Tarikh: 8 Mei 2023
Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir
Pendahuluan
Pembahagian harta pusaka sering menjadi topik tumpuan yang
dibincangkan oleh ahli keluarga selepas pemilik harta meninggal dunia. Maka,
timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang pengurusan pembahagian harta
pusaka melibatkan barangan di dalam rumah milik individu yang sudah meninggal
dunia seperti perabot, pinggan mangkuk dan sebagainya. Adakah barang perkakasan
dapur dan rumah termasuk daripada harta yang diperlu difaraid dan dibahagikan
kepada waris-waris yang berhak?
Harta Pusaka itu Harta Faraid
Faraid berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang asalnya daripada perkataan farḍ yang bermaksud al-taqdīr (yang ditentukan). Menurut syarak, perkataan tersebut bermaksud apa yang telah ditetapkan oleh dalil yang bersumberkan kepada Al-Quran, hadis dan ijmak ulama dan ijtihad para sahabat RA[1]. Ilmu faraid ialah ilmu pembahagian harta pusaka (pewarisan) atau ilmu yang berkaitan dengan harta peninggalan si mati[2]. Ia adalah gabungan kaedah fiqh dan matematik yang membolehkan hak setiap waris diketahui daripada pengiraan yang dilakukan.
Manakala, harta pusaka atau al-tarikah (التركة) di sisi Jumhur Ulama bermaksud segala sesuatu yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah seseorang itu mati[3]. Harta pusaka ini diketahui setelah ditolak segala perbelanjaan menguruskan jenazah, hutang si mati, wasiat, hibah dan harta sepencarian menurut undang-undang[4]. Harta peninggalan si mati ini menjadi harta faraid yang perlu untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.
Kategori Harta Pusaka
Untuk mengenalpasti harta pusaka yang dimiliki oleh si mati,
terdapat dua kategori harta iaitu harta alih dan harta tidak alih. Kedua-duanya
perlu difaraidkan kepada ahli waris yang berhak. Hal ini dijelaskan dalam kitab fiqh al-Manhaji:
التركة
هي جميع ما يخلفه الميت بعد موته، من أموال منقولة، كالذهب والفضة وسائر النقود
والأثاث، أو غير منقولة كالأراضي والدور وغيرها. فجميع ذلك داخل في مفهوم التركة،
ويجب إعطاؤه لمن يستحقه[5]
Maksudnya: Harta pusaka ialah segala apa yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya sama ada dalam bentuk harta alih seperti emas, perak, duit, perabot dan sebagainya, atau dalam bentuk harta tidak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya. Kesemua harta tersebut termasuk dalam definisi harta pusaka. Maka wajib diberikan harta tersebut kepada waris yang berhak.
Berdasarkan takrifan di atas dapat difahami terdapat dua kategori harta pusaka iaitu[6]:
1- Kategori pertama ialah harta alih iaitu harta yang boleh
dipindah atau diubah dari tempatnya sama ada bentuk dan keadaannya kekal dengan
dipindahkan atau berubah bentuknya. Contohnya, wang dalam akaun simpanan bank,
saham, simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans,
peralatan rumah, kenderaan, senjata api, barang kemas, ASB dan sebagainya.
Termasuk harta pusaka alih ini juga,
sewa yang belum dijelaskan kepada si mati, hutang kepada si mati yang
dijelaskan selepas kematian, dividen atau faedah yang terbit daripada harta si
mati, simpanan KWSP berpenama atau tiada penama dan barang yang terbit selepas
mati seseorang dari usahanya semasa hayat[7].
2- Kategori kedua ialah harta tidak alih iaitu harta yang tidak boleh dipindah atau diubah dari tempat asalnya seperti tanah, bangunan, kebun, ladang dan rumah seperti tanah, rumah dan sebagainya.
Maka, dapat difahami bahawa yang tidak termasuk dalam harta pusaka ialah harta yang telah diberikan kepada orang lain semasa hayatnya, harta yang telah dijual oleh si mati, harta yang telah diwakafkan dan dihibahkan, khairat kematian, harta yang dipegang sebagai amanah oleh si mati, pencen (termasuk Pencen terbitan), ganjaran dan bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO) Socso serta pemberian oleh orang yang menziarahi si mati[8].
Berdasarkan takrifan dan pembahagian kategori harta pusaka di atas segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuk barang perkakasan dapur, barangan di rumah seperti perabot, alat elektronik, alat tulis, jam tangan, pakaian dan sebagainya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak. Meskipun dilihat harta itu kecil ia tetap bernilai dan terdapat hak waris-waris padanya.
Penyelesaian
Faraid Barang Perkakasan Dapur dan Rumah
Sehubungan dengan itu, bagi menyelesaikan pengurusan harta
kecil atau ringkas seperti ini waris-waris yang layak boleh mengadakan muafakat
bersama atau lebih dikenali sebagai satu mekanisme sokongan hukum pusaka Islam
yang dipanggilkan konsep takharuj[9]. Konsep takharuj ini merupakan tolak ansur yang
dilakukan oleh sebahagian ahli waris mengikut nilaian tertentu sebagai balasan
kerana menarik diri daripada haknya dalam harta pusaka. Ia boleh melibatkan
semua ahli waris atau hanya sebahagian daripada mereka dan waris yang memberi
imbalan akan mengambil haknya dalam pusaka. Imbalan tersebut boleh terdiri
daripada harta pusaka atau diambil daripada harta-harta lain[10].
