Matahari kelihatan bergerak dan beredar pada laluannya yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Keadaan ini dapat kita perhatikan secara nyata berdasarkan kedudukan tempat terbit dan tempat terbenamnya matahari yang sentiasa berubah-ubah setiap hari. Secara umumnya, matahari akan terbit di garisan 0˚ khatulistiwa pada 21 atau 22 Mac dan menuju ke arah utara pada purata gerakan 1˚ sehari dan mencapai maksimum (+23.5˚ U) pada 21 atau 22 Jun. Selepas itu, matahari akan kelihatan berpatah balik dan terbit kembali di garisan khatulistiwa 0˚ pada 21 atau 22 September. Selepas itu, matahari akan bergerak ke arah selatan dan mencapai titik maksimum (-23.5˚ S) pada 21 atau 22 Disember. Firman Allah S.W.T. dalam surah Yasin ayat 38:
وَٱلشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ
Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
Berdasarkan perubahan arah terbit dan terbenam matahari di atas muka bumi ini, maka matahari akan melalui tepat di atas Kaabah dan berada pada kedudukan istiwa’ dua kali dalam setahun. Fenomena ini dikenali sebagai Fenomena Istiwa’ A’dzam. Pada tahun 2024 ini, hitungan ahli falak menunjukkan fenomena ini akan berlaku pada 27 Mei 2024 jam 5:18 petang dan 15 Julai 2024 jam 5:27 petang. Pada ketika ini semua bayang-bayang sesuatu objek tegak akan menghala ke arah Kaabah.
Fenomena ini adalah tanda bukti kekuasaan Allah S.W.T. yang mengatur perjalanan matahari dan bulan sebagaimana Allah SWT menjadikan bintang-bintang untuk manusia mengambil petunjuk dan panduan dalam kehidupan. Firman Allah S.W.T. dalam surah an-Nahl ayat 16:
وَعَلَٰمَٰتٖۚ وَبِٱلنَّجۡمِ هُمۡ يَهۡتَدُونَ
Dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk.”
Sempena fenomena Istiwa’ A’dzam pada 27hb Mei 2024 ini jam 5:18 petang, masyarakat Islam boleh mengambil peluang untuk membuat semakan arah kiblat rumah kediaman masing-masing dengan membuat tandaan bayang satu objek tegak yang akan menunjukkan arah kiblat sebenar.