Tarikh: 21 September 2023
Disediakan oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Sebahagian pihak gemar mengumpul dan membela haiwan-haiwan tertentu seperti ular sebagai hobi. Masyarakat perlu melihat dan menimbang tara daripada pelbagai sudut seperti sudut undang-undang, kaedah penjagaan dan juga sudut hukum Islam sebelum berbuat demikian. Terdapat larangan daripada hadis mengenai hukum membela ular secara umum kerana ular digelar haiwan yang berbahaya dan perosak. Namun begitu, sebahagian pihak ingin membela ular tidak berbisa yang tidak mendatangkan mudarat dan menjadikannya sebagai hobi semata-mata. Justeru, apakah hukum membela ular yang tidak berbisa?
Hukum
Membela Ular
Ular adalah merupakan haiwan yang dikategorikan sebagai
‘perosak’ serta tidak dibenarkan untuk membelanya tanpa sebab. Terdapat sebuah
hadis berkenaan isu ini daripada Saidatina Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَمْسٌ
فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ
الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا [1]
Maksudnya: Lima binatang fawasiq
(yang merosakkan) yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam
keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing
gila, burung helang.
(Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan kepada hadis di atas, mazhab Syafi’i
berpandangan bahawa memelihara dan menjual ular secara umumnya adalah haram
kerana haiwan tersebut dianggap memberi mudarat secara tabiatnya.[2] Ini
bermaksud bahawa memelihara ular untuk apa jua tujuan seperti menjadikannya
sebagai binatang peliharaan atau pet adalah diharamkan.
Di samping itu, terdapat suruhan untuk membunuh ular
sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Mas’ud:
أَنَّ
رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ مُحْرِمًا بِقَتْلِ حَيَّةٍ
بِمِنًى[3]
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan orang
yang sedang berihram untuk membunuh ular di Mina.
(Riwayat Muslim)
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan pengecualian bagi
orang yang sedang berihram. Orang yang berihram adalah dilarang membunuh
binatang, namun pengecualian diberikan bagi membunuh haiwan-haiwan yang
merbahaya dan berbisa seperti ular ini bagi memelihara diri daripada sebarang
kemudaratan.[4]
Perkara ini menunjukkan bahawa ular adalah termasuk dalam kategori haiwan yang
berbisa dan merbahaya secara umumnya. Namun begitu, terdapat sebahagian jenis
ular yang dikategorikan sebagai tidak berbisa dan tidak berbahaya yang
memerlukan kepada penelitian hukum syarak.
Hukum Jual
Beli Ular
Menjual ular turut diharamkan oleh para ulama kerana ular
termasuk haiwan serangga (hasyarat)
yang tidak mempunyai manfaat serta mendatangkan mudarat. Namun, sekiranya
haiwan serangga tersebut mempunyai manfaat, seperti ulat sutera untuk dijadikan
kain sutera dan serangga lebah yang boleh menghasilkan madu maka ia harus
dijual.[5]
Di dalam mazhab Hanafi, terdapat satu pandangan yang
mengharuskan penjualan ular sekiranya ia boleh dimanfaatkan seperti untuk
tujuan perubatan atau kulitnya.[6] Imam
al-Haskafi menyebutkan satu dhabit fiqhi yang
digunakan oleh mazhab Hanafi dalam isu ini:[7]
إِنَّ
جَوَازَ الْبَيْعِ يَدُورُ مَعَ حِل الاِنْتِفَاعِ
Maksudnya: Keharusan jual beli adalah bergantung kepada
manfaatnya.
Begitu juga terdapat satu pandangan di dalam mazhab Maliki
yang mengatakan bahawa ular halal dimakan sekiranya dapat dipastikan tidak
berbisa atau tidak membahayakan kesihatan dengan syarat ia hendaklah
disembelih.[8]
Hukum
Membela Ular Tidak Berbisa
Berdasarkan kenyataan di atas, kita dapat lihat bahawa
majoriti ulama bersetuju bahawa membela dan menjual ular berbisa sebagai haram
kerana ia merupakan sejenis haiwan berbisa dan tidak mendatangkan manfaat.
Namun begitu, mereka berbeza pandangan mengenai hukum memelihara ular yang
dikategorikan sebagai tidak berbisa. Perbezaan ini adalah berpunca daripada
pemahaman hadis Nabi SAW mengenai keharusan membunuh haiwan tersebut
sebagaimana yang telah disebutkan di atas.
