#61 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Mengiringi Zikir Dengan Muzik

 

Tarikh: 12 Jun 2024

Disediakan oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan

 

Pendahuluan

Dalam menjalankan aktiviti seharian, zikir menjadi amalan yang sangat dianjurkan bagi setiap Muslim. Ia adalah salah satu amalan yang disuruh supaya diperbanyakkan sebagaimana ibadah-ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Ternyata bahawa amalan zikir bukan hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan yang boleh membersihkan dan menyucikan jiwa manusia. Namun apakah diperbolehkan untuk mengiringinya dengan muzik atau peralatannya? Perbahasan ini dijelaskan melalui makna dan adab-adab berzikir serta hukum mengiringinya dengan muzik.

 

Makna Zikir Dan Suruhan Memperbanyakkannya

Zikir merupakan salah satu perbuatan mengingati Allah SWT dengan menyebut nama-nama-Nya sama ada secara lafaz dengan lidah atau melakukannya di dalam hati.[1] Ia merupakan satu ibadah yang meliputi ungkapan istighfar, doa, selawat, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan Al-Quran dan seumpamanya. Seorang hamba yang ingin dekat dengan Allah SWT hendaklah memperbanyakkan zikir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 41:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah kalian kepada Allah dengan zikir yang banyak.

 

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌سَبَقَ ‌الْمُفَرِّدُونَ قَالُوا: وَمَا الْمُفَرِّدُونَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الذَّاكِرُونَ اللهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتُ[2]

Maksudnya: Telah mendahului golongan al-Mufarridun. Lalu para Sahabat bertanya: Siapakah golongan al-Mufarridun wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Orang lelaki dan perempuan yang mengingati Allah SWT dengan banyak.

(Riwayat Muslim)

Melihat kepada pernyataan tersebut, segala sesuatu yang berada di bawah makna zikir ini berkait rapat dengan perbuatan mengingati Allah SWT, di mana perbuatan ini merupakan sesuatu perkara yang baik dan suci serta memiliki adab yang perlu dijaga bagi memperoleh hasilnya iaitu ganjaran pahala dan taqarrub kepada Allah SWT.

Hikmah Berzikir Dengan Memperlahan Dan Menyembunyikan Suara

Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya mengingati-Nya dengan penuh rasa rendah diri berdasarkan firman di dalam surah al-A’raaf ayat 205:

 

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً

Maksudnya: Dan ingatlah Tuhan kamu di dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.

 

Imam al-Tabari menukilkan pendapat Mujahid bin Jabr yang menyebutkan bahawa :

أُمِرُوا أَن يَذْكُرُوهُ فِي الصُّدُورِ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً[3]

Maksudnya: Mereka diperintahkan untuk mengingati-Nya di dalam dada dengan penuh rasa rendah diri dan takut.

Maka, ini bererti perasaan rendah diri dan perasaan takut itu perlu dihadirkan bersama ketika mengingati Allah SWT.

Antara hikmah tersebut ialah:

  1. Menunjukkan bukti beriman kepada Allah SWT Yang Maha Mendengar. Dia Maha Mendengar zikir para hamba-Nya sekalipun dilakukan secara perlahan. Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA mengatakan bahawa:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُوْنَ فِيْ التَّكْبِيْرِ، فَقَالَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم:أَيُّهَا النَّاس ارْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لَا تَدْعُوْنَ أَصُمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا وَهُوَ مَعَكُمْ[4]

Maksudnya: Kami dahulu pernah bersama dengan Nabi SAW (dalam suatu permusafiran). Orang ramai bertakbir dengan kuat. Lalu Nabi SAW bersabda: Wahai sekalian orang, kasihanilah diri kamu sendiri, sesungguhnya kamu semua bukan menyeru zat yang pekak dan jauh, sebaliknya kamu semua menyeru kepada tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Dekat, Dia bersama dengan kamu semua.

