#26 Taudih al-Hukmi : Hukum membawa kanak-kanak ke Masjid

Tarikh: 12 Julai 2023

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir

 

Pendahuluan

 

Sejarah telah membuktikan institusi masjid bukan sahaja merupakan tempat beribadah malah merupakan satu platform utama dalam pembangunan Islam dan insan. Kanak-kanak turut tidak terkecuali dalam hal ini kerana masjid antara tempat utama dan terbaik bagi pembangunan kerohanian terutamanya ketika mereka dalam fasa tumbesaran dan perkembangan. Oleh itu, untuk memupuk perasaan cinta terhadap masjid dan solat berjemaah kanak-kanak perlu dibawa ke masjid sejak kecil lagi. Namun begitu, dalam keadaan tertentu kehadiran sesetengah kanak-kanak yang gemar membuat bising dan tidak terkawal telah mengganggu jemaah lain. Rentetan itu, para ulama terdahulu dan kontemporari telah membahaskan sejauh manakah kanak-kanak boleh dibawa ke masjid untuk tujuan pembelajaran dan kepentingan keagamaan?

 

Hukum membawa kanak-kanak ke masjid

 

Berkaitan hukum membawa kanak-kanak ke masjid, para ulama berselisih pendapat dalam isu ini kepada dua pendapat seperti berikut:

 

Pendapat pertama: Kanak-kanak tidak diharuskan untuk dibawa ke masjid jika dikhuatiri kemungkinan besar kanak-kanak tersebut akan mencemarkan masjid dan bermain-main. Pendapat ini dipelopori oleh sebahagian fuqaha Hanafiyyah[1] dan Hanabalih[2] yang berhujahkan dalil-dalil berikut:

 

Dalil pendapat pertama:

 

Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 36:

 

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ‎

Maksudnya: di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

 

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini mengetengahkan antara makna bagi kalimah أَن تُرْفَعَ  yang dibawa oleh Hasan al-Basri dan selainnya dengan menyatakan masjid dimuliakan dengan menjaga kehormatan dan keadaannya supaya tetap bersih daripada najis dan harum baunya[3]. Malah masjid juga perlu dipelihara daripada kebisingan yang mengganggu tempat ibadah daripada kanak-kanak yang bermain-bermain[4]. Hal ini juga disokong dengan hadis yang diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda[5]:

‌جَنِّبُوا ‌مَسَاجِدَكُمْ ‌صِبْيَانَكُمْ، وَمَجَانِينَكُمْ، وَشِرَاءَكُمْ، وَبَيْعَكُمْ، وَخُصُومَاتِكُمْ، وَرَفْعَ أَصْوَاتِكُمْ، وَإِقَامَةَ حُدُودِكُمْ، وَسَلَّ سُيُوفِكُمْ، وَاتَّخِذُوا عَلَى أَبْوَابِهَا الْمَطَاهِرَ، وَجَمِّرُوهَا فِي الْجُمَعِ

Maksudnya: Jauhkanlah masjid-masjid kamu daripada kanak-kanak, orang gila, berjual beli, pergaduhan, kebisingan, perlaksanaan hukum hudud dan penghunusan pedang. Letakkanlah di pintunya tempat bersuci dan harumkanlah masjid itu pada hari-hari Jumaat.

 

(Riwayat Ibn Majah)

 

Namun, menurut Imam Hajar al-‘Asqalani hadis yang diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa’ ini merupakan hadis berstatus daif [6].

 

 

Pendapat kedua:  Mengharuskan kanak-kanak mumayyiz untuk hadir dan dibawa ke masjid.

 

Pendapat ini dipelopori oleh fuqaha’ Malikiyyah[7], Syafi’iyyah[8] dan sebahagian Hanabilah[9] berpendapat bahawa hanya kanak-kanak yang mumayyiz sahaja dibenarkan untuk dibawa ke masjid. Manakala, bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak digalakkan untuk dibawa masuk ke masjid jika tiada keperluan atau kemudaratan bagi menjaga kesucian masjid.

