Tarikh: 2
Mei 2024
Disediakan
oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan
Pendahuluan
Islam agama mesra adat dan budaya. Salah satu daripada adat
tersebut adalah baraan. Baraan
merupakan istilah dalam bahasa Jawa bermaksud berjalan-jalan atau ziarah
beramai-ramai dalam kumpulan setiap kali tibanya perayaan Hari Raya Eidulfitri.
Asal usul adat ini berkemungkinan bermula sebagai amalan
kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga semasa berada di Tanah Jawa dan apabila
berhijrah ke Tanah Melayu, resam itu turut dibawa bersama dan masih
terpelihara. Hari raya
adalah waktu yang ditunggu-tunggu dan sehingga kini baraan telah menjadi acara
tahunan yang hampir berstatus ‘wajib’ di kawasan-kawasan taman perumahan
mahupun dikampung-kampung.
Pengenalan Aktiviti Baraan
Aktiviti
baraan kebiasaannya dilakukan pada hari raya kedua. Semua yang berminat
menyertainya akan berkumpul di surau atau masjid secara beramai-ramai terdiri
daripada pelbagai peringkat umur tanpa ada had bilangan peserta dengan
mengenakan busana lengkap hari raya termasuk bersampin dan bersongkok. Aktiviti
ini selalunya mengambil tempoh sehari bagi memberi peluang kepada penduduk
kampung berziarah dari rumah ke rumah. Ia dimulakan dengan melaungkan selawat
serta puji-pujian kepada Baginda SAW dengan hanya berdiri tegak di sekeliling
kawasan ruang tamu rumah secara beramai-ramai. Uniknya, setiap rumah yang
diziarahi akan dinasyidkan irama selawat dengan pelbagai lenggok yang berbeza.
Tugas yang diberikan kepada ketua baraan adalah untuk memohon maaf bagi pihak
warga penduduk kampung kepada tuan rumah dan diakhiri dengan doa sebagai
penutup majlis. Sesudah itu, tetamu yang hadir akan disajikan jamuan ringan
kebiasaan hari raya, seterusnya bersiap sedia untuk berkunjung ke rumah yang
seterusnya. Amalan ini memberi ruang dan menjadi pentas yang sesuai untuk
memperkenalkan ahli keluarga baharu termasuk anak, menantu dan cucu yang pulang
ke kampung halaman kepada komuniti setempat[1].
Begitulah berlangsungnya amalan ini saban tahun dan mendapat sambutan yang amat
menggalakkan dari warga masyarakat setempat.
Amalan Baraan Sebagai
Amalan Ziarah-Menziarahi
Secara
umumnya, amalan berziarah ini sememangnya menjadi budaya masyarakat Muslim sama
ada menjelang perayaan ataupun pada hari-hari tertentu dan ia merupakan amalan yang
dianjurkan dalam Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam hadis qudsi bahawa :
حَقَّتْ
مَحَبَّتِي عَلَى الْمُتَزَاوِرِينَ فِيَّ[2]
Maksudnya: Orang-orang yang saling
ziarah-menziarahi kerana-Ku berhak mendapatkan kasih sayang-Ku.
Dapat diertikan ‘ziarah-menziarahi kerana-Ku’ di sini adalah
mereka yang saling mengunjungi demi mencari redha Allah dan sebagai bukti yang
menunjukkan bahawa seseorang itu taat dengan perintah-Nya. Amalan menziarahi
sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, dan umat Islam umum yang lain
adalah sebagai perantaraan untuk mengeratkan kasih sayang, menyatukan hati,
mengeratkan hubungan, mengingatkan kembali orang-orang yang mungkin sudah lupa,
menyedarkan orang yang lalai, mengajarkan orang-orang yang jahil sesuatu
perkara yang mungkin belum diketahui, melegakan jiwa serta memberi ketenangan,
meringankan musibah dan kesedihan, dan faedah-faedah lain yang dapat diperoleh
daripada kunjungan tersebut sepertimana yang dapat dipupuk melalui aktiviti baraan ini.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ
وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ
أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: Wahai manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar
kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Teliti.
Sebagaimana firman Allah SWT tersebut ia merupakan satu
perkhabaran kepada manusia bahawa Dia menciptakan manusia daripada seorang
lelaki dan dijadikan daripada lelaki tersebut pasangannya dan mereka berdua itu
adalah Adam & Hawa. Kemudian dijadikan daripada pasangan tersebut bangsa
yang pelbagai untuk saling kenal mengenali.[3] Secara
tidak langsung, aktiviti baraan ini juga sebagai salah satu platform yang
sesuai untuk menyambut seruan tersebut dalam kalangan Muslim khususnya.
