Tarikh: 12
Jun 2024
Disediakan
oleh: Nor Hanani Ahmad
Pendahuluan
Ibadah korban merupakan sunat muakkad dan amalan yang paling afdal dilakukan pada Hari Raya
Korban. Ramai umat Islam yang berkemampuan mengambil peluang untuk
melaksanakannya. Bagi menyempurnakan ibadah korban, beberapa syarat dan hukum
haruslah dipatuhi oleh peserta, pihak pengurusan, penyembelih dan pelapah
korban. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah berkenaan pemberian
upah kepada penyembelih dan pelapah korban bagi menyempurnakan ibadah korban.
Perbahasan Tentang Upah
Setiap pekerja mempunyai hak sebagai seorang pekerja untuk mendapat
ganjaran daripada penggunaan tenaga atau kepakarannya dalam melakukan sesuatu
pekerjaan khususnya pekerjaan yang halal dan menepati syariat. Ganjaran yang
dimaksudkan adalah gaji pekerja seperti yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA,
Nabi SAW bersabda:
أَعْطُوا الْأَجِيرَ أَجْرَهُ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ[1]
Maksudnya: Berilah pekerja itu upahnya sebelum kering
peluhnya
(Hadis Riwayat Ibn Majah)
Memberi upah menurut kitab Hasyiah al-Sanadi ala Sunan Ibn Majah
bermaksud memberi upah terhadap sesuatu pekerjaan[2]. Hal ini
jelas menunjukkan bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah diberikan
upah dengan segera mengikut persetujuan antara majikan dan pekerja.
Manakala upah menurut Kamus Dewan
ialah wang dan lain-lain yang diberikan kepada orang yang disuruh mengerjakan
sesuatu atau bayaran sebagai pembalasan jasa serta ganjaran untuk tenaga orang
yang telah digunakan[3].
Berdasarkan huraian di atas,
penyembelih dan pelapah juga merupakan suatu pekerjaan yang selayaknya diberi
upah atas kelayakan dan kepakaran yang diberi. Upah yang diberikan mestilah
mematuhi syarat yang ditetapkan dalam hukum sembelihan korban.
Hukum Memberi Daging Korban Sebagai
Upah Kepada Penyembelih dan Pelapah
Apabila seseorang melakukan ibadah korban, daging, kulit
atau mana-mana bahagian anggota haiwan korban haram diberikan kepada
penyembelih dan pelapah sebagai upah menyembelih dan melapah Binatang korban.
Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA:
أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا
وَجُلُودِهَا، وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا،
قَالَ: نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا[4]
Maksudnya: Rasulullah SAW
memerintahkan kepadaku untuk menguruskan haiwan korbannya dan membahagikan
dagingnya, kulitnya serta mengurus
segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku tidak dibenarkan
memberikan kepada tukang sembelih apa-apa bahagian daripadanya. Ali berkata:
Kami membayar upahnya daripada harta kami sendiri.
(Muttafaqun ‘Alaih)
Berdasarkan hadis ini, para sahabat
memberi upah kepada penyembelih dengan upah lain yang ditanggung sendiri oleh
mereka. Hal ini menunjukkan larangan mengambil daging atau anggota korban
sebagai upah namun begitu tidak melarang untuk diberikan upah kepada
penyembelih[5].
Selain itu, dalam kitab Bulugh al-Maram menjelaskan bahawa
tidak diberi upah kepada penyembelih dan pelapah dengan daging atau anggota
haiwan korban kerana dianggap sebagai jual beli seperti kenyataan berikut:
وَدَلَّ
عَلَى أَنَّهُ يَتَصَدَّقُ بِالْجُلُودِ وَالْجِلَالِ كَمَا يَتَصَدَّقُ
بِاللَّحْمِ وَأَنَّهُ لَا يُعْطِي الْجَزَّارَ مِنْهَا شَيْئًا أُجْرَةً لِأَنَّ
ذَلِكَ فِي حُكْمِ الْبَيْعِ لِاسْتِحْقَاقِهِ الْأُجْرَةَ؛ وَحُكْمُ
الْأُضْحِيَّةِ حُكْمُ الْهَدْيِ فِي أَنَّهُ لَا يُبَاعُ لَحْمُهَا وَلَا
جِلْدُهَا وَلَا يُعْطَى الْجَزَّارُ مِنْهَا شَيْئًا
Maksudnya: Dan ini menunjukkan bahawa dia (Saidina Ali)
bersedekah dengan kulit sebagaimana dia bersedekah dengan daging, dan
penyembelih tidak diberikan sedikit pun daripadanya sebagai upah kerana ia akan
menyebabkan (daging korban itu dijadikan) seperti hukum jual beli kerana
penyembelih mendapat bayaran (daripada daging korban). Hukum korban ialah
sepertimana hukum hadyu, iaitu daging dan kulitnya tidak boleh dijual
dan tidak diberikan sedikit pun kepada penyembelih.