 

Dalil pendapat kedua:

 

Para ulama yang memilih pendapat ini bersandarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW yang mendukung Umamah ketika solat menunjukkan keharusan membawa kanak-kanak ke masjid[10]. Sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Qatadah RA bahawa[11]:

 

النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَؤُمُّ ‌النَّاسَ ‌وَأُمَامَةُ ‌بِنْتُ ‌أَبِي ‌الْعَاصِ ‌وَهِيَ ‌ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى عَاتِقِهِ. فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا. وَإِذَا رَفَعَ مِنَ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: Nabi SAW mengimami solat sambil mendukung Umamah yang merupakan anak perempuan Abi al-’As dan juga anak kepada Zainab binti Rasulillah SAW. Baginda meletakkannya apabila rukuk dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula.

(Riwayat Muslim)

 

Di samping itu, terdapat hadis sahih lain yang menunjukkan keharusan wanita solat berjemaah bersama kaum lelaki di masjid dan kanak-kanak juga boleh dibawa bersama mereka untuk membiasakan diri anak-anak tersebut dengan masjid jika sekiranya keadaan mereka tidak dikhuatiri mencemarkan masjid[12]. Sepertimana riwayat daripada Anas bin Malik RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda[13]:

إِنِّي لَأَدْخُلُ الصَّلَاةَ أُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فأتَجَوَّزُ في صَلَاتي

 ممَّا أَعْلَمُ مِن شِدَّةِ وجْدِ أُمِّهِ مِن بُكَائِهِ.

 

Maksudnya: Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat) karena aku tahu betapa gelisahnya si ibu terhadap tangisan anaknya.

 

(Riwayat al-Bukhari)

 

Selain menunjukkan bukti bahawa terdapat keharusan membawa kanak-kanak ke masjid, hadis ini juga jelas menzahirkan sifat kasih sayang Rasulullah SAW terhadap kanak-kanak dan wanita.      

    

Walau bagaimanapun, para ulama menambah keharusan membawa kanak-kanak ke masjid ini secara khusus kepada kanak-kanak melebihi usia tamyiz kerana mereka dianjurkan untuk dididik dengan mengerjakan solat berdasarkan hadis Abdul Malik bin Rabi’ bahawa Nabi SAW bersabda[14]:

 

مُرُوا ‌الصَّبِيَّ ‌بِالصَّلَاةِ ‌إِذَا ‌بَلَغَ ‌سَبْعَ ‌سِنِينَ، ‌وَإِذَا ‌بَلَغَ ‌عَشْرَ ‌سِنِينَ ‌فَاضْرِبُوهُ ‌عَلَيْهَا

 

Maksudnya: Perintahkanlah kanak-kanak untuk mengerjakan solat apabila mencecah umur tujuh tahun. Apabila dia berumur sepuluh tahun, maka pukullah dia (jika dia meninggalkannya).

(Riwayat Abu Dawud)

 

Berdasarkan kepada hadis ini, Rasulullah SAW memberi tunjuk ajar dengan menyuruh anak-anak bersolat ketika berusia tujuh tahun sebelum memukulnya dengan tujuan mendidik pada usia sepuluh tahun. Oleh itu, para ulama menetapkan umur tujuh tahun sebagai pembeza antara kanak-kanak mumayyiz dan belum mumayyiz kerana pada usia mumayyiz ini mereka sudah mulai memahami dan mudah diajar tentang adab.

 

Adapun, membawa kanak-kanak yang belum mumayyiz ke masjid hukumnya makruh[15] kerana dikhuatiri mereka akan mengotorkan masjid dan juga berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa’ (‌جَنِّبُوا ‌مَسَاجِدَكُمْ ‌صِبْيَانَكُمْ ). Membawa kanak-kanak yang belum mumayyiz ini tidak mencapai hukum haram bergantung kepada tahap kebarangkalian kekotoran yang mungkin berlaku atau tahap gangguan yang mereka lakukan terhadap jemaah lain[16] kerana perbuatan Rasulullah SAW yang mengendong Umamah yang masih kecil ketika solat menunjukkan keharusan membawa kanak-kanak ke masjid[17].

