Tarikh: 27 Februari 2024
Disediakan Oleh: Nor Hanani binti Ahmad
Pendahuluan
Umum mengetahui bahawa wanita haid dilarang untuk melakukan
beberapa perkara seperti solat, puasa, membaca al-Quran, hubungan kelamin suami
isteri dan menetap di dalam masjid. Menjadi persoalan apabila wanita yang
sedang haid meninggal dunia. Adakah jenazah wanita yang sedang haid dibolehkan
untuk disolatkan di dalam masjid sedangkan wanita haid adalah dilarang untuk
masuk ke masjid? Adakah dengan mandi wajib yang telah dilakukan oleh pengurusan
jenazah menjadikan jenazah tersebut suci dan boleh disolatkan di masjid?
Pengurusan
Jenazah
Aturan kehidupan apabila setiap yang hidup pasti merasai
kematian. Secara asasnya, setiap kematian yang berlaku mesti diuruskan dengan
baik oleh mereka yang masih hidup sebagai hak memuliakan manusia walaupun
apabila seseorang itu sudah meninggal dunia. Menjadi fardu kifayah kepada umat
Islam untuk menyelesaikan pengurusan jenazah meliputi memandikan, mengkafankan,
mensolatkan dan mengebumikannya jenazah tersebut.
(1) Memandikan
jenazah
Pensyariatan mandi jenazah adalah
berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Atiyyah katanya:
تُوُفِّيَتْ إِحْدَى بَنَاتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ، فَخَرَجَ فَقَالَ: اغْسِلْنَهَا ثَلَاثًا، أَوْ خَمْسًا، أَوْ أَكْثَرَ
مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ، بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي
الْآخِرَةِ كَافُورًا، أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ، فَإِذَا فَرَغْتُنَّ
فَآذِنَّنِي. قَالَتْ: فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَلْقَى إِلَيْنَا
حِقْوَهُ، فَقَالَ: أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ[1]
Maksudnya: Nabi SAW telah masuk ke
tempat kami ketika anak perempuan Baginda meninggal, lalu bersabda: Mandikanlah
dia tiga kali, lima kali atau lebih dari itu jika tambahan itu elok bagi
pandangan kamu dengan air dan (serbuk) daun bidara dan campurkan sedikit kapur
barus pada kali yang terakhir. Setelah kamu selesai memandikannya beritahulah
aku. Kami kemudian memberitahu Baginda, lalu memberi kami kain Baginda, sabdanya:
balutlah badannya dengan kain ini.
(Riwayat al-Bukhari)
Semua jenazah orang Islam sama ada
lelaki atau wanita wajib dimandikan jenazahnya kecuali jika mereka mati syahid
di medan peperangan. Tujuan memandikan jenazah adalah untuk membersihkan
anggota tubuh jenazah daripada kekotoran atau najis serta sebagai cara untuk
mensucikannya. Ia sebagai suatu penghormatan kepada manusia sebagai makhluk
yang dimuliakan Allah SWT serta menjadikan jenazah tersebut menghadap Allah SWT
dalam keadaan bersih dan suci.
(2) Mengkafankan
jenazah
Proses seterusnya apabila selesai
jenazah dimandikan hendaklah dikafankan sebagai tujuan menjaga maruah dan
kehormatan jenazah tersebut serta keinsafan kepada yang masih hidup semua
manusia adalah sama di sisi Allah kecuali ketaqwaan yang membezakan darjat
seseorang.
(3) Solat
jenazah
Solat jenazah bermaksud orang yang
masih hidup menunaikan solat bagi seseorang yang telah meninggal dunia.
Tujuannya adalah sebagai memohon ampun, keredhaan serta rahmat daripada Allah
SWT kepada jenazah tersebut. Hukum solat kepada jenazah yang bukan mati syahid
menurut Ulama ialah fardu kifayah iaitu dilakukan oleh sebahagian penduduk di
kawasan tersebut. Pensyariatan solat jenazah adalah berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى
النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى
فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا[2]
Maksudnya: Rasulullah SAW bersedih
atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris
bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
(4) Kebumikan
jenazah
Kewajipan terakhir yang perlu
diuruskan apabila seseorang meninggal dunia ialah dengan mengebumikan jenazah.
Ia merupakan suatu penghormatan yang diberikan kepada setiap umat Islam yang
telah meninggal dunia supaya tidak dibiarkan begitu sahaja atau dipermainkan
oleh binatang buas jika tidak dikebumikan.
Hukum Wanita Meninggal ketika Haid
Secara asasnya, wanita yang sedang haid mempunyai beberapa
perkara larangan dalam beribadat seperti
menunaikan solat, berpuasa, membaca al-Quran, menyentuh dan membawa
al-Quran, masuk ke masjid, tawaf dan bersetubuh[3].
