Tarikh: 2/9/2024
Disediakan oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar
Pengenalan
Kisah nabi Musa AS dan Firaun merupakan antara kisah yang banyak disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Tujuan kisah-kisah ini diceritakan tidak lain hanyalah sebagai pengajaran dan iktibar kepada umat Islam. Namun, dalam sesetengah kisah di dalam al-Quran kadang kala dapat menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kisah yang terjadi kepada para Nabi dan Rasul. Justeru, artikel ini ingin menjelaskan kisah ketidakfasihan Nabi Musa AS ketika berdakwah kepada Firaun.
Ketidakfasihan Nabi Musa Ketika berdakwah
Perbahasan ini bertitik tolak dari doa Nabi Musa AS dalam surah Taha ayat 27-28:
يَفْقَهُوا قَوْلِي ﴿ ٢٨ ﴾وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي ﴿ ٢٧
Maksudnya: Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku (27) Supaya mereka faham perkataanku (28).
Menurut ulama tafsir mengenai ayat 27-28 dalam surah Taha, antaranya:
- Imam Ibn Kathir: Ayat ini menunjukkan bahawa disebabkan oleh masalah yang dialami Nabi Musa AS berupa kekurangan dalam sebutan, yang terjadi ketika dia diberi pilihan antara kurma dan bara api, lalu dia mengambil bara api dan meletakkannya di atas lidahnya, seperti yang akan dijelaskan nanti. Baginda tidak meminta agar kekurangan itu hilang sepenuhnya, tetapi sekadar agar kesulitannya dalam bercakap hilang sehingga orang lain dapat memahami apa yang ingin disampaikannya, hanya sekadar yang diperlukan sahaja.[1]
- Imam al-Tabari: Di dalam ayat ini beliau menyebutkan bahawa Nabi Musa berdoa meminta Allah SWT agar melepaskan lidahnya untuk berbicara dengan lancar, kerana lidahnya, seperti yang disebutkan, mengalami kesulitan dalam bercakap akibat peristiwa ketika Baginda meletakkan bara api ke dalam mulutnya pada hari Firaun berniat untuk membunuhnya. Antara riwayat yang disebutkan oleh Imam Tabari dalam ayat ini adalah dari:
- Sa’id bin Jubair: Kesulitan (‘Ujmah) dalam bercakap itu disebabkan oleh bara api yang dimasukkan ke dalam mulutnya atas arahan isteri Firaun, yang bertujuan untuk mengelakkan hukuman Firaun terhadapnya. Ini berlaku ketika Nabi Musa menarik janggut Firaun dalam keadaan Baginda masih kecil dan tidak sedar, lalu Firaun berkata: “Ini adalah musuhku”. Namun, isteri Firaun berkata kepadanya: “Dia (Musa) tidak mengetahui apa yang dia lakukan”.
- Mujahid: Dia berkata: Kesulitan (‘Ujmah) dalam bercakap itu disebabkan oleh bara api yang dimasukkan ke dalam mulutnya atas arahan isteri Firaun untuk menghindarkannya daripada hukuman Firaun ketika Musa menarik janggutnya.[2]
- Imam al-Maturidi: Pada ayat 27-28, sebagaimana ahli tafsir yang memandang ayat ini diturunkan kepada Nabi Musa AS dan Firaun adalah berpunca dari satu peristiwa yang berlaku ketika Nabi Musa AS masih kecil lalu memegang janggut Firaun kemudian Baginda menyentap janggutnya, maka Firaun ingin membalas semula perbuatan tersebut tetapi dihalang oleh isterinya Asiah dengan mengatakan bahawa Nabi Musa masih bayi dan tidak berakal lagi iaitu tidak mengetahui apa-apa. Maka, Asiah ingin membuktikan perkara tersebut kepada Firaun dengan menghidangkan di hadapan Nabi Musa dua pilihan antara manisan dan bara api, di dalam riwayat lain: kurma dan bara api. Pada permulaannya, Nabi Musa AS ingin mengambil manisan, kemudian wahyu dari Allah SWT telah menyuruh malaikat Jibril AS menggerakkan tangan Nabi Musa ke arah bara api, maka dipegangnya dan dimasukkan bara api tersebut ke dalam mulutnya. Justeru, peristiwa ini dikatakan memberi kesan berlakunya rututah kepada Nabi Musa AS yang menjadikannya sukar dalam berbicara. Oleh itu, Nabi Musa AS berdoa dengan doa sebegini agar Allah SWT menghilangkan kekurangan tersebut ketika berdakwah kepada kaumnya.[3]