 (Riwayat al-Bukhari)

  1. Memperlahan dan menyembunyikan suara ketika berzikir termasuk di dalam adab dan perbuatan mengagungkan Allah SWT. Bukankah ketika berbicara dengan seorang raja tidak wajar diangkat dan ditinggikan suara dek memuliakannya? Melainkan berbicara dengannya sekadar suara yang dapat didengarinya sahaja. Maka Allah SWT amat sempurna dan mulia dari segalanya. Jika Allah SWT Maha Mendengar suara yang perlahan, maka apakah keperluan untuk mengeraskan dan menguatkan suara zikir secara berlebihan kepada-Nya? Bahkan perbuatan tersebut tidak bersesuaian dengan adab yang sewajarnya bagi seseorang yang benar-benar merendahkan diri di hadapan Tuhannya.

 

  1. Lebih bersesuaian dengan sifat khusyuk, merendah diri serta lebih hampir kepada ikhlas. Ia juga sebagai tanda seseorang hamba itu merasai dirinya benar-benar hampir serta berharap kepada Allah SWT dalam keadaan dia merasakan dirinya miskin dan hina, maka sudah tentu dia akan merendahkan suaranya.

 

  1. Dapat mengelakkan diri daripada rasa jemu. Ini kerana berzikir dengan suara yang perlahan dan berbisik tidak meletihkan anggota badan. Berbeza jika dilantangkan suara yang sudah tentu akan menyebabkan letih dan akan menjadikan seseorang itu tidak mampu melakukannya berulang kali, sedangkan zikir digalakkan kepada pengulangan dan istiqamah.

Hakikat Adab Berzikir Di Dalam Majlis

Syeikh Abdul Qadir Isa menjelaskan tentang adab-adab zikir yang diperdengarkan suara khususnya ketika berada di dalam majlis-majlis zikir. Beliau menegaskan bahawa:

 

الذِّكْرُ الجَهْرِيُّ لَهُ آدَابٌ ثَلَاثَةٌ : آدَابٌ سَابِقَةٌ ، وَآدَابٌ مُقَارَنَةٌ ، وَآدَابٌ لَاحِقَةٌ ، وَكُلُّ قِسْمٍ مِنْ هَذِهِ الثَّلَاثَةُ لَهُ ظَاهِرٌ وَبَاطِنٌ[5]

Maksudnya: Zikir dengan mendengarkan suara memiliki tiga adab iaitu adab sebelum, semasa dan selepas berzikir dan masing-masing daripada ketiga-tiga adab ini memiliki adab zahir dan juga batin.

Antara adab tersebut ialah:

  1. Adab sebelum berzikir

Zahir

Batin

  1. Suci daripada hadas besar dan kecil serta mengenakan pakaian yang bersih. Nabi SAW bersabda:

إنِيِّ كَرَهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا عَلَى طُهْرٍ[6]

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak suka menyebut nama Allah ‘Azza wa Jalla melainkan dalam keadaan suci.

                                      (Riwayat Abu Daud)

 

  1. Menjauhi perkara yang diharamkan baik dalam urusan pekerjaan mahupun sumber makanan yang diperoleh.
  1. Ikhlas kerana Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al Bayyinah ayat ke 5:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: Dan tidaklah mereka itu disuruh untuk menyembah Allah melainkan mereka itu orang-orang yang ikhlas dalam urusan agama.

