Tarikh: 7 November 2023
Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad
Pendahuluan
Kemodenan media sosial kini menjadikan ramai individu mengambil peluang memaksimumkan penggunaannya. Ia bukan sahaja digunakan sebagai medium komunikasi untuk berkongsi gambar dan video persendirian, bahkan digunakan sebagai item untuk menjana pendapatan melalui pelbagai content bagi menarik ramai viewer (penonton) dan follower (pengikut). Peningkatan trend ini menyebabkan ramai yang cuba melakukan perkara yang sama dengan hanya menggunakan content orang lain untuk menambah viewer dan follower serta pendapatan. Namun adakah perkara sedemikian dibenarkan di sisi syarak?
Memanfaatkan content Orang Lain
Perkembangan media sosial yang semakin canggih menjadikan komunikasi sosial berlaku tanpa sempadan meliputi semua lapisan masyarakat. Peluang ini menjadikan ramai individu menghasilkan pelbagai kreativiti atau idea untuk menghasilkan video yang menarik bagi menambah jumlah viewer dan follower sehingga mampu menghasilkan pendapatan. Penggunaannya yang mudah diakses membolehkan pihak lain menggunakan content ciptaan orang lain menjadi content sendiri sama ada untuk penggunaan persendirian bagi meningkatkan follower dan viewer atau tujuan komersial.
Sebagai contoh, affiliate marketing yang dikenalpasti sebagai pihak ketiga yang berdaftar di bawah perniagaan atau akaun media sosial tertentu seperti tiktok, youtube dan sebagainya bertujuan untuk mempromosi barang jualan tertentu dan mendapat keuntungan. Jika berlaku jualan hasil daripada promosi atau video yang dilakukan, perniagaan atau platform media sosial tertentu akan memberi bayaran bagi pihak-pihak yang terlibat di dalamnya melalui akad ju’alah.
Selain itu, seiring dengan era modenisasi, populariti hari ini diukur dengan jumlah viewer dan follower yang ramai. Viewer dan follower yang ramai mampu menjana pendapatan dan menjadikan pemilik akaun tiktok atau youtube tersebut orang yang berpengaruh atau dikenali sebagai digital influencer (pempengaruh digital). Perkara ini secara tidak langsung menarik sebahagian pengguna media sosial mengambil jalan mudah dalam menghasilkan video, gambar atau audio dengan mengambil hasil usaha orang lain untuk dijadikan content.
Hukum Menggunakan Hak Milik Orang Lain
Secara asasnya, perbuatan menggunakan atau mengambil harta
milik orang lain tanpa izin merupakan tindakan ghasb iaitu mengambil hak orang lain tanpa izin yang dilarang dalam
Islam. Hukumnya adalah haram dan berdosa[1] sebagaimana firman Allah SWT
dalam Surah al-Baqarah ayat 188 berikut:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: dan janganlah kamu makan
(atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang
salah.
Mengambil atau makan harta dengan cara yang batil meliputi
perkara mengambil hak orang lain tanpa izin seperti yang dinukilkan dalam kitab
Ruh al-Bayan berikut:
وَلا تَأْكُلُوا أَمْوالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْباطِلِ اى
لا يأكل بعضكم مال بعض بالوجه الذي لم يبحه الله تعالى ولم يشرعه كالغصب والنهب
والسرقة[2]
Maksudnya: Janganlah kamu makan
harta sebahagian yang lain dengan cara yang tidak diizinkan Allah SWT seperti
mengambil hak orang lain, merampas, mencuri, perjudian dan rasuah.
Mengambil hasil idea orang lain juga merupakan hak cipta
terpelihara yang tidak patut dilanggar meskipun hanya menggunakan media sosial.
Ia termasuk perbuatan menggunakan hak orang lain dengan cara yang salah iaitu
memanfaatkan milik orang lain tanpa izin pemilik asal. Perkara ini dianggap
menceroboh hak orang lain seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah
RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ،
وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ[3]
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke
atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya
dan darahnya.
(Riwayat Muslim)
Perkataan mal dalam hadis ini menunjukkan setiap muslim mempunyai kehormatan dari sudut hartanya yang tidak boleh dicabuli oleh orang lain. Harta ini adalah termasuk gambar, audio, video atau content seseorang yang merupakan salah satu hak muslim yang perlu dijaga dan tidak boleh diambil tanpa izin.[4] Oleh itu, perbuatan menggunakan content atau memanfaatkan gambar, audio dan video milik orang lain tanpa kebenaran dan dengan sewenang-wenangnya merupakan salah satu tindakan mengambil hak orang lain tanpa izin dan menyalahi undang-undang hak cipta[5].
Selain itu, hasil karya memerlukan kepada perlindungan hak cipta supaya ia tidak disalah guna. Hak cipta menurut kamus dewan ialah hak penguasaan yang dilindungi undang-undang atas seluruh atau sebahagian daripada hasil ciptaan seseorang pengarang (pencipta atau pengubah)[6]. Ia merupakan hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Perlindungan hak cipta di Malaysia berasaskan kepada Akta Hakcipta 1987. Antara karya yang layak mendapat perlindungan harta intelek ialah karya muzik, seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan.[7]
Penggunaan Content Media Sosial
Walaupun begitu, penggunaan background music (muzik latar) daripada pelbagai artis terkenal atau digital influencer tidak menjadi kesalahan kerana pihak tiktok sudah menandatangani perjanjian dengan ramai artis dan produser muzik serata dunia untuk menggunakan lagu-lagu mereka di tiktok. Ini bermakna tiktok dibenarkan untuk menggunakan lagu-lagu mereka dan sebagai imbalannya artis dan digital influencer tersebut dibayar royalti mengikut perjanjian yang dipersetujui. Jadi, pencipta kandungan atau lebih dikenali sebagai content creator di media sosial boleh memilih lagu pelbagai genre daripada artis terkemuka dunia untuk digunakan sebagai content video mereka secara percuma melalui Tiktok Commercial Music Library dan memberi kemudahan kepada pencipta kandungan video menggunakan lagu mengikut tema, genre dan mood yang telah disediakan di tiktok.
Manakala bagi content milik persendirian atau sesuatu perniagaan hendaklah dikreditkan kepada pemilik asal untuk menggunakan content mereka. Namun, jika terdapat kenyataan larangan daripada pemilik asal yang tidak membenarkan penggunaan contentnya, hendaklah meminta izin langsung kepada pemilik asal content tersebut dan tidak cukup hanya sekadar memberi kredit. Ia sebagai menghargai hasil kerja mereka yang dimanfaatkan.
Sebagai pengguna media sosial yang bertanggungjawab yang ingin menjadikan platform ini sebagai medium untuk menjana pendapatan, hendaklah berusaha menjadi orang yang kreatif dan inovatif dalam menghasilkan content sama ada bagi tujuan promosi atau persendirian supaya hasil yang diperolehi bertepatan dengan kehendak syarak.
Kesimpulan
Penggunaan content
orang lain seperti background music
daripada pelbagai artis terkenal atau digital
influencer yang telah menandatangani perjanjian dengan tiktok tidak menjadi
kesalahan kepada pengguna media sosial untuk menggunakannya sepertimana yang
telah disediakan oleh tiktok kepada umum. Manakala bagi content milik persendirian hendaklah mengkreditkan kepada pemilik
asal penggunaan gambar video atau content
tersebut. Namun, jika terdapat kenyataan larangan daripada pemilik asal,
pengguna media sosial hendaklah meminta izin langsung daripada pemilik asal dan
tidak memadai dengan hanya mengkreditkan sahaja. Pengguna media sosial
hendaklah berhati-hati menghasilkan video atau menaikkan gambar supaya tidak
menggunakan hasil kreativiti orang lain tanpa izin yang merupakan suatu
perbuatan yang dilarang dalam Islam.
[1] Muḥammad
bin Umar Nawawī al-Jāwī al-Bintanī Iqlīmā, Nihāyah
al-Zayn fī Irsyād al-Mubtad’īn, (Beirut: Dār al-Fikr), ms. 264.
[2] Ismāil Haqīy bin Muṣṭafā al-Istānabūlī al-Ḥanafī al-Khalūtī, Rūḥ al-Bayān,
(Beirut: Dār al-Fikr), Jil. 1, ms. 302.
[3] Abū
al-Ḥusain Muslim bin al-Hujāj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, (1916),
Ṣaḥīḥ al-Imām Muslim, (Turki: Dār al-Tabā’ah al-‘Āmirah), No Hadis 2564, Jil.
8, ms. 10.
[4] Muḥammad
al-Amīn bin Abdullah al-Uramī al-’Alawī al-Hararī al-Shāfi’ī, (2009), al-Kawakib
al-Wahhāj wa al-Rawd al-Bahhāj fi Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥujāj, (Dār
al-Tawq al-Najāh: Dār al-Minhāj), Jil. 24, ms. 312.
[5] Undang-undang
Malaysia, Akta Hak Cipta 1987, Akta 332.
[6] Dewan
Bahasa dan Pustaka, maklumat dilayari pada 12 September 2023, Laman Sesawang
Dewan Bahasa dan Persuratan Melayu, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hak+cipta
[7] Perbadanan
Harta Intelek Malaysia (MyIPO), maklumat dilayari pada 12 September 2023, https://www.myipo.gov.my/ms/hak-cipta/