Tarikh: 12 Julai 2024
Disediakan oleh: Nor Hanani binti Ahmad
Pendahuluan
Seringkali
didengari tentang puasa Tasu’aa’ dan‘Asyuraa’ apabila
memasuki tahun baru hijrah. Ia berlaku pada bulan Muharram yang merupakan salah
satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Justeru itu, apakah keistimewaan
puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ sehingga menjadi keutamaan
amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam?
Keistimewaan Bulan Muharram
Bulan Muharram
merupakan salah satu daripada empat bulan haram (asyhur al-hurum) iaitu bulan-bulan yang dimuliakan daripada 12 bulan
yang diciptakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Taubah ayat 36:
إِنَّ
عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ
يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ
الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا
الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ
اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah
ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan
langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang
demikian itu ialah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu
dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan
perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu
seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang
bertaqwa.
Menurut tafsir
Ibn Kathir empat bulan yang dimaksudkan adalah bulan Zulqa’dah, Zulhijjah,
Muharram dan Rajab[1]
sebagaimana diriwayatkan daripada Abi Bakrah bahawa Nabi SAW bersabda[2]:
إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ
يَوْمَ خَلَقَ الله السماوات وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا
مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حرم ثلاث متواليات: ذو القعدة وذو الحجة وَالْمُحَرَّمُ
وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya waktu telah berputar sebagaimana pada hari
Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun ada 12 bulan, empat di antaranya
adalah bulan haram, tiga berturut-turut iaitu Zulqa’dah, Zulhijjah, Muharram
dan Rajab berada di antara Jumada dan Sya’ban.
(Hadis Riwayat
al-Bukhari)
Tafsir al-Munir
menukilkan bahawa empat bulan ini merupakan bulan yang mulia di mana
kemaksiatan dibalas dengan azab yang lebih dahsyat dan ketaatan yang dilakukan
menjanjikan pahala yang lebih besar serta Allah SWT memuliakan beberapa waktu
dan tempat sebagaimana yang dikehendaki-Nya.[3]
Peristiwa yang Berlaku pada Bulan Muharram
Terdapat
peristiwa yang berlaku khususnya pada 10 Muharram atau hari ‘Asyuraa’ sebagaimana diriwayatkan daripada
A’ishah RA[4]:
كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ تَصُومُهُ
قُرَيْشٌ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَصُومُهُ فَلَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ صَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: Pada zaman Jahiliah, orang-orang Quraisy berpuasa pada
hari ‘Asyuraa’. Rasulullah SAW juga berpuasa pada masa tersebut. Apabila
Baginda tiba di Madinah, Baginda berpuasa dan memerintahkan umatnya untuk
berpuasa.
(Hadis Riwayat
al-Bukhari)
Hadis lain yang
diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA telah berkata[5]:
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ
فَقَالَ: مَا هَذَا. قَالُوا: هَذَا يَوْمٌ صالح هذا يوم نجى الله نبي
إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ: فَأَنَا أحق بموسى منكم.
فصامه وأمر بصيامه
Maksudnya: Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda melihat orang-orang
Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyuraa’. Baginda bertanya: Apa ini? Mereka
menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan bani
Israel daripada musuh mereka, maka Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut
sebagai tanda kesyukuran. Nabi SAW menjawab: Aku lebih berhak terhadap Nabi
Musa daripada kalian (Yahudi), maka kami berpuasa pada hari itu dan Baginda
menyuruh kami agar berpuasa.
(Hadis Riwayat
al-Bukhari)
Berdasarkan
kepada hadis-hadis di atas, puasa yang dilakukan oleh orang Yahudi pada hari
tersebut sebagai memperingati peristiwa yang telah berlaku iaitu peristiwa Nabi
Musa dan kaumnya Bani Israel diselamatkan daripada Fir’aun.
Walaupun begitu, daripada hadis ini Nabi SAW perintahkan umatnya
untuk berpuasa berbeza dengan amalan kaum Yahudi iaitu dengan menambah puasa
sehari sebelum hari ‘Asyuraa’ sebagaimana hadis yang diriwayatkan
daripada Ibn ‘Abbas berkata, Nabi SAW bersabda:
صوموا
يوم
عاشوراء
وخالفوا
فيه
اليهود
صوموا
قبله
يوماً
أو
بعده
يوماً
Maksudnya: Puasalah kalian pada
hari ‘Asyuraa’ berbeza dengan puasa kaum Yahudi iaitu puasalah sehari
sebelum atau selepasnya.
(Hadis Riwayat Ahmad)
Menurut Imam
al-Nawawi disunatkan berpuasa pada hari ‘Asyuraa’ dan hari sebelumya
atau dikenali sebagai puasa hari Tasu’aa’[6]
berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah
SAW bersabda[7]:
لئن بَقِيتُ إلى قابلٍ لأصومنّ اليومَ
التاسع
Maksudnya: Sungguh jika aku masih hidup hingga tahun depan maka aku
akan berpuasa pada hari ke sembilan.
