#54 Taudhih Al-Hukmi : Solat Perempuan Lebih Afdhal di Rumah atau Di Masjid

Tarikh: 9 Mei 2024

Disediakan oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar

Pengenalan

Solat merupakan tiang agama bagi setiap umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam diwajibkan ke atas diri mereka untuk menunaikan solat fardhu lima kali sehari semalam di mana jua berada. Walau bagaimanapun, kesamaran yang timbul mutakhir ini bagi kaum hawa manakah tempat yang terbaik untuk mereka menunaikan solat sama ada di rumah atau di Masjid. Hal ini kerana seakan-akan tiada galakan untuk mereka bersolat di masjid bahkan yang lebih afdhal adalah di rumah mereka, rentetan dari kefahaman secara literal terhadap hadis-hadis yang membawa kepada makna sebegitu. Justeru, perlu pencerahan hukum serta makna yang dikehendaki syarak di sebalik hadis-hadis mengenai solat bagi perempuan sama ada di rumah atau di Masjid.      

 

Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Galakan Solat Di Rumah bagi Perempuan

1.      Lafaz hadis yang menjadi sandaran utama bagi isu ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn ‘Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:  

‌صَلَاةُ ‌الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا، وَصَلَاتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا

Maksudnya: Solat seorang perempuan di rumahnya lebih baik daripada solat di dalam bilik rumahnya, dan solat seorang perempuan di dalam bilik yang lebih kecil lebih baik baginya daripada solat di rumahnya.[1]

(Riwayat Abu Daud)

Para ulama mensyarahkan  mengenai makna lafaz-lafaz dalam hadis ini seperti berikut:

I.          Lafaz بَيْتِهَا: Bilik di dalam rumah yang menjadi tempat kebiasaan tidur.[2]

II.        Lafaz حُجْرَتِهَا: Halaman rumah di mana pintu-pintu rumah berada.[3]

III.       Lafaz مَخْدَعِهَا: Bilik kecil di dalam bilik yang besar.

Ini bermakna bahawa selagi mana lebih banyak wanita melakukan solat di tempat tersembunyi dan jauh dari penglihatan orang lain adalah lebih baik dan lebih besar pahalanya. Hal ini kerana selamat baginya daripada berlaku fitnah.

2.      Hadis dari Ummu Humaid isteri kepada Abi Humaid al-Sa’idi, sesungguhnya beliau telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: 

يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُحِبُّ الصَّلَاةَ مَعَكَ، قَالَ: قَدْ عَلِمْتُ أَنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلَاةَ مَعِي ‌وَصَلَاتُكِ ‌فِي ‌بَيْتِكِ ‌خَيْرٌ ‌لَكِ ‌مِنْ ‌صَلَاتِكِ ‌فِي ‌حُجْرَتِكِ وَصَلَاتُكِ فِي حُجْرَتِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي دَارِكِ وَصَلَاتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ وَصَلَاتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِي، قَالَ: فَأَمَرَتْ فَبُنِيَ لَهَا مَسْجِدٌ فِي أَقْصَى شَيْءٍ مِنْ بَيْتِهَا وَأَظْلَمِهِ فَكَانَتْ تُصَلِّي فِيهِ حَتَّى لَقِيَتِ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di bilik tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di Masjid kaummu, dan solatmu di Masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di Masjidku. Berkata perawi (Abdullah bin Suwaid al-Ansari): Kemudian Ummu Humaid meminta untuk didirikan Masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sehingga bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.[4]

(Riwayat Musnad Ahmad)

Justeru, dapat difahami bahawa hadis-hadis yang disebutkan, kesemuanya telah memberi kefahaman dan makna yang jelas bahawa bagi seorang perempuan adalah lebih baik solat di rumahnya sendiri.

