#38 TAUDHIH AL-HUKMI : Hukum Lelaki Bertindik Menjadi Wali Nikah

 

Tarikh: 4 Disember 2023

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

Pendahuluan

Menindik telinga merupakan salah satu cara berhias yang pada kebiasaannya dilakukan oleh kaum wanita bagi membolehkan mereka memakai perhiasan seperti anting-anting pada telinga. Namun begitu, perkara ini telah menjadi trend yang tidak hanya khusus kepada kaum wanita. Malah turut dipakai oleh sebahagian kaum lelaki. Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai hukum lelaki tersebut menjadi wali nikah. Hal ini kerana perkara tersebut boleh memberikan kesan terhadap akad nikah yang mensyaratkan wali adalah seorang yang ‘adil iaitu tidak fasiq.

 

Hukum Bertindik Bagi Lelaki

 

Memakai perhiasan pada telinga seperti  memakai anting-anting, subang, dan lain-lain merupakan suatu kebiasaan bagi kaum wanita bertepatan dengan fitrah mereka yang sukakan perhiasan dan kecantikan. Dengan perkembangan zaman, perhiasan seperti ini tidak hanya dilakukan di telinga, malah turut dilakukan di bahagian lain pada badan manusia. Sebagai seorang wanita, sudah menjadi kebiasaan mereka ingin berhias dengan pelbagai cara sama ada dengan menghias pakaian mereka, kasut, mata termasuk juga memakai anting-anting di telinga atau menindik hidung.

 

Bertindik telah menjadi adat wanita-wanita di zaman Jahiliah. Sepanjang zaman tersebut, tiada larangan khusus daripada Rasulullah SAW mengenai pemakaian anting-anting atau sebarang perhiasan di telinga mereka. Maka, ia kembali kepada hukum asal iaitu harus memakainya bagi kaum wanita. Situasi ini dapat dilihat menerusi sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA:[1]

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الْعِيدِ رَكْعَتَيْنِ، لَمْ يُصَل قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا، ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ – وَمَعَهُ بِلَالٌ – فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ، فَجَعَلَتِ الْمَرْأَةُ تُلْقِي قُرْطَهَا

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW selepas melakukan solat sunat hari raya dua rakaat, Baginda tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepasnya, kemudian Baginda pergi menemui golongan wanita bersama Bilal, lalu Baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah, sehingga terdapat daripada mereka yang memberi anting-anting mereka.

 

Walau bagaimanapun, pada hari ini, perbuatan menindik telinga bagi tujuan perhiasan tidak hanya dilakukan oleh kaum wanita, malah kaum lelaki turut terlibat dalam trend tersebut. Menindik telinga bagi memakai anting-anting atau subang adalah haram bagi lelaki kerana terdapat unsur menyerupai kaum wanita yang jelas dilarang dalam Islam. Daripada Ibnu Abbas RA:[2]


لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki.

 

Ibn ‘Abidin menjelaskan perkara ini dalam kitabnya seperti berikut:

أَنَّ ثَقْبَ الْأُذُنِ لِتَعْلِيقِ ‌الْقُرْطِ، وَهُوَ مِنْ زِينَةِ النِّسَاءِ، فَلَا يَحِلُّ لِلذُّكُورِ

Maksudnya: Menindik telinga bagi memakai anting-anting adalah merupakan perhiasan bagi wanita. Maka ia tidak diharuskan bagi lelaki.[3]

 

Justeru, perbuatan ini adalah haram dan berdosa bagi kaum lelaki. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan tahu mengenai keharamannya termasuk dalam kategori mereka yang berterusan melakukan dosa kecil dan boleh jatuh fasiq.

 

Lelaki Bertindik Menjadi Wali Nikah

Wali merupakan salah satu daripada lima rukun nikah yang mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri. Antara syarat sah seseorang wali nikah adalah dia hendaklah bukan seorang yang fasik. Hal ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW:[4]

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ مُرْشِدٍ

Maksudnya: Tiada nikah melainkan dengan wali yang mursyid (‘adil).

Hukum-hakam mengenai akad nikah merupakan suatu yang amat dititikberatkan oleh para ulama kerana ia melibatkan pemeliharaan nasab keturunan. Justeru, para ulama mengambil jalan ihtiyat (berhati-hati) dalam perkara yang bersangkut dengan akad nikah. Antara syarat menjadi wali nikah adalah wali tersebut mestilah seorang yang ‘adil iaitu tidak fasiq. Kata Imam al-Khatib dalam kitabnya:[5]

 

(وَلَا وِلَايَةَ لِفَاسِقٍ) غَيْرَ الْإِمَامِ الْأَعْظَمِ مُجْبِرًا كَانَ أَوْ لَا، فُسِّقَ بِشُرْبِ الْخَمْرِ أَوْ لَا، أَعْلَنَ بِفِسْقِهِ أَوْ لَا (عَلَى الْمَذْهَبِ) بَلْ تَنْتَقِلُ الْوِلَايَةُ لِلْأَبْعَدِ لِحَدِيثِ: لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ مُرْشِدٍ

 

Maksudnya: (Tiada kekuasaan (wali) untuk orang fasiq) selain pemimpin utama sama ada secara paksa atau tidak. Sama ada dia menjadi fasiq kerana minum arak atau tidak, menzahirkan kefasikannya atau tidak (menurut mazhab). Bahkan, wali tersebut berpindah kepada wali ab’ad berdasarkan hadis: Tiada nikah melainkan dengan wali yang mursyid (‘adil).

