Tarikh:
5 September 2024
Disediakan
oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Allah SWT
memberikan ujian buat hambanya sebahagiannya berbentuk zahir seperti sakit dan
sebahagian yang lain berbentuk batin seperti penyakit hati. Kesemua yang
berlaku di atas alam ini adalah dengan izin Allah SWT. Allah SWT memberikan
penawar kepada semua jenis sakit tersebut serta kaedah-kaedah untuk mencegahnya
melalui penerangan daripada Nabi SAW. Sebahagian daripada penyakit yang tidak
berbentuk zahir itu adalah penyakit ‘ain yang menimpa sesetengah daripada
hambanya. Tular dalam kalangan masyarakat kita, perbuatan sebahagian daripada
tokoh agama merenjiskan air ruqyah yang telah dibacakan ayat-ayat tertentu
kepada kenderaan bagi tujuan mengelakkan musibah. Adakah perbuatan ini terdapat
asal dalam agama?
Ruqyah Dalam Islam
Ruqyah Syar’iyyah
merupakan suatu kaedah perubatan bagi menghilangkan gangguan dengan menggunakan
ayat suci al-Quran, zikir atau dengan membaca doa-doa tertentu sama ada lafaznya
disebutkan dalam hadis atau tidak disebutkan selagi mana bacaannya tidak
bercanggah dengan syarak.[1]
Menggunakan ayat suci al-Quran atau apa-apa bacaan sebagai suatu kaedah
perubatan atau rawatan adalah perbuatan yang diiktiraf oleh syarak berdasarkan
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 82:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا
هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا
خَسَارًا
Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran
ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang
beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang
zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Menurut Imam
Al-Razi, perkara (من) pada ayat ini
menunjukkan lil–jins (jenis) dan bukannya li
al-Tab’idh (sebahagian). Ini bermaksud keseluruhan ayat daripada al-Quran
boleh dijadikan sebagai penawar atau penyembuh kepada penyakit rohani dan juga
jasmani.[2]
Antara penyakit yang boleh diubati dan dihindari melalui bacaan ayat suci
al-Quran ini dikenali sebagai penyakit ‘ain.
Penyakit Ain
Penyakit ‘ain boleh terjadi dengan rasa takjub
walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad (boleh juga terjadi).[3]
Penyakit ‘ain ini sabit daripada pelbagai kisah melalui hadis Nabi SAW antaranya
sebuah hadis daripada Sahl bin ‘Anif, sabda Rasulullah SAW:
إِذَا رَأَى
أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ أَوْ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ
فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ[4]
Maksudnya: Jika seseorang melihat perkara yang menakjubkannya
daripada saudaranya, dirinya atau hartanya, maka doakan untuk mereka dengan
keberkatan. Sesungguhnya ‘ain itu benar.
(Riwayat Ahmad, Al-Nasaie dan al-Hakim)
Menurut Imam
al-Hakim, hadis ini sanadnya sahih dan
tidak dikeluarkan dalam Bukhari dan Muslim. Berdasarkan hadis ini juga,
penyakit ‘ain tidak terhad kepada manusia sahaja, malah turut menimpa harta
benda seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan barang-barang seperti kenderaan,
rumah dan lain-lain.
Diketahui bahawa
manusia boleh kena penyakit ‘ain dan perkara ini dibuktikan secara musyahadah oleh masyarakat selain
dibuktikan melalui hadis yang disebutkan. Selain daripada manusia, objek tidak hidup (jamadat) seperti kenderaan juga
boleh terkena musibah atau penyakit ‘ain.
Selain itu,
Firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa jamadat
(benda tidak hidup) seperti batu juga terkesan dengan bacaan ayat al-Quran.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 74:
وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ
Maksudnya: Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana
takut kepada Allah.
Rawatan Dengan Cara Merenjiskan Air
Penyakit ‘ain
boleh dirawat dengan beberapa kaedah, antaranya adalah dengan cara memandikan
atau mewudukkan pesakit dengan air. Kaedah ini sabit berdasarkan sebuah hadis
yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata:
Amir bin Rabi’ah
melalui Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: Aku tidak
pernah melihat kulit yang begitu indah sebagaimana hari ini. Tidak berapa lama
kemudian Sahl jatuh sakit, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu
dikatakan: Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit. Baginda SAW
bersabda: Siapa yang kamu anggap telah menyebabkan ini? Mereka berkata: Amir
bin Rabi’ah. Baginda SAW bersabda:
عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ
أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ[5]
Maksudnya: Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh
saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada
diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.
Kemudian Baginda
SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwuduk. Amir mencuci wajahnya,
kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi
SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wuduknya) kepada Sahl.