 

  1. Berusaha untuk bertaubat.
  2. Membersihkan hati.
  3. Merendahkan hati.
  4. Mengharapkan rahmat Allah SWT.

 

  1. Adab semasa berzikir

Zahir

Batin

  1. Tidak mengubah lafaz zikir dan membaca sesuai panjang pendeknya.[7]
  2. Memberi ruang kepada jemaah lain untuk mendapatkan tempat duduk.
  3. Tidak terlalu menguatkan suara supaya tidak mengganggu ibadah orang lain.
  4. Memejamkan mata untuk mendapatkan khusyuk.
  5. Meminta izin meninggalkan majlis kepada jemaah yang berdekatan dengan sopan.
  1. Menghadirkan hati ketika berzikir. Imam al-Nawawi RH mengatakan:

المُرَادُ مِنَ الذِّكْرِ حُضُورُ القَلْبِ فَيَنبَغِي أَن يَكُونَ هُوَ مَقْصُودُ الذَّاكِرِ فَيَحْرُصُ عَلَى تَحْصِيلِهِ وَيَتَدَبُّرِ مَا يَذْكُرَ وَيَتَعَقَّلَ مَعْنَاهُ، فَالتَّدَبُّرُ فِي الذِّكْرِ مَطْلُوبٌ[8]

Maksudnya: Yang dikehendaki dari zikir ialah kehadiran hati. Maka semestinya dijadikan inilah tujuan oleh seseorang yang berzikir. Hendaklah dia bersungguh menghadirkannya dan memerhatikan apa yang dizikirkannya dan memikirkan makna zikir yang diucapkannya. Memerhatikan ungkapan zikir ketika berzikir adalah suatu yang dituntut.

  1. Mengetahui makna zikir yang dilafazkan.
  2. Tidak memikirkan tentang kesibukan dunia.
  3. Cuba untuk fokus supaya boleh mendapatkan keutamaan dan pahala dari Allah SWT.

 

  1. Adab selepas berzikir

Zahir

Batin

  1. Bersalaman dengan Imam dan jemaah.
  2. Tidak meninggalkan ibadah zikir selepas selesai majlis.
  3. Mendengar nasihat Imam dan para jemaah.
  1. Berusaha istiqamah dengan amalan zikir.
  2. Berdoa agar dijauhkan daripada perbuatan-perbuatan yang mendatangkan murka Allah SWT.

 

Imam Maimun Ibn Mihran berkata:

الذِّكْرُ ذِكْرَانِ ذِكْرُ اللهِ بِاللِّسَانِ، وَأَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ أَنْ تَذْكُرَهُ عِنْدَ الْمَعْصِيَةِ إِذَا أَشْرَفْتَ عَلَيْهَا[9]

Maksudnya : Zikir itu ada dua. Zikrullah dengan menggunakan lisan (lidah), dan yang lebih afdal dari itu adalah kamu mengingat-Nya ketika mana kamu hampir melakukan maksiat.

Kita dapat lihat bahawa ibadah zikir yang sebenarnya lebih berfokuskan kepada mengingati Allah SWT semata. Alangkah baiknya sekiranya ia tidak dicampuri dengan sesuatu yang berkemungkinan boleh mendatangkan fitnah meskipun perkara-perkara tersebut tidak dilarang oleh agama.

Hukum Alunan Zikir Yang Disertai Iringan Dari Peralatan Muzik Dalam Tempat Ibadah

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014 mengenai kedudukan perbuatan zikir sambil memukul gendang atau peralatan muzik yang lain dalam masjid atau surau adalah:

 

i.   Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, pihak Muzakarah menegaskan bahawa amalan berzikir adalah suatu tuntutan yang dianjurkan oleh Islam dan dianggap sebagai ibadah sunat bagi mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya.

 

ii.                 Muzakarah juga berpandangan bahawa amalan berzikir pada masa kini yang telah ditambah dengan cara memukul alat muzik seperti rebana, tabla (gendang) dan sebagainya di dalam masjid atau surau oleh sesetengah pihak, boleh mengganggu urusan ibadah orang lain yang datang untuk menunaikan solat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya. Perbuatan sebegini adalah ditegah oleh Nabi SAW berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudry RA berkata bahawa:

اعْتَكَفَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ يُنَاجِي رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ[10]                                            

Maksudnya: Baginda SAW sedang beriktikaf dia dalam masjid lalu mendapati para Sahabat sedang sembahyang dan mereka menguatkan (menyaringkan) bacaannya, lalu Baginda SAW menyingkap tirai lantas bersabda: Sesungguhnya setiap kalian orang yang solat itu bermunajat kepada tuhan-Nya, maka janganlah kalian menyakiti sesama kalian (akibat daripada menyaringkan bacaan), dan janganlah menyaringkan suara sebahagian dari kamu atas sebahagian (mengatasi) yang lain dengan bacaan-bacaan Al-Quran.

