Tarikh: 5 April 2024
Disediakan oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar
Pendahuluan
Bulan Ramadhan merupakan salah satu bulan dalam Islam yang sering ditunggu-tunggu oleh umat Islam pada setiap tahun. Bulan Ramadhan adalah bulan yang digalakkan kepada umat Islam untuk memperbanyak ibadah dan amalan soleh. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan tentang kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan. Salah satu hadis yang sering disampaikan adalah hadis yang menyatakan bahawa “bulan Ramadhan permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan pengakhirannya bebas daripada neraka”. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan status hadis tersebut.
Hadis-hadis Permulaan Bulan Ramadhan Adalah Rahmat,
Pertengahannya Adalah Pengampunan Dan Pengakhirannya Bebas Daripada Neraka.
Berdasarkan penelitian
yang telah dilaksanakan, terdapat dua riwayat bagi hadis yang menyatakan bahawa
“bulan Ramadhan permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan
dan pengakhirannya bebas daripada neraka”.
1. Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda:
أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ، وَأَوْسَطَهُ مَغْفِرَةٌ،
وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ
Maksudnya:
Permulaan bulan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan
pengakhirannya bebas daripada neraka.
Hadis ini
diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dalam Fadha’il
Ramadhan[1]
dan juga al-ʿUqaili dalam al-Dhuʿafa’[2]
melalui riwayat Sallam bin Sulaiman bin Sawwar daripada Maslamah bin al-Salt
daripada al-Zuhri daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah RA. Sanad hadis
ini adalah dhaif disebabkan oleh
Maslamah bin al-Salt dan juga Sallam bin Sulaiman bin Sawwar.
Maslamah bin
al-Salt beliau ialah Maslamah bin al-Salt al-Shaibani. Para imam hadis berbeza
pendapat dalam menetapkan peringkat dhaif
beliau. Menurut Abu Hatim, beliau adalah seorang yang ditinggalkan
periwayatan hadisnya (matruk al-hadith)[3].
Manakala menurut Ibnu Adi, beliau adalah seorang yang tidak dikenali (laysa bi al-maʿruf)[4].
Akan tetapi, Ibnu Hibban menyenaraikan Maslamah bin al-Salt dalam kitab al-Thiqat[5]
dan tidak pula dinyatakan dalam al-Majruhin.
Periwayatan beliau juga direkodkan dalam kitab Fadha’il al-Sahabah[6] karangan
Ahmad bin Hanbal. Kesimpulannya beliau adalah seorang yang dhaif bukan pula matruk. Manakala tajrih daripada Abu Hatim tidak diterima kerana beliau seorang yang
mutasyaddid. Bahkan Maslamah bin
al-Salt bukanlah perawi yang sepakat ulama hadis meninggalkan periwayatannya.
Sallam bin
Sulaiman bin Sawwar juga dhaif.
Menurut Abu Hatim, beliau seorang yang tidak kuat pada hafalannya (laysa bi al-qawiy)[7].
Kata Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Taqrib
al-Tahzib: “dhaif”[8].
Oleh itu, sanad hadis ini melalui riwayat Abu hurairah RA adalah dhaif.
2. Hadis yang panjang daripada Salman
al-Farisi RA, sabda Rasulullah SAW dalam khutbah Baginda:
أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ،
وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ
Maksdunya:
Permulaanya (Ramadhan) adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan
pengakhirannya bebas daripada neraka.
Hadis ini
diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dalam Fadha’il
Ramadhan[9],
Ibnu Khuzaimah dalam Sahih[10]
beliau, al-Muhamili dalam Amali[11]
beliau, Ibnu Shahin dalam Fadha’il
Ramadhan[12]
dan al-Baihaqi dalam Shuʿab al-Iman[13]
melalui riwayat Ali bin Zaid bin Judʿan daripada Saʿid bin al-Musayyib daripada
Salman al-Farisi RA.
