Tarikh:
21 September 2023
Disediakan
oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Pesakit kencing manis perlu memantau
kandungan glukosa dalam darah bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap
yang baik. Antara kaedah terkini yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan
alat Continuous Glucose Meter (CGM)
sebagai alternatif baru kepada kaedah lama dengan menggunakan glukometer
melalui pengambilan darah. Antara kelebihan CGM ini adalah ia dapat digunakan
tanpa menyebabkan kecederaan berterusan akibat suntikan pada jari tangan.
Namun, persoalan baharu timbul apabila alat glukometer terkini, iaitu Continuous Glucose Meter (CGM) ini
digunakan secara tampalan bagi tempoh yang lama pada anggota badan pesakit dan
berkemungkinan besar diletakkan pada anggota wuduk atau mana-mana bahagian
badan. CGM pula hendaklah digantikan setiap 7 atau 14 hari bergantung kepada
jenis CGM yang digunakan. Oleh itu, ia dapat menghalang air daripada mengenai
kulit ketika pesakit hendak mengangkat hadas besar. Bagaimanakah kaedah mandi
wajib bagi pengguna CGM?
Kategori
Penghidap Diabetes
Penghidap penyakit diabetes yang
menggunakan alat alternatif (CGM) terdiri daripada dua kategori:[1]
(1) Tahap pertama: Mereka ialah
penghidap diabetes tahap biasa yang tidak perlu berulang kali memeriksa
kandungan gula di dalam darah, sebaliknya pemeriksaan berkaitan hanya perlu
dibuat sekali sehari atau sekali dalam dua atau tiga hari. Maka pesakit wajib
mengambil wuduk atau mandi wajib seperti biasa dengan membuka CGM kerana tidak
berhadapan dengan kesukaran yang banyak dan dia sendiri tidak perlu menggunakan
CGM secara kerap.
(2) Tahap kedua: Mereka ialah
penghidap diabetes tahap kritikal yang perlu melakukan pemeriksaan kandungan
gula di dalam darah secara kerap sehari semalam. Jika pesakit menggunakan
kaedah lama, iaitu dengan menggunakan suntikan pada jari tangan, hal ini akan
menjadikan pesakit berada dalam kesukaran luar biasa untuk menjaga kebersihan
di samping turut berpotensi terdedah kepada jangkitan kuman. Malah pesakit juga
akan berhadapan dengan kesukaran untuk menukar pelekat CGM berulang kali
sehingga terpaksa menanggung kos yang tinggi.
Oleh itu, pesakit yang menggunakan
pelekat CGM seperti ini boleh mengambil keringanan seperti hukum jabirah ketika bersuci sama ada untuk
berwuduk ataupun mandi wajib.
Mandi
Wajib Pengguna CGM
Seseorang perlu meratakan air ke
seluruh anggota bagi tujuan berwuduk untuk mengangkat hadas kecil. Manakala
seseorang itu perlu meratakan air ke seluruh tubuh badan untuk mandi wajib bagi
mengangkat hadas besar.
Namun apabila seseorang berhadapan
dengan kesulitan mahupun kepayahan seperti sakit, dia diberikan keringanan (rukhsah) bagi menyempurnakan ibadat
solat. Berhubung masalah ini, keringanan dalam bab bersuci disebutkan oleh para
fuqaha dalam perbahasan jabirah
(balutan patah), ‘isabah (balutan
luka), lasuq (pelekat) dan luka yang tidak boleh dikenakan
air.
Perbahasan
Fuqaha Mengenai Balutan (Jabirah)
Pemakaian CGM boleh disamakan dengan
pemakaian balutan (jabirah). Menurut
mazhab Syafi’i, disyaratkan ketika hendak memasang CGM, hendaklah memakainya dalam keadaan suci (taharah) daripada hadas kecil dan hadas besar, iaitu sudah
mengambil wuduk agar urusan ibadahnya terutama solat fardu menjadi mudah dan
tidak perlu digantikan semula. Hal ini adalah sebagaimana yang dijelaskan Imam
al-Nawawi:[2]
وَالصَّحِيحُ الْمَشْهُورُ أَنَّهُ يَجِبُ
وَضْعُهَا عَلَى طُهْرٍ مطلقا
Maksudnya: Sahih Masyhur bahawa wajib meletakkan (jabirah) dalam keadaan bersuci secara mutlak.
Sekiranya dia tidak memakai CGM
dalam keadaan taharah, maka dia
hendaklah menggantikan solat tersebut setelah dia sihat. Pesakit yang
menggunakan CGM hendaklah mandi wajib dengan mengalirkan air seperti biasa ke
seluruh tubuh badan.