Menurut istilah fiqh, fasiq adalah mereka yang melakukan dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil.[6] Manakala, istilah wali mursyid dalam hadis yang disebutkan di atas adalah merujuk kepada makna ‘adil. Perkara ini dijelaskan oleh fuqaha:[7]

 

الْمُرَادُ بِالْمُرْشِدِ فِي الْحَدِيثِ الْعَدْلُ، وَلِأَنَّهُ نَقْصٌ يَقْدَحُ فِي الشَّهَادَةِ فَيَمْنَعُ الْوِلَايَةَ كَالرِّقِّ

Maksudnya: Yang dimaksudkan mursyid dalam hadis adalah ‘adil kerana (kefasikan) adalah satu kekurangan yang mencemarkan keabsahannya sebagai saksi. Maka dia ditegah daripada menjadi wali.

Maka dalam hal ini, kaum lelaki yang bertindik adalah dianggap sedang melakukan dosa dan boleh mencemarkan kelayakannya sebagai seorang wali nikah. Hal ini menyebabkan hak kewalian boleh berpindah kepada wali ‘adil yang seterusnya mengikut urutan wali. Justeru, para wali yang ingin menikahkan anaknya dinasihatkan agar mengambil berat mengenai perkara ini bagi memastikan keabsahan perkahwinan anaknya.

 

Mengikut pengamalan Jabatan Agama Islam di Malaysia, Penolong Pendaftar Perkahwinan yang bertauliah akan melakukan proses istitabah sebelum melakukan proses pernikahan dengan beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT. Sebagai seorang manusia, kita tidak boleh menghukum seseorang sebagai fasiq atau tidak melainkan dengan apa yang dizahirkan olehnya. Mudah-mudahan, melalui proses istitabah ini, mereka dianggap telah bertaubat kepada Allah SWT dan semoga Allah SWT mengampunkan dosa mereka yang telah lalu. Dengan itu, wali tersebut boleh menikahkan anaknya secara sah.

 

Walau bagaimanapun, seseorang lelaki yang menzahirkan kefasikannya seperti berterusan memakai tindik yang dihukumkan sebagai dosa, maka dia boleh dihukumkan sebagai fasiq serta hilang kelayakannya sebagai seorang wali nikah. Bagi menyelesaikan masalah ini, dinasihatkan agar para wali nikah menanggalkan tindik telinga serta meninggalkan apa-apa dosa yang boleh dilihat secara zahirnya semasa proses pernikahan bagi memastikan perkahwinan yang dijalankan adalah sah.

 

Kesimpulan

Memakai tindik telinga bagi lelaki adalah suatu dosa kerana mengandungi unsur menyerupai wanita yang ditegah dalam Islam. Salah satu daripada rukun nikah ialah wali yang mursyid (‘adil) iaitu tidak fasiq. Maka, lelaki yang memakai tindik tidak boleh menjadi wali nikah dalam keadaan mereka sedang memakainya ketika majlis tersebut kerana dihukumkan sebagai fasiq secara zahirnya. Namun, mereka boleh menjadi wali nikah dengan syarat mereka membuka tindik tersebut sebelum majlis akad nikah berlangsung dan telah menjalani proses istitabah dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan budaya-budaya seperti ini yang bercanggah dengan tuntutan agama Islam.



[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 5883.

[2] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 5885.

[3] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Ābidīn al-Dimasyqī Ibn ‘Abidīn al-Hanafiyy. (m. 1252H). Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār al-Mukhtār. Beirut, Lubnān: Dār al-Fikr. 1386H/ 1966M. Jil. 6, ms. 420.

[4] Muhammad bin Idris al-Syafi’i, Musnad al-Syafi’i, (Beirut: Dar al-Kutub al-’ilmiyyah, 1400H) ms. 220.

[5] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. 1994M/1415H. Jil. 4, ms. 256.

[6] Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, Kasyāf al-Qinā’ ‘An al-Iqnā’, (Beirut, Lubnan: Dār al-Fikr, 1968M). Jil. 1, ms. 475.

[7] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. 1994M/1415H. Jil. 4, ms. 256.

Accessibility Toolbar