#64 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Melutut Kepada Manusia

Tarikh: 5 Ogos 2024

Disediakan oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan


Pendahuluan

Perbuatan melutut atau kneeling down merupakan perbuatan di mana postur tubuh seseorang itu menunduk atau merendahkan badannya sambil disokong oleh salah satu atau kedua-dua belah lutut yang diletakkan di atas tanah atau lantai.[1] Secara lazimnya, perbuatan ini dilakukan dalam kerangka keagamaan ataupun kebudayaan setempat yang menjadi simbol untuk memberi penghormatan, penyerahan, penyembahan, pengabdian dan ia juga sinonim dilakukan atas tujuan untuk memohon maaf. Namun apakah hukum melutut kepada manusia disebabkan tujuan-tujuan tersebut?

 

Perbuatan Melutut Dari Pelbagai Sudut Pandang

  1. Sejarah Ketamadunan Manusia

Perbuatan melutut telah menjadi sinonim sejak dari zaman tamadun purba lagi dan dilihat sebagai salah satu bentuk penyerahan dan penghormatan oleh seorang hamba abdi kepada tuannya.[2]

 

  1. Konteks Keagamaan

Setiap agama memiliki tafsiran tersendiri terhadap perbuatan melutut[3] dan semestinya postur melutut yang membawa maksud penyerahan kepada Allah SWT dalam agama Islam adalah berbeza dengan agama-agama yang lain.

 

  1. Syariat Islam

Perbuatan melutut yang membawa maksud pengabdian dan penyembahan kepada Allah SWT terhasil menerusi pergerakan dalam solat seperti rukuk, sujud, iftirasy (duduk antara dua sujud) dan ketika berdoa. Dengan erti kata lain, perbuatan ini hanya dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT sahaja. Bahkan setiap manusia akan melutut apabila dihimpunkan di hadapan-Nya pada hari akhirat kelak. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Jathiyah ayat 28:

وَتَرَىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً

Maksudnya: Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan).

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah menggambarkan keadaan manusia pada hari akhirat kelak dan semua makhluk pada hari itu menanti hitungan amal dan pembalasan mereka dalam keadaan berlutut. Perkara ini dijelaskan di dalam tafsir karangan Imam al-Maraghi bahawa beliau menyatakan:

ذُكِرَ مِنْ أَهْوَالِ هَذَا اليَوْمِ أَنَّ كُلَّ أُمَّةٍ تَجُثُّو عَلَى رُكُبِهَا وَتَجْلِسُ جِلْسَةَ المُخَاصِمِ بَيْنَ يَدَىِ الحَاكِمِ يَنْتَظِرُ القَضَاءَ[4]

Maksudnya: Telah disebutkan sebahagian daripada keadaan-keadaan manusia pada hari itu (hari kiamat) bahawa sesungguhnya setiap umat (manusia) akan berada dalam keadaan melutut dan keadaan seolah-olah orang yang sedang menunggu giliran hukuman selepas dihitung oleh seorang hakim.

Oleh itu, syarak menjelaskan bahawa perihal melutut yang selayaknya adalah hanya berlaku di antara makhluk dengan Tuhannya. 

 

 

Melutut Untuk Melamar Seseorang

 

Lamaran kepada seseorang boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Perbuatan melutut untuk melamar seseorang dilihat tidak selari dengan konsep lamaran pernikahan mengikut cara Islam dan adat di negara ini. Perbuatan tersebut juga bukanlah perbuatan yang sewajarnya dilakukan oleh seorang lelaki yang mahu mengikat seorang wanita yang ingin dikahwini kerana ia bukanlah seperti cara yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Perbuatan tersebut merupakan ikutan masyarakat bukan Islam yang tidak sesuai untuk diamalkan oleh masyarakat Islam itu sendiri. Selain itu, mengikut kepada adat dan kesopanan masyarakat Melayu, kebiasaanya proses melamar melibatkan pengetahuan pihak keluarga. Tidak seperti adegan melamar masyarakat barat yang melutut di hadapan wanita atau kekasih mereka diikuti penyarungan cincin. Sebaliknya, dalam kebiasaan adat orang Melayu pula, keluarga pihak lelaki akan bertandang ke rumah keluarga perempuan untuk proses melamar sambil mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kedua-dua belah pihak. Acara melamar merupakan langkah permulaan kepada sebuah perkahwinan diikuti dengan acara pertunangan.

