Tarikh: 8 Januari 2024
Disediakan
oleh: Naimah Mohamad Nasir
Pendahuluan
Allah SWT telah mewahyukan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW
untuk berdakwah kepada sekalian manusia. Malah, al-Quran diturunkan sebagai
panduan yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya Ilahi.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, urusan dakwah agama ini diteruskan oleh
para sahabat yang turut membawa gagasan al-Quran dan al-Sunnah melalui
penafsiran yang tepat agar ia selari berdasarkan makna dan tafsiran yang benar.
Hasilnya, dakwah Islam kian berkembang luas sehingga melahirkan para ilmuwan
Islam yang menyusun, memperjuangkan, mempertahankan disiplin dalam ilmu agama
khususnya berkaitan al-Quran dan al-Sunnah. Namun begitu, permasalahan yang
berlaku pada masa kini ialah masyarakat menganggap makna yang terkandung dalam
al-Quran hanya perlu difahami secara literal sehingga ada yang melontarkan
pandangan berdasarkan kefahaman sendiri. Salah faham ini juga turut berlaku
dalam kalangan orang bukan Islam terhadap penafsiran al-Quran. Maka timbul
persoalan, adakah penafsiran al-Quran ini boleh dilakukan oleh orang bukan
Islam?
Definisi
Tafsir, Terjemah dan Nukilan al-Quran
Al-Quran diturunkan menjadi panduan dan pengajaran bagi umat
manusia. Tuntutan al-Quran bukanlah sekadar membaca, menghafal dan bertaranum
semata-mata. Bahkan, bacaan al-Quran tersebut perlu dihayati dan diamalkan bagi
memenuhi tuntutan utama al-Quran sebagai panduan kehidupan di dunia. Dalam
memenuhi tuntutan berinteraksi dengan al-Quran ini, terdapat beberapa istilah
yang perlu dibezakan dan difahami. Istilah-istilah tersebut ialah:
● Tafsir
● Tadabbur
● Terjemahan
● Menukilkan
sesuatu berkaitan al-Quran
Tafsir dari sudut bahasa bermaksud
penerangan dan penjelasan[1].
Perkataan tafsir ini juga membawa maksud menyingkap lafaz-lafaz yang rumit[2].
Manakala, tafsir dari sudut istilah syarak, Imam al-Zarkasyi mendefinisikan
sebagai ilmu yang digunakan untuk memahami kitab Allah (al-Quran) yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan makna-makna bagi al-Quran
serta yang mengeluarkan hukum-hukum dan hikmah-hikmah daripadanya. Hal ini
memerlukan penguasaan ilmu bahasa Arab, nahu, ṣaraf, bayān, usūl, qirā’at, asbāb al-nuzūl (sebab-sebab penurunan
ayat al-Qur’an) dan al-nāsikh wa
al-mansūkh[3].
Tadabbur pula merujuk kepada makna penghujung
bagi sesuatu[4].
Manakala, dari segi istilah tadabbur
pula bermaksud menghayati makna ayat, memikirkan hikmahnya, memerhatikan
pengajaran penting dalam ayat[5]. Tadabbur merupakan matlamat manakala ilmu
tafsir menjadi alat yang mempunyai disiplin yang tersendiri sebagai medium
untuk mencapai tadabbur.
Terjemahan al-Quran merujuk kepada proses memindahkan
makna sesuatu teks dari bahasa sumber (Bahasa Arab) ke bahasa sasaran[6].
Tujuan penterjemahan al-Quran dilakukan adalah untuk menyampaikan mesej petunjuk Islam kepada
orang Islam dan bukan Islam yang
berkomunikasi menggunakan selain
Bahasa Arab.
Menukilkan sesuatu berkaitan al-Quran adalah perbuatan menyandarkan
sesuatu perkara atau penyataan dari segi makna atau lafaz bersesuaian dengan
konteks penulisan dan percakapan yang dilakukan kepada ayat, terjemahan,
tafsiran dan rujukan berkaitan al-Quran.
