#29 Taudih al-Hukmi : Status Bin Anak Muallaf Selepas Ibu Bapa Yang Tidak Berkahwin Masuk Islam

Tarikh: 27 Julai 2023

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

Pendahuluan

Berlaku perkembangan yang positif apabila masyarakat daripada pelbagai agama dan kaum mula berjinak dan memeluk agama Islam. Sebahagian daripada mereka pernah mengamalkan budaya yang negatif seperti mengadakan hubungan seks bebas tanpa ikatan perkahwinan sehingga melahirkan anak sebelum perkahwinan. Timbul isu apabila mereka memeluk agama Islam, apakah status penasaban anak tersebut setelah kedua ibu bapanya memeluk agama Islam?

Status Perkahwinan Orang Kafir

Perkahwinan merupakan suatu sunnah bagi memastikan umat ini terus berkembang. Islam amat menitikberatkan soal nasab dan maruah serta mengharamkan perbuatan zina. Perkara ini jelas disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran surah al-Isra’ ayat 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ‎﴿٣٢﴾

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Zina bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, malah kesemua agama di dunia ini turut melarang perbuatan tersebut. Ia juga merupakan suatu perbuatan tidak bermoral yang boleh meruntuhkan sesebuah tamadun. Malah perbuatan zina ini boleh menyebabkan kecelaruan nasab keturunan yang boleh membawa kepada pengabaian tanggungjawab menjaga, dan mendidik seseorang anak tersebut. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi kucar-kacir dan dunia akan hancur. Oleh sebab itu, agama lain juga turut memperkenalkan adat dan tata cara perkahwinan menurut kepercayaan mereka.

Para fuqaha telah membahaskan mengenai status perkahwinan orang kafir dengan mengikut kepercayaan mereka. Ringkasan pandangan empat mazhab mengenai isu ini adalah seperti berikut:

       Mazhab Hanafi, Syafi’i dan Hanbali menghukumkan pernikahan orang kafir sebagai sah mengikut iktikad agamanya ketika itu. Maka, segala hukum-hakam perkahwinan melibatkan isu penasaban, jumlah talak, zihar, mahar dan sebagainya adalah tertakluk sebagaimana pernikahan yang sah.[1]

       Pandangan yang masyhur dalam mazhab Maliki menghukumkan pernikahan orang kafir sebagai tidak sah.

 

 

 

Mazhab Hanafi

Pernikahan orang kafir menurut kaedah mereka adalah sah. Imam al-Kasani menyebutkan:

وأما ‌أنكحة الكفار غير المرتدين بعضهم لبعض فجائز في الجملة عند عامة العلماء[2]

Maksudnya: Adapun pernikahan orang kafir sesama mereka yang bukan berasal daripada perbuatan murtad adalah harus mengikut para ulama.

Mazhab Maliki

Terdapat khilaf dalam kalangan ulama mazhab Maliki, pandangan yang masyhur dalam mazhab Maliki adalah pernikahan orang kafir itu tidak diterima. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Ru’aini:

(وأنكحتهم فاسدة) ش: اجتمعت الشروط أم لم تجتمع وما قاله هو المشهور وقيل: صحيحة[3]

Maksudnya: Pernikahan mereka (orang kafir): Sama ada cukup syarat-syaratnya ataupun tidak, dan ini adalah pandangan yang masyhur. Sebahagian ulama mengatakan: Pernikahan mereka sah.

Manakala pandangan kedua dalam mazhab Maliki memperincikan iaitu jika pernikahan orang kafir menepati syarat-syarat sah nikah, maka pernikahan tersebut adalah sah. Dalam keadaan tidak pasti sama ada pernikahan mereka menepati syarat-syarat atau tidak, maka ia dihukumkan sebagai tidak sah dengan melihat kepada kebiasaan (ghalib).[4]

Mazhab Syafi’i

Pernikahan orang kafir dihukumkan sebagai sah mengikut iktikad agama mereka. Imam Khatib al-Syirbini mengatakan:

أَمَّا ‌أَنْكِحَةُ الْكُفَّارِ فَكُلُّ مَا اعْتَقَدُوا صِحَّةَ إصْدَاقِهِ يَجْرِي عَلَيْهِ حُكْمُ الصَّحِيحِ كَمَا مَرَّ[5]

Maksudnya: Adapaun pernikahan orang kafir, setiap perkara yang diiktikadkan oleh mereka sebagai sah, maka disisi syarak juga dianggap sah.