Hal ini disebabkan dalam beberapa situasi, jenis dan bentuk harta pusaka itu
sendiri tidak sesuai untuk dibahagi secara fizikal[11]. Kaedah ini juga memberi
peluang kepada setiap ahli waris memilih cara terbaik dalam menyelesaikan
permasalahan pembahagian harta pusaka.
Namun begitu, sebelum amalan takharuj dilaksanakan dalam penyelesaian harta pusaka, waris-waris
yang berhak dalam sesuatu harta pusaka itu hendaklah mengetahui terlebih dahulu
kadar dan bahagian masing-masing. Perkara ini penting supaya waris yang
terlibat dalam pusaka atau yang mempunyai hak dalam harta pusaka dapat membuat
keputusan secara sukarela dengan penuh pengetahuan tentang bahagian mereka. Hal
ini kerana, kesan tindakan waris melakukan
takharuj ini akan mengugurnya hak pemilikan waris yang menarik diri
daripada pewarisan. Jika perkara ini tidak diperhalusi oleh para waris maka perasaan tidak puas hati boleh timbul
sehingga boleh menjejaskan ikatan persaudaraan kelak. Justeru, setiap keputusan
mesti berlandaskan kejujuran dan pengetahuan setiap ahli waris berhubung kadar
bahagian dalam faraid mereka sebelum membuat keputusan melepaskan hak tersebut[12].
Dalam hal ini, pihak waris boleh mengenal pasti dan
menyenaraikan terlebih dahulu harta-harta si mati daripada harta yang bernilai
rendah sehinggalah harta yang tinggi nilainya. Kemudian, berdasarkan keizinan
atau pelepasan hak waris yang memberikan bahagiannya kepada waris yang lain (takharruj), para waris boleh berbincang
untuk membuat keputusan sama ada;
- Mengekalkan harta asal dengan
memilih sesiapa yang akan memiliki dan menggunakan harta kecil tersebut
dalam kalangan waris-waris yang layak.
- Menukarkan harta ringkas
tersebut kepada nilai (menjualnya) kepada waris yang ingin memiliki dengan
mengantikan bahagian yang dilepaskan oleh waris yang lain pada barang
tersebut.
- Menukarkan harta ringkas
tersebut kepada nilai (menjualnya) kemudian hasil jualan tersebut
dibahagikan kepada waris-waris yang layak.
- Menyedekahkan harta kecil tersebut sebagai pahala yang bersambung bagi pihak si mati.
Perkara utama yang hendak dicapai melalui pengurusan harta
dengan cara yang baik ini adalah untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Hal ini
dapat dicapai melalui sikap bertoleransi para waris-waris dan saling
bekerjasama antara satu sama lain. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah
al-Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ
وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Kesimpulan
Oleh itu, bagi pihak waris yang layak penting untuk
mengenalpasti dan menyenaraikan terlebih dahulu harta-harta si mati daripada
harta yang bernilai rendah sehinggalah harta yang tinggi nilainya. Hal ini
kerana, kesilapan yang sering dilakukan dalam pengurusan harta ini adalah hanya
mengambilkira harta yang bernilai tinggi seperti tanah, rumah, saham, dividen
dan sebagainya. Sedangkan barang kepunyaan si mati juga yang kecil nilainya
juga adalah harta yang patut dan boleh diwariskan kepada waris. Perkara ini
penting supaya pihak waris mendapat haknya dengan cara yang benar di sisi
syarak dan lebih berhati-hati daripada mengambil hak orang lain dengan cara
yang batil. Sepertimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 188:
وَلَا
تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى
الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ
تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan
(atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang
salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada
hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta
manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
[1]
‘Alī bin Muḥammad bin ‘Alī al-Zayn
al-Sharīf al-Jurjānī. 1983. Kitāb
al-Ta’rīfāt. Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiah. Ms. 165.
[2] ‘Alī bin Muḥammad bin ‘Alī al-Zayn
al-Sharīf al-Jurjānī, Kitāb al-Ta’rīfāt,
ms.166.
[3] Wizārah
al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah. (t.t). Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaytīyyah. Dār al-Salāsih: Kuwait. Jil. 11, ms. 206.
[4] Muda,
Resali. (2016). “Harta Pusaka Islam Di Malaysia: Antara Perundangan Dan
Pentadbiran”. Malaysian Journal of Syariah and Law 4: Ms. 5-6.
[5] Mustafa
al-Khin, Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Sharbajī. 1992. Al-Fiqh al-Manhajī ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Dār al-Qalam:
Damsyik. Jil.5, ms. 71.
[6] Ibid., Jil.5, ms. 71.
[7] Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Harta Pusaka. Diakses
daripada laman web https://www.mais.gov.my/harta-pusaka/
[8] Ibid.
[9] Ahmad,
Md Yazid. “Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka
menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam”. Islamiyyat: International
Journal of Islamic Studies 39, no. 1 (2017): ms 22.
[10] Abu
Zahrah, Muhammad. 1923. Ahkām al-Tarikah
wa Mawārīth. Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi. Ms. 231.
[11] Wan Najmiah & Md Yazid Ahmad. “Konsep Takhāruj Dalam Hukum Pusaka
Islam”. Jurnal Muamalat 7 (2014): ms.
117.
[12] Ibid.