Al-Quran
Kitab Hidayah
Al-Quran merupakan kalāmullah
yang membawa mesej-mesej dakwah dengan mendatangkan bukti-bukti kekuasaan Allah
dan kebenaran Islam kepada manusia ke jalan yang benar. Antaranya berdasarkan
firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ
رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ
وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah)
bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian
manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
Hukum Interaksi Orang Bukan Islam Dengan al-Quran Melalui Pendengaran dan Pembacaan
Maka untuk mencapai misi hidayah ini terdapat banyak usaha
yang dilakukan oleh para ulama seperti usaha penterjemahan, pentafsiran dan
pembukuan tadabbur al-Quran untuk menyampaikan mesej murni al-Quran
kepada manusia secara umumnya. Saban hari semakin ramai yang tertarik untuk
mendengar, membaca, merenung mesej al-Quran sama ada dalam kalangan orang Islam
dan bukan Islam.
Oleh itu, dalam menyampaikan dakwah
kepada orang bukan Islam secara khususnya terdapat isu-isu hukum yang timbul
dalam interaksi antara orang bukan Islam dengan al-Quran ini seperti isu
berkaitan menyentuh, membaca dan mendengarkannya. Imam Nawawi dalam karyanya al-Majmu’ menjelaskan bahawa seorang
kafir atau musyrik dibenarkan untuk mendengar bacaan Al-Quran dan
mempelajarinya.
قال أصحابنا: لا يمنع الكافر سماع القرآن، ويمنع مس المصحف،
وهل يجوز تعليمه القرآن؟ ينظر: إن لم يرج إسلامه لم يجز، وإن رجي جاز في أصح
الوجهين، وبه قطع القاضي حسين، ورجحه البغوي وغيره[7]
Maksudnya: Para Ashab kami (fuqaha Syāfi’īyyah) berkata: orang kafir tidak
sepatutnya dihalang daripada mendengar Al-Quran, tetapi mereka dilarang
daripada menyentuh mushaf. Adakah diizinkan untuk mengajarkan Al-Quran
kepadanya? Bergantung kepada keadaan, jika dilihat tiada harapan untuknya
menjadi seorang Muslim, maka tidak dibenarkan, tetapi jika dilihat ada harapan
untuk dia menjadi seorang Muslim, maka ia dibenarkan mengikut pandangan yang
paling sahih; ini adalah pandangan Al-Qadhi Husain, dan diiktiraf oleh
Al-Baghawi dan yang lain.
Hal
ini menunjukkan Islam sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mana-mana pihak
termasuk orang bukan Islam untuk mempelajari, mendengar memahami dan mendalami
ajaran Islam melalui bacaan al-Quran dan
terjemahannya. Namun, peluang ini mestilah disertai dengan keutamaan adab dan
niat ikhlas dan jujur untuk mencari kebenaran melalui al-Quran. Jika aturan
berinteraksi dengan al-Quran tidak diikuti sebaiknya, maka sebarang perbuatan
mendekati al-Quran yang dianggap baik tersebut akan membawa penghinaan terhadap
kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam
masyarakat. Hal ini bersesuaian seperti mana yang ditetapkan dalam Muzakarah
Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam
Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran[8]. Muzakarah telah
memutuskan:
“Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari,
memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk
menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam
tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan
mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya. Tetapi ia
hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan
untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya
dilakukan dengan kesalahan sama ada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang
dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh
mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus menimbulkan keraguan,
keresahan dan fitnah kepada masyarakat.
Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini,
berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli Muzakarah sebulat suara berpendapat
bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci
Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud
yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan
yang sebenarnya bagi mempelajari Islam. Oleh itu, perbuatan yang sedemikian
boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya
al-Quran sekiranya dibiarkan.
Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd
az-Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca
dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri
dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur
keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian
al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat. Oleh
itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.
Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati
agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau
mendapatkan sesuatu kepentingan.
Hukum Orang Bukan Islam Mentafsir al-Quran
Secara asasnya, seseorang yang ingin
mentafsir al-Quran hendaklah berkelayakan dari sudut ilmunya supaya dapat
memahami dan mendalami dengan benar apa yang disampaikan oleh Allah SWT di
dalam al-Quran. Perbuatan menafsirkan al-Quran memerlukan penelitian yang
mendalam. Maka dalam hal mentafsirkan al-Quran hanya boleh dilakukan oleh
mereka yang mencukupi syarat-syaratnya.
Para
ulama dalam hal ini banyak membahaskan syarat-syarat mufassir al-Quran seperti al-Suyuti melalui kitabnya al-Itqān Fī Ulūm al-Qur’ān, Syeikh Ibn
Taimiyah dengan Muqaddimah Fī Usūl
al-Tafsīr, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyān
Fi Aqsām al-Qur’ān, al-Zarkasyi dengan al-Burhān
Fī Ulūm al-Qur’ān, al-Zarqani dengan Manāhil
al-‘Irfān dan ramai lagi ulama. Antara syarat-syarat mufassir dan adab-adab
yang ditekankan seperti berikut:
● Keikhlasan
● Iktikad
yang sahih.
● Sejahtera
daripada amalan dan iktikad bidaah.
● Bertaubat
dan sentiasa kembali kepada Allah.
● Sentiasa
berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.
●
Menguasai pelbagai ilmu, antaranya, ilmu bahasa Arab. Penguasaan ilmu
bahasa Arab meliputi ilmu Nahu, Tasrif atau Sarf, Isytiqaq, Balaghah iaitu
bayan ma’ani dan badi’dan lain-lain.
Dalam
menjawab persoalan mengenai hukum orang bukan Islam mentafsirkan al-Quran,
syarat iktikad yang sahih menjadi tumpuan utama. Hal ini dapat difahami bahawa
para ulama yang mempunyai akidah yang sahih, hati yang bersih daripada penyakit
hati dan dipercayai keilmuannya sahaja yang berkelayakan menafsirkan al-Quran.
Hal ini juga dijelaskan Imam al-Zarkasyi dalam kitabnya al-Burhān Fī Ulūm al-Qur’ān:
وَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا يَحْصُلُ
لِلنَّاظِرِ فَهْمُ مَعَانِي الْوَحْيِ حَقِيقَةً وَلَا يَظْهَرُ لَهُ أَسْرَارُ
الْعِلْمِ مِنْ غَيْبِ الْمَعْرِفَةِ وَفِي قَلْبِهِ بِدْعَةٌ أَوْ إِصْرَارٌ
عَلَى ذَنْبٍ أَوْ فِي قَلْبِهِ كِبْرٌ أَوْ هَوًى أَوْ حُبُّ الدُّنْيَا أَوْ
يَكُونُ غَيْرَ مُتَحَقِّقِ الْإِيمَانِ أَوْ ضَعِيفَ التَّحْقِيقِ أَوْ
مُعْتَمِدًا عَلَى قَوْلِ مُفَسِّرٍ لَيْسَ عِنْدَهُ إِلَّا عِلْمٌ بِظَاهِرٍ أَوْ
يَكُونُ رَاجِعًا إِلَى مَعْقُولِهِ وَهَذِهِ كُلُّهَا حُجُبٌ وموانع[9]
Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak
tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala rahsia-rahsia sedangkan dalam
hatinya terdapat unsur bid’ah, takbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal
melakukan maksiat, atau mereka yang tidak kukuh imannya atau bergantung kepada
pendapat mufassir yang tidak berilmu
melainkan ilmu zahir sahaja atau kembali kepada akalnya. Semua perkara ini
adalah penghalang kepada tafsir
Maka,
ini menunjukkan bukan sahaja orang bukan Islam bahkan orang Muslim secara
umumnya yang tidak mempunyai kemahiran dan ilmu juga tidak tergolong sebagai
orang yang layak menafsirkan al-Quran ini. Hal ini bagi menjaga kesucian
al-Quran daripada pemahaman yang menyeleweng dan menyimpang daripada apa yang
dikehendaki oleh Allah SWT.
