Tarikh: 20 Mac 2024
Disediakan
oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar
Imam merupakan individu yang dihormati, mempunyai kedudukan serta merupakan ikon ikutan anak muda dan orang awam. Justeru, seorang imam haruslah mempunyai nilai murni diri yang baik dan mulia, baik dari segi perbuatan, percakapan atau akhlak yang zahir dan juga batin agar dapat menjadi ikutan kepada mereka. Lebih-lebih lagi tugas seorang imam itu dikenali oleh orang awam sebagai pemimpin di dalam solat; dan solat itu merupakan ibadat yang paling utama di sisi Allah SWT yang menjadi tiang agama dalam agama Islam. Melihat kepada isu terkini, ada isu yang berbangkit mengenai jika seorang imam itu seorang perokok, bolehkah seseorang makmum itu solat di belakangnya? Apakah status solat tersebut sama ada sah ataupun tidak kerana seorang imam itu telah melakukan perkara yang haram?
Pengharaman rokok
Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada mac 1995, muzakarah telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Begitu juga di Negeri Selangor, telah mewartakan fatwa hukum pengharaman rokok bertarikh 25hb Oktober 1995; seperti yang dinyatakan dalam jadual berikut:
1) Merokok
adalah haram.
2) Oleh
yang demikian, adalah haram bagi mana-mana orang Islam yang menghisap apa-apa
jenis rokok.
3) Bagi
maksud fatwa ini, ‘rokok’ ialah tembakau yang digulung dengan kertas atau daun
nipah atau selainnya.
Ini berdasarkan dalil-dalil dari
al-Quran dan al-Sunnah yang membawa kepada pengharaman rokok:
Firman Allah SWT di dalam surah
al-Baqarah ayat 195:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى
التَّهْلُكَةِ ۛ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu
ke dalam bahaya kebinasaan.
Ayat ini menjelaskan dari segi umum
lafaznya merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan,
walaupun ayat ini secara spesifiknya diturunkan berkenaan perbelanjaan di jalan
Allah SWT iaitu jihad seperti yang disyarahkan oleh ahli tafsir.
Imam as-Syaukani telah menyebutkan
di dalam kitabnya Fath al-Qadir
berkenaan penggunaan ayat ini di dalam situasi membawa kebinasaan secara umum,
telah berkata ketika menerangkan ayat ini:
وَالْحَقُّ
أَنَّ الِاعْتِبَارَ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ، فَكُلُّ مَا
صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِي الدِّينِ أَوِ الدُّنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ
فِي هَذَا، وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ الطَّبَرِيُّ.
Maksudnya: Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil
melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan ayat secara khusus. Oleh
itu, setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama
atau dunia, maka ia termasuk dalam umum ayat ini dan ini jugalah yang dipegang
oleh Ibn Jarir al-Tabari.[1]
Begitu
juga Allah SWT telah merakamkan di dalam surah al-Nisa’ ayat 29:
وَلَا
تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya:
Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani
kamu.
Menurut
al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan
sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri.[2] Di sisi
al-Tustari pula, penafsiran ayat ini membawa maksud bahawa Allah SWT melarang
hambanya dari merosakkan diri sendiri dengan bermaksiat dan sengaja berterusan
melakukannya, serta meninggalkan taubat apabila telah kembali kepada kebenaran.[3]
Merujuk pada kedua-dua tafsiran ini, ayat ini secara tidak langsung boleh dikaitkan dengan tabiat merokok
yang bercirikan amalan yang membawa ke arah kemudaratan dan memusnahkan diri
sendiri, di samping tabiat ini juga merupakan satu perbuatan maksiat kerana
tergolong dalam perkara yang diharamkan.
Telah diriwayatkan dalam sebuah
hadis daripada Sahabat bernama
Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya:
Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas (kemudaratan) dengan
kemudaratan.[4]
Definisi
Fasiq
Fasiq berasal dari perkataan fisq. Fisq dari segi bahasa bermaksud terkeluar atau terpisah. Berkata orang arab:
تقول العرب: فسقت الرطبة عن قشرها:
إذا خرجت
Maksudnya: Telah terpisah buah kurma
yang basah dari kulitnya; iaitu telah keluar.[5]
Di sisi fuqaha pula, para ulama
memberikan pelbagai takrifan dalam menentukan maksud fisq dari segi istilah. Namun takrifan-takrifan tersebut memberi pengertian
yang hampir sama iaitu terkeluar daripada ajaran yang benar dengan melakukan
dosa besar atau sengaja berterusan melakukan dosa kecil.[6] Definisi
terbaik yang boleh diambil di sisi fuqaha adalah melakukan dosa besar atau
berterusan dalam melakukan dosa-dosa kecil sedikit mahupun banyak, atau mereka
yang maksiatnya lebih banyak dari ketaatannya.[7]
Oleh
itu, fasiq adalah seorang yang berterusan melakukan perkara haram
seperti menghisap rokok yang telah difatwakan sebagai haram, dan lawan bagi
orang yang fasiq adalah orang yang adil.