Begitu juga telah berkata Nu’man bin Basyir RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ
وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ
تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى[4]
Maksudnya: Perumpamaan orang-orang yang
beriman pada perasaan kasih sayang, berbelas kasihan dan bersimpati mereka
adalah seperti satu tubuh badan, sekiranya salah satu anggota daripadanya
mengadu sakit, maka bersahut-sahutanlah lain-lain anggota kepadanya dengan
tidak dapat tidur dan demam (panas badan).
Rasulullah SAW menyifatkan bahawa keadaan orang yang beriman
umpama tubuh badan manusia yang mempunyai pelbagai anggota. Apabila salah satu
daripadanya sakit, maka kesakitan itu dapat dirasai oleh anggota-anggota badan
yang lain begitu juga ia adalah sesuatu perkara yang sepatutnya dirasai oleh
sesama manusia. Secara tidak langsung aktiviti baraan itu sendiri menyemai
persaudaraan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Muslim.
Galakan Mengeratkan Hubungan Persaudaraan Sesama Muslim
Amalan
ziarah-menziarahi merupakan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan
persaudaraan dalam Islam yang bukan hanya terbatas kepada hubungan kekerabatan
kerana faktor keturunan malah merangkumi ikatan yang diikat dengan tali akidah
yang sama dan kerana fungsi kemanusiaan itu sendiri. Dalam surah al-Hujurat
ayat 10 Allah SWT berfirman:
اِنَّمَا
الْمُؤْمِنُوْنَ اِخْوَةٌ فَاَصْلِحُوْا بَيْنَ اَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللّٰهَ
لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ
Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara
kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah SWT agar kamu
mendapat rahmat.
Untuk
memperoleh kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT maka hendaklah saling
berdamai sesama manusia dan bermaaf-maafan. Ia merupakan salah satu cara untuk
mengeratkan hubungan sesama orang Islam di dalam masyarakat. Daripada Anas bin
Malik RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لا يؤمنُ أحدُكم حتى يحبَّ لأخيه ما
يحبُّ لنفسِه[5]
Maksudnya: Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia
mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.
Sehubungan
dengan amalan baraan ini dari sudut kerangka persaudaraan, interaksi sosial
sesama manusia adalah perlu mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh
Islam. Bagi mencerminkan persaudaraan mengikut batas-batas syarak, maka konsep
persaudaraan ini perlu didasari dengan ikatan akidah dan akhlak yang mulia bagi
mengelakkan timbulnya perselisihan faham dan persengketaan yang membawa kepada
renggangnya hubungan.
Orang
yang benar-benar beriman itu adalah yang menyambung hubungan persaudaraan dan
sekiranya terdapat orang lain yang memutuskannya maka hendaklah dia memilih
untuk terus melakukan kebaikan dan berlaku ihsan terhadapnya.
Faedah Tuntutan Ziarah-Menziarahi
Amalan
ziarah-menziarahi juga merupakan salah satu wasilah yang memenuhi tuntutan
agama sebagaimana sesama Muslim itu
dituntut untuk saling menyebarkan salam. Daripada Abdullah bin Salam RA
berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَفْشُوا
السَّلَامَ وَصِلُوا الْأَرْحَامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصَلُّوا
بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ[6]
Maksudnya: Wahai
manusia! Sebarkanlah salam, sambungkanlah silaturahim, berikanlah makanan, dan
solatlah ketika orang-orang sedang tidur, kalian pasti akan masuk syurga dengan
selamat.
Hadis tersebut
mengandungi anjuran dan peringatan tentang sebahagian sifat yang terpuji dan
baik serta jaminan daripada Baginda SAW bahawa barangsiapa yang memiliki sifat-sifat
tersebut nescaya akan dimasukkan ke dalam syurga dengan selamat. Sifat-sifat
tersebut adalah menyebarkan salam, menyambung silaturahim, memberi makanan dan
solat malam ketika manusia sedang tidur. Sifat yang terkait dengan perbahasan
ini adalah menyebarkan salam dan menyambung silaturahim. Menyebarkan salam yang
dimaksudkan adalah dengan memperlihatkannya, mencontohkannya kepada orang lain
serta memperbanyakkan ucapan salam tersebut. Maka dapat dilihat bahawa amalan
baraan tidak lari daripada makna tuntutan ini kerana pada waktu tersebutlah
masyarakat saling menyebarkan salam dan menyambung silaturahim.