 

 

Tarjih

         

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, dapat difahami secara asasnya para ulama bersepakat melarang kanak-kanak dibawa ke masjid jika kehadiran mereka itu boleh menyebabkan masjid tercemar dengan kotoran najis atau membuat bising. Hal ini kerana, masjid ialah tempat khusus untuk melakukan ibadah. Najis dan bunyi bising akan mengganggu ketenteraman serta bercanggah dengan maqasid masjid itu sendiri.

 

Namun, permasalahan membawa kanak-kanak ke masjid ini perlu diperhalusi dengan baik. Isu kehadiran kanak-kanak belum mumayyiz boleh mengotori masjid tidak menjadi isu yang begitu ketara kerana pada zaman sekarang kerana terdapat kemudahan tandas dan penggunaan lampin pakai buang lebih-lebihlagi jika kanak-kanak yang dibawa itu sudah mumayyiz. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau anak-anak yang dibawa dari masa ke masa. Pihak masjid juga sewajarnya mewujudkan ruang yang khusus untuk tujuan penukaran lampin dan ruang mesra kanak-kanak yang tidak mengganggu jemaah supaya kanak-kanak juga mendapat manfaat dan persekitaran yang kondusif ketika berada di masjid.

 

Begitu juga, alasan kanak-kanak membuat bising di masjid menjadi sebab mengapa sebahagian ulama tidak membenarkan untuk membawa mereka ke masjid kerana ia sudah menjadi sifat semulajadi kanak-kanak. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengawasinya terutama ketika solat. Kanak-kanak yang sukar dikawal pergerakan dan suara ketika solat perlulah diasuh terlebih dahulu sebelum membawa mereka ke masjid atau memastikan mereka bermain di tempat yang sedikit jauh daripada jemaah agar tidak mengganggu jemaah lain.

 

Maka, setelah meneliti hujah-hujah yang dikemukakan, kami cenderung kepada pandangan mazhab Shafi’i yang mengharuskan kanak-kanak hadir ke masjid berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Namun, membawa kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah makruh bergantung kepada tahap kebarangkalian kekotoran serta tahap gangguan atau kebisingan yang mungkin akan berlaku. ِSebaliknya, jika tiada keperluan dan mudarat lebih afdal sekiranya tidak membawa kanak-kanak  tersebut terutama kanak-kanak yang belum mumayyiz ini ke masjid untuk menjaga kebersihan dan ketenteraman masjid.

 

Adapun hadis Wathilah bin al-Asqa’ yang menunjukkan larangan membawa kanak-kanak ke dalam masjid adalah daif. Hal ini juga bertepatan dengan adat kelaziman para ulama dan salafussoleh mengajar anak-anak mereka seawal usia untuk melazimi dan mencintai masjid.      

    

 

Kesimpulan

 

Hukum membawa kanak-kanak ke masjid  dapat dilihat melalui dua keadaan iaitu:

 

1)      Jika seseorang kanak-kanak itu sudah mumayyiz dan boleh beradab, maka  diharuskan dan sangat digalakkan untuk dibawa ke masjid.

 

2)      Jika seseorang kanak-kanak itu belum mumayyiz dan sukar untuk dikawal tingkah lakunya sebaiknya tidak dibawa ke masjid kecuali jika terdapat keperluan mendesak tertentu maka diharuskan untuk dibawa ke masjid dengan syarat ibu bapa perlu memperhatikan tingkah laku anak-anak mereka.

 

Oleh itu, ibu bapa dalam hal ini berperanan mendidik anak-anak mereka akan ketinggian, kehormatan, kedudukan dan peranan masjid dalam Islam supaya ia sentiasa dipelihara. Digalakkan untuk mendidik anak-anak seawal usia mumayyiz agar mencintai masjid dengan membiasakan mereka dengan program-program dan aktiviti di masjid dalam keadaan memelihara adab-adabnya. Pendekatan terbaik juga hendaklah diambilkira supaya kesemua pihak baik ibu bapa, kanak-kanak, dan juga jemaah yang lain dapat hadir ke masjid dengan perasaan yang tenang.