Makna Ketidakfasihan Nabi Musa Ketika Berbicara
Pada ayat 27-28 dalam surah Taha, tafsir Ibn Kathir menyebutkan bahawa nabi Musa AS mengalami اللَّثَغِ (al-Lathagh), akibat daripada peristiwa yang sama berlaku.[4] Sedangkan ahli tafsir yang lain seperti Imam as-Syawkani menggunakan perkataan العُجْمَةَ (al-‘Ujmah) untuk menjelaskan apa yang menjadi kekurangan Nabi Musa AS dalam kitab tafsirnya Fath al-Qadir.[5] Kalimah اللَّثَغِ (al-Lathagh) membawa makna yang banyak menurut bahasa Arab antaranya seseorang yang sukar untuk berkata-kata seakan-akan mempunyai kesusahan padanya.[6] Selain itu, kalimah العُجْمَةَ (al-‘Ujmah) adalah perkataan berlawanan bagi kalimah الفصاحة (al-Fasahah) iaitu jelas pertuturan, maka ia merupakan salah satu keperluan terpenting bagi seseorang untuk agama dan dunianya. Tambahan pula, Nabi Musa AS mengakui bahawa saudaranya Nabi Harun AS seorang yang fasih bertutur sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 34:
وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَاناً فَأَرْسِلْهُ مَعِي
Maksudnya: Dan saudaraku (Harun), dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku (sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku).[7]
Justeru, jika dibandingkan mengikut kedua-dua tafsir dan merujuk makna dalam bahasa Arab, terdapat kesamaan mengenai apa yang terdapat dalam ayat 27-28 Surah Taha, iaitu Nabi Musa memiliki kekurangan dalam berbicara.
Meminta Pertolongan Nabi Harun AS Sebagai Peneman Bertemu Firaun
Di dalam al-Quran ayat 29-34 dalam surah Taha, iaitu kisah yang menceritakan bahawa Nabi Musa AS meminta pertolongan Nabi Harun AS sebagai peneman bertemu Firaun merupakan kesinambungan dari ayat yang sebelumnya. Hal ini tidak menjadi suatu keaiban kepada para Nabi dalam menyampaikan seruan Allah SWT, lebih-lebih lagi kerja dakwah tersebut dipenuhi dengan ujian yang berat dan meletihkan sehinggakan mereka diejek, dibenci dan didustakan oleh kaumnya sendiri. Selain itu, perjalanan kisah Nabi Musa AS meminta pertolongan Nabi Harun AS bertemu Firaun juga seperti yang termaktub dalam surah al-Qasas ayat 33-34:
قَالَ رَبِّ إِنِّي قَتَلْتُ مِنْهُمْ نَفْسًا فَأَخَافُ أَنْ يَقْتُلُونِ ﴿٣٣﴾ وَأَخِي هَارُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّي لِسَانًا، فَأَرْسِلْهُ مَعِيَ رِدْءًا يُصَدِّقُنِي، إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُكَذِّبُونِ ﴿٣٤﴾
Maksudnya: Nabi Musa merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku, bahawa aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku. (33) Dan saudaraku (Harun), ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku. (34)
- Menurut Imam al-Tabari:
- Di dalam ayat ini, Nabi Musa AS mempunyai kerisauan apabila jika Baginda tidak dapat pada dirinya untuk menjelaskan dengan hujah yang jelas, maka mereka (kaum firaun) akan membunuhnya. Hal ini disebabkan lidahnya ada kekakuan dan tidak dapat menjelaskan dengan jelas apa yang ingin Baginda sampaikan.
- Selain itu, pengakuan dari Nabi Musa AS terhadap Nabi Harun AS merupakan seorang yang lebih jelas pertuturannya sehingga dapat menyatakan dengan lebih jelas apa yang Baginda ingin sampaikan.