Adapun begitu, wanita yang ditakdirkan meninggal walaupun
ketika sedang haid, nifas atau junub tidak mengubah cara pengurusan jenazah
terhadap jenazah tersebut. Imam al-Nawawi dalam kitabnya menukilkan bahawa:
مَذْهَبُنَا أَنَّ الْجُنُبَ وَالْحَائِضَ إذَا مَاتَا
غُسِّلَا غُسْلًا وَاحِدًا وَبِهِ قَالَ الْعُلَمَاءُ كَافَّةً إلَّا الْحَسَنَ
الْبَصْرِيَّ فَقَالَ يُغَسَّلَانِ غُسْلَيْنِ قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ لَمْ
يَقُلْ بِهِ غَيْرُهُ[4]
Maksudnya: Dalam mazhab kami, lelaki
yang berjunub atau wanita haid ketika meninggal dunia, maka dia dimandikan
sekali sahaja. Ini adalah pendapat semua ulama kecuali al-Hasan al-Basri yang
menyatakan perlu mandi dua kali bagi jenazah yang meninggal dalam keadaan
berjunub. Ibn Munzir mengatakan (komentar terhadap pandangan Hasan al-Basri):
Pandangan ini tidak disebut oleh seorang pun selain beliau.
Hal ini menunjukkan bahawa, apabila
seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan berjunub atau berhadas besar,
memadai bagi jenazah tersebut hanya dimandikan sekali sahaja . Perkara ini
turut diteguhkan lagi dengan kenyataan Imam Ibn Qudamah bahawa:
والأوَّلُ أوْلَى(والحَائِضُ والجُنُبُ إذا ماتَا كَغَيْرِهما
في الغُسْلِ)… لأنَّهما خَرَجَا من أحْكامِ التَّكْلِيفِ ولم يَبْقَ عليهما
عِبادَةٌ وَاجِبَةٌ وإنَّما الغُسْلُ لِلْمَيِّتِ تَعَبُّدٌ ولِيكونَ في حالِ
خُرُوجِهِ من الدُّنْيَا على أكْمَلِ حَالٍ من النَّظافَةِ والنَّضارَةِ وهذا
يَحْصُلُ بِغُسْلٍ واحِدٍ ولأنَّ الغُسْلَ الواحِدَ يُجْزِئُ مَن وُجِدَ في حَقِّه
مُوجِبَانِ له لو اجْتَمَعَ الحَيْضُ والجنابةُ[5]
Maksudnya: Pandangan pertama lebih
utama (Memandikan jenazah wanita yang meninggal ketika haid atau junub sama
seperti jenazah lain)… Hal ini kerana kedua-dua keadaan (jenazah) ini telah
terkeluar daripada hukum taklif yang tidak mewajibkan lagi bagi mereka sesuatu
ibadah. Adapun mandi bagi jenazah tersebut adalah sebagai suatu taa’budi kepada Allah supaya apabila
seseorang meninggal dunia jenazah tersebut berada dalam keadaan paling bersih
dan sempurna. Perkara ini boleh dilakukan dengan hanya sekali mandi kerana
sekali mandi sudah memadai bagi mengangkat dua kewajipan iaitu mandi junub dan
haid.
Manakala mengenai tempat untuk disolatkan bagi jenazah
wanita yang meninggal ketika haid atau nifas, jenazahnya boleh disolatkan di
masjid. Hal ini berdasarkan kepada persoalan yang ditujukan kepada Syeikh
Muhammad bin Ibrahim bin Abd Latif sebagaimana berikut[6]:
سئل الشيخ محمد بن إبراهيم بن عبد اللطيف والشيخ عبد العزيز
العنقري عن الحائض والنفساء إذا ماتت إحداهما هل تجوز الصلة عليها في المسجد
فأجابا: نعم، يجوز إذا أمن تلويثه، لأن الأحكام انقطعت بالموت
Maksudnya: Syeikh Muhammad bin
Ibrahim telah ditanya mengenai wanita haid atau nifas apabila meninggal
kedua-dua mereka adakah dibolehkan solat ke atas mereka di masjid? Maka jawab
beliau: Ia boleh selagi mana ia tidak mencemari kerana hukum taklifan ke
atasnya telah tiada setelah meninggal dunia.
Tambahannya, seseorang yang telah meninggal dunia gugur
taklifan atau tanggungjawabnya terhadap sesuatu ibadah. Firman Allah SWT dalam
surah al-Hijr ayat 99:
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ ﴿٩٩﴾
Maksudnya: Dan sembahlah Tuhanmu
sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (iaitu kematian).
Tafsir al-Munir menerangkan ayat di atas seperti kenyataan
berikut:
أي فاشتغل بذكر الله وتحميده وتسبيحه وعبادته التي هي الصلاة،
وداوم على ذلك حتى يأتيك اليقين، أي الموت، وسمي الموت باليقين؛ لأنه أمر متيقن[7]
Maksudnya: Maka sibukkanlah dirimu
dengan mengingati Allah, tahmid, tasbih dan beribadah kepada-Nya iaitu dengan
solat, teruslah berbuat demikian sehingga datang kepadamu sesuatu perkara yang
yakin, iaitu kematian. Dinamakan kematian itu suatu keyakinan kerana ia adalah
sesuatu yang sudah menjadi kepastian berlaku.