Hukum Menukilkan al-Quran
Berdasarkan definisi di atas dapat difahami, perbuatan
mentafsirkan al-Quran berbeza dengan menukilkan al-Quran. Perbuatan menukilkan
al-Quran sama ada daripada tafsiran, terjemahan atau tadabbur daripada para ulama yang sedia ada tanpa membuat
penambahan dan mengubah makna boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja sama ada
orang Islam, bukan Islam, soleh, fasiq dan sebagainya sambil menjaga adab
terhadap al-Quran dan disiplin ilmu berkaitan dengan al-Quran. Malah, seseorang
digalakkan untuk berbuat demikian bagi mendapatkan gambaran yang sebenar
mengenai ajaran Islam daripada kitab suci umat Islam sendiri.
Adapun, sekiranya seseorang
menukilkan al-Quran dan menghuraikannya dengan mengikut hawa nafsu dan
digunakan untuk sebagai hujah untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu
maka ia satu perbuatan yang membawa penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan
ditegah sama ada ianya dilakukan oleh orang Islam ataupun bukan Islam. Bahkan
menjadi suatu dosa dan kesalahan yang besar sekiranya ia menyebarkan sesuatu
perkara tanpa berlandaskan ilmu yang benar. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam
Surah al-Isra’ ayat 36:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ
عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ
عَنْهُ مَسْئُولًا
Maksudnya: Dan janganlah engkau
mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan
ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Demikian juga terdapat hadis yang
jelas menunjukkan kepada larangan dalam hal ini. Sepertimana hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ
مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ[10]
Maksudnya: Sesiapa yang berkata
sesuatu pada Al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap
sedialah tempatnya di dalam neraka.
(Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, hadis yang juga
diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ
مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ[11]
Maksudnya: Sesiapa yang berkata
sesuatu berkenaan al-Quran tanpa ilmu maka bersiap sedialah tempatnya di dalam
neraka.
(Riwayat al-Tirmizi)
Hadis di atas menunjukkan makna larangan berdasarkan hukuman
azab neraka yang diberikan bagi sesiapa sahaja yang menyandarkan sesuatu
perkara dalam al-Quran berdasarkan semata-mata kemampuan akal fikiran mereka
sahaja (برأيه) tanpa melihat
kepada dalil-dalil dan pendapat para ulama kerana terdapat banyak perkara yang
tidak diketahui oleh akal manusia sebelumnya seperti asbāb al-nuzūl (sebab penurunan), nāsikh, mansūkh, kisah-kisah dan
hukum-hakam[12].
Manakala, pada makna (بغير علم)
di atas merujuk kepada menyandarkan sesuatu perkara dalam al-Quran tanpa
merujuk kepada dalil naqlī dan ‘aqlī yang bertepatan dengan syarak[13].
Oleh itu, sekiranya seseorang ingin
berhujah dengan menggunakan nas al-Quran, adalah lebih utama dan selamat untuk
meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para ulama yang muktabar dalam
ilmu tafsir yang menguasai secara mendalam ilmu-ilmu yang berkaitan ‘ulūm al-Qur’ān serta tafsirannya
terlebih dahulu berbanding mengulas sesuatu daripada Al-Quran dengan pendapat
sendiri kerana dikhuatiri termasuk dalam kategori pentafsiran yang tercela atau
tafsir mazmūm iaitu huraian yang
berada di luar konteks daripada maksud sebenar yang dikehendaki oleh ayat
tersebut dan melakukan penyelewengan terhadap ayat-ayat al-Quran.
