#24 Taudih al-Hukmi : Takbir Raya Mursal Muqayyad

Tarikh: 27 Jun 2023

Disediakan oleh: Zubair Amir

 

Pendahuluan

Takbir merupakan amalan yang dianjurkan ketika menyambut hari raya sama ada Eidul Fitri atau Eidul Adha. Pensyariatan dua hari raya ini menunjukkan bahawa Allah SWT memahami naluri manusia yang sukakan hiburan dan keseronokan. Umat Islam menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran mereka dengan membesarkan Allah SWT bukannya dengan melakukan perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

 

Jenis-Jenis Takbir Hari Raya

Para ulama membahagikan takbir hari raya kepada 2 jenis iaitu:[1]

  1. Takbir Mursal atau Takbir Mutlak ialah takbir yang tidak terikat dengan waktu solat.
  2. Takbir Muqayyad pula ialah takbir yang terikat dengan solat fardu.

Takbir hari raya hendaklah dilaungkan dengan kuat agar didengari orang ramai bagi menzahirkan syiar Islam. Lelaki hendaklah menguatkan suara ketika bertakbir agar didengari orang ramai manakala perempuan tidak perlu menguatkan suaranya kecuali jika dia bersama dengan mahram atau ahli keluarganya sahaja.[2]

 

Takbir Mursal

Takbir Mursal disunatkan pada malam kedua-dua hari raya Eidul Fitri dan Eiduladha iaitu bermula dengan masuknya waktu maghrib malam raya hingga imam mengangkat takbir untuk melakukan solat raya pada hari raya tersebut. Perkara ini disebutkan dalam Hasyiah Jamal:[3]

(قَوْلُهُ الصَّلَوَاتُ فِي ‌عِيدِ الْفِطْرِ) أَيْ الْوَاقِعَةُ فِي لَيْلَةِ ‌عِيدِ الْفِطْرِ وَمِثْلُهُ فِي ذَلِكَ الْأَضْحَى لِمَا تَقَدَّمَ أَنَّ تَكْبِيرَ لَيْلَةِ ‌عِيدِ الْأَضْحَى مُطْلَقٌ وَإِنْ وَقَعَ عَقِبَ الصَّلَوَاتِ اهـ.

Maksudnya: (Kata pengarang: Selawat pada hari raya Eidul Fitri) iaitu yang berlaku pada malam hari raya Aidil Fitri. Begitu juga hukumnya pada hari raya Eidul Adha sepertimana yang dijelaskan bahawa takbir pada malam hari raya Eidul Adha ialah Takbir Mutlak sekalipun ia berlaku selepas solat.

Takbir Mursal atau Mutlak ini dianjurkan untuk dilakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa dengan suara yang kuat bagi menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT menjelang tibanya hari raya. Imam al-Nawawi menyebutkan:[4]

يُنْدَبُ التَّكْبِيرُ بِغُرُوبِ الشَّمْسِ لَيْلَتَيْ الْعِيدِ فِي الْمَنَازِلِ وَالطُّرُقِ وَالْمَسَاجِدِ وَالْأَسْوَاقِ بِرَفْعِ الصَّوْتِ، وَالْأَظْهَرُ إدَامَتُهُ حَتَّى يُحْرِمَ الْإِمَامُ بِصَلَاةِ الْعِيدِ

Maksudnya: Disunatkan bertakbir dengan suara yang kuat setelah terbenam matahari pada malam kedua-dua hari raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) di rumah-rumah, jalanan, masjid, dan pasar-pasar. Menurut pandangan Muktamad, waktunya berterusan sehingga imam mengangkat takbir untuk melakukan solat sunat hari raya.