 

Hadis Yang Tidak Melarang Perempuan Untuk Solat Di Masjid

  1. Dari Saidina Ibn ‘Umar berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

‌لَا ‌تَمْنَعُوا ‌إِمَاءَ ‌اللهِ ‌مَسَاجِدَ ‌الله

Maksudnya: Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid.[5]

(Riwayat Muslim)

Di dalam riwayat lain mempunyai lafaz yang sama akan tetapi terdapat penambahan lafaz pada akhir matan hadis seperti:

وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ

Maksudnya: …tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.[6]

(Riwayat Abu Daud)

  1. Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar al-Khattab bahawasanya Nabi SAW bersabda:  

‌إِذَا ‌اسْتَأْذَنَتِ امْرَأَةُ أَحَدِكُمْ فَلَا يَمْنَعْهَا

Maksudnya: Jika seorang isteri dalam kalangan kamu meminta izin (untuk keluar ke masjid) maka janganlah kamu melarangnya.[7]

(Riwayat Bukhari)

  1. Riwayat dari Saidina Ibn ‘Umar RA, beliau berkata:

كَانَتِ امْرَأَةٌ لِعُمَرَ تَشْهَدُ صَلَاةَ الصُّبْحِ وَالْعِشَاءِ فِي الْجَمَاعَةِ فِي الْمَسْجِدِ، فَقِيلَ لَهَا: لِمَ تَخْرُجِينَ ‌وَقَدْ ‌تَعْلَمِينَ أَنَّ عُمَرَ يَكْرَهُ ذَلِكَ وَيَغَارُ؟ قَالَتْ: وَمَا يَمْنَعُهُ أَنْ يَنْهَانِي؟ قَالَ: يَمْنَعُهُ قَوْلُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ: لاَ تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ 

Maksudnya: Suatu ketika Isteri Saidina ‘Umar pernah mendirikan solat Subuh dan Isyak secara berjemaah di Masjid. Kemudian dia ditanya mengapa kamu keluar untuk solat sedangkan kamu sudah tahu bahawa ‘Umar tidak menyukai perkara ini dan dia juga ghira (cemburu). Lalu dia (si isteri) menjawab: Apakah yang telah menghalangnya daripada melarang aku dengan perbuatan ini? Ada yang menjawab: yang menghalangnya adalah sabdaan Rasulullah SAW mengenai: Jangan kamu melarang perempuan-perempuan pergi ke Masjid-masjid Allah.[8]

(Riwayat Bukhari)

  1. Riwayat lain yang datangnya dari Saidina Ibn ‘Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya: Jika perempuan-perempuan dari kalangan kamu meminta izin pada waktu malam pergi ke Masjid maka hendaklah kamu mengizinkannya.[9]

(Riwayat Bukhari)

 

  1. Hadis dari Saidina Ibn ‘Umar juga, Rasulullah SAW telah bersabda:

 

لَا ‌تَمْنَعُوا ‌نِسَاءَكُمُ ‌الْمَسَاجِدَ، ‌وَبُيُوتُهُنَّ ‌خَيْرٌ ‌لَهُنَّ

Maksudnya: Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.[10]

(Riwayat Abu Daud)

6.      Hadis yang diriwayatkan daripada ‘Amrah binti Abdurrahman bahawa beliau mendengar Saidatina ‘Aisyah RA berkata:

لَوْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ رَأَى ‌مَا ‌أَحْدَثَ ‌النِّسَاءُ ‌لَمَنَعَهُنَّ الْمَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Maksudnya: Sekiranya Rasulullah SAW melihat apa yang telah berlaku kepada wanita-wanita sekarang ini maka Baginda akan larang mereka dari pergi ke masjid sepertimana yang dilarang ke atas wanita-wanita Bani Israel.[11]

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, para ulama menerangkan bahawa larangan Nabi SAW merujuk kepada keadaan perempuan keluar ke masjid dengan memakai minyak wangi sehingga boleh menimbulkan fitnah terhadap kaum lelaki melalui bauan wangi yang dapat merangsang nafsu syahwat mereka. Justeru, mereka ditegah untuk keluar rumah walaupun ke Masjid.[12] Larangan dalam hadis ini tidak menunjukkan seorang perempuan ditegah pergi ke Masjid atau selainnya tetapi larangan mereka yang berwangi-wangian ketika keluar dari rumahnya untuk menimbulkan fitnah kepada kaum lelaki.

