#25 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Berkongsi Duit Untuk Tujuan Ibadah Korban

Tarikh: 27 Jun 2023

Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri


Pendahuluan

Pensyariatan Ibadah korban jelas diabadikan dalam al-Quran bahkan pengamalannya sangat dituntut terutamanya bagi golongan yang berkemampuan. Hikmah pensyariatannya adalah sebagai mengangkat syiar agama Islam dan menggembirakan golongan fakir serta miskin kerana hari raya Eidul Adha juga disebut sebagai hari raya bagi sekalian fakir dan miskin. Justeru, golongan yang berkemampuan mengambil ruang serta peluang dalam melaksanakan ibadah korban ini. Namun begitu, kita juga dapat perhatikan pengamalan masyarakat setempat masa kini yang berkongsi duit untuk membeli bahagian korban kerana tidak mampu membayarnya secara sendiri. Sebagai contoh, 4 orang yang tinggal di sebuah rumah membayar RM200 setiap seorang untuk membeli satu bahagian lembu yang berharga RM800. Adakah perkara ini dibenarkan dalam syarak meskipun tujuannya adalah kerana memenuhi tuntutan ibadah korban?


Bahagian Korban

 

Secara asasnya, seekor lembu atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh orang. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir RA beliau berkata:

 

نَحَرنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عام الْحُدَيْبِيَةِ

 الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ[1]

 

Maksudnya: Kami melakukan ibadah korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiah iaitu seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian).

Riwayat Muslim

 

Oleh itu, jika seekor unta atau lembu dikongsi lebih daripada tujuh bahagian maka tidak sah korban tersebut bahkan dihukumkan sebagai sedekah. Perihal ini disebutkan oleh Imam al-Qalyubi dalam Hāsyiahnya, katanya:

وَخَرَجَ بِالسَّبْعَةِ مَا لَوْ كَانُوا أَكْثَرَ كَثَمَانِيَةٍ وَاشْتَرَكُوا فِي بَدَنَةٍ أَوْ بَدَنَتَيْنِ

 فَلَا تَقَعُ عَنْ وَاحِدٍ مِنْهُمْ، وَلَوْ مَعَ الْجَهْلِ بِعَدَدِهِمْ أَوْ بِالْحُكْمِ أَوْ ضَمَّ لَهَا شَاةً[2]

Maksudnya: Terkeluar daripada tujuh (bahagian) sekiranya satu bahagian itu dikongsi lebih daripada tujuh orang seperti lapan orang. Kesemuanya (lapan orang) berkongsi bahagian dalam seekor unta atau dua ekor unta, maka tidak sah korban untuk setiap orang. Sekalipun perbuatan itu dilakukan dalam keadaan jahil (tidak tahu) mengenai jumlah sebenar peserta yang bersama mereka, atau jahil dengan hukum tersebut, atau ditambah pada (unta tersebut) seekor kambing (agar cukup untuk lapan orang).

 

Perkara ini dikukuhkan lagi berdasarkan hadis daripada Sayyidina Jabir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

‌حَجَجْنَا ‌مَعَ ‌رَسُولِ ‌اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌فَنَحَرْنَا ‌الْبَعِيرَ ‌عَنْ ‌سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ[3]

Maksudnya: Kami mengerjakan haji bersama Rasulullah SAW, lalu kami menyembelih seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.

Riwayat Muslim

 

Berdasarkan dalil di atas, jelas menerangkan bahawa hanya lembu dan unta sahaja yang dibenarkan unta berkongsi seramai tujuh orang bagi setiap ekor. Namun begitu, ia berbeza jika berkorban dengan kambing. Hal ini kerana, seekor kambing hanya boleh dikorbankan untuk seorang sahaja. Ia dijelaskan berdasarkan kenyataan Imam Nawawi dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim bahawa:

 

‌وَأَجْمَعُوا ‌عَلَى ‌أَنَّ ‌الشَّاةَ ‌لَا ‌يَجُوزُ الِاشْتِرَاكُ فِيهَا[4]

Maksudnya: Para ulama bersepakat bahawa seekor kambing tidak boleh dikorbankan secara berkongsi.

 

Sunat ‘Ain dan Sunat Kifayah

Ibadah korban merupakan ibadah yang dihukumkan sebagai sunat muakkad iaitu ibadah yang sangat dituntut untuk dilaksanakan bahkan ia juga dihukumkan sunat ‘ain iaitu sunat dilakukan bagi setiap individu. Hal ini berbeza dengan konsep ibadah korban secara sunat kifayah yang hanya tertumpu kepada wakil dalam sesuatu kelompok seperti korban yang dilakukan oleh ketua keluarga bagi dirinya dan keluarganya maka mereka akan mendapat pahala korban sesama ahli keluarga sekiranya diniatkan dan gugur tuntutan korban bagi ahli keluarganya yang lain.