(Riwayat
Ibnu Majah dan al-Nasa’ie)
Menurut Imam Ibn
Hajar al-Asqalani, kesan penyakit ‘ain itu diibaratkan seperti percikan api
yang menyala pada badan, maka perbuatan memercikkan air atau memandikannya
boleh menghapuskan kepanasan api tersebut pada badan.[6]
Keharusan meruqyah sesuatu harta dengan air ruqyah disebutkan oleh
pelbagai ulama. Perkara ini boleh dilihat menerusi kitab-kitab seperti Madarij
al-Salikin oleh Ibn Qayyim, Mausu’ah Syar’iyyah fi Ilm al-Ruqa oleh Usamah Ibn
Yasin serta buku-buku Rawatan Islam di tanah air. Ulama mazhab Syafi’i seperti
Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Imam al-Nawawi turut menerangkan kaedah meruqyah
daripada penyakit ‘ain dengan air ketika mensyarahkan hadis di atas. Menurut
Imam al-Nawawi, galakkan untuk meruqyah segala penyakit ini tidak terhad kepada
penyakit ain semata-mata malah turut kepada penyakit-penyakit lain kerana Nabi
SAW pernah melakukan ruqyah pada selain daripada penyakit yang disebutkan dalam
hadis tersebut.[7]
Walau bagaimanapun, mereka yang menjadikan kaedah rawatan ini
sebagai senda gurauan dan permainan tidak akan mendapat manfaat daripada kaedah
ini. Perkara ini disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim:
هَذِهِ الْكَيْفِيَّةُ لَا يَنْتَفِعُ
بِهَا مَنْ أَنْكَرَهَا وَلَا مَنْ سَخِرَ مِنْهَا وَلَا مَنْ شَكَّ فِيهَا أَوْ
فَعَلَهَا مُجَرِّبًا غَيْرَ مُعْتَقِدٍ[8]
Maksudnya: Kaedah ini tidak mendatangkan manfaat kepada orang yang
mengingkarinya, orang yang memperolok-olokkannya, orang yang syak padanya atau
orang yang melakukannya untuk tujuan mencuba tanpa meyakini keberkesanannya.
Oleh itu,
disamping usaha-usaha yang dilakukan seperti membuat servis kenderaan mengikut
jadual, mematuhi isyarat di jalan raya dan sebagainya. Maka ikhtiar melalui
ruqyah dengan merenjis kenderaan dengan air ruqyah padanya juga boleh menjadi asbab kepada keselamatan dengan izin
Allah SWT.
Kesimpulan
Merenjis air
ruqyah pada kenderaan adalah diharuskan pada syarak kerana terdapat dalil yang
jelas membenarkan perbuatan tersebut. Ia juga merupakan suatu bentuk ruqyah
yang dilakukan atas harta bagi mengelakkan musibah atau penyakit ‘ain. Namun,
dalam sesetengah situasi iaitu jika perbuatan ini boleh membawa kepada fitnah
dalam masyarakat seperti terdapat unsur ritual yang menyerupai agama lain,
iktikad yang lemah orang yang mengamalkannya dan lain-lain, maka perbuatan
seperti ini sewajarnya dielakkan. Memelihara pegangan akidah umat Islam perlu
menjadi keutamaan dalam menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar.
[1] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ahmad bin Ali bin Hajar
al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ
al-Bukhārī. Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1959. Jil. 4, ms. 457.
[2] Al-Razi. Mafatih
al-Ghaib, (Beirut: Dar Turath ‘Arabi) Jil. 21, ms. 389.
[3] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ahmad bin Ali bin Hajar
al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dar al-Ma’rifah,
1959). Jil. 10, ms. 205.
[4] Ahmad bin Hanbal. Musnad
Imam Ahmad (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2001) Jil. 24, ms. 466 ;
al-Nasaie, Abu Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasaie. Al-Sunan al-Kubra
(Beirut: Muassasah al-Risalah, 2001) Jil. 9, ms. 380. No. 10805; Al-Hakim
Muhammad bin Abdillah. al-Mustadrak ‘ala
al-Sahihain, (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, t.t.) Jil. 4, ms. 240. No.
7500.
[5] Muhammad Yazīd bin Mājah al-Qazwinī (m. 273H). Sunan
Ibn Mājah. Damsyik, Beirūt: Dār al-Risālah al-‘Alamiyyah. 2009M/1430H, no.
3509; al-Nasaie, Abu Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasaie. Al-Sunan al-Kubra (Beirut: Muassasah
al-Risalah, 2001) no. 7571.
[6] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar
al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ
al-Bukhārī. Jil. 10, ms. 205.
[7] Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (m.
676H). Syarḥ al-Nawawī ‘ala Muslim. Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ Turath ‘Arabiy,
1972. Jil. 14, ms. 185.
[8] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ahmad bin Ali bin Hajar
al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ
al-Bukhārī. Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1959. Jil. 10, ms. 205.