Tarikh:
26 Mei 2023
Disediakan
oleh: Ahmad
Amiruddin bin Ahmad Shukri
Pendahuluan
Islam menjadikan ibadah solat sunat sebagai ganjaran
tambahan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Antara solat sunat yang
digalakkan serta dianjurkan ialah solat sunat Rawatib iaitu solat sunat qabliyyah (sebelum) dan ba’diyyah (selepas) solat fardu.
Tujuannya adalah sebagai pelengkap yang menyempurnakan kekurangan ibadah solat
fardu yang didirikan. Secara lazimnya, solat sunat Rawatib ini terbahagi kepada
dua iaitu sunat muakkad dan ghayr muakkad. Namun perbahasan pada
kali ini ingin memfokuskan perihal tertib solat sunat Rawatib bagi orang yang
solat jamak.
Secara umumnya, solat sunat Rawatib disunatkan bagi sekalian
solat fardu bahkan ia juga sunat dilakukan bagi orang yang sedang sedang
bermusafir dan melaksanakan solat secara jamak
dan qasar. Hal ini sebagaimana yang
dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’
Syarh al-Muhadhab, katanya:
قَالَ
أَصْحَابُنَا يُسْتَحَبُّ صَلَاةُ النَّوَافِلِ فِي السَّفَرِ سَوَاءٌ
الرَّوَاتِبُ مَعَ الْفَرَائِضِ وَغَيْرِهَا[1]
Maksudnya: Berkata ashab kami (ulama mazhab Shafi’i) bahawa
sunat mengerjakan solat-solat sunat ketika bermusafir, sama ada solat sunat
Rawatib yang diiringi dengan solat fardu ataupun solat sunat lain.
Berdasarkan kenyataan yang dikemukakan oleh Imam Nawawi di
atas, perihal solat sunat tidak hanya dikhususkan bagi solat sunat Rawatib
bahkan solat sunat yang selainnya juga turut sunat dilakukan ketika bermusafir.
Tertib
solat sunat Rawatib ketika solat jamak
Imam Nawawi dalam kitab Raudhah
al-Talibin telah mengklasifikasikan tertib atau turutan bagi solat sunat
Rawatib ketika jamak dan qasar, katanya:
إِذَا جَمَعَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ صَلَّى سُنَّةَ الظُّهْرِ
ثُمَّ سُنَّةَ الْعَصْرِ ثُمَّ يَأْتِي بِالْفَرِيضَتَيْنِ. وَفِي جَمْعِ
الْعِشَاءِ وَالْمَغْرِبِ يُصَلِّي الْفَرِيضَتَيْنِ ثُمَّ سُنَّةَ الْمَغْرِبِ
ثُمَّ سُنَّةَ الْعِشَاءِ ثُمَّ الْوِتْرَ. قُلْتُ: هَذَا الَّذِي قَالَهُ
الْإِمَامُ الرَّافِعِيُّ فِي الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ صَحِيحٌ، وَأَمَّا فِي
الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ فَشَاذٌّ ضَعِيفٌ، وَالصَّوَابُ الَّذِي قَالَهُ
الْمُحَقِّقُونَ: أَنَّهُ يُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ الَّتِي قَبْلَهَا، ثُمَّ
يُصَلِّي الظُّهْرَ، ثُمَّ الْعَصْرَ، ثُمَّ سُنَّةَ الظُّهْرِ الَّتِي بَعْدَهَا،
ثُمَّ سُنَّةَ الْعَصْرِ[2]
Maksudnya: Apabila seseorang itu
ingin melakukan solat jamak Zohor dan
Asar, maka dia perlu menunaikan solat sunat Zohor, kemudian solat sunat Asar,
dan setelah itu barulah dia menunaikan solat fardu tersebut. Manakala pada jamak antara Isyak dan maghrib pula,
hendaklah dia menunaikan dua fardu itu (Maghrib dan Isyak), kemudian solat
sunat Maghrib, kemudian solat sunat Isyak, dan setelah itu solat sunat Witir.
Aku berkata (Imam Nawawi): Apa yang dikatakan oleh Imam Rafi’i pada jamak taqdim antara Maghrib dan Isyak
adalah betul. Adapun pada Zohor dan Asar, maka ia adalah pandangan syaz yang lemah. Yang lebih tepat adalah
sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama Muhaqqiqun
iaitu seseorang itu perlu melakukan solat sunat qabliyyah Zohor kemudian solat fardu Zohor, kemudian solat fardu
Asar, kemudian solat sunat ba’diyyah
Zohor dan setelah itu barulah solat sunat Asar.
Kenyataan di atas turut disokong oleh Syeikh Zakariyya
al-Ansari iaitu tokoh di dalam mazhab Shafi’i. Syeikh Zakariyya al-Ansari
menyebutkan bahawasanya:
(وَإِنْ جَمَعَ تَقْدِيمًا) بَلْ أَوْ تَأْخِيرًا فِي الظُّهْرِ،
وَالْعَصْرِ (صَلَّى سُنَّةَ الظُّهْرِ الَّتِي قَبْلَهَا، ثُمَّ الْفَرِيضَتَيْنِ)
الظُّهْرَ، ثُمَّ الْعَصْرَ (ثُمَّ بَاقِيَ السُّنَنِ مُرَتَّبَةً) أَيْ سُنَّةَ
الظُّهْرِ الَّتِي بَعْدَهَا، ثُمَّ سُنَّةَ الْعَصْرِ (وَفِي الْمَغْرِبِ،
وَالْعِشَاءِ يُصَلِّي الْفَرِيضَتَيْنِ، ثُمَّ السُّنَنَ مُرَتَّبَةً) سُنَّةَ
الْمَغْرِبِ، ثُمَّ سُنَّةَ الْعِشَاءِ (ثُمَّ الْوِتْرَ)[3]
Maksudnya: (Jika seseorang melakukan
jamak taqdim) bahkan sekalipun ta’khir pada solat Zohor dan Asar, (dia
perlu solat sunat qabliyyah zohor
terlebih dahulu, kemudian tunaikan kedua-dua solat fardu) iaitu fardu Zohor kemudian
fardu Asar secara jamak taqdim,
(kemudian tunaikan baki solat sunat menurut turutan) iaitu solat sunat ba’diyyah Zohor, setelah itu solat
sunat Asar (qabliyyah Asar). (Dan
bagi solat Maghrib dan Isyak, tunaikan kedua-dua solat fardu terlebih dahulu, kemudian
solat sunat mengikut turutan) iaitu sunat ba’diyyah
Maghrib, kemudian sunat Isyak,
(kemudian Witir).
Maka dirumuskan tertibnya adalah sebagaimana berikut:
- Turutan jika solat jamak taqdim Zohor dan Asar.
(Begitu juga hal keadaan jamak
ta’khir)
●
Solat sunat Qabliyyah
Zohor
●
Solat fardu Zohor
●
Solat fardu Asar
●
Solat sunat Ba’diyyah Zohor
●
Solat sunat Qabliyyah
Asar
- Turutan solat jika jamak taqdim Maghrib dan Isyak.
(Begitu juga hal keadaan jamak
ta’khir)
●
Solat fardu Maghrib
●
Solat fardu Isyak
●
Solat sunat Ba’diyyah Maghrib
●
Solat sunat Qabliyyah Isyak
●
Solat sunat Ba’diyyah Isyak
●
Solat sunat Witir
Kesimpulan
Solat sunat Rawatib boleh dikerjakan ketika jamak dan qasar bahkan pengamalannya juga disunatkan. Justeru seseorang yang
ingin melaksanakan solat sunat Rawatib ketika jamak dan qasar perlu
mengikut turutan seperti berikut iaitu, bagi solat jamak taqdim Zohor dan Asar maka perlu dimulakan dengan solat sunat
qabliyyah Zohor terlebih dahulu
kemudian diikuti dengan solat fardu Zohor dan fardu Asar, setelah itu
diselesaikan dengan solat sunat ba’diyyah
Zohor dan solat sunat qabliyyah Asar.
Adapun bagi solat jamak Maghrib dan Isyak pula, perlu dimulakan dengan dengan
solat fardu Maghrib dan fardu Isyak terlebih dahulu, setelah itu diikuti dengan
solat sunat ba’diyyah Maghrib
kemudian qabliyyah dan ba’diyyah Isyak serta diakhiri dengan
solat sunat Witir.
[1] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. al-Majmu’ Syarḥ al-Muhadhab. Dar al
Fikr. Jil. 4, ms. 400.
[2] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. (1991). Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. Beirut:
Maktabah al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 402.
[3] Al-Ansārī. Abū Yaḥya Zakariyya. (t.t.). Asnā al-Maṭālib Syarḥ Rawḍ at-Ṭālib. Dar al-Kutub al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 245.