(Hadis Riwayat
Ahmad)
Menurutnya lagi,
istilah Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’
merupakan istilah yang masyhur digunakan dalam kitab bahasa (lughah) sebagaimana diceritakan oleh Ibn
‘Umar dan al-Shaybani secara ringkas bahawa Asyura’
adalah hari ke 10 dan Tasu’aa’ hari
ke 9 daripada bulan Muharram. Hal ini demikian, bagi membezakan amalan puasa
umat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.
Diceritakan oleh Ismail bin Umayyah bahawa beliau mendengar Abu
Ghatfan bin Tarif al-Mariyy berkata: Aku mendengar Abdullah bin ‘Abbas RA
berkata[8]:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا
رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ
يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى. فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه
وسلم: فإذا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ
التَّاسِعَ. قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyuraa’ dan Baginda memerintahkan
mereka untuk berpuasa, mereka berkata: Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya hari
tersebut diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW bersabda:
Tahun depan inshaAllah kita berpuasa pada hari kesembilan (Tasu’aa’), akan tetapi sebelum tiba tahun hadapan Rasulullah SAW
telah wafat.
(Hadis Riwayat
Muslim)
Keutamaan Puasa Tasu’aa’
dan ‘Asyuraa’
Keutamaan puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ telah disebutkan
oleh beberapa hadis sebagaimana berikut:
Puasa Tasu’aa’ dan ‘Asyuraa’ dapat
menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu. Ia merupakan salah satu nikmat dan
kemurahan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Perkara ini disandarkan kepada hadis
yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah, bahawa seorang lelaki datang kepada
Rasulullah SAW dan bertanya mengenai puasa dan Baginda SAW bersabda[9]:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ
عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي
بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يكفر
السنة التي قبله
Maksudnya: Puasa pada hari Arafah akan diampunkan dosa setahun
sebelum dan selepasnya dan puasa hari Asyura’
akan diampunkan dosa setahun sebelumnya.
(Hadis Riwayat
Muslim)
Hadis yang
diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA dia berkata[10]:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ
إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شهر رمضان
Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Nabi SAW bersungguh-sungguh
berpuasa pada hari yang dilebihkan oleh Baginda melainkan pada hari ini, iaitu
hari ‘Asyuraa’ dan bulan ini, iaitu bulan Ramadhan.
(Hadis Riwayat
al-Bukhari)
Kesungguhan Nabi
SAW berpuasa pada hari ‘Asyuraa’ menjadi sebab keutamaan puasa ‘Asyuraa’
dilakukan dengan menambah puasa Tasu’aa’ pada hari sebelumnya bagi
membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani.
Kesimpulan
Puasa Tasu’aa’
dan ‘Asyuraa’ merupakan amalan puasa yang digalakkan sebagaimana amalan
yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Disamping
itu, amalan ini dapat membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa orang
Yahudi. Ganjaran yang dijanjikan juga mendorong umat Islam untuk mempertingkatkan
ibadah puasa khususnya pada bulan-bulan haram.
[1] Ibn Kathīr, Abū al-Fidā’ Ismā’il bin Umar bin Kathīr
al-Qurasyī al-Baṣarī Thumma al-Dimasyqī, Tafsīr
Ibn Kathīr, (Dār Ṭayyibah lil Nasyr wa al-Tawzī’, 1999), Jil. 2, ms. 9.
[2] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi
(M. 256), Ṣahīh al-Bukhārī, Peny.
Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:
Dār Ibn Katsīr, 1993), Hadis no. 4385, Jil. 4, Ms. 1712.
[3] Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-’Aqidah wa al-Syariah wa al-Manhaj,
(Damsyik: Dar al-Fikr, 1991), Jil. 10, ms. 201.
[4] Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī
al-Ja’fi, Ṣahīh al-Bukhārī, Peny.
Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:
Dār Ibn Katsīr, 1993), Hadis no. 1898, Jil. 2, Ms. 704.
[5] Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī
al-Ja’fi, Ṣahīh al-Bukhārī, Hadis no.
1900 Jil. 2, Ms. 704.
[6] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Syarf al-Nawawi, (1929), al-Majmu’ Syarḥ al-Muhaẓab, (Kāherah:
Idārah al-Tibā’ah al-Muniriah), Jil. 6, ms. 382.
[7] Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal, Musnad al-Imām Aḥmad bin Hanbal, (Kaherah: Dār al-Ḥadīth, 1995),
Hadis no, 1972, Jil. 2, Ms. 468.
[8] Abu al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujaj al-Qusyairi
al-Naysābūrī, Sahih Muslim, (Kaherah:
Matba’ah Isa al-Bābī al-Ḥalbī wa Syarkahu, 1955), Hadis no. 1134, Jil. 2, 797.
[9] Abū al-Ḥusayn Muslim bin Al-Hajjāj bin Muslim
Al-Qushayrī Al-Nisāburī, Ṣaḥīḥ Muslim,
(Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu, 1955), Hadis no. 1162,
Jil. 2, ms. 818.
[10] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi
(M. 256), Ṣahīh al-Bukhārī, Peny.
Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:
Dār Ibn Katsīr, 1993), Hadis no. 1902, Jil. 2, Ms. 705.