 

 

Perbuatan Sujud Kepada Manusia

 

Setiap perbuatan bergantung kepada tujuan masing-masing. Begitu juga perbuatan sujud. Ia dikira antara perbuatan yang paling rendah posisinya berbanding perbuatan yang menunjukkan rasa hormat yang lain seperti menundukkan kepala, membongkokkan badan, melutut dan perbuatan seumpamanya. Perbuatan sujud terbahagi kepada dua tujuan iaitu:

 

  1. Ibadah

Perbuatan rukuk serta sujud merupakan perbuatan yang dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT. Sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan bertujuan penyembahan dan mengagungkan sesuatu selain daripada Allah SWT maka perkara tersebut adalah haram di dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam surah an-Najm ayat 62:

 

فَاسْجُدُوا لِلَّهِ وَاعْبُدُوا

Maksudnya: Dan sujudlah kepada Allah semata dan beribadahlah hanya kepada-Nya.

 

  1. Penghormatan

Sujud penghormatan kepada selain Allah SWT adalah dibolehkan mengikut syariat terdahulu. Perbuatan sujud ini adalah seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada para malaikat dan Iblis terhadap Nabi Adam AS sebagai tujuan patuh akan perintah-Nya ketika waktu tersebut dan bukan tujuan ibadah kepada makhluk. Firman Allah SWT di dalam surah Sad ayat 72:

فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ

Maksudnya: Maka hendaklah kalian (para malaikat dan Iblis) tunduk kepada (Nabi Adam AS) dengan bersujud (hormat) kepadanya.

 

Imam at-Tabari menjelaskan bahawa perbuatan sujud tersebut adalah sebagai:

 

سُجُودُ تَحِيَّةٍ وَتَكْرِمَةٍ ، لَا سُجُودَ عِبَادَةٍ[5]

Maksudnya: Sujud penghormatan dan memuliakan (taat perintah Allah SWT yang menyuruh untuk sujud) bukan sujud sebagai tanda penyembahan (kepada Nabi Adam AS).

 

Setelah Islam datang, sewaktu zaman Rasulullah SAW, syariat yang dibawa oleh Baginda SAW tidak lagi membenarkan perbuatan sujud sebagai tanda penghormatan kepada selain Allah SWT lebih-lebih lagi untuk tujuan penyembahan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abi Aufa RA bahawa beliau berkata:

 

لَمَّا قَدِمَ مُعَاذٌ مِنَ الشَّامِ سَجَدَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا هَذَا يَا مُعَاذُ؟ قَالَ: أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَافَقْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ وَبَطَارِقَتِهِمْ فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ نَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:فَلَا تَفْعَلُوا فَإِنِّي لَوْكُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا[6]

Maksudnya: Ketika Mu’az baru pulang dari negeri Syam, dia bersujud kepada Nabi SAW. Nabi SAW bersabda: Apa ini wahai Mu’az?. Mu’az menjawab: Aku datang ke kota Syam, dan aku mendapati mereka bersujud kepada pendeta-pendeta dan panglima-panglima perang mereka. Maka aku ingin untuk melakukannya terhadap engkau wahai Rasulullah. Maka Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu lakukan demikian! Sesungguhnya andaikan aku memerintahkan seseorang sujud kepada selain Allah, maka aku akan perintahkan para isteri agar sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang isteri menunaikan hak Rabb-nya, sehingga dirinya menunaikan hak suaminya.

(Riwayat Ibnu Majah)

 

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah SAW melarang Mu’az bin Jabal RA untuk sujud kepada Baginda SAW walaupun untuk tujuan menghormati Baginda SAW. Ini kerana pada waktu tersebut seolah-olah perbuatan yang dilakukan oleh Mu’az itu meniru amalan kaum Nasrani dan kebanyakan kaum ketika itu masih ada yang menyembah dan memperlakukan perbuatan sujud terhadap berhala dan sembahan mereka.

 

Adapun mengikut keadaan urf dan relevan amalan sesetengah masyarakat Asia masa kini, perbuatan melutut untuk sujud dan mencium kaki kedua ibu bapa, para ulama serta orang soleh bagi tujuan penghormatan adalah diharuskan oleh kebanyakan ulama.

 

Para ulama membahaskan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa:

 

 

مَا جَرَتْ بِهِ العَادَةُ مِنْ خَفْضِ الرَّأْسِ وَالاِنْحِنَاءِ إِلَى حَدٍّ لَا يَصِلُ بِهِ إِلَى أَقَلِّ الرُّكُوعِ عِندَ اللِّقَاءِ لَا كَفْرٌ بِهِ وَلَا حُرْمَةٌ كَذَلِكَ , لَكِنْ يَنْبَغِيْ كَرَاهَتَهُ[7]

 

Maksudnya: Perkara yang sudah menjadi adat (kebiasaan) seperti menundukkan kepala dan membongkok sehingga kepada had yang tidak menyamai rukuk ketika berjumpa dengan seseorang bukanlah perbuatan yang mempunyai unsur kufur, juga tidak diharamkan malah hukumnya sekadar makruh.

