Tarikh: 22 Mac
2024
Disediakan oleh: Nur
Izzatul Najihah binti Mohamad
Pendahuluan
Solat sunat Awwabin merupakan ibadah sunat muakkad yang
amat dituntut bagi setiap Muslim untuk melakukannya. Walaupun begitu, terdapat perbezaan
pandangan dalam kalangan ulama dalam menentukan apa yang dimaksudkan dengan
solat sunat Awwabin. Justeru itu, artikel ini akan menyoroti pandangan
ulama berdasarkan dalil-dalil mereka tentang waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin.
Keutamaan
Solat Awwabin
Solat
sunat Awwabin merupakan ibadah sunat yang dilakukan untuk mendekatkan
diri kepada Allah SWT. Fadhilat pelaksanaan solat sunat Awwabin dapat
menjaga dan memelihara keteguhan iman, serta dapat menghapuskan dosa bagi
mereka yang beramal dengannya. Firman Allah SWT dalam surah Qaaf ayat 30 hingga
35:
يَوْمَ
نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امْتَلَأْتِ وَتَقُولُ هَلْ مِن مَّزِيدٍ﴿٣٠﴾
وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ غَيْرَ بَعِيدٍ﴿٣١﴾
هَٰذَا
مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ﴿٣٢﴾ مَّنْ خَشِيَ الرَّحْمَٰنَ
بِالْغَيْبِ وَجَاءَ بِقَلْبٍ مُّنِيبٍ﴿٣٣﴾
ادْخُلُوهَا
بِسَلَامٍ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ﴿٣٤﴾ لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا
وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ﴿٣٥﴾
(Surah Qaaf: 30-35)
Maksudnya: “(Peringatkanlah
manusia) akan hari Kami (Allah) bertanya kepada neraka jahanam: “Adakah
engkau sudah penuh? ” Ia menjawab: “Adakah lagi sebarang
tambahan?”. Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang
yang bertakwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Serta dikatakan kepada
mereka): “Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada tiap-tiap hamba yang
sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat
memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah);
“(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah,
semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia
datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat”. (Mereka dipersilakan
oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan
selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal”.
Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi
tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).
Berdasarkan
ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjanjikan ganjaran
pahala yang besar bagi hamba-hamba yang sentiasa kembali kepada-Nya dengan
mengerjakan amal ibadat. Justeru, dengan melaksanakan amalan ini secara
istiqamah, seseorang dapat memperoleh banyak keutamaan dan manfaat di dunia dan
akhirat.
Dalil Pelaksanaan Solat Sunat Awwabin
Awwabin adalah perkataan Bahasa
Arab yang merupakan jamak kepada awwab yang
bermaksud kembali kepada Allah dengan penuh taubat dan ketaatan.[1]
Solat sunat Awwabin dilakukan untuk memelihara keteguhan dan nikmat keimanan yang berterusan
serta dapat menghapuskan dosa-dosa. Terdapat dua pandangan ulama
terhadap waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin, iaitu:
Pandangan pertama: Solat sunat Awwabin adalah
solat Dhuha.
Solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha menurut
pandangan jumhur.[2]
Waktu yang afdhal untuk melakukan solat sunat ini adalah selepas satu per empat
hari iaitu ketika matahari mulai terpancar terik sekitar satu atau dua jam
sebelum tergelincir matahari. Pandangan ini dipelopori oleh fuqaha Māliki[3],
Hanafiyyah[4],
Hanbali[5]
dan sebahagian Syāfi’iyah[6]
berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam RA, di mana
Nabi SAW bersabda:
صَلَاةُ
الْأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ
Maksudnya: Solat Awwabin ialah solat yang
dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah
terik).[7]
(Riwayat Muslim)
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa solat sunat Awwabin
merujuk kepada solat Dhuha yang dilakukan pada waktu afdhal solat
Dhuha. Solat Dhuha adalah sunat muakkad yang dilakukan dengan dua rakaat
(minimum) dan paling maksimum adalah 8 rakaat dan hendaklah mengucapkan salam
bagi setiap 2 rakaat.[8]
Menurut Imam Al-Nawawī dalam al-Majmu’
Sharh al-Muhazzab bahawa lafaz al-fisal di dalam hadis berikut
merujuk kepada anak-anak unta yang telah bangun dari tidurnya kerana mulai
panas.[9]
Menurut Sheikh
al-Ramli dan Sheikh al-Ziyadi, solat sunat Awwabin dan solat Isyraq
boleh dilakukan sebanyak 2 rakaat ketika matahari naik dengan membaca surah
al-Ikhlas pada setiap rakaat dan lebih afdhal untuk membaca surah al-Syams dan
al-Dhuha. Manakala, pandangan yang lebih rajih adalah melakukan sebanyak 12
rakaat.[10] Demikianlah, solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha
yang dilakukan pada waktu yang paling afdhal iaitu ketika panas matahari
telah terasa di bumi.