Begitu juga yang dijelaskan oleh
Imam al-Nawawi bahawa:
وأن
لا يعطى الجزار منها لِأَنَّ عَطِيَّتَهُ عِوَضٌ عَنْ عَمَلِهِ فَيَكُونُ فِي
مَعْنَى بَيْعِ جُزْءٍ مِنْهَا وَذَلِكَ لَا يَجُوزُ وَفِيهِ جَوَازُ
الِاسْتِئْجَارِ عَلَى النَّحْرِ وَنَحْوِهِ[6]
Maksudnya: Penyembelih tidak boleh mengambil upah dari
anggota haiwan korban kerana pemberian tersebut dianggap sebagai pertukaran
daripada pekerjaannya yang memberi makna menjual sebahagiannya. Maka demikian
ia tidak diharuskan. Dan harus bagi penyembelih diberikan upah atas sembelihan
itu dengan yang lain.
Jelas di sini bahawa seseorang yang
melakukan ibadah korban hendaklah bertanggungjawab memberi upah kepada
penyembelih dan pelapah korban menggunakan kosnya sendiri. Adapun begitu,
seseorang yang melakukan ibadah korban harus memberi daging korban kepada
penyembelih dan pelapah atas kapasiti sebagai salah seorang ahli qariah yang
layak menerima daging korban[7].
Tambahan, adalah lebih mudah dan
sewajarnya jika mereka diberikan upah dalam bentuk wang ringgit yang ditanggung
oleh peserta korban itu sendiri. Bahkan, pihak masjid atau agensi yang
menguruskan perkhidmatan untuk melakukan ibadah korban juga boleh menetapkan
harga korban termasuk kos pengurusan sebagai peruntukan untuk diberikan
sebahagiannya kepada penyembelih dan pelapah sebagai upah menggunakan kepakaran
dan perkhidmatan mereka. Kos tersebut boleh merangkumi kos yang ditanggung oleh
penyembelih dan pelapah seperti kos pengangkutan, persediaan peralatan serta
masa yang diperuntukkan.
Kesimpulan
Penyembelih dan pelapah merupakan antara
individu yang diperlukan bagi menyempurnakan ibadah korban. Justeru itu,
perkhidmatan dan kepakaran mereka harus diberi upah dengan menggunakan kos lain
seperti memberikan kepada mereka wang tunai sebagai upah. Daging atau anggota
haiwan korban tidak boleh dijadikan sebagai upah kerana ia akan menyebabkan
pemberian daging korban itu berstatus jual beli, sedangkan daging korban
merupakan ibadah yang perlu disedekahkan dagingnya.
[1] Ibn Mājah
Abū ‘Abd Allah Muḥammad bin Yazīd al-Quzwainī, Sunan Ibn Mājah, (Dār Iḥyā’ al-Kutub al-’Arabiyah), No. Hadis 2443,
Jil. 2, ms. 817.
[2] Muḥammad bin
‘Abd al-Hādī al-Tatawī, Abū al-Ḥasan, Nūr al-Dīn al-Sanadī, Ḥāsyiah al-Sanadī ala Sunan Ibn Mājah,
(Beirut: Dār al-Jayl), t.t, Jil. 2, ms, 84.
[3] Laman
Sesawang Dewan Bahasa dan Persuratan Melayu, pencarian istilah ‘upah’, maklumat
dicapai pada 2 Jun 2023, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=upah
[4]Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujaj bin Muslim al-Qusyairī
al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki:
Dār al-Tabaā’ah al-Amirah, 1916), No. 1317, Jil. 4, ms. 87.
[5]Ibn Daqīq al-‘Aid, Iḥkām
al-Aḥkām Syarḥ ‘Umdah al-Aḥkām (Matba’ah al-Sunnah al-Muḥammadiah), No.
Hadis 237, Jil. 2, ms, 82.
[6] Abu Zakaria
Muḥy al-Dīn Yaḥya bin Sharf al-Nawawī, Manhaj
Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Hujaj, (Beirut: Dār Iḥya’ al-Turāth al-’Arabi,
1392), Jil. 9, ms. 65.
[7] Hisyām
al-Kāmil Ḥamid Mūsā al-Shāfi’ī al-Azharī,
Is’ād al-Bariyyah Fī Aḥkām al-Udhiyyah, (t.p: 2019), 28.