Tarikh: 18/4/2024
Disediakan
oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar
Pengenalan
Rasulullah SAW adalah insan yang
paling sempurna dari segala aspek, secara zahirnya mahupun batinnya, yang mana
ciri keinsanan Rasulullah itu tidak sama seperti manusia lain. Sehinggakan para
ulama telah menulis secara khusus tentang biografi baginda di dalam kitab-kitab
mereka ketika menceritakan kesempurnaan keperibadian baginda SAW secara
terperinci; antara yang terkenal iaitu kitab Syamail Muhammadiyah, karangan
Imam Tirmizi. Tidak dapat diragukan lagi bahawa Rasulullah SAW mempunyai
kemuliaan dan darjat yang tinggi tanpa memerlukan kepada mana-mana pihak untuk
meninggikan lagi kedudukan baginda disisi Allah SWT. Justeru, apakah hukum
menghadiahkan pahala amalan kebaikan seperti bacaan al-fatihah dan sebagainya
kepada Rasulullah SAW?
Hukum
Sedekah Amalan Kebaikan Untuk Rasulullah SAW Setelah Kewafatannya
Para ulama berselisih pendapat
mengenai hukum menghadiahkan pahala amalan kepada Rasulullah SAW, kepada dua
pendapat:
Pandangan
Pertama:
Tidak membenarkan. Sandaran mereka adalah kerana tiada keizinan daripada Nabi
SAW berkenaan perkara ini. Selain itu ia juga merupakan suatu perbuatan yang
dilihat seolah-olah merendahkan kedudukan Baginda yang mulia kerana dilihat
seolah-olah Baginda memerlukan sedekah daripada amalan orang-orang yang soleh.
Antara ulama yang tidak membenarkan sedekah pahala amalan
kepada Rasulullah SAW adalah:
● Syeikh
‘Imad al-Din bin al-‘Attar: Beliau berpandangan bahawa amalan membaca al-Quran
dan sedekahkan pahalanya kepada Rasulullah SAW hendaklah dilarang kerana ia
mempunyai unsur penghinaan kepada Baginda SAW. Hal ini kerana ia menunjukkan
seolah-olah Baginda memerlukan kepada sedekah amalan kebaikan daripada umatnya.[1]
● Imam
Ibnu Hajar: Amalan membaca sesuatu dari al-Quran dan berdoa dalam doanya, “Ya
Allah, jadikanlah pahala bagi apa yang telah aku bacakan ini untuk menambah
kemuliaan baginda Rasulullah SAW.” Maka beliau menjawab: Ini adalah rekaan dari
kalangan pembaca al-Quran terkemudian, dan aku tidak mengetahui seorang pun
ulama terdahulu yang melakukannya.[2]
● Syeikh
Taj al-Din al-Fazariy: Beliau melarangnya daripada berbuat demikian dengan
alasan supaya dia tidak sewenang-wenangnya melakukan sesuatu terhadap kedudukan
yang mulia melainkan apa yang telah diizinkan oleh syarak, dan keizinan hanya
berlaku pada amalan berselawat kepada Nabi SAW, serta meminta wasilah (perantaraan) darinya.[3]
● Al-‘Allamah
Dardir al-Maliki: Sebahagian ulama kami menyatakan bahawa membaca al-Fatihah
dan menghadiahkan pahala bacaan itu kepada Nabi SAW adalah makruh.[4]
Pandangan
Kedua:
Membenarkan, sandaran mereka adalah ada
riwayat yang mengatakan bahawa saidina ‘umar melaksanakan Umrah bagi
pihak nabi SAW, kemudian setelah itu para ulama terdahulu meneruskan jejak
langkah Saidina ‘Umar. Begitu juga, berdalilkan satu hadis yang memberi
keharusan berdoa dan pemberian pahala kepada Nabi SAW.