Begitu juga seperti dijelaskan oleh Ibnu Kathir bahawa
apabila berlaku sesuatu kepastian ini iaitu kematian, maka gugurlah
kewajipannya (taklifan) dalam beribadah[8]. Selain itu, Imam Ibn
Taymiyah dalam kitab Syarh al-Humuwiyah li Ibn Taymiyah menyatakan bahawa:
وإذا مات سقط عنه التكاليف، ولا تسقط التكاليف إلا بأحد
أمرين: إما رفع العقل، فإذا رفع العقل سواء كان صغيراً لم يبلغ أو مجنوناً أو مغمى
عليه، فهذا تسقط عنه التكاليف، والثاني: الموت إذا مات، أما ما دام العقل ثابتاً
والحياة موجودة، فإنه يكلف ولا تسقط عنه التكاليف[9]
Maksudnya: Gugur pentaklifannya
seseorang apabila beliau meninggal dunia, dan tidak gugur pentaklifan kecuali
dengan dua perkara berikut. (1) seseorang itu belum berakal kerana masih kecil,
belum baligh, gila atau pengsan, maka gugur ke atasnya pentaklifan. (2)
kematian: seseorang telah mati. Adapun selagi mana seseorang mempunyai akal
yang waras serta masih hidup maka tidak gugur pentaklifannya untuk beribadah.
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelas di sini bahawa
apabila meninggal seseorang tersebut maka taklifannya untuk menunaikan ibadah
di dunia telah terhenti sama ada ketika dalam keadaan berjunub (berhadas besar)
atau tidak. Oleh itu, wanita yang meninggal dunia ketika haid adalah dibolehkan
untuk disolatkan jenazahnya di masjid.
Kesimpulan
Jenazah wanita yang meninggal ketika haid atau nifas memadai
hanya sekali sahaja mandi wajib yang menjadikan jenazah tersebut telah suci.
Justeru itu, tiada larangan bagi jenazah wanita yang meninggal ketika haid atau
nifas disolatkan di masjid kerana seseorang yang telah meninggal dunia telah
terputus taklifannya daripada sebarang hukum syara’. Semoga dengan solat yang
dilaksanakan oleh mereka yang masih hidup kepada jenazah tersebut memberi
kesejahteraan dan rahmat Allah kepadanya agar diampunkan segala dosa dan
mendapat keredhaan-Nya.
[1] Abu
Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja’fi, (1993), Sahih al-Bukhari, (Damsyik: Dar Ibn Kathir), No. Hadis 1200, Jil.
1, Ms. 424.
[2] Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja’fi, (1993), Sahih al-Bukhari, (Damsyik: Dar Ibn Kathir), No. Hadis 1188, Jil. 1, Ms. 420.
[3] Aḥmad
bin al-Ḥusayn bin Aḥmad al-Aṣfahānī, Mukhtaṣar
Abī Syujā’ Matan Ghāyah al-Taqrīb fī al-Fiqh al-Syāfi’ī, (Kaherah: Dār
al-Salām lil Ṭabā’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzī’ wa al-Tarjamah, 2017), ms. 39.
[4] Abū
Zakariā Muḥy al-Dīn bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’
Syarḥ al-Muhaẓẓab, (Kāherah: Idārah al-Tibā’ah al-Muniriah, 1929), Jil. 5,
ms. 152.
[5] Mawfiq
al-Dīn Abū Muḥammad Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Qudāmah al-Maqdisī, al-Mughnī li Ibn Qudāmah, (Riyādh: Dār
al-’Alam al-Kutub lil Tabā’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1997), Jil. 3, ms. 381; Abū Muḥammad Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Qudāmah
al-Maqdisī, al-Mughnī li Ibn Qudāmah,
(Qāherah: Maktabah al-Qāherah, 1968), Jil. 2, ms. 345.
[6] Muḥammad
bin Ibrāhīm bin Abd al-Laṭīf Āli al-Syeikh, Fatāwā
wa Rasā’il Samāḥah al-Syeikh Muḥammad bin Ibrāhīm bin Abd al-Laṭīf Āli
al-Syeikh, (Mekah: Matba’ah al-Ḥukūmah, 1399H), Jil. 3, ms. 190.
[7] Wahbah
al-Zuḥaylī, (1991), al-Tafsīr al-Munīr fī al-‘Aqīdah wa al-Syarīah
wa al-Manhaj, (Damsyik: Dār al-Fikr), Jil. 14, ms. 74.
[8] Ibn
Kathīr, Abū al-Fida’ Ismāil bin Amr bin Kathīr al-Qurasyi al-Baṣrī, Tafsīr al-Qurān al-Azīm, (Dār Ṭayyibah
li al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1999), Jil. 4, ms. 554.
[9] Abd
al-Azīz bin Abd Allah al-Rājiḥī, Syarḥ
al-Ḥumuwiyah li Ibn Taimiyah, (Durūs Ṣautiyah Qāma bitafrīghiha Mawqi’
al-Syibkah al-Islāmiyah), Jil. 9, ms. 2.