Kriteria
yang Diperlukan bagi Seorang Imam
Di dalam menentukan kriteria yang perlu ada pada seorang imam ada disebut di dalam kitab Raudhatul al-Thalibin karangan Imam Nawawi, telah berkata:
الأسباب
التي يترجح بها الإمام ستة: الفقه، والقراءة، والورع، والسن، والنسب، والهجرة.
فأما الفقه والقراءة، فظاهران.
Maksudnya: Sebab-sebab yang
diutamakan dengannya menjadi imam ada enam: faqih, baik bacaan, wara’, yang lebih berumur, nasab yang
baik, berhijrah (pada zaman Nabi SAW), adapun faqih dan baik bacaan itu maka
keduanya adalah dua perkara yang jelas dan nyata keperluannya.
Kemudian Imam Nawawi menyambung
kalamnya dalam membahaskan masalah-masalah yang berlaku contohnya; jika bertemu
imam antara yang adil dan fasiq, maka yang paling utama
didahulukan adalah yang adil dalam
pengimaman walaupun seorang fasiq itu
mempunyai sifat-sifat yang lebih baik dari segi faqih, baik bacaan dan yang
lain seperti telah disebutkan. Bahkan, makruh jika solat itu diimamkan oleh
seorang fasiq, dan begitu juga solat
di belakang orang yang mubtadi’ yang
bukan dikafirkan dengan bid’ahnya.[8]
Hal yang demikian, berdalilkan hadis
yang telah diriwayatkan daripada Sahabat bernama Abu Mas’ud Al-Ansari RA sabda
Rasulullah SAW:
يؤم القوم أقرؤهم لكتاب الله، فإن كانوا في القراءة سواء، فأعلمهم
بالسنة، فإن كانوا في السنة سواء، فأقدمهم هجرة، فإن كانوا في الهجرة سواء،
فأقدمهم سنًّا.
Maksudnya:
Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca
al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam
hadis, jika dalam hadis mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan
jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya dalam
kalangan mereka.[9]
Berkenaan
dengan hukum solat berimamkan seorang yang fasiq, Saidina Ibn ‘Umar RA pernah solat
di belakang al-Hajjaj bin Yusuf yang terkenal dengan kezalimannya yang
menjadikan dia tergolong dalam orang yang fasiq.[10]
Justeru, seorang imam itu haruslah mempunyai sifat yang sangat dituntut baginya antaranya ialah ‘alim,
fasih, soleh dan lebih tua dalam kalangan mereka serta seorang yang wara’. Apabila sifat-sifat sebegini ada
pada seseorang imam, maka solat di belakangnya adalah lebih afdhal.
Kesimpulan
.صَلُّوا خَلْفَ مَنْ قَالَ لَا إلَهَ إلَّا
اللَّهُ وَعَلَى مَنْ قَالَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّه
Walau
bagaimanapun, hukum seorang perokok menjadi imam adalah makruh, begitu juga
makmum yang mengikutinya.
[1] Muhammad bin Ali bin Muhammad
as-Syaukani, Fathu al-Qadir,
(Dimasyq: Dar Ibn Kathir, 1414H), Jil 1, ms. 222.
[2] Ahmad bin Ali Abu Bakr ar-Razi
al-Jassas, Ahkam al-Quran, (Beirut:
Dar Ihya at-Turath al-Arabi, 1405H), Jil. 3, ms. 127.
[3] Abu
Muhammad Sahl bin Abdullah bin Yunus al-Tustari, Tafsir al-Tustari, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1423H), Jil. 1,
ms. 53.
[4]
Muhammad Yazid bin Majah al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, (Damsyik, Beirut: Dar
al-Risalah al-Alamiyyah), 2009M/1430H,
Hadith:
2341.
[5] Ahmad
bin Faris bin Zakariya al-Qazwini ar-Razi, Mu’jam
Maqayiis Al-Lughah, (Dar al-Fikr, 1399H), Jil. 4, ms. 502.
[6] Zainuddin
bin Ibrahim bin Muhammad, Al-Bahr Ar-Raiq
Syarh Kanz Ad-Daqaiq, (Dar al-Kitab al-Islami), Jil. 6, ms. 284.
[7] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin
Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj Fi
Syarh al-Minhaj, (Masr: Al-Maktabah At-Tijariyyah Al-Kubra, 1357H), Jil. 6,
mas. 269.
[8] Abu
Zakariya Muhiyuddin Yahya bin Syaraf An-Nawawi, Raudhatul At-Tholibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, (Beirut: Al-Maktab
Al-Islami, 1412H), Fasl Fi Sifat
al-Mustahabbah Fil Imam, Jil. 1, ms. 354.
[9] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin
Muslim Al-Qusyairi Al-Nisaburi (m. 261H), Sahih
Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah) 1915M/1334 H , Hadith: 290.
[10] Yahya bin Syaraf An-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, (Kaherah:
Idarah At-Tibaah al-Maniriyah, 1344-1347H), Jil. 4, ms. 253.