Antara ulama yang membenarkan sedekah pahala amalan kepada
Rasulullah SAW adalah:
● Imam
al-Subki: Beliau berhujah bahawa Saidina Ibn ‘Umar RA, pernah melakukan umrah
bagi pihak Nabi SAW selepas kewafatan baginda tanpa berwasiat kepadanya.[5]
● Imam
al-Ghazali: Beliau meriwayatkan dalam al-Ihya mengenai Ali bin Al-Muwaffaq -sezaman al-Junayd- bahawa
beliau mengerjakan haji bagi pihak Nabi SAW berkali-kali, dan pernah dihitung
oleh Al-Fuqqa’iy bahawa beliau melakukan sebanyak enam puluh kali haji.[6]
●
Muhammad
bin Ishaq Al-Sarraj Al-Naysaburi: Bahawa beliau pernah mengkhatamkan lebih dari
10 ribu khataman al-Quran bagi pihak Nabi SAW, dan menghadiahkan pahala ibadah
korban bagi pihak baginda SAW.[7]
● Imam
Bahuti al-Hanbali: Setiap
amalan ketaatan yang dilakukan oleh seseorang muslim dan dia jadikan pahala
amalannya itu atau separuhnya seperti separuh, atau ⅓ atau ¼
untuk seorang muslim lain yang hidup atau yang telah mati adalah harus
dan bermanfaat untuk orang tersebut kerana keberhasilan pahala untuknya
sehinggakan untuk Rasulullah SAW.[8]
Berdasarkan petikan-petikan di atas bahawa amalan
menghadiahkan pahala kepada Baginda SAW melalui apa cara ibadah secara umum
adalah harus. Mereka bersandarkan kepada sebuah riwayat bahawa Ibnu ‘Umar RA
pernah mengerjakan umrah bagi pihak Nabi SAW selepas kewafatan baginda. Selain
itu, tidak ada dalil yang jelas menunjukkan amalan ini diharamkan.
Selain petikan dari para ulama, terdapat juga hadis yang
memberi kefahaman berkenaan keharusan berdoa dan pemberian pahala kepada Nabi
SAW serta keutamaannya, begitu juga dengan amalan ketaatan yang lain
sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ubai bin Ka’ab RA berkata;
ketika mana telah berlalu ⅓ malam maka Rasulullah SAW bangun dan bersabda:
يَا أَيُّهَا
النَّاسُ اذْكُرُوا اللهَ اذْكُرُوا اللهَ، جَاءَتِ الرَّاجِفَةُ»
تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ، جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا
فِيهِ. قَالَ أُبَيٌّ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ
عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي، فَقَالَ: مَا شِئْتَ قَالَ: قُلْتُ:
الرُّبُعَ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ:
النِّصْفَ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ: قُلْتُ:
فَالثُّلُثَيْنِ، قَالَ: مَا شِئْتَ، فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ:
أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا، قَالَ: إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرَ لَكَ
ذَنْبُكَ.
Maksudnya:
Wahai, sekalian manusia, berzikirlah kepada Allah, berzikirlah kepada Allah!
Pasti datang tiupan Sangkakala pertama yang diikuti dengan yang kedua. Datang
kematian dengan kengeriannya, datang kematian dengan kengeriannya. Ubai
berkata: Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyakkan selawat untuk kamu, lalu
berapa banyak aku perlu berselawat untuk kamu? Rasulullah SAW menjawab:
Sebagaimana yang kamu kehendaki. Aku bertanya: Seperempat? Rasulullah SAW
menjawab: Sebagaimana yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik
bagimu. Aku bertanya: Separuh? Baginda menjawab: Sebagaimana yang kamu kehendaki,
jika kau tambahi itu lebih baik bagimu. Aku bertanya: Dua pertiga? Sebagaimana
yang kamu kehendaki, jika kau tambahi itu lebih baik bagimu. Aku berkata: Aku
akan menjadikan seluruh doaku untuk kamu. Baginda bersabda: Kalau begitu, kau
dicukupkan dari dukamu dan dosamu diampuni.[9]
(Riwayat Tirmizi)
Pemilihan Surah al-Fatihah Dalam Amalan Sedekah Pahala Untuk Baginda Rasulullah SAW
Terdapat banyak kebaikan yang
tersimpan dan boleh diperoleh daripada surah al-Fatihah. Antaranya adalah
permintaan seseorang akan dikabulkan oleh Allah SWT seperti:
أنَّ
هذه السُّورة مختصَّةٌ بمُناجاةِ الرَّبِّ تعالى ولهذا اختصَّت الصَّلاةُ بها
فإنَّ المصلِّي يُناجي رَبَّه، وإنَّما يُناجي العبدُ رَبَّه بأفضلِ الكلامِ
وأشرفِه… وهذه الخصوصيّةُ ليسَتْ لغيرِها من السُّوَرِ.