Hal ini dikuatkan dengan hadis yang lain mengenai larangan bagi perempuan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumahnya untuk solat di masjid; lafaz hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Zainab RA isteri Ibn ‘Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

‌إِذَا ‌شَهِدَتْ ‌إِحْدَاكُنَّ ‌الْمَسْجِدَ ‌فَلَا ‌تَمَسَّ ‌طِيبًا

Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu yakni perempuan datang ke masjid, janganlah dia memakai minyak wangi.[13]

(Riwayat Muslim)

Menerusi hadis-hadis yang lalu, tiada larangan dalam syarak bagi seorang perempuan atau isteri solat berjemaah di Masjid dengan beberapa syarat yang dapat dipenuhi baginya. Tambahan pula, Nabi SAW ada melarang para suami untuk menghalang isteri setelah dia meminta izin, akan tetapi solat di rumah adalah lebih baik baginya.  

 

Rumusan Pandangan Ulama

Berdasarkan hadis-hadis yang lalu, maka terdapat titik perbezaan yang ditemui antara hukum perempuan solat di Masjid dan tempat keutamaan bagi mereka untuk solat. Syarak mengharuskan bagi perempuan untuk solat di Masjid, bahkan suami tidak boleh melarang jika isterinya telah meminta izin daripadanya. Dalam masa yang sama, galakan kepada mereka untuk solat di rumah adalah lebih afdhal kerana bertepatan dengan hadis-hadis yang telah disebutkan. 

Namun begitu, perlu diingatkan terdapat beberapa perkara yang mesti dipebuhi agar segala fitnah ke atas diri perempuan atau isteri tersebut dapat dihindarkan. Antaranya adalah;

       Mendapat keizinan suami;

       Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan;

       Tidak memakai wangi-wangian;

       Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan.

 

Kelebihan-Kelebihan Yang Ada Pada Masjid

Solat perempuan di rumah adalah lebih baik baginya di samping keharusan baginya untuk solat di Masjid. Oleh itu, sebagai tanda memberi galakan bagi kaum perempuan keluar untuk solat di Masjid, di sini terdapat beberapa kelebihan beribadah di Masjid berbanding di rumah seperti:  

1)      Fadilat Masjid yang khusus tidak ada pada selainnya:

 

‌مَنْ ‌غَدَا ‌إِلَى ‌الْمَسْجِدِ ‌وَرَاحَ أَعَدَّ اللهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

 

Maksudnya: Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.[14]

(Riwayat Bukhari)

2)      Solat berjemaah setiap solat fardhu:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بسبع وعشرين درجة

    Maksudnya: Solat berjemaah itu melebihi solat sendirian dengan 27 kali darjat.[15]

(Riwayat Bukhari)

3)      Iktikaf: Amalan ini merupakan satu ibadat yang disarankan oleh Allah SWT dan juga merupakan amalan khusus di Masjid sahaja malah tidak dikira bagi mereka yang beriktikaf selain dari Masjid. 

 

4)      Amalan khusus yang dilakukan di Masjid pada bulan Ramadhan yang tiada di bulan-bulan lain:

 

                                 I.            Solat tarawih secara berjemaah adalah lebih baik dari melakukannya secara berseorangan bertepatan dengan sabdaan Nabi SAW mengenai fadilatnya yang besar:

 

فَقَالَ: إِنَّهُ ‌مَنْ ‌قَامَ ‌مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: Nabi SAW bersabda bahawa barangsiapa yang mendirikan Ramadhan bersama Imam sehingga Imam beransur pulang akan dicatatkan dan dituliskan baginya pahala qiamullail sepanjang malam.[16]

