath al-‘Arabī, 1988), 3/221.
[15] Ahmad bin ‘Alī bin Ḥajar al-‘Asqalānī. Fatḥ al-Bārī bi Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dār al-Ma’rifah, 1379H), 7/236.
[16] Wizārah al-Awqāf wa al-Syu’ūn al-Islāmiyah. Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah. (Kuwait: Dār al-Salāsil, 1984), 7/168.
[17] Abū Shuhbah, Muhammad bin Muhammad bin Suwaylim. Al-Sīrah al-Nabawiyyah ‘ala Ḍawi’ al-Qurān wa al-Sunnah. (Dimashq: Dār al-Qalam, 1427H), 1/475.
[18] Badruddin Abū Muhammad Maḥmūd bin Aḥmad al-‘Ainī. ‘Umdah al-Qārī Syarḥ Ṣahīh al-Bukhārī. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turath al-‘Arabī, t.t.p), 17/46.
[19] Ibn Kathīr al-Dimashqī. Al-Bidāyah wa al-Nihāyah. 3/220.
[20] Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī. Fatḥ al-Bārī bi Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. 7/237.
[21] Abū Bakr, Aḥmad bin al-Ḥusain bin ‘Alī al-Baihāqī. Dalāil al-Nubuwwah wa Ma’rifah Aḥwāl Ṣāḥib al-Syarī’ah. (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1988), 1/34.
[22] Abū Bakr, Aḥmad bin ‘Alī bin Thābit al-Khaṭīb al-Baghdādī. Al-Kifāyah fī ’Ilmi al-Riwāyah. (Hyderabad: Jam’iyyah Dāirah al-Ma’ārif al-‘Uthmāniyyah, 1357H), 134.
[23] Jalāluddīn al-Suyūṭī, Abdurraḥman bin Abī Bakr. Taḥdhīr al-Khawwāṣ min Akādhīb al-Qusṣāṣ. (Beirut: al-Maktab al-Islāmī, 1974), 74-75.
[24] Zainuddīn, ‘Abdurrahman bin Aḥmad bin Rajab bin al-Ḥasan al-Ḥanbalī. Syaraḥ ‘Ilal al-Tirmidhī. (Urdun: Maktabah al-Manār, 1987), 1/371.
[25] Taqiyuddīn, Abū ‘Amrū, ‘Uthman bin ‘Abdurrahman. Muqaddimah ibn al-Ṣolāḥ. (Syria: Dār al-Fikr, 1986), 103.