Maksudnya: Surah ini khusus untuk
berkomunikasi secara langsung dengan Allah SWT. Oleh itu, solat juga
dikhususkan dengan membaca Al-Fatihah, kerana orang yang bersolat sedang
berhubung dengan Tuhannya. dan seorang hamba hanya berkomunikasi dengan Tuhannya
dengan perkataan yang terbaik dan paling mulia… Keistimewaan ini tidak
terdapat dalam mana-mana surah lain.[10]
Begitu juga, hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW
bersabda:
أَبْشِرْ
بِنُورَيْنِ أُوتِيتَهُمَا لَمْ يُؤْتَهُمَا نَبِيٌّ قَبْلَكَ: فَاتِحَةُ الْكِتَابِ،
وَخَوَاتِيمُ سُورَةِ الْبَقَرَةِ لَنْ تَقْرَأَ بِحَرْفٍ مِنْهُمَا إِلَّا
أُعْطِيتَهُ.
Maksudnya: Sampaikanlah berita
gembira dengan dua cahaya yang telah diberikan kepadamu yang tidak pernah
diberikan kepada Nabi sebelummu: iaitu fatihah
al-kitab (surah al-Fatihah), dan khawatim
(penutup) surah al-Baqarah yang mana tidak akan dibacakan satu huruf pun dari
kedua surah ini melainkan telah diberikan kesemuanya kepada kamu.[11]
Di sini dapat difahami bahawa pemilihan surah al-Fatihah
secara khusus dalam sesuatu amalan menghadiahkan pahala bukanlah suatu pilihan
yang dibuat secara membuta tuli. Pemilihan surah ini dapat ditemui
kebanyakannya melalui amalan sedekah pahala kepada si mati adalah diharuskan
dan dapat memberi manfaat kepadanya berdasarkan fadilat yang disebutkan diatas,
mereka yang melakukannya bersikap optimis dengan memohon agar segala kebaikan
akan sampai kepada si mati.
Pentarjihan Pandangan Mengenai Amalan Sedekahkah al-Fatihah Untuk Baginda SAW
Oleh kerana terdapat perselisihan
pandangan mengenai hukum sedekahkan pahala amalan kepada Nabi SAW, kami
cenderung kepada pandangan yang membolehkan amalan sedekahkan al-Fatihah kepada
Nabi SAW berdasarkan rumusan hujah dan dalil yang lalu seperti berikut:
●
Dikiaskan
kepada amalan berselawat ke atas Nabi SAW. Merujuk kepada pensyariatan selawat
itu sendiri membawa makna keagungan dan menambah kemuliaan untuk Baginda.
Selawat daripada Allah yang diberikan kepada selain Nabi adalah bermaksud
rahmat. Manakala selawat Allah kepada Nabi adalah satu bentuk kemuliaan dan
tambahan pangkat kepada Baginda.[12]
Sehubungan itu, berselawat dan
bacaan al-Fatihah kedua-duanya merupakan amalan yang mempunyai asal di dalam
syarak dan ma’thur dari Baginda SAW
bahkan bukan sesuatu amalan yang direka-reka dalam Islam.
● Nabi
SAW pernah meminta Saidina ‘Umar agar mendoakan Baginda ketika Nabi SAW masih
hidup. Hal ini telah disebutkan di dalam nas ulama seperti:
وَأَجَابَ
بَعْضُهُمْ بِجَوَازِهِ بَلْ اسْتِحْبَابِهِ قِيَاسًا عَلَى مَا كَانَ يُهْدَى
إلَيْهِ فِي حَيَاتِهِ مِنْ الدُّنْيَا وَكَمَا طَلَبَ الدُّعَاءَ مِنْ عُمَرَ
وَحَثَّ الْأُمَّةَ عَلَى الدُّعَاءِ بِالْوَسِيلَةِ عِنْدَ الْأَذَانِ وَعَلَى
الصَّلَاةِ عَلَيْهِ.
Maksudnya: Sebahagian ulama berpandangan bahawa amalan
sedekahkan bacaan al-Quran adalah diharuskan bahkan disunatkan berdasarkan qiyas ke atas Nabi pernah diberikan
hadiah ketika Baginda masih hidup. Begitu juga, Nabi SAW pernah meminta Saidina
‘Umar untuk mendoakan Baginda, dan meminta umatnya berdoa melalui wasilahnya (perantaraan) setelah azan,
serta berselawat ke atasnya.[13]
● Pensyariatan
doa selepas azan dan iqamah bagi mendoakan dan menambahkan kemuliaan Nabi SAW,
berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah
SAW bersabda:
مَنْ
قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ،
وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ،
وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي
يَوْمَ القيامة.