Kesimpulan
Bagi orang bukan Islam jika ingin
mempelajari dan mendalami al-Quran sebaik-baiknya mengelakkan diri daripada
menggunakan atau memetik ayat-ayat al-Quran mahupun terjemahannya bagi
menyokong hujah-hujah tertentu, dikhuatiri ia berada di luar konteks daripada
maksud sebenar yang dikehendaki oleh ayat tersebut, seterusnya menimbulkan lagi
salah faham dan kesilapan dalam memahami ayat tersebut. Selain itu, rakyat
Malaysia dalam menangani isu ini secara khususnya dinasihatkan agar
menghentikan sebarang tindakan provokatif yang menyentuh sentimen agama dan
perkauman yang melampau supaya keharmonian masyarakat berbilang kaum dan bangsa
di negara ini tetap terpelihara. Tidak hairan jika orang bukan Islam
menyebutkan sesuatu yang salah tentang Islam. Maka, umat Islam bertanggungjawab
memberikan penjelasan yang benar kepada mereka yang bukan Islam secara berhikmah.
Namun, jika didapati bahawa mereka menggunakan ajaran Islam atau ayat suci
al-Quran dengan tujuan yang tidak baik, umat Islam harus bertindak membelanya
dengan saluran yang betul.
[1] Ahmad
Bin Fāris Bin Zakariyyā al-Qizwini al-Rāzi, Abū Husayn. Mu’jam Maqāyīs al-Lughah. (Dār al-Fikr: Amman, Jordan). Jil. 4 ,
ms. 504.
[2] Abū
Abdullah Badr al-Din Muhammad Bin ‘Abd Allah Bin Bihādar al-Zarzkasyi. Al-Burhān fī ‘Ulūmal-Quran. (Dār al-Ihya’
al-Kutub al-‘Arabiyyah: Kaherah, 1957). Jil. 1, ms. 13
[3] al-Zarkasyi. Al-Burhān
fī ‘Ulūmal-Quran. Jil. 1, ms. 13
[4] Muhammad Mukram bin Alī Abu Faḍl Jamāl al-Dīn Ibn Manzūr al-Anṣārī. Lisān al-‘Arab. (Dār al-Ṣadir: Beirūt, Lubnān: 1993) Jil. 4, ms.
268.
[5] Ala’ al-din ‘Alī Bin Muhammad Bin Ibrāhīm Bin Umar al-Shīhī
Abū al-Hasan. Lubāb al-Ta’wīl fi Ma’āni
al-Tanzīl. (Dār al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut, Lubnan, 1994). Jil.1, 402.
[6] Muhammad ‘Abd al-‘Azīm al-Zurqānī, Manāhil al-‘Irfān fī ‘Ulūm al-Quran, (Kaherah, Mesir, t.t), Edisi
ketiga, Jil. 2, ms 110.
[7] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman,
Jordan: Dar al-Fikr, 1928). Jil. 2, Vol. 71.
[8] “Isu
Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran”, Diakses daripada
https://i-fiqh.islam.gov.my/portal/view.php?id=10264
[9] Abū Abdullah Badr al-Din Muhammad Bin ‘Abd Allah Bin
Bihādar al-Zarkasyi. Al-Burhān fī
‘Ulūmal-Quran. (Dār al-Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah: Kaherah, 1957). Jil.
2, ms. 181.
[10] Abū ‘Īsa Muhammad
Bin ‘Īsa al-Tirmizi. Sunan al-Tirmizi.
(Matba’ah Musṭafa al-Bābī Halabī:Mesir, 1975). Jil. 5, ms. 199.
[11] al-Tirmizi.
Sunan al-Tirmizi. Jil. 5, ms. 199.
[12] ‘Alī Bin Muhammad , Abu Hasan Nur al-Dīn al-Mulā al-Harawī
al-Qari. Mirqāt al-Mafātih Sharh Misykāt
al-Maṣābīh. (Dār al-Fikr: Amman, Jordan, 2002). Jil. 1, ms. 309.
[13] al-Mulā al-Harawī al-Qari. Jil. 1, ms. 309.