Keharusan ini adalah bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Sayydatina Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

 ‌بِاسْمِ ‌اللهِ، ‌اللَّهُمَّ ‌تَقَبَّلْ ‌مِنْ ‌مُحَمَّدٍ، ‌وَآلِ ‌مُحَمَّدٍ، ‌وَمِنْ ‌أُمَّةِ ‌مُحَمَّدٍ. ثُمَّ ضَحَّى بِهِ.[5]

Maksudnya: Dengan Nama Allah, Ya Allah, terimalah (korban ini) bagi pihak Muhammad dan ahli bait (keluarga) Muhammad dan Umat Muhammad. Lalu Baginda melakukan korban dengannya.

 

Riwayat Muslim

 

Imam al-Khatib al-Shirbini berpandukan hadis di atas, menjelaskan dalam al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’, katanya:

فَإِنْ ذَبَحَهَا عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِهِ أَوْ عَنْهُ وَأَشْرَكَ غَيْرَهُ فِي ثَوَابِهَا جَازَ وَعَلَيْهِ حُمِلَ[6]

Maksudnya: Sekiranya korban yang dilakukan adalah bagi pihaknya dan bagi pihak keluarganya atau bagi pihak yang lain serta diniatkan berkongsi pahala korban sesama mereka, ia dibenarkan dan diterima korbannya (gugur tuntutan).

 

Berdasarkan penerangan di atas, diterima korban ahli keluarga dan gugur tuntutan korban mereka adalah berdasarkan tiga syarat hubungan berikut[7]:

 

          Al-Qarabah: Ibu, bapa, anak-anak dan isteri.

          Al-Infaq: Masih menerima bantuan kewangan, perlindungan dan pakaian daripada orang yang memberi korban.

          Al-Musakanah: Tinggal bersama.

Maka dapat disimpulkan bahawa korban yang dilakukan oleh ketua keluarga atau salah seorang daripada ahli keluarga adalah dibenarkan bahkan ia merupakan sunat kifayah yang menggugurkan tuntutan korban terhadap ahli keluarga yang lain. Adapun pahala korban hanya akan diperoleh oleh individu yang melaksanakannya dan dia boleh berniat untuk mendapat pahala yang sama iaitu pahala korban dengan ahli keluarganya yang lain.

Manakala bagi mereka yang tinggal di rumah sewa atau rumah bujang, tuntutan ibadah korban adalah secara sunat ain kerana setiap ahli rumah tidak berada di bawah tanggungan wajib antara satu sama lain.

 

Kongsi Duit Untuk Korban

Adapun bagi keadaan individu yang berkongsi duit bersama individu yang lain kerana ingin menampung kos bayaran bagi bahagian korban adalah diharuskan. Meskipun begitu, pahala korban hanya diganjarkan kepada wakil penama bagi perkongsian bahagian tersebut sahaja manakala yang selainnya hanya memperoleh pahala sedekah dan bukannya korban. Hal ini kerana terdapat niat yang baik untuk membeli bahagian korban bagi tujuan pelaksanaan ibadah korban dan duit yang dikongsi itu juga dikira sebagai hadiah.

 

Bagi mereka yang tinggal di rumah bujang, ibadah korban masih dituntut kepada setiap individu walaupun mereka berkongsi duit untuk membeli satu bahagian korban. Oleh itu, sekiranya berkemampuan, berusahalah untuk membeli haiwan korban masing-masing dengan duit sendiri tanpa berkongsi bagi memastikan tuntutan ibadah korban ini dilaksanakan.


Kesimpulan

Harus berkongsi duit untuk membeli satu bahagian korban. Namun begitu, korban tetap perlu dimiliki oleh satu penama sahaja. Berkenaan status pahala pula, penama bagi haiwan korban tersebut diganjarkan pahala korban adapun bagi pihak yang berkongsi duit diganjarkan pahala sedekah kerana menghadiahkan sejumlah duit untuk memudahkan urusan beli haiwan korban tersebut.

 


[1] Muslim, Muslim bin al-Hajjaj. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dar Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī. Jil. 2. Ms. 955. No. Hadith. 1318.

[2] Syihāb al-Dīn al-Qalyubi. (1995). Hasyiyatā al-Qalyubī wa al-‘Umairah ‘Ala Syarḥ al-Maḥallī ‘ala al-Minhāj. Dār al-Fikr. Jil. 4, ms. 251.

[3] Muslim, Muslim bin al-Hajjaj. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dar Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī. Jil. 2. Ms. 955. No. Hadith. 1318.

[4] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn. (t.t). Syarḥ al-Nawawī ‘alā Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dar Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī. Jil. 9. Ms. 67.

[5] Muslim, Muslim bin al-Hajjaj. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dar Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī. Jil. 6. Ms. 78. No. Hadith. 1967.

[6]Al-Shirbīnī, Muḥammad bin Aḥmad al-Khatīb al-Shirbīnī. (t.t). al-Iqnā’ fī Hal Alfaz Abī Syujā’. Beirut: Dar al-Fikr. Jil. 2. Ms. 589.

[7] Wahbah al-Zuhaylī. (t.t). al-Fiqh al-Islāmiyy wa Adillatuhu . Damsyiq: Dar al-Fikr. Jil. 4. Ms. 2710.

 

Accessibility Toolbar