 

 

Mazhab Hanbali

Menurut Ibn Qudamah:

أنكحة الكفار صحيحة، يقرون عليها إذا أسلموا أو تحاكموا إلينا، إذا كانت المرأة ممن يجوز ابتداء نكاحها في الحال، ولا ينظر إلى صفة عقدهم وكيفيته، ولا يعتبر له شروط أنكحة المسلمين، من الولي والشهود وصيغة الإيجاب والقبول، وأشباه ذلك بلا خلاف بين المسلمين[6]

Maksudnya: Pernikahan orang kafir adalah sah, dan diperakui oleh syarak apabila mereka memeluk agama Islam, iaitu sekiranya wanita tersebut adalah orang yang harus dinikahi. Tidak dilihat daripada sudut sifat kepercayaan mereka dan kaedah pernikahannya. Tiada khilaf dalam kalangan umat Islam bahawa (pernikahan mereka) tidak mengambil kira syarat-syarat sah perkahwinan orang Islam daripada sudut wali, saksi, lafaz akad, ijab qabul dan lain-lain.

Pendapat Jumhur

Hasil penelitian pandangan para ulama, kami cenderung kepada pandangan Jumhur yang menghukumkan perkahwinan orang kafir adalah sah disisi Islam. Hal ini kerana kesemua perkara yang diiktikadkan oleh mereka sebelum Islam sebagai sah, juga dianggap sah disisi Islam.[7] Pada zaman kenabian, terdapat ramai pasangan dalam kalangan sahabat yang memeluk agama Islam dan Baginda SAW mengakui dan tidak bertanya mengenai status perkahwinan mereka sebelum mereka memeluk Islam. Keabsahan perkahwinan mereka setelah mereka memeluk Islam juga adalah dengan syarat perkahwinan tersebut berlaku sesama pasangan yang harus dinikahi oleh syarak. Sebagai contoh, jika berlaku perkahwinan sebelum mereka memeluk Islam itu perkahwinan sesama mahram, perkahwinan antara adik-beradik dan sebagainya, maka status perkahwinan mereka adalah tidak sah dan wajib dipisahkan.

 

Penasaban Anak

Secara umumnya, seseorang anak yang lahir daripada pasangan suami isteri yang sah akan dinasabkan kepada bapa biologinya. Perbahasan mengenai isu penasaban anak adalah berpandukan kepada sebuah hadis daripada Aisyah RA:

اَلْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَ لِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ [8]

Maksudnya: Nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan penzina hendaklah dihukum dengan batu (rejam).

Menurut Jumhur ulama, seorang anak itu boleh dinasabkan apabila berlaku akad nikah yang sah.[9] Oleh itu, status akad nikah antara kedua pasangan perlu dipastikan terlebih dahulu bagi membolehkan anaknya dinasabkan kepada mereka. Dalam isu ini, keabsahan pernikahan antara pasangan non-muslim sebelum mereka memeluk Islam hendaklah diamati. Ternyata dalam kes ini, anak tersebut lahir daripada hubungan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan yang juga mereka tidak diiktiraf menurut agama mereka.

 

Kesimpulan

Muallaf yang mempunyai anak tanpa melalui perkahwinan yang sah disisi agama mereka tidak boleh nasabkan kepada bapanya setelah kedua-dua pasangan memeluk Islam. Menurut Jumhur, keabsahan perkahwinan orang bukan Islam sebelum mereka memeluk Islam diambil kira oleh syarak selagimana tidak berlaku perkahwinan dengan pasangan yang tidak harus dinikahi oleh syarak seperti perkahwinan sesama mahram dan sebagainya. Sedangkan perbuatan zina atau anak luar nikah pula tidak diiktiraf oleh agama mereka. Oleh itu, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa mereka kerana tidak berlaku perkahwinan sebelum mereka memeluk Islam.

 



[1] Abū Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudāmah, Al-Mughnī, (Kaherah, Mesir: Maktabah Kaherah, 1969), Jil. 7, ms. 172.

[2] Abu Bakar bin Mas’ud al-Kasāni, Badāi’ Ṣanāi’ Fi Tartīb al-Syarā’i. (Dar al-Kutub ‘Ilmiyyah, t.t.) Jil. 2, ms. 272.

[3] Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad al-Ru’ainī al-Māliki, Mawahib al-Jalīl Fī Syarḥ Mukhtaṣar al-Khalīl (Beirut: Dār al-Fikr, 1992) Jil. 3, ms. 478.

[4] Wizārah al-Awqāf. (2010). al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait, Dār al-Salāsil. Jil. 41. ms. 321.

[5] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. 1994M/1415H. Jil. 4, ms. 375.

[6] Abū Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudāmah, Al-Mughnī, (Kaherah, Mesir: Maktabah Kaherah, 1969), Jil. 7, ms. 115.

[7] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. 1994M/1415H. Jil. 4, ms. 375.

[8] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 6818. Muslim, Muslim bin al-Ḥajjāj. (1955) Ṣaḥīḥ Muslim. Kaherah: al-Halabi. Hadis no. 1458.

[9] Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawāwī (m. 676H). Syarḥ al-Nawawī ‘ala Muslim. Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ Turath ‘Arabiy, 1392H. Jil. 10, ms. 38.

Accessibility Toolbar