 

 

 

 

Amalan Mencium Tangan Dan Kaki Ibu Bapa, Para Ulama Serta Orang Soleh

Harus mencium tangan dan kaki orang alim yang warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan. Begitu juga harus mencium kepala, dahi dan (kedudukan) antara dua mata mereka dengan tujuan menghormati, memuliakan dan merendah diri, ketika bertemu dan berpisah serta jauh daripada perasaan syahwat.

 

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zari‘ bin ‘Amir RA beliau berkata:

 

لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَهُ[8]

Maksudnya: Tatkala kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian kami mencium tangan dan kaki Baginda SAW.

(Riwayat Abu Daud)

 

Imam al-Nawawi menyatakan:

 

يُسْتَحَبُّ تَقْبِيلُ يَدِ الرَّجُلِ الصَّالِحِ وَالزَّاهِدِ وَالْعَالِمِ وَنَحْوِهِمْ مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ وَأَمَّا تَقْبِيلُ يَدِهِ لِغِنَاهُ وَدُنْيَاهُ وَشَوْكَتِهِ وَوَجَاهَتِهِ عِنْدَ أَهْلِ الدُّنْيَا بِالدُّنْيَا وَنَحْوِ ذَلِكَ فَمَكْرُوهٌ شَدِيدُ الْكَرَاهَةِ[9]

Maksudnya: Disunatkan untuk mencium tangan orang soleh, alim dan seumpamanya dalam kalangan ahli akhirat. Manakala mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya pula, hukumnya adalah makruh.

 

Beliau turut menyatakan bahawa:

 

تَقْبِيلُ رَأْسِهِ وَرِجْلِهِ كَيَدِهِ[10]

Maksudnya: Mencium kepala dan kaki hukumnya adalah seperti mana mencium tangan.

 

 

 

Kesimpulan

Perbuatan seperti menundukkan kepala, membongkokkan badan, melutut, sujud dan seumpamanya adalah diharuskan sekiranya perbuatan sedemikian dilakukan dengan tujuan memberi penghormatan serta mengambil keberkatan dan bukan tujuan penyembahan mahupun mengagung-agungkan serta berlebih-lebihan. Sekalipun perbuatan-perbuatan tersebut diharuskan, namun adalah dinasihatkan agar amalan sedemikian tidak dijadikan amalan kebiasaan kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah disebabkan ia bukan budaya dalam kalangan masyarakat setempat. Memadai dengan hanya sama ada menundukkan sedikit kepala serta bermanis muka atau bersalaman lalu mencium tangan. Wallahua’lam.



[3] Benfayed, Rida, David Hamilton, Matthew Moran, A. H. R. W. Simpson, and Deborah Macdonald. “Interpretation of kneeling.” Orthop Muscular Syst 6, no. 240 (2017): 2161-0533.

[4] Al-Marāghī, Aḥmad bin Mustafā, Tafsīr al-Marāgī, (Mesir, Kaherah: Syarikat Maktabah wa Matba‘ah Mustafā al-Bābī al-Halabī, 1365H/1946M), Jil. 25, ms. 161.

 

[5] At-Ṭabarī, Abū Ja’far Muḥammad bin Jarīr at-Ṭabarī, Tafsīr at-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān, (Dār Hajr li at-Ṭibā’ah wa an-Nasyr wa at-Tauzī’ wa al-I’lān, 1422H/2001M), Jil. 14, ms. 65.

[6] Ibn Mājah, Abū ‘Abdullah Muḥammad bin Yazīd al-Qazwīnī, Sunan Ibn Mājah, (Dār Iḥyā’ al-Kutub al-‘Arabiyah, 1431H/ 2009M), No. hadis 1853, jil. 1, ms. 595.

[7] Himpunan Para Ulama, Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Wizārah al-Auqāf wa Syuūn al-Islāmiyyah 1431H/ 2010M) Jil. 23, ms.135.

[8] Abū Daud, Sulaimān bin al-Asy’ath bin Isḥāk bin Basyīr al-Azadī al-Sijistānī, Sunan Abī Daud, (India: al-Maṭba’ah al-Anṣāriyah, 1443H/2021M) No. hadis 5225, jil. 4, ms. 525.

[9] Al-Nawāwī, Abū Zakariyā Muḥyiddīn bin Syarf al-Nawāwī, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah,

Mesir: Idārah at-Ṭibā’ah al-Munīriyah, 1431H/2009M), Jil. 4, ms. 636-637.

[10] Ibid.

Accessibility Toolbar