- Pada ayat 34 bermaksud: Nabi Harun AS diutuskan sebagai bantuan. Selain itu, Nabi Harun juga akan menjelaskan kepada kaum Firaun apa yang Nabi Musa sampaikan kepada mereka. Di dalam riwayat Ibn Ishaq menyatakan: Nabi Harun akan menjelaskan kepada mereka apa yang Nabi Musa sampaikan kepada mereka, kerana Nabi Harun memahami perkara-perkara yang mereka tidak fahami. Dan dikatakan juga bahawa Musa AS memohon kepada Tuhannya agar dibantu bersama saudaranya kerana apabila dua orang bersatu dalam kebaikan, maka manusia akan lebih tenang untuk mempercayai mereka daripada mempercayai yang datang berita dari seorang sahaja.[8]
- Manakala, Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ke-27-28 ini membawa kepada beberapa pandangan, antaranya:
- Terdapat ahli takwil mengatakan bahawa Nabi Musa pada lidahnya berlaku rattatah iaitu simpulan lidah akibat daripada lidahnya terkena bara api yang masuk ke dalam mulutnya. Selain itu, pada surah Taha ayat 27-28 menjelaskan bahawa kejadian yang berlaku kepada Nabi Musa ini adalah perkara semula jadi sebagaimana yang berlaku kepada manusia yang lain, sebahagiannya fasih dan sebahagiannya tidak.
- Telah disebutkan mengenai keadaan Nabi Musa yang dibelenggu oleh kekhuatiran dan dosa terhadap dirinya yang mana tidak berlaku kepada Nabi Harun AS. Tidak diragukan lagi bahawa seseorang yang berada dalam kekhuatiran boleh mempengaruhinya untuk memberi penjelasan dengan baik. Justeru, perkara ini telah menjadi suatu pengetahuan umum buat setiap insan.
- Keberadaan Nabi Harun AS bersama kaumnya adalah lebih lama menyebabkan mereka lebih kenal kata-kata Nabi Harun dan lebih mudah memahami pertuturannya sedangkan Nabi Musa AS telah meninggalkan mereka dalam tempoh yang agak lama kerana mengasingkan dirinya.[9]
Di sini dapat dilihat bahawa permintaan Nabi Musa AS meminta pertolongan dari Allah SWT untuk menjadikan Nabi Harun AS sebagai peneman baginya dalam mendepani cabaran bertemu Firaun demi melaksanakan perintah Allah SWT adalah sebagai penguat baginya ketika berdakwah.
Adakah Ketidakfasihan Itu Tidak Mampu Dihilangkan?
Ketidakfasihan Nabi Musa AS dalam berbicara dibincangkan oleh ahli tafsir mengenai permintaan Baginda untuk menghilangkan ketidakfasihan itu secara keseluruhan atau sebaliknya. Terdapat dua pandangan mengenai perkara ini, iaitu;
- Pandangan Pertama: Nabi Musa AS tidak memohon agar kekurangan dirinya itu dihilangkan secara keseluruhan, tetapi meminta agar dihilangkan kekakuan lidahnya hanya untuk kaumnya yang menghalang dari memahami apa yang diucapkan oleh Musa AS. Hal ini amat bersesuaian dengan ayat Allah SWT yang lain di dalam surah Az-Zukhruf ayat 52 ketikamana Firaun berkata kepada Nabi Musa yang menunjukkan bahawa masih lagi wujud kekakuan pada lidahnya:
أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلا يَكادُ يُبِينُ
Maksudnya: Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?
Selain itu, ayat yang lalu dalam surah Taha yang menunjukkan pengiktirafan Nabi Musa terhadap Nabi Harun AS sebagai seorang yang lebih fasih dari dirinya dalam berbicara.
Pandangan ini merupakan pandangan majoriti ulama tafsir seperti Imam Ibn Kathir[10], Imam Syawkani[11], Imam Qurtubi[12] dan selainnya ketika membicarakan keadaan yang berlaku kepada Nabi Musa AS.
- Pandangan Kedua: Menurut sebahagian pendapat lagi mengatakan bahawa ketidakfasihan berbicara dari lidahnya itu telah hilang sepenuhnya bagi mereka yang berpegang firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 36:
قَدْ أُوتِيتَ سُؤْلَكَ يا مُوسى
Maksudnya: Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa.
Imam al-Razi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa pendapat ini datangnya dari pandangan Imam Hasan al-Basri mengatakan sesungguhnya simpulan tersebut telah hilang sepenuhnya berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 36 yang lalu. Namun, pendapat ini lemah kerana Baginda tidak meminta agar simpulan lidah itu dihilangkan sepenuhnya dengan makna lain jika satu simpulan sahaja yang terlepas, maka Allah telah memenuhi permohonannya. Yang benar ialah kebanyakan simpulan tersebut telah terlepas dan yang tinggal hanyalah sedikit berdasarkan firman Allah yang menceritakan tentang Firaun mengatakan bahawa dia yang lebih jelas dalam pertuturan di dalam surah Az-Zukhruf ayat 52. Akan tetapi, hal ini menunjukkan bahawa Baginda sebenarnya jelas dalam berbicara walaupun masih ada sedikit simpulan yang tinggal di lidahnya.[13]
Ketidakfasihan Berbicara Yang Berlaku Kepada Nabi Musa AS Tidak Menafikan Kenabian
Jika kita menelusuri perbahasan yang lalu, ketidakfasihan Nabi Musa AS yang dianggap sebagai kekurangan tidak memberi kesan kepada kemuliaannya. Hal ini termasuk dalam perbahasan berkaitan dengan perkara yang harus bagi seorang Nabi atau Rasul. Selain itu, sifat yang harus bagi Rasul ada satu iaitu mempunyai sifat sebagaimana sifat manusia biasa tetapi tidak membawa kepada tercemarnya darjat kerasulan mereka. Justeru, ketidakfasihan dalam bertutur yang berlaku kepada Nabi Musa AS tidak menjejaskan kerasulan Baginda selagimana tidak menghalang dari sampainya dakwah kepada umatnya ataupun keaiban dan kecacatan berlaku tidak menjauhkan orang lain untuk menerima dakwahnya. Begitu juga sebagaimana perkara yang menimpa secara mendatang atau tiba-tiba kepada orang lain, juga boleh berlaku kepada para Nabi dan Rasul. Misalnya, para Nabi dan Rasul mungkin disakiti atau cedera sehingga mengalami kekurangan fizikal, sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW ketika giginya patah pada hari Perang Uhud. Bukti jelas yang menunjukan perkara tersebut tidak mempengaruhi sampai dakwahnya, Nabi Musa AS memohon kepada Tuhannya agar dihilangkan simpulan tersebut dari lidahnya, maka Allah SWT memperkenankan doanya.
Menurut Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya mengenai firman Allah SWT mengenai Firaun dalam surah Az-Zukhruf ayat 52 menjelaskan bahawa pada ayat “dan hampir-hampir tidak jelas perkataannya” juga merupakan satu lagi pembohongan. Walaupun lidah Nabi Musa AS terkena sesuatu semasa kecil akibat bara api itu, Baginda telah memohon kepada Allah SWT agar melepaskan simpulan dari lidahnya supaya mereka dapat memahami perkataannya. Allah SWT telah memperkenankan doanya dalam firman-Nya dalam surah Taha ayat 36.[14]
Maka, jelaslah bahawa apa yang berlaku kepada Nabi Musa AS tidak menghalangnya daripada menyampaikan risalah dengan cara yang jelas dan sempurna. Hal ini juga tidak membawa aib atau kekurangan yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya. Sebarang celaan terhadapnya adalah semata-mata pembohongan dan fitnah yang dilakukan oleh Firaun.