Maksudnya: Barangsiapa yang
mendengar azan, kemudian dia membaca (doa azan setelah selesai azan); Wahai
Allah, Tuhan kepada panggilan sempurna ini dan solat yang didirikan, berikan
kepada Muhammad SAW kemuliaan dan keutamaan serta kurniakan Baginda tempat yang
terpuji sebagaimana yang Engkau janjikan, maka baginya mendapat syafaaku di
hari kiamat.[14]
(Riwayat Bukhari)
Maka berdasarkan riwayat di atas, tiada larangan untuk
berdoa bagi meningkatkan darjat kedudukan Nabi SAW melalui pelbagai cara bahkan
ia digalakkan oleh syarak. Justeru, amalan sedekahkan al-Fatihah kepada Baginda
adalah diharuskan dikiaskan dengan amalan-amalan seperti ini. Terdapat
persamaan yang jelas antara amalan-amalan tersebut iaitu bagi mendoakan
kebaikan, menzahirkan rasa syukur serta berdoa bagi meninggikan lagi darjat
Baginda SAW di sisi Allah SWT. Justeru, semua ini adalah sebagai bukti cinta
kepadanya SAW yang juga merupakan satu kewajipan ke atas orang yang beriman.
Walaupun cinta itu pada dasarnya dengan mematuhi serta mengikuti segala
sunnahnya yang telah Nabi SAW tinggalkan untuk kita seperti yang diabadikan di
dalam al-Quran dan as-Sunnah, maka tidak ada nas yang melarang kita untuk
membuktikan cinta kita dengan mengabdikan pahala al-Fatihah dan berselawat
untuk Rasulullah SAW, iaitu memohon rahmat daripada Allah untuknya.
Kesimpulan
Hukum sedekahkan al-Fatihah kepada
Rasulullah SAW adalah diharuskan berdasarkan hujah dan dalil yang telah disebutkan.
Amalan ini adalah perkara yang berlaku perselisihan dalam kalangan para ulama antara
yang tidak membenarkannya dan membenarkannya. Namun, perkara yang lebih utama
bagi umat Islam adalah terus menunjukkan rasa cinta terhadap Baginda SAW.
[1] Shamsuddīn Abū Abdillah Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd
al-Raḥman at-Ṭarabisī al-Maghribī al-Ḥaṭtāb, Mawāhib al-Jalīl fī Syarḥ Mukhtaṣar Khalīl, (Dār al-Fikr,
1412H/1992M), Jil. 2, ms. 544-545.
[2] Al-Ḥaṭtāb, Mawāhib
al-Jalīl fī Syarḥ Mukhtaṣar Khalīl, Jil. 2, ms. 544-545.
[3] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī
Al-Shafiʿ(m. 977H). Mughnī Al-Muhtāj Ila
Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj, (Dār Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah,
1415H/1994M), Jil. 4, ms. 111.
[4] Muhammad bin Ahmad bin ‘Irfah ad-Dusuqī al-Malikī, Ḥasyiyah ad-Dusūqī ‘ala al-Syarh al-Kabīr,
(Dār al-Fikr), Jil. 2, ms. 10.
[5]Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafii’, Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj, (Dār
Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, 1415H/1994M), Jil. 4, ms. 111.
[6]Ibid. Jil. 4, ms. 111.
[7]Ibid.
[8] Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, Kassyāf al-Qinā’ ‘An al-Iqnā’, (Beirut, Lubnan: Dār al-Fikr,
1968M), Jil. 2, ms. 147.
[9] Al-Tirmidhī, Muḥammad binʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975), Jil.
4, ms. 245. Hadis no. 2457.
[10] Abū al-Farj Abdurrahman bin Aḥmad bin Rajab
al-Dimasqī al-Ḥanbali (795 H), Tafsīr
al-Fātiḥah, (Dār al-Muḥaddis li al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1427H), ms. 40.
[11] Ibid, Jil. 2, ms. 198. Hadis no. 806.
[12] Abū Fadhl, ‘Iyād bin Mūsā bin ‘Iyād al-Yahṣubī al-Sabtī, Al-Shifā bi Ta’rīf Huquq al-Muṣṭafā.
(Amman: Dār al-Faiḥā’, 1407H), Jil. 2,
ms. 138.
[13] Al-Ḥaṭtāb,
Mawāhib al-Jalīl fī Syarḥ Mukhtaṣar
Khalīl, Jil. 2, ms. 545.
[14] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Damsyiq: Dar Ibn
Kathir, Dar al-Yamamah, 1414H/1993M), No. Hadis 4442,
Jil. 4, ms. 1749.