Oleh itu, kami berpandangan bahawa membela ular tidak
berbisa adalah makruh. Hal ini kerana pengharaman sesuatu mestilah berasaskan
dalil yang jelas, sedangkan hadis mengenai fawasiq
boleh difahami sebagai merujuk kepada haiwan berbisa yang mendatangkan mudarat
kepada orang. Apabila tiada kemudaratan yang merupakan sebab pengharaman ular
tersebut, maka hilanglah hukumnya. Ia bertepatan dengan kaedah fiqah:
الحكم
يدور مع علته وجودا وعدما
Maksudnya: Hukum berlegar-legar bersama ‘illahnya ketika ia
ada dan tiada.
Pandangan ini turut disebutkan oleh Dr. Ahmad Mamduh,
Setiausaha Darul al-Ifta’ Mesir, pula berpendapat bahawa memelihara ular di
rumah adalah tidak diharamkan dengan syarat-syarat tertentu.[9]
Antara syarat tersebut adalah tuannya hendaklah mengambil langkah keselamatan
yang sewajarnya serta perkara tersebut tidak menyebabkannya lalai daripada
mengerjakan kewajipan syarak.
Ular yang tidak berbisa tidak memberi mudarat kepada tuannya
sebagaimana haiwan-haiwan lain. Walau bagaimanapun, memelihara ular tidak
berbisa ini tidak mempunyai faedah yang jelas, sewajarnya masyarakat mengelakkannya
dan mengalihkan hobi kepada memelihara haiwan lain yang lebih bermanfaat.
Begitu juga kos pembelian serta pemeliharaannya yang mahal. Tambahan pula
terdapat alternatif atau gantian binatang pemeliharaan lain yang jelas
keharusannya. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya perbuatan tersebut
ditinggalkan. Namun, sekiranya terdapat keperluan dan maslahat berunsur
pendidikan, sejarah seperti pihak museum ataupun agensi dan kumpulan pencinta
haiwan yang ingin mengumpulkan dan memulihara ular daripada pelbagai jenisnya,
maka jelaslah ia tidak menjadi makruh.
Kesimpulan
Hukum membela ular tidak berbisa adalah makruh kerana tidak
mempunyai manfaat yang jelas. Tuannya hendaklah mengambil langkah-langkah
keselamatan yang sewajarnya dan tidak menyebabkannya lalai daripada
melaksanakan kewajipan. Hadis mengenai lima haiwan perosak yang disebut sebagai
fawasiq boleh difahami sebagai
merujuk kepada haiwan yang mendatangkan mudarat kepada manusia. Hal ini tidak
terpakai kepada ular yang tidak berbisa yang tidak mendatangkan mudarat
sebagaimana haiwan-haiwan yang lain. Namun, Perbuatan membela ular tidak
berbisa ini hendaklah dielakkan dan dinasihatkan agar beralih kepada membela
haiwan lain yang lebih bermanfaat.
[1] Al-Bukhari, Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī
al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Hadis no.
3314; Muslim, Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī
Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim, (Turki:
Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah, 2003), Hadis no. 1198.
[2] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj
(Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1983) Jil. 4, ms. 179.
[3] Muslim,
Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī, Ṣahīh
Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah, 2003), Hadis no. 2235.
[4] Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (m. 676H).
Syarḥ al-Nawawī ‘ala Muslim. Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ Turath ‘Arabiy, 1392H,
Jil. 14, ms. 234 ; Al-Zarkasyi, Badr al-Dīn Muhammad bin Abdullah bin Bahādir
al-Syafi’i. al-Manthūr Fī Qawā’id al-Fiqhiyyah. (Wizarah al-Awqāf
al-Kuwaitiyyah, 1985) Jil. 3, ms. 80.
[5] Wizārah al-Awqāf. (2010). al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.
Kuwait, Dār al-Salāsil. Jil. 17. ms. 280.
[6] Muhamad
Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Ābidīn al-Dimasyqī Ibn ‘Abidīn al-Hanafiyy. (m.
1252H). Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār
al-Mukhtār. Beirut, Lubnān: Dār al-Fikr. 1386H/ 1966M.
[7] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Ābidīn al-Dimasyqī Ibn
‘Abidīn al-Hanafiyy. (m. 1252H). Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār al-Mukhtār. Beirut,
Lubnān: Dār al-Fikr. 1386H/ 1966M.
[8] Muhammad bin Muhammad bin Salim al-Majlisī al-Syanqīṭī, Lawāmi’ al-Durar Fi Hatki Astār al-Mukhtaṣar
(Mauritania: Dar al-Riḍwān, 2015) Jil. 5, ms. 86.
[9] Diakses daripada https://www.elbalad.news/4923324.