Selain itu, ketidakfasihan Nabi Musa AS ini boleh dikategorikan sebagai ciptaan (sifat semula jadi seseorang) yang Allah jadikan pada hamba-Nya dan tidak boleh dijadikan celaan atau kecaman terhadap seseorang. Hal ini sama seperti nukilan dari kata-kata Imam Hasan al-Basri yang mengatakan:
وَإِنَّمَا سَأَلَ زَوَالَ مَا يَحْصُلُ مَعَهُ الْإِبْلَاغُ وَالْإِفْهَامُ، فَالْأَشْيَاءُ الْخِلْقِيَّةِ الَّتِي لَيْسَتْ مِنْ فِعْلِ الْعَبْدِ لَا يُعَابُ بِهَا وَلَا يُذَمُّ عَلَيْهَا
Maksudnya: Dia (Nabi Musa AS) hanya memohon agar dihilangkan apa yang menghalang penyampaian risalah dan pemahaman. Perkara-perkara semula jadi yang bukan hasil perbuatan manusia tiada aib padanya dan kritikan terhadap seseorang.[15]
Oleh itu, percayalah bahawa persoalan mengenai kelemahan atau kekurangan yang dihadapi oleh seorang Nabi dan Rasul langsung tidak akan mempengaruhi tugasnya dalam menjalankan dakwah.
Kesimpulan
Nabi Musa AS merupakan Nabi yang agung dan di antara Nabi yang tergolong sebagai Nabi atau Rasul ulul azmi. Ketidakfasihan Nabi Musa AS benar berlaku kepada Baginda berpunca dari bara api yang masuk ke dalam mulut Baginda ketika kecil sebagaimana yang disebutkan oleh majoriti ulama tafsir. Namun begitu, ketidakfasihan dalam berbicara bukanlah satu kekurangan kerana ianya tidak menghalang Baginda dari menyampaikan dakwah risalahnya kepada Firaun dan kaumnya.
[1] Abū al-Fidā’, Ismā’īl bin ‘Umar bin Kathīr al-Qurasyī al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm . (t.t.p: Dār Ṭībah li al-Nahsr wa al-Tawzi’, 1999), 5/282.
[2] Al-Ṭabarī, Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī. Jāmiʿ al-Bayān ʿAn Takwīl Āyat al-Qur’ān, (Mekah: Dār al-Tarbiyyah Wa al-Turāth, t.t), 18/299.
[3] Abū Mansūr al-Māturīdī, Tafsīr al-Māturīdī (Takwīlāt Ahli al-Sunnah), 7/277-278.
[4] Ibn Kathīr al-Qurasyī al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm . 5/282.
[5] Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad bin Abdullah al-Syawkani al-Yamani , Fatḥ al-Qadīr. (Dimasyq: Dār Ibn Kathīr, 1414H), 3/429.
[6] Abū al-Ḥasan, ‘Ali bin Ismā’īl bin Saidah al-Mursī, Al-Muḥkam wa al-Muhīṭ al-‘Aẓam. (Beirūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2000), 5/487.
[7] Salamah bin Muslim al-‘Awtabī al-Ṣuḥārī, Al-Ibānah fī Al-Lughah al-‘Arabiyyah. (Muscat: Wizārah al-Turath al-Qawmī wa al-Thaqāfah, 1999), 1/41.
[8] Al-Ṭabarī, Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī. Jāmiʿ al-Bayān ʿAn Takwīl Āyat al-Qur’ān, (Mekah: Dār al-Tarbiyyah Wa al-Turāth, t.t), 19/577.
[9] Abū Mansūr al-Māturīdī, Tafsīr al-Māturīdī, 8/167-168.
[10] Ibn Kathīr al-Qurasyī al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm. 5/282.
[11] Muḥammad bin Alī bin Muḥammad bin Abdullah al-Syawkāni al-Yamanī , Fatḥ al-Qadīr. (Dimashq: Dār Ibn Kathīr, 1414H),3/429.
[12] Al-Qurṭubī, Muḥammad bin Aḥmad, Al-Jāmiʿ Li’aḥkām al-Qurān. (Mesir: Dār al-Kutub al-Miṣriyyah, 1964), 11/192.
[13] Fakhruddin, Abū Abdullah Muḥammad bin Umar bin al-Ḥasan al-Taymī al-Rāzī. Mafātīḥ al-Ghaib. (Beirūt: Dār Iḥyā’ al-Turath al-‘Arabī, 1420H), 22/44.
[14] Ibn Kathīr al-Qurasyī al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm. 7/232.
[15] Ibn Kathīr al-Qurasyī al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm. 7/232.