Dinasihatkan
bagi pengguna CGM untuk mendapatkan alat yang kalis air agar ia tidak rosak
dengan sebab air. Oleh itu, bahagian badan yang tidak kena air disebabkan oleh
pemakaian CGM ini boleh dianggap sebagai balutan atau jabirah yang diperlukan dalam proses rawatan.
Menurut
mazhab Syafi’i, dia hendaklah bertayamum bagi menggantikan kawasan yang tidak
kena air tersebut. Hal ini berdasarkan zahir riwayat yang mauquf daripada Ibn Umar RA yang disebutkan oleh Imam al-Baihaqi
dan dinukilkan juga oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk[3]:
أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا تَوَضَّأَ
وَكَفُّهُ مَعْصُوبَةٌ فَمَسَحَ عَلَيْهَا وَعَلَى الْعِصَابَةِ وَغَسَلَ مَا
سِوَى ذَلِكَ
Maksudnya: Sesungguhnya Ibn Umar RA
berwuduk dan tangannya dalam keadaan berbalut, lalu dia menyapu (air) ke atas
tangannya serta ke atas balutan dan membasuh anggota selainnya.
Anggota yang sihat hendaklah dibasuh
seperti biasa sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam
al-Minhaj:[4]
فَإِنْ كَانَ كَجَبِيرَةٍ لَا يُمْكِنُ نَزْعُهَا غَسَلَ
الصَّحِيحَ وَتَيَمَّمَ
Maksudnya: Sekiranya (anggota
tersebut tidak boleh kena air) sebagaimana hukum balutan yang tidak boleh
ditanggalkan, maka hendaklah dibasuh bahagian yang sihat dan bertayammum
(menggantikan bahagian yang tidak boleh kena air).
Manakala
pandangan kedua daripada Mazhab Maliki dan Hanafi, tidak disyaratkan balutan (jabirah) tersebut dipakai dalam keadaan
berwuduk. Pesakit hendaklah menyapu balutan dengan air sebagai syarat dan
membasuh anggota lain yang sihat seperti biasa. Dengan kaedah ini, pesakit
boleh melaksanakan solat seperti biasa dan solat tersebut adalah sah serta
tidak perlu digantikan.[5]
Kami cenderung kepada pandangan
kedua iaitu balutan tersebut tidak disyaratkan untuk dipakai dalam keadaan
berwuduk, dan solat tersebut tidak perlu digantikan. Hal ini disebabkan,
terdapat keperluan untuk bertaqlid dalam masalah ini kerana terdapat keperluan
(darurah) iaitu dalam keadaan sakit.
Malah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memilih pandangan ini
sebagaimana yang telah disebarkan melalui Panduan Bersuci dan Bersolat Bagi
Pesakit.[6] Oleh
itu, CGM tidak disyaratkan untuk dipakai dalam keadaan bersuci serta solat yang
dilakukan juga tidak perlu diganti.
Kesimpulan
Pesakit diabetes tahap kritikal yang
perlu bergantung kepada alat CGM boleh melakukan mandi wajib dengan mengalirkan
air seperti biasa keseluruh bahagian tubuh badannya termasuk pada bahagian CGM.
Tidak disyaratkan berwuduk sebelum memasang CGM dengan bertaqlid kepada
pandangan mazhab Maliki dan Hanafi kerana adanya keperluan (darurah). Dengan kaedah tersebut, dia
boleh melakukan solat fardu seperti biasa dan tidak perlu menggantikannya
setelah dia sembuh. Manakala pesakit diabetes tahap biasa perlu membuka CGM
untuk mandi wajib kerana dia tidak berhadapan dengan kesukaran yang banyak dan
tidak perlu menggunakan CGM secara kerap.
[1] Diakses daripada
https://hellodoktor.com/kencing-manis/diabetes-jenis-dua/penyakit-kencing-manis/
[2] Khatib al-Syirbini, Mughni
al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-Ilmiah),
Jil. 1, ms. 236
[3] Khatib al-Syirbini, Ibid., 2/236; Abu Bakr Ahmad bin
al-Hussayn bin Ali al-Baihaqi (458H), Al-Sunan
Al-Kabir, (Kaherah: Markaz Hajr li al-Buhuth wa al-Dirasat al-’Arabiyyah wa
al-Islamiyyah) 2011/1432M, Jil. 2, ms. 194. Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin
Sharaf al-Nawawī (m. 676H). Al-Majmū’
Sharh al-Muhadzdzab. Amman, Jordan: Dar al-Fikr. 1928M/1347H. Jil. 2, ms. 324-325.
[4] Khatib
al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila
Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-Ilmiah), 1/236.
[5] Wahbah Al-Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuhu. Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989.
Jil. 1, ms. .
[6]
https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf