#31 Taudhih al-Hukmi : Had Jual Beli dalam Masjid

Tarikh: 21 September 2023

Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad

 

Pendahuluan

Masjid merupakan rumah ibadah untuk umat Islam mendirikan solat lima waktu secara berjemaah serta ibadah-ibadah lain. Keindahan dan keluasan seni bina masjid terkini menjadikan fungsi masjid diperluaskan lagi dengan pelbagai aktiviti yang boleh mengimarahkan masjid di samping menarik lebih ramai lagi jemaah datang ke masjid. Pelbagai aktiviti yang diadakan di masjid memberi peluang segelintir masyarakat untuk mengadakan jualan di masjid. Adakah jual beli di masjid dibenarkan dalam Islam dan sekiranya dibenarkan, apakah had kawasan masjid yang membenarkan aktiviti ini dilakukan?

 

Hukum Jual Beli di Masjid

Masjid merupakan rumah Allah SWT yang dikhususkan untuk mendirikan ibadah solat fardu lima waktu secara berjemaah serta menunaikan ibadah-ibadah lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 36-37:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ‎﴿٣٦﴾‏  رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ‎﴿٣٧﴾‏

Maksudnya: (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (36) (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37)

 

Berdasarkan ayat ini, masjid merupakan rumah ibadat khusus bagi umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Umat Islam yang pergi ke masjid mestilah menjaga adab dan menjauhi perkara-perkara yang boleh melalaikan. Imam al-Tabari menjelaskan bahawa jual beli di masjid termasuk perbuatan yang boleh melalaikan umat Islam. Sebaiknya, umat Islam hendaklah bersegera bagi mendirikan ibadah solat apabila azan telah berkumandang.[1]

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ. فَقُولُوا: ‌لَا ‌أَرْبَحَ ‌اللهُ ‌تِجَارَتَكَ.[2]

Maksudnya: Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual dan membeli di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya: “Semoga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu”.

(Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan kepada hadis di atas, jumhur ulama berpendapat bahawa hukum jual beli di masjid adalah makruh sama ada barang tersebut ada ataupun tiada ketika itu. Manakala sebahagian ulama yang lain mengharamkan jual beli di masjid kerana terdapat larangan daripada Nabi SAW[3].

Menurut riwayat lain yang dinukilkan oleh ‘Amru bin Syu’aib daripada ayahnya tentang larangan jual beli di dalam masjid bahawasanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ ‌الشِّرَاءِ ‌وَالْبَيْعِ ‌فِي ‌الْمَسْجِدِ، وَأَنْ تُنْشَدَ فِيهِ ضَالَّةٌ، وَأَنْ يُنْشَدَ فِيهِ شِعْرٌ، وَنَهَى عَنِ التَّحَلُّقِ قَبْلَ الصَّلَاةِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ[4]

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang jual beli di masjid, mencari barang yang hilang, melagukan syair dan membuat halaqah sebelum solat Jumaat.

(Riwayat Abu Daud)

Para ulama menyatakan bahawa jual beli di masjid dianggap sebagai aktiviti keduniaan yang tidak boleh bercampur dengan aktiviti ibadah bagi menambah saham akhirat. Jadi, jual beli di masjid adalah tidak dibenarkan.

Namun begitu, larangan jual beli dalam masjid perlu diperjelaskan dengan melihat beberapa keadaan yang melibatkan pihak pengurusan masjid, penjual dan pembeli. Semua pihak perlu maklum had masjid yang membenarkan aktiviti lain dilakukan supaya ia tidak mengganggu orang lain melakukan ibadah solat di samping menjaga kesucian dan kemuliaan masjid sebagai rumah Allah SWT.

Tambahan pula, seni bina pembinaan masjid masa kini kebanyakannya bersifat luas yang memungkinkan masjid menjadi pusat komuniti masyarakat dengan kepelbagaian aktiviti boleh dilaksanakan selain ibadah solat. Oleh itu, penentuan had masjid sangat penting supaya dapat membezakan kawasan yang dibenarkan untuk melakukan aktiviti sosial dan kawasan utama masjid yang dikhususkan untuk mendirikan solat.

 

Had Masjid

Masjid menurut mazhab al-Shafi’i bermaksud sebuah tempat yang diwakafkan sebagai masjid secara sarih. Manakala jika tempat tersebut tidak dapat dipastikan statusnya sama ada masjid atau bukan walaupun tempat tersebut disediakan untuk mendirikan solat lima waktu, ia tidak boleh dihukumkan sebagai masjid[5].

Had masjid yang ditetapkan menurut perbahasan ulama ialah seperti berikut:

أن يكون في المسجد للاتباع سواء سطحه وصحنه ورحبته المعدودة منه [6]

Maksudnya: Had masjid ialah kawasan yang diniatkan wakaf sama ada bahagian atas atau bawah termasuk sutuh, rahbah yang berdinding dan bersambung sekitarnya dan menara yang bersambung dengan masjid.

Manakala bahagian yang tidak dianggap sebagai masjid pula dipanggil harim iaitu luar koridor masjid seperti kawasan kaki lima dan sebagainya[7]. Pada masa kini, kawasan ini kebiasaannya dijadikan tempat untuk meletak kenderaan atau tempat meletakkan kasut di luar koridor masjid.

Dalam menentukan had masjid, pihak masjid mempunyai autoriti untuk menentukan kawasan tertentu yang dianggap sebagai masjid. Oleh itu, pihak masjid bertanggungjawab meletakkan tanda yang jelas untuk orang awam tahu kawasan had masjid bagi membolehkan pelaksanaan solat tahiyatul masjid, had suci bagi wanita haid, serta had kawasan yang dibenarkan untuk jual beli.

Berdasarkan huraian di atas, ruang solat utama diklasifikasikan sebagai masjid secara sepakat. Manakala persekitaran masjid atau koridor masjid selain ruang solat utama adalah bergantung kepada keputusan pihak pengurusan masjid tersebut. Bahagian tersebut hendaklah ditanda dengan ‘had suci’ agar diketahui oleh orang awam. Perbezaan bahagian masjid dapat dilihat seperti yang dijelaskan dalam Fatwa Negeri Selangor yang pernah diwartakan berkenaan masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 14 September 1995 memutuskan bahawa semua tingkat bangunan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, iaitu masjid negeri bagi negeri Selangor adalah diumumkan sebagai masjid (tempat sembahyang) kecuali beberapa tempat iaitu (1) pejabat imam besar dan beranda di hadapannya, (2) bilik rehat diraja dan beranda di hadapannya, (3) bilik khutub khanah dan beranda di hadapannya, (4) pejabat am masjid negeri dan beranda di hadapannya, (5) semua menara, (6) semua tempat wuduk, tandas dan bilik mandi, dan (7) bilik kawalan elektrik.[8]

Pengasingan sebegini memberi peluang sesebuah masjid itu boleh melakukan pelbagai aktiviti bersifat kerohanian, sosial, pendidikan dan ekonomi sebagai tujuan mengajak umat Islam mendekati masjid langsung mengimarahkannya. Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan untuk dilakukan aktiviti jual beli sekitar koridor masjid atau kawasan selain ruang solat utama masjid.

Adapun begitu, setiap individu yang terlibat dengan aktiviti sedemikian hendaklah memahami dan menghormati adab dan tatasusila apabila berada di kawasan masjid. Menjaga adab di dalam masjid mengambil kira berpakaian sopan dan menutup aurat dengan sempurna, mengelak pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak berbuat bising hingga mengganggu konsentrasi ibadah orang lain, tidak melakukan tindakan yang boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan kekotoran, tidak bertengkar, berbual atau bercakap perkara yang sia-sia, menghormati waktu azan dan menunaikan solat fardu secara berjemaah, tidak mempamer gambar atau iklan orang yang tidak menutup aurat serta tidak melakukan perkara-perkara lain yang bertentangan dengan syarak.

 

Kesimpulan

Masjid ialah rumah Allah atau tempat ibadat umat Islam yang dibina bagi mendekatkan seorang hamba Allah kepada pencipta-Nya. Jual beli tidak boleh dilakukan di dalam kawasan masjid kerana terdapat larangan daripada Nabi SAW serta bertentangan dengan konsep memelihara kehormatan dan kemuliaan masjid.

Manakala isu had masjid pula adalah bergantung kepada pihak pengurusan masjid. Mereka berautoriti menentukan had masjid supaya orang awam jelas perbezaan kawasan yang membolehkan pelaksanaan solat tahiyatul masjid, had suci bagi wanita haid serta had kawasan yang dibenarkan untuk jual beli. Umat Islam juga hendaklah mengelakkan perbuatan mengiklan produk dengan menggunakan pembesar suara atau seumpamanya di kawasan dewan solat utama masjid kerana ia mempunyai unsur jual beli dan boleh mengganggu ketenteraman serta kemuliaan masjid.

 



[1] Abū Ja’far, Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī, Tafsīr al-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān, (Mekah: Dār al-Tarbiah wa al-Turāth), Jil. 19, ms. 192.

[2] Muḥammad bin Īsā bin Sawrah bin Mūsā bin al-Dahāk, al-Tirmiẓī, Abu Isa, (1975), Sunan al-Tirmiẓī, (Mesir: Syarikah Maktabah wa Maṭba’ah Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalabī), Hadis no. 1321, Jil. 3, ms. 602.

[3] Muḥammad bin ‘Alī bin Muḥammad bin Abdullah al-Syawkāni al-Yamanī, (1993), Nayl al-Awtār, (Mesir: Dār al-Ḥadīṣ), Jil. 2, ms. 184.

[4] Abū Dāud Sulaimān bin al-Ash’as bin Isḥāk bin Bashīr bin Shadād bin ‘Amrū al-Azdī al-Sijistānī, Sunan Abī Dāud, (Beirut: al-Maktabah al-Asriyah, Sayyidan), No Hadis 1079, Jil. 1, ms. 283.

[5] Aḥmad bin Muḥammad bin Alī bin Ḥajar al-Haytamī, (1983), Tuḥfah al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Meṣir: al-Maktabah al-Tijāriyah al-Kubrā), Jil. 6, ms. 251.

[6] Aḥmad bin Muḥammad bin Alī bin Ḥajar al-Haytamī al-Sa’adī al-Anṣārī, (2000), al-Minhāj al-Qawīm Sharḥ al-Muqadimah al-Ḥadramiyah, (Dār al-Kutub al-Ilmiah), ms 266.

[7] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’adi al-Ansari, (2000), al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqadimah al-Hadramiyah, (Dar al-Kutub al-Ilmiah), ms 266

[8] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), “Fatwa Tentang Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam”, dirujuk pada tarikh 13 Julai 2023 daripada http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11786

Accessibility Toolbar