Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pengenalan
Seluruh umat Islam menyambut Hari Raya ‘Idul Adha pada setiap 10 Zulhijjah mengikut kalendar Hijri. Manakala sehari sebelum perayaan iaitu 9 Zulhijjah, terdapat hari istimewa buat umat Islam yang dikenali sebagai hari Arafah, di mana mereka yang mengerjakan haji di Mekah akan berwukuf di padang Arafah. Digalakkan bagi umat Islam yang tidak mengerjakan haji untuk berpuasa sunat hari Arafah. Perkara ini menjadi persoalan bagi segelintir masyarakat berkenaan puasa sunat hari Arafah perlu dilakukan mengikut tarikh di Mekah atau di Malaysia? Bagaimana pula waktu mustajab doa sama ada mengikut hari Arafah di negara kita atau mengikut waktu jemaah haji berwukuf di Arafah? Justeru itu, artikel ini akan membincangkan isu tersebut.
Kelebihan Hari Arafah
Berpuasa pada Hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas. Daripada Abu Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.
Imam al-Nawawi menghuraikan maksud dosa-dosa yang diampunkan oleh Allah SWT:
قال النووي: قالوا: المراد بالذنوب الصغائر، وإن لم تكن الصغائر يرجى تخفيف الكبائر، فإن لم تكن رفعت الدرجات. انتهى
Maksudnya: Kata al-Nawawi: Maksud dosa-dosa (yang diampunkan) ialah dosa-dosa kecil, sekiranya bukan dosa-dosa kecil maka moga-moga Allah SWT meringankan dosa-dosa besar. Sekiranya bukan, moga-moga Allah SWT mengangkat darjat-darjat.
Malah, Baginda SAW sendiri melazimi puasa pada hari Arafah sebagaimana sabda Nabi SAW:
أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ
Maksudnya: Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa 9 Zulhijjah.
Disunatkan juga berpuasa pada hari Tarwiyah iaitu pada 8 Zulhijjah. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Khatib:[5]
وَيُسَنُّ أَيْضًا صَوْمُ الثَّمَانِيَةِ أَيَّامٍ قَبْلَ يَوْمِ عَرَفَةَ كَمَا صَرَّحَ بِهِ فِي الرَّوْضَةِ وَلَمْ يَخُصَّهُ بِغَيْرِ الْحَاجِّ، فَيُسَنُّ صَوْمُهَا لِلْحَاجِّ وَغَيْرِهِ
Maksudnya: Disunatkan juga berpuasa pada hari kelapan (8 Zulhijjah) sebelum hari Arafah sebagaimana yang disebutkan dalam al-Raudah, dan puasa ini tidak dikhususkan kepada orang selain haji. Maka disunatkan untuk berpuasa (8 Zulhijjah) ini bagi jemaah haji dan juga yang tidak mengerjakan haji.
Doa Mustajab Hari Arafah
Hari Arafah juga merupakan hari yang dimustajabkan doa, sabda Nabi SAW:
خير الدعاء دعاء يوم عرفة وخيرُ ما قلت أنا والنبيُّون من قبلي: لا إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لهُ الملكُ ولهُ الحمدُ وهو على كُلِّ شَيْء قَدِير
Maksudnya: Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah: Lā Ilāha Illa Allāhu Waḥdahu Lā Syarīka Lahu, Lahu al-Mulk wa Lahu al-Hamd Wa Huwa ‘Alā Kulli Syai’in Qadīr.
Fadilat doa mustajab ini adalah bersifat umum kepada jemaah haji dan juga bagi mereka yang tidak menunaikan haji. Bagi mereka yang tidak berada di padang Arafah, waktu mustajab doa adalah pada 9 Zulhijjah iaitu sepanjang hari Arafah (bermula pada waktu Maghrib 9 Zulhijjah hingga masuk waktu Maghrib malam raya) tanpa dikhususkan waktu tertentu seperti waktu berwukuf di Arafah bagi jemaah haji. Hal ini kerana zahir lafaz hadis tersebut menyebutkan hari Arafah secara umum tanpa mengkhususkan waktu berwukuf sebagaimana yang disebut oleh kebanyakan ulama.
Perbezaan Hari Arafah Mengikut Negara
Perbezaan ketetapan hari raya dalam bulan Islam adalah disebabkan oleh perbezaan matla’ antara satu negara dengan negara yang lain. Perbezaan matla’ ialah tempat terbit anak bulan dalam penentuan hilal (anak bulan) atau penampakan hilal. Hal ini kerana, penetapan bulan adalah berdasarkan kepada beberapa kaedah iaitu rukyah (رؤية) dan hisab (حساب) falak. Kaedah rukyah dan hisab ini berdasarkan kriteria imkan al-rukyah (kebolehnampakan) iaitu penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan qamariah berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya. Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ telah bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَصُومُوا ثَلاثِينَ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kamu kerana melihatnya iaitu anak bulan dan berbukalah kamu kerana melihatnya. Sekiranya ia terlindung daripada kamu maka genapkanlah bilangan bulan Sya’ban tiga puluh hari.
Penetapan anak bulan dilakukan pada hari ke 29 qamariah bergantung kepada keadaan langit cerah dan pencerapan anak bulan. Pencerapan anak bulan sangat penting bagi menentukan tempoh masa pelaksanaan suatu ibadah khususnya untuk bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah. Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 189:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَن تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ ۗ وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿١٨٩﴾
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.
Polemik penetapan puasa sunat Arafah seringkali menjadi isu kerana ia terjadi pada setiap tahun. Persoalannya, adakah perkiraannya mengikut anak bulan di sesebuah negara atau mengikut hari sebenar berlakunya wukuf di Arafah di Arab Saudi?
Menurut mazhab Syafi’i, perkiraannya adalah mengikut tempat kita berada dan hendaklah berpegang kepada keputusan yang diputuskan oleh pemerintah tempatan.
Perbezaan kedudukan antara kedua-dua negara ini iaitu Malaysia yang berada di sebelah timur dan Arab Saudi berada di sebelah barat menyebabkan berlakunya perbezaan dalam isu penampakan anak bulan. Bukanlah suatu yang luar biasa apabila di Malaysia anak bulan belum kelihatan, sedangkan di Saudi sudah kelihatan kerana Saudi berada di sebelah barat Malaysia dengan perbezaan jam yang tentunya menyebabkan umur bulan lebih matang sehingga lebih jelas untuk dilihat. Mazhab Syafi’i berpandangan bahawa apabila kelihatan anak bulan di sesebuah tempat, maka wajib berpuasa bagi negeri yang berhampiran akan tetapi bukan dalam negeri yang berjauhan disebabkan oleh perbezaan matla’. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Abu Harmalah, kata beliau:
عَنْ كُرَيْبٍ، أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ: فَقَدِمْتُ الشَّامَ، فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا، وَاسْتَهَلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ، وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلالَ، فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلالَ؟ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ، وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ: لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلاثِينَ، أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَوَ لا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لا هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya: Daripada Kuraib, bahawa dia pernah disuruh oleh Ummu Al-Fadhil binti Al-Harith untuk menemui Mu`awiyah yang berada di Syam. Kata Kuraib: Aku telah berangkat ke Syam bagi menyelesaikan keperluan di sana. Aku melihat hilal Ramadhan ketika aku masih di sana (Syam), tepat pada malam Jumaat. Maka sesampai aku di Madinah, di penghujung bulan tersebut, Abdullah ibn Abbas bertanya kepadaku: bila kamu melihat awal bulan Ramadhan itu? Aku menjawab: pada malam Jumaat. Abdullah bertanya lagi: betulkah kamu melihatnya pada malam itu? Jawabku lagi: Ya, dan banyak orang menyaksikan dan melihatnya. Maka mereka berpuasa seperti yang dilakukan oleh Mu`wiyah. Abdullah ibn Abbas berkata: akan tetapi aku melihatnya pada malam Sabtu. Kerana itulah aku pun berpuasa setelah genap tiga puluh hari atau setelah melihat awal bulan Ramadhan. Aku bertanya: Tidakkah anda cukup mengikuti rukyah dan puasanya Mu`awiyah? Abdullah ibn Abbas berkata: Tidak. Demikianlah aku diperintahkan oleh Rasulullah SAW.
Justeru, kita hendaklah berpegang dengan ketetapan pemerintah dalam soal penetapan awal bulan Islam. Kata Imam al-Nawawi:
إذَا رُئِيَ بِبَلَدٍ لَزِمَ حُكْمُهُ الْبَلَدَ الْقَرِيبَ دُونَ الْبَعِيدِ فِي الأَصَحِّ، وَالْبَعِيدُ مَسَافَةُ الْقَصْرِ، وَقِيلَ بِاخْتِلافِ الْمَطَالِعِ، قُلْتُ: هَذَا أَصَحُّ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ
Maksudnya: Apabila anak bulan telah dilihat di suatu negeri, maka wajib bagi negeri yang berhampiran dengannya (turut berpuasa kerana telah masuk Ramadhan) tetapi negeri yang berada berjauhan tidak wajib mengikut rukyah negeri tersebut menurut pandangan yang muktamad (asoh). Kadar jauh ialah jarak harus diqasarkan solat. Menurut sebahagian ulama: Perbezaan matla’. Menurutku (al-Nawawi): Ini adalah pandangan yang muktamad (asoh).
Kesimpulan
Kesimpulannya, berpuasa pada hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah mengikut tarikh yang diputuskan di negara masing-masing. Hal ini kerana setiap tempat adalah berbeza matla’ (tempat terbit) yang mempengaruhi pengisytiharan awal bulan. Perbezaan tarikh bagi penetapan hari raya adalah perkara yang biasa berlaku. Manakala doa mustajab pada hari Arafah berlaku sepanjang hari tersebut mengikut negara masing-masing tanpa dikhususkan waktu-waktu tertentu.