Sanad hadis
melalui riwayat Salman al-Farisi RA ini juga dhaif disebabkan Ali bin Zaid bin Judʿan. Kata Abu Hatim dalam al-Jarh Wa al-Taʿdil[14]:
“beliau bukanlah seorang yang kuat hafalannya, ditulis hadisnya dan tidak
dijadikan sebagai hujjah”. Kata Ibnu
Adi[15]:
“beliau seorang yang dhaif ditulis
hadisnya”.
Kesimpulan
Berdasarkan penelitian
yang telah dijalankan, hadis yang menyatakan bahawa “bulan Ramadhan
permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan
pengakhirannya bebas daripada neraka” adalah hadis daripada Abu Huraira RA dan
Salman al-Farisi RA. Kedua-dua riwayat ini dihukumkan sebagai dhaif pada
sanad mereka. Walaupun begitu, hadis ini dapat dihukumkan sebagai hasan
lighayrih disebabkan kedua-dua riwayat tersebut yang saling menguatkan
antara satu sama lain.
[1]
Ibn Abī al-Dunyā, ʿAbd Allah Ibn Muḥammad. Faḍā’il
Ramaḍān. (Saudi: Dār al-Salaf, 1995), no. 37, m.s 65.
[2]
Al-ʿUqaylī, Muḥammad Ibn ʿAmrū. Al-Ḍuʿafā’
al-Kabīr. (Beirut: Dār al-Maktabah al-ʿIlmiyyah, 1984), m.s 325, jil. 4.
[3]
Ibn Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman Ibn Muḥammad. Al-Jarh
Wa al-Taʿdīl. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-Islāmī, 1952), m.s 269, jil.
8.
[4]
Ibn ʿAdī, Aḥmad Ibn ʿAdī. Al-Kāmil Fī
Ḍuʿafā’ al-Rijāl. (Beirut: al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1997), m.s 325, jil. 4.
[5]
Ibn Ḥibbān, Muḥammad Ibn Ḥibbān. Al-Thiqāt.
(India: Dā’irat al-Maʿārif al-ʿUthmāniyyah, 1973), m.s 180, jil. 9.
[6]
Aḥmad Ibn Ḥanbal. Faḍā’il al-Ṣaḥābah. (Beirut: Mu’assasat al-Risālah, 1983), no.
1806, m.s 939, jil. 2.
[7]
Ibn Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman Ibn Muḥammad. Al-Jarh
Wa al-Taʿdīl. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-Islāmī, 1952), m.s 259, jil.
4.
[8]
Al-ʿAsqalānī, Aḥmad Ibn ʿAlī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Saudi: Dār al-Minhāj,
2009), m.s 295.
[9]
Ibn Abī al-Dunyā, ʿAbd Allah Ibn Muḥammad. Faḍā’il
Ramaḍān. (Saudi: Dār al-Salaf, 1995), no. 41, m.s 69.
[10]
Ibn Khuzaymah, Muḥammad Ibn Isḥāq. Ṣaḥīḥ
Ibn Khuzaymah. (Beirut: al-Maktab al-Islāmī, 2017), no. 1887, m.s 191, jil. 3.
[11]
Al-Muḥāmilī, al-Ḥusayn Ibn Ismāʿīl. Amālī
al- Muḥāmilī: Riwāyat Ibn Yaḥyā
al-Bayʿ. (Oman: Dār Ibn al-Qayyim, 1991), no. 293, m.s 286.
[12] Ibn
Shāhīn, ʿUmar Ibn Aḥmad. Faḍā’il Ramaḍān.
(Kuwait: Dār Ibn al-Athīr¸1994), no. 16, m.s 145.
[13]
Al-Bayhāqī, Aḥmad Ibn Ḥusayn. Shuʿab
al-Īmān. Saudi: Maktabah al-Rushd, 2003), no. 3336, m.s 224, jil. 5.
[14] Ibn
Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman Ibn Muḥammad. Al-Jarh
Wa al-Taʿdīl. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-Islāmī, 1952), m.s 187, jil.
6.
[15]
Ibn ʿAdī, Aḥmad Ibn ʿAdī. Al-Kāmil Fī
Ḍuʿafā’ al-Rijāl. (Beirut: al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1997), m.s 344, jil. 6.