#36 Taudih al-Hukmi : Hukum Menyertai Acara Anjuran Bank Konvensional

Tarikh: 2 November 2023

Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad

Pendahuluan

Program mega yang diadakan secara besar-besaran memberi galakan dan keterujaan masyarakat untuk menyertainya. Apatah lagi apabila program sebegini menyediakan imbalan yang lumayan kepada para pemenang dan semua peserta program daripada penaja program yang menyediakan dana. Namun begitu, sebagai peserta yang terlibat secara langsung dalam program mega tersebut adakah perlu mengambil tahu penaja utama program? Jika penganjurnya dari bank konvensional yang jelas menyediakan perkhidmatan berteraskan riba, adakah boleh orang Islam menyertai program tersebut?

Larangan Riba

Institusi perbankan konvensional merupakan institusi yang menyediakan perkhidmatan kewangan meliputi simpanan, pinjaman, pelaburan dan perdagangan yang tidak berteraskan Syariah. Perkhidmatan yang disediakan berteraskan kepada perkara yang dilarang syarak iaitu mempunyai unsur riba (interest), gharar (ketidakpastian), dan perjudian.[1] Riba merupakan perkara yang jelas diharamkan oleh Allah SWT serta diketahui oleh masyarakat secara umumnya seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 275:

 

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

 

Allah juga menegaskan pengharaman riba dengan ancaman perang daripada Allah kepada mereka yang terlibat dengan riba sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 278-279 berikut:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ.‏ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

 

Ancaman perang pada ayat di atas merupakan ayat majaz (kiasan) tentang kemurkaan Allah[2] dan merupakan suatu ancaman yang dahsyat kepada mereka yang terus terlibat dengan riba setelah diberi peringatan.[3] Jelas di sini bahawa Allah melarang hamba-Nya terlibat dengan riba dengan ancaman yang dahsyat sebagai penegasan untuk meninggalkan perkara tersebut.

 

Penyertaan Acara Anjuran Bank Konvensional

Penganjuran kepelbagaian acara seperti sukan dan pertandingan lain oleh perbankan konvensional adalah dengan menyediakan dana program dan hadiah kepada peserta yang terlibat. Di samping itu, penganjur meletakkan jenama atau logo institusi pada papan iklan serta barangan yang diterima oleh peserta secara percuma sebagai hadiah atau barangan yang diterima melalui bayaran penyertaan peserta acara. Perkara ini merupakan salah satu kaedah mempromosi perbankan konvensional kepada masyarakat awam akan keberadaan institusi tersebut sekaligus mempromosikan perkhidmatan yang disediakan.

 

Hal ini adalah dilarang kerana mempunyai unsur keterlibatan dalam membantu melakukan perkara yang mungkar. Larangan ini jelas seperti Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

 

Tafsir Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah menyuruh hamba-Nya tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan meninggalkan perkara mungkar[4] iaitu melarang menyokong perkara yang batil seperti menyertai apa-apa acara atau mempromosikan perbankan konvensional.

Penganjuran acara oleh perbankan konvensional walaupun tujuannya berkemungkinan baik iaitu memberi galakan kepada masyarakat untuk bersukan, namun pada hakikatnya adalah bertujuan untuk mempromosikan perbankan konvensional. Matlamatnya yang bertentangan menyebabkan acara yang dianjurkan tidak dibenarkan seperti yang dinukilkan oleh al-Imam al-’Iz bin abd al-Salam al-Shafi’i berdasarkan kaedah fiqh berikut:

 

‌وَلِلْوَسَائِلِ ‌أَحْكَامُ ‌الْمَقَاصِدِ[5]

Maksudnya: Hukum suatu wasilah itu bergantung kepada maqasid (objektif yang ingin dicapai daripadanya).

 

Oleh itu, peserta yang menyertai acara yang dianjurkan oleh perbankan konvensional dianggap terlibat dalam unsur mempromosikan perbankan konvensional yang jelas terlibat dengan kegiatan riba. Acara atau program yang dilaksanakan dijadikan sebagai jalan (wasilah) yang boleh membawa kepada matlamat sesuatu perkara iaitu untuk memberi pendedahan kepada masyarakat akan kewujudan institusi tersebut. Perkara ini secara tidak langsung telah menarik masyarakat menggunakan perkhidmatan kewangan berteraskan riba.

Tambahan lagi, sekiranya acara larian yang disertai mensyaratkan untuk mengambil perlindungan insurans oleh syarikat tersebut menjadikannya lebih terang bahawa ia bukan semata-mata mempromosi, malah turut menggunakan khidmat insuran konvensional yang diketahui akan keharamannya di sisi Islam.[6]

 

Kesimpulan

Sesuatu acara yang dianjurkan oleh institusi perbankan konvensional secara tidak langsung telah mempromosikan institusinya melalui jenama atau logo yang diletakkan di papan iklan, barangan atau hadiah yang diberi kepada peserta. Walaupun tujuan asalnya adalah untuk mengajak masyarakat bersukan, namun kaedah yang digunakan bermatlamat mempromosikan perbankan konvensional yang tidak patuh Syariah.

 

Menyertai acara sedemikian adalah haram kerana mempunyai unsur menyokong dan mempromosikan sistem riba secara langsung.  Dalam keterujaan peserta untuk menyertai sesuatu acara, seseorang muslim khususnya hendaklah mengambil kira pelbagai sudut supaya tidak terlibat dalam mempromosi kegiatan yang haram seperti institusi perbankan konvensional yang perkhidmatannya berteraskan riba, iaitu dilarang oleh Allah.



[1] Bank Negara Malaysia (BNM), Majalah Ringgit Rakan Kewangan Anda, (2011), Pelan Tabungan Sebagai Komitmen Kewangan, ms. 4. Laman sesawang Bank Negara Malaysia, dicapai maklumat pada 10 Oktober 2023, https://www.bnm.gov.my/documents/20124/761706/2_Ringgit_Newsletter.pdf

[2] Wahbah al-Zuḥaylī, (1991), al-Tafsīr al-Munīr fī al-‘Aqīdah wa al-Syarīah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dār al-Fikr), Jil. 6, ms. 165.

[3] Abū al-Fidā’ Ismā’il bin Umar bin Kathīr al-Qurasyī al-Baṣarī Thumma al-Dimasyqī, (1999), Tafsīr Ibn Kathīr, (Dār Ṭayyibah lil Nasyr wa al-Tawzī’), Jil. 1, ms. 716.

[4] Abū al-Fidā’ Ismā’il bin Umar bin Kathīr al-Qurasyī al-Baṣarī Thumma al-Dimasyqī, (1999), Tafsīr Ibn Kathīr, (Dār Ṭayyibah lil Nasyr wa al-Tawzī’), Jil. 2, ms. 12.

[5] Abū Muḥammad ‘Iz al-Dīn Abd al-’Azīz bin Abd al-Salām, (1991), Qawā’id al-Aḥkām fī Maṣālih al-Anām, (Qāherah: Maktabah al-Kulliyāt al-Azhariyah), Jil. 1, ms. 53; Usāmah ‘Adnān al-Gunmayyīn, (2014), al-Ghāyah Tubarriru al-Wasīlah baina al-Islām wa al-Mikyāfilīh, (Dār ‘Amār lil Nasyr wa al-Tawzīy), ms. 68.

[6] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 – 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah.

Accessibility Toolbar