Daripada Anas bin Malik
bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَن يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي
رِزْقِهِ، وَأَن يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ[7]
Maksudnya: Sesiapa yang
ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya,
hendaklah dia menyambung silaturahim.
Menyambung silaturahim
juga salah satu sebab kepada kelapangan rezeki seseorang di mana dengan saling
berkongsi rezeki ia dapat menguatkan lagi ikatan sesama masyarakat lantas
memberikan kesan yang baik terhadap hubungan masyarakat tersebut.
Menurut
Imam Al-Nawawi, kelapangan rezeki di sini bermaksud akan dipermudahkan jalan
untuk memperoleh rezeki, dilipatgandakan dan boleh juga diertikan sebagai
terdapat keberkatan pada rezeki tersebut. Adapun maksud dipanjangkan umur
orang-orang yang menyambung silaturahim ini adalah dengan bertambahnya
keberkatan pada usia, semakin bertambah petunjuk untuk sentiasa berada dalam
ketaatan, mampu memanfaatkan waktu yang ada untuk kehidupan di hari akhirat
kelak serta menjaga masa daripada perkara yang melalaikan.[8]
Maka dapat kita fahami di sini
bahawa amalan baraan ini tidaklah bercanggah di sisi agama selagi mana menepati
adab-adab yang telah ditetapkan syarak serta tidak membawa kepada salah-faham
dan penyelewengan kepada agama Islam itu sendiri. Ziarah-menziarahi juga adalah perkara yang digalakkan
sepanjang masa tanpa mengira waktu. Bertepatan dengan galakan menyambung
hubungan persaudaraan ketika Hari Raya Eidulfitri, menyebarkan salam,
bermaaf-maafan, mengadakan jamuan makan dan sebagainya yang sememangnya
dituntut oleh syarak.
Kesimpulan
Aktiviti baraan ini adalah tidak lain dan tidak bukan
hanyalah untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan. Tabiat asal manusia
cenderung kepada sikap suka untuk mengenal dan berkasih sayang. Benarlah bahawa
kedatangan Islam telah membawa rahmat kepada sekalian makhluk dan perkara ini
dapat dilihat daripada galakan kepada umatnya untuk menyambung tali
persaudaraan.
Amalan baraan ini selari dengan
kriteria-kriteria dan hak-hak persaudaraan yang digariskan Baginda SAW. Ia
bukan sahaja mengharuskan perbuatan-perbuatan seumpama ini malah menggalakkan
lagi amalan-amalan yang membawa kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat
Muslim. Sempena dengan bulan Syawwal, amalan ziarah-menziarahi ini lebih giat
dijalankan oleh masyarakat. Justeru, adat baraan yang diamalkan dalam bulan
Syawwal ini merupakan salah satu aktiviti yang baik serta boleh diamalkan.
[1] Jabatan Penerangan Malaysia.
[2] Ibn Abū
Al-Dunyā, Abū Bakr ‘Abdullah bin Muhammad bin Qays Al-Baghdādī (w. 281H), Al-Ikhwān Li Ibni Abī Al-Dunyā, (Beirut:
Dār Al-Kutub Al- ‘Ilmiyah, 1409M/1988H) ms. 151, no. hadis 99.
[3] Abū al-Fida’
Ismāīl bin Umar bin Kathīr al-Qurosyī al-Basrī, Tafsīr ibn Kathīr. Dār at-Thoyyibah lil an-Nasyr wa at-Tauzī’.
1999M. Jil. 7, ms. 385.
[4] Abu Husayn
Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī. Sahīh Muslim. (Turki: Dar Al-Tibā’ah Al-‘Amārah, 1915).Jil. 8, ms. 20.
[5]Abū Muhammad ‘Abdullah Bin ‘Abdul Rahman Bin Abdul Al-Ṣamad
Al-Dārimī Al-Tamīmī Al-Samarqandī (m.255H), Musnad
Al-Dārimī, (Saudi : Dār Al-Mughnī Li Nasyr Wa Al-Tauzī’) 1412H/2000M,
Jil.3, ms.1801, no. hadis 2782.
[6] Abū Isā
Al-Tirmiẓi, (1975), Sunān Al-Tirmiẓi,
(Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi), No. hadis: 2485, Jil. 4, Ms. 652.
[7] Al-Bukhari,
Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il Al-Bukhārī Al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Kathir, 1993), 5/2232.
[8] Al-Nawāwī,
Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (1972M), Syarḥ al-Nawawī ‘ala Muslim. (Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ Turath
‘Arabiy), Jil. 16, Ms. 114.