(Riwayat Tirmizi)

Para ulama menafsirkan kalimah (‌مَنْ ‌قَام) membawa maksud mendirikan Ramadhan. Menurut Imam Nawawi: Qiyam dalam hadis tersebut merujuk kepada solat terawih.[17] Justeru, wanita yang melakukan solat di Masjid beroleh kelebihan yang disebutkan di dalam hadis berbanding mereka yang solat sendirian di rumah. Walau bagaimanapun, dapat difahami bahawa Rasulullah SAW benar-benar ingin memberikan galakan dan semangat kepada umatnya untuk menghidupkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan kebaikan.

 

                              II.            Solat sunat witir secara berjemaah disertakan qunut nazilah pada separuh kedua bulan Ramadhan.

 

Kesimpulan

            Tuntasnya, hukum bagi seorang perempuan solat di Masjid adalah diharuskan oleh syarak, namun hadis yang seakan-akan mengisyaratkan kepada mereka untuk solat di rumah sahaja adalah memandang dari sudut keutamaan atau tempat yang terbaik bagi seorang wanita untuk menunaikan solat, bahkan bukan larangan atau pengharaman ke atas mereka untuk solat di Masjid. Setiap orang boleh menilai tempat mana yang lebih disukai olehnya sama ada di rumah atau di masjid.



[1] Abū Dawūd, Sulaymān bin al-Ashʿath. Sunan Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009), Jil. 1, ms. 426. Hadis no. 570.

[2] Shihabuddin Ahmad bin Ḥusain bin ‘Ali bin Ruslān al-Ramli Al-Syafi’i. Syarḥ Sunan Abī Dāud. (Fayoum: Dār al-Falāḥ li al-Baḥs al-‘Ilmī wa Tahqīq al-Turath, 2016), jil. 3, ms. 596.

[3] As-Syeikh Khalīl Aḥmad al-Sahāranfūrī. Bazhl al-Majhūd fī Ḥil Sunan Abī Dāud. (Hind: Markaz As-Syeikh Abī al-Ḥasan al-Nadwi li al-Buḥus wa al-Dirāsāt al-Islamiyyah, 2006), jil. 3, ms. 421.

[4] Aḥmad bin Ḥanbal.  Musnad Aḥmad. (Beirut: Mu’assasat al-Risālah, 2001), Jil. 45, ms. 37. Hadis no. 27090.

[5] Ibid. Jil. 1, ms. 327. Hadis no. 442.

[6] Abū Dawūd. Sunan Abī Dawud. Jil. 1, ms. 423. Hadis no. 564.

[7]Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893), Jil. 1, ms. 173. Hadis no. 873.

[8] Ibid. Jil. 2, ms. 6. Hadis no. 900.

[9] Ibid. Jil. 1, ms. 172. Hadis no. 865.

[10] Abū Dawūd. Sunan Abī Dawud. Jil. 1, ms. 424. Hadis no. 567.

[11] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: Maṭbaʿah Īsa al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), Jil. 1, ms. 329. Hadis no. 445.

[12] Abū al-Fadhl, ‘Iyād bin Mūsā bin ‘Iyād al-Yaḥṣubī al-Bustī. Ikmāl al-Mu’lim bi Fawāid Muslim. (Mesir: Dār al-Wafā’ li al-Ṭibā’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1998), Jil. 2, ms. 355.

[13] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. Jil. 1, ms. 328. Hadis no. 443.

[14] Al-Bukhārī. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Jil. 1, ms. 133. Hadis no. 662.

[15] Ibid. Jil. 1, ms. 131. Hadis no. 645.

[16] Al-Tirmidhī, Muḥammad binʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975), Jil. 3, ms. 160. Hadis no. 806.

[17] Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad bin Abdullah al-Syawkānī al-Yamanī, Nayl al-Awṭār. (Mesir: Dār al-Hadīs, 1993), Jil. 3, ms. 62. 

Accessibility Toolbar