 

 

    



[1] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Ābidīn al-Dimasyqī Ibn ‘Abidīn al-Hanafiyy. Rad al-Muḥtār ‘ala al-Dār al-Muḥtār. (Beirut, Lubnān: Dār al-Fikr,1966), Jil. 1, ms. 656.

[2] Isma’īl bin Ghazī Marhabā. Masāil al-Imām Ahmad bin Hanbal al-Fiqhiyyah. (Riyadh: Maktabah al-Ma’ārif, 2010). Jil. 1, ms, 115-116.

[3] Abū Abdullah Bin al-Anṣārī al-Qurtubī. Al-Jāmi’ li Ahkām al-Qurān. (Kaherah, Mesir: Dār al-Kutub al-Misriyyah, 1964). Jil. 12, ms. 266

[4] Shamsuddīn Abū ‘Abdullah Muhamad bin Muhamad bin Abd Rahman. Mawāhib al-Jalīl fi Sharh Muḥtaṣar Khalīl, (Beirut, Lubnan: Dār al-Fikr). Jil. 2, ms. 115.

[5] Ibn Mājah Abū Abdullah Muhamad Yazid al-Qizwini (m. 273 H), Sunan Ibn Mājah, (Qatar: Dār  Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, t.t). Jil. 1, ms. 247.

[6] Abu al-Faḍl Ahmad bin Ali bin Muhammad Bin Ahmad Bin Hajr al-‘Asqalānī. Al-Dirāyah fī Takhrīj Ahadith al-Hidāyah, (Beirut, Lubnan: Dār al-Ma’rifah, t.t), 1/288;

[7] Malik bin Anas bin Āmir al-Aṣbahī al-Madaniy. Al-Mudawwanah. (Beirut, Lubnan: Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 1/195

[8] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, (Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 1991).  Jil. 11, ms. 224.

[9] Mar’ī bin Yusuf al-Karamiy al-Hanbalī, Al-Ghāyah al-Muntaha fi Jam’I al-Iqnā’ al-Muntaha, (Kuwait: Muasasah Gharās li Al-Nashr wa al-Tauzi’ wa al-Diāyah wa al-I’lān, 2007), Jil 1, ms. 371.

[10] Badr al-Dīn Abū Muhamad Mahmūd bin Ahmad al-‘Ainī (m. 855H).‘Umdah al-Qāri Sharh Ṣahīh. (Beirut, Lubnan: Dār Ihyā’ al-Turath al-‘Arabī, t.t). Jil. 4, ms. 301-304.

[11] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nīsābūri.  Sahīh Muslim, (Turki: Dar Al-Ṭibā’ah Al-‘Amārah, 1915). Jil. 2, ms. 73.

[12]  Badr al-Dīn Abū Muhamad Mahmūd bin Ahmad al-‘Ainī. ‘Umdah al-Qāri Sharh Ṣahīh. (Beirut, Lubnan: Dār Ihyā’ al-Turath al-‘Arabī, t.t). Jil.  5, ms. 246.

[13] Abū Abdullah Muhammad Bin Ismail al-Bukhārī al-Ja’fi (M. 256), Ṣahīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993). Jil. 1, ms. 250; Muslim, Sahīh Muslim. Jil. 1, ms, 343.

[14] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Asha’th al-Azdī al-Sijistānī. Sunan Abu Dawud, (Beirut, Lubnan: Dar Risalah al-‘Alamiyyah, 2009). Jil.1, ms. 366.

[15] al-Nawawī. Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn. Jil. 12, ms. 226; Zakariyyā Bin Muhammad Bin Zakariyyā al-Anṣārī. Asna al-Maṭālib fī Sharh Rawd al-Ṭālib. (Beirut, Lubnan: Dār al-Kitab al-Islamiy, t.t). Jil. 1, ms. 185

[16] Zakariyyā al-Anṣārī. Asna al-Maṭālib fī Sharh Rawd al-Ṭālib. Jil. 1, ms. 186

[17] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. Al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr. 1928). Jil. 2, ms. 176.

Accessibility Toolbar