Pandangan kedua: Solat sunat Awwabin dilakukan di antara Maghrib dan Isya’.
Seterusnya, pandangan yang dipelopori oleh sebahagian mazhab Syāfi’i[11] dan
Syeikh Wahbah Zuhaili[12]
bahawa solat sunat Awwabin dilakukan selepas matahari terbenam iaitu
solat sunat di antara Maghrib dan Isya’. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang
diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ
صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ لَمْ يَتَكَلَّمْ فِيمَا بَيْنَهُنَّ
بِسُوءٍ عَدَلْنَ لَهُ عِبَادَةَ اثْنَتَيْ عَشْرَةَ سَنَةً
Maksudnya: Barang
siapa yang solat 6 rakat selepas matahari terbenam dan tidak bercakap buruk di
antaranya, maka ia sama dengan dua belas tahun ibadatnya.[13]
(Riwayat Tirmizi)
Kemudian, hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ
صَلَّى بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ عِشْرِينَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ
بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya: Sesiapa
yang bersembahyang di antara Maghrib dan Isya’ 20 rakaat, Allah SWT membina
untuknya sebuah mahligai dalam syurga.[14]
(Riwayat Ibn Majah)
Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang
yang melakukan solat sunat di antara Maghrib dan Isya’. Solat sunat Awwabin
dilakukan di antara Maghrib dan Isya’ sebanyak 20 rakaat, ada juga diriwayatkan
sebanyak 6 dan 4 rakaat dan 2 rakaat yang paling sedikit.[15]
Berdasarkan hadis yang dinyatakan, jelas menunjukkan bahawa banyak ganjaran
pahala yang diberikan bagi mereka yang melaksanakan solat sunat di antara Maghrib
dan Isya’. Menurut Imam al-Mawardi dalam al-Hāwi al-Kabīr, para salafussoleh
terdahulu mengerjakan solat ini dan menamakannya sebagai solat al-ghaflah.[16] Di sisi mazhab al-Syāfi‘i, solat sunat di antara Maghrib
dan Isya’ juga disebut sebagai solat al-ghaflah
kerana orang-orang yang mengerjakannya bertaubat kepada Allah SWT. Solat sunat
ini dilakukan oleh orang yang lalai dan sibuk dengan urusan harian mereka
seperti makan, tidur dan sebagainya.[17] Namun
begitu, hadis-hadis yang disebutkan merupakan hadis dhaif, namun boleh beramal
dengannya kerana termasuk dalam bab fadhail al-a’mal.[18]
Tarjih
Selepas meneliti pandangan-pandangan para ulama beserta
dalil dan hujah yang dibincangkan, terdapat dua pandangan ulama dalam penentuan
solat sunat Awwabin sama ada solat sunat Awwabin adalah solat
dhuha atau solat sunat yang dilakukan di antara Maghrib dan Isya’. Namun, dalam
menguatkan lagi hujah perlu dilihat dari sudut kekuatan hadis. Justeru,
pandangan yang rajih bagi waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin adalah
adalah solat sunat Awwabin merupakan solat Dhuha yang afdhal dilakukan
apabila matahari mulai terik sehingga sebelum tergelincir matahari berdasarkan
dalil-dalil yang sahih. Hadis yang diriwayatkan lebih kuat kerana diriwayatkan
oleh Imam Muslim. Manakala, hadis yang menyebut solat sunat Awwabin di
antara waktu Maghrib dan Isya’ merupakan hadis dhaif, namun boleh diamalkan
dalam perkara fadhail al-a’mal seperti memperbanyakkan solat malam dan
lain-lain.[19]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas,
dapat disimpulkan bahawa solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha yang
dilakukan pada waktu afdhal Dhuha iaitu ketika cahaya matahari mulai terpancar
terik. Pelaksanaan solat sunat Awwabin di antara Maghrib dan Isya’ adalah
berdasarkan kepada hadis dhaif, namun boleh beramal dengannya kerana termasuk
dalam bab fadhail al-a’mal. Justeru, solat sunat Awwabin sangat
dituntut oleh syarak kerana terdapat banyak kelebihan bagi sesiapa yang
melakukan solat sunat ini. Semoga amalan ini dapat menjadi sebahagian daripada
kehidupan seorang Muslim yang beriman dan beramal soleh serta mendapat fadhilat dan
ganjaran pahala daripada Allah SWT.