       (Riwayat Abu Daud)

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melafazkan zikir sambil diiringi dengan muzik yang dibenarkan syarak adalah harus sekiranya ia dilakukan selain daripada kawasan masjid dan surau. Segala pelaksanaan yang berkait rapat dengannya sama ada seperti masa persembahan, cara penyampaian mahupun suasana tempat persembahan harus diambil kira, termasuklah pemilihan muzik yang mengiringi zikir-zikir tersebut mestilah bersesuaian dengan kehormatan serta kemuliaan ibadah zikir.

Kesimpulan

Meskipun dalam era modenisasi ini lantunan zikir telah banyak diolah konsepnya dengan dimasukkan irama lagu dan muzik untuk menarik minat pendengar, beberapa perkara perlu dititikberatkan di samping mengekalkan tujuan dan menjaga sebutan zikir-zikir tersebut agar tidak lari dari makna-maknanya yang sebenar.

 

Perkara-perkara luar daripada makna zikir yang diiringkan bersamanya memungkinkan zikir tersebut hilang kesucian dan menjadi kurang adab seperti melafazkannya sambil bermain muzik atau apa sahaja jenis peralatan adalah tidak digalakkan malah adalah lebih baik untuk dielakkan dan ditinggalkan. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa melazimi zikrullah.



[1] Dewan Bahasa dan Pustaka.

[2] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī. Sahīh Muslim. (Turki: Dar Al-Tibā’ah Al- ‘Amārah, 1915M). Jil. 8, ms. 63, no. hadis 2676 .

 

[3] At-Ṭabarī, Muhammad bin Jarīr at-Ṭabarī, Tafsīr at-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān, (Mekah: Dār at-Tarbiyyah wa at-Turath,1431H), Jil. 13, ms. 354.

[4] Al-Bukhari, Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il Al-Bukhārī Al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Jil. 3, ms. 1091, no. hadis 2830.

[5] Sayyid Uthmān al-Batāwī, Maslak al-Akhyār fī al-Ad’iyyah wal Adzkār al-Wāridah ‘an Rasūlillah, (Indonesia: Syirkah Maktabah al-Madaniyah, t.t), ms. 1-2.

[6] Aḥmad bin Ḥanbal, Musnad al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal, (Muassasah ar-Risālah, 1421H/2001M), Jil. 31, ms. 381, no. hadis 19034.

[7] Sayyid Uthmān al-Batāwī, Maslak al-Akhyār fī al-Ad’iyyah wal Adzkār al-Wāridah ‘an Rasūlillah, (Indonesia: Syirkah Maktabah al-Madaniyah, t.t) hal 1-2.

[8] Al-Nawāwī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (1972M), al-Azkar al-Nawawiyyah, (t.t),ms. 16.

[9] Abū Nuaim al-Aṣbahānī, Ḥilyah al-Awliya’ wa Ṭabaqāt al-Aṣfiya’, (Mesir: Maṭba’ah as-Sa’ādah, 1394H/1974M), Jil. 4, ms. 87.

[10] Muhammad bin ‘Abdul Bāqī bin Yusuf Al-Zurqānī, Syarh Al-Zurqānī ‘Alā Muwaṭṭa’ Al-Imām Mālik, (Kaherah: Maktabah Ath-Thaqāfah Ad-Dīniah, 1424H/2003M), Jil. 1, ms. 310.

 

Accessibility Toolbar