 

Takbir Muqayyad

Takbir Muqayyad pula hanya disunatkan pada hari raya Eidul Adha sahaja dan tidak ada pada hari raya Eidul Fitri. Waktu takbir ini bermula lebih awal iaitu bermula selepas solat fardu Subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan berakhir pada waktu Asar penghujung hari Tasyrik (pada 13 Zulhijjah) mengikut pandangan yang asoh seperti yang disebut oleh Imam al-Khatib:[5]

(وَفِي قَوْلٍ مِنْ صُبْحِ) يَوْمِ (عَرَفَةَ، وَيَخْتِمُ بِعَصْرِ آخِرِ) أَيَّامِ (التَّشْرِيقِ، وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا) فِي الْأَمْصَارِ… وَصَحَّ مِنْ فِعْلِ عُمَرَ وَعَلِيٍّ وَابْنِ مَسْعُودٍ وَابْنِ عَبَّاسٍ – رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُمْ – مِنْ غَيْرِ إنْكَارٍ، وَاخْتَارَهُ الْمُصَنِّفُ فِي تَصْحِيحِهِ وَمَجْمُوعِهِ، وَقَالَ فِي الْأَذْكَارِ: إنَّهُ الْأَصَحُّ

Maksudnya: Menurut satu qaul, (takbir) bermula daripada waktu Subuh hari Arafah dan berakhir pada waktu asar penghujung hari Tasyriq. Inilah pandangan yang digunakan di kebanyakan tempat. Ianya sabit daripada perbuatan Saidina Umar, Ali, Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas RA. Pengarang Minhaj (Imam Nawawi) telah memilih pandangan ini dan mengesahkannya dalam kitabnya al-Majmuk. Disebutkan dalam kitab al-Azkar: Inilah pandangan yang asoh (Muktamad).

Takbir ini juga disunatkan kepada lelaki, perempuan, mukim atau musafir dan juga dilaungkan pada setiap jenis solat sama ada solat fardu, sunat, qada, nazar dan lain-lain. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Khatib:

 (وَالْأَظْهَرُ أَنَّهُ) أَيْ الشَّخْصُ ذَكَرًا كَانَ أَوْ غَيْرَهُ حَاضِرًا أَوْ مُسَافِرًا مُنْفَرِدًا أَوْ غَيْرَهُ

(يُكَبِّرُ فِي هَذِهِ الْأَيَّامِ) لِلْجِنَازَةِ، وَ (لِلْفَائِتَةِ وَالرَّاتِبَةِ) وَالْمَنْذُورَةِ (وَالنَّافِلَةِ) أَوْ الْمُقَيَّدَةِ وَذَاتِ السَّبَبِ كَتَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ لِأَنَّهُ شِعَارُ الْوَقْتِ

Maksudnya: (Menurut pandangan yang muktamad) lelaki atau selainnya, hadir, musafir, bersendirian atau berjemaah. Disunatkan untuk bertakbir pada hari-hari ini (hari raya Eidul Adha dan hari Tasyriq) untuk solat jenazah, qada, rawatib, nazar dan solat-solat sunat yang mempunyai sebab seperti solat sunat tahiyyah masjid kerana ianya (takbir muqayyad) ini merupakan syiar bagi waktu solat.

 

Kesimpulan

Terdapat dua jenis takbir pada hari raya Eidul Adha iaitu Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad. Kedua-dua takbir hendaklah dilaungkan dengan kuat agar didengari orang ramai bagi menzahirkan syiar Islam.

 

Takbir Mursal ialah takbir yang tidak terikat dengan waktu solat. Waktunya bermula pada waktu maghrib 9 Zulhijjah sehingga solat sunat hari raya Eidul Adha.

 

Takbir Muqayyad pula ialah takbir yang terikat dengan solat fardu. Waktunya bermula pada waktu Subuh 9 Zulhijjah dan berakhir pada waktu asar 13 Zulhijjah. Disunatkan untuk bertakbir pada setiap jenis solat sama ada solat fardu, solat sunat, qada, nazar, rawatib dan lain-lain kerana ia merupakan syiar bagi waktu solat.

 

 

 



[1] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. 1994M/1415H. Jil. 1, Ms. 593.

[2] Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Jil. 1, Ms. 593.

[3] Sulaiman bin Umar. (1431H). Hāsyiah Jamal Alā Syarh al-Manhaj al-Ṭullāb. Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 2, Ms 103.

[4] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī (m. 676H). Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin Fi al-Fiqh. Amman, Jordan: Dar al-Fikr. 1928M/1347H. Ms. 253.

[5] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. 1994M/1415H. Jil. 1, Ms. 594.

Accessibility Toolbar