[1] Muhammad Mukarram bin Alī Abu Faḍl Jamāl al-Dīn Ibn Manzūr al-Anṣārī,
Lisān al-‘Arab, (Beirūt: Dār al-Ṣadir, 1993), jil.1, ms. 219.
[2] Wizārah al-Awqāf, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,
(Kuwait: Dār al-Salāsil, 2010), jil. 27, ms. 134.
[3] Muhammad bin Yūsuf bin
Abī al-Qāsīm bin Yūsuf al-Abdarī al-Gharnatī, Al-Tāj
wa al-Iklīl li-Mukhtasar Khalil, (Dār al-Kutub
‘Ilmiyyah, 1994), jil. 2, Ms.372.
[4] Muhammad Amīn al-Shahīr bi Ibn Abidīn, Hasyiah Radd al-Muhtār
Ala al-Durr al-Mukhtar, (Beirut: Dār al-Fikr, 1966), jil. 2, ms. 23.
[5] Mansūr bin Yūnus bin Idrīs al-Buhutī, Kashāf
al-Qinā’ an Matan al-Iqnā’, (Beirut: Dār
al-Fikr, 1968), jil. 1, ms. 142.
[6] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf, al-Majmū’
Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr,
1928), jil. 4, ms. 36.
[7] Abū
Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣaḥīḥ Muslim,
(Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī. 1955), no. Hadis 748, jil. 1, ms. 515.
[8] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf, al-Majmū’
Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr,
1928), jil. 4, ms. 36.
[9] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf, al-Majmū’
Sharh al-Muhazzab, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr,
1928), jil. 4, ms. 36.
[10] Ahmad Salamah al-Qalyubī & Ahmad al-Burulusi ‘Umairah, Hasyiah
al-Qalyubī wa al-‘Umairah, (Beirut: Dār al-Fikr, 1995), jil.1, ms. 245.
[11] Abū al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habīb al-Mawardi al-Bashri, Al-Hāwi al Kabīr fi Fiqh
Mazhab al-Imām al-Syāfi’i, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), jil. 2, ms. 287.
[12] Wahbah Al-Zuhaylī, Al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuhu. (Beirut,
Lubnan: Dār al-Fikr, 1989).
[13] Abū Isā Al-Tirmiẓi. (1975). Sunan Al-Tirmiẓi. (Mesir:
Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi). Edisi kedua, no. hadis 469. jil. 2,
ms. 299.
[14] Abū ‘Abd Allah bin Yazid bin Majah al-Rab’i al-Qazwini, Sunan
Ibn Majah, (Dār Omar al-Mokhtar, 2016), no. hadis
1373, jil 1, ms. 137.
[15]Al-Bakri
al-Dimyāti Abu Bakar Uthman, I’ānah al-Thālibīn ‘ala Halli al-Fāz Fath al-Mu’īn, (Dār al-Fikr,
1997), jil 1, ms. 299.
[16] Abū al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habīb al-Mawardi al-Bashri, Al-Hāwi al-Kabīr fi Fiqh
Mazhab al-Imām al-Syāfi’i, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), jil. 2, ms. 287.
[17] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad, Hāsyiah al-Bujairimi ‘alā
al-Khatīb, (Jordan: Dār al-Fikr, 1995), jil. 1, ms. 427.
[18] Dar
al-Iftā’ Jordan, diakses daripada https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3698
[19]Abdul
Kadir, (2021, Oktober 6). Fiqh Ibadat: Apakah solat sunat Awwabin.
binSahak.com, diakses daripada https://binsahak.com/index.php/fiqh-ibadat/3065-apakah-solat-sunat-Awwabin