Tarikh: 7 April 2023
Disediakan oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang istimewa,
digandakan padanya pahala amalan, dibukakan pintu syurga serta ditutup pintu
neraka. Kita dituntut untuk memperbanyakkan ibadah di bulan ini. Kita dituntut
untuk menghidupkan malam Ramadhan dengan ibadah-ibadah sunat dan antara ibadah
yang hanya ada pada bulan Ramadhan ialah solat Tarawih. Ia juga merupakan suatu
amalan mendirikan malam pada bulan Ramadhan sebagaimana disebut dalam hadis
daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
[1]مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya:
Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadhan
dengan penuh keimanan dan pengharapan (ganjaran serta keampunan), akan
diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.
(Riwayat Muslim)
Menurut Imam Nawawi, ‘Qiyam
Ramadhan’ yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah solat Tarawih.[2]
Berdasarkan amalan Rasulullah SAW dan para Sahabat RA, daripada riwayat-riwayat
yang disebutkan oleh fuqaha, mereka akan menunaikan solat Tarawih bersama
dengan solat Witir. Imam Khatib al-Shirbini membawakan riwayat daripada Ibn
Khuzaimah dan Ibn Hibban daripada Jabir RA:
صَلَّى
بِنَا رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فِي رَمَضَانَ
ثَمَانِ رَكَعَاتٍ ثُمَّ أَوْتَرَ[3]
Maksudnya: Rasulullah SAW solat bersama dengan kami dalam
bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat kemudian Baginda menunaikan solat Witir.
Solat Witir
Solat witir berasal daripada perkataan al-witr yang bererti ganjil. Solat ini mesti dilakukan dalam jumlah
yang ganjil. Jumlah bilangan rakaat solat Witir disimpulkan seperti berikut:[4]
● Sekurang-kurangnya
ialah satu rakaat
●
Sekurang-kurang jumlah yang sempurna
ialah tiga rakaat
●
Sebanyak-banyaknya ialah sebelas rakaat
Hukum solat Witir menurut Jumhur ialah sunnah muakkadah, manakala
menurut mazhab Imam Abu Hanifah, solat Witir hukumnya ialah wajib. Ini
menunjukkan besarnya tuntutan mengerjakan solat Witir itu.
Terdapat pelbagai riwayat menceritakan mengenai kelebihan
solat Witir antaranya ialah Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA
agar melazimi solat sunat Witir sebelum beliau melelapkan mata. Ini dinyatakan
sendiri oleh Abu Hurairah RA:
أَوْصَانِي
خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ
مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ[5]
Maksudnya: Kekasihku (iaitu Nabi Muhammad SAW) mewasiatkanku
supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua
rakaat solat Dhuha dan melakukan solat Witir sebelum tidur.
(Riwayat al-Bukhari)
Solat Witir Disunatkan Berjemaah di
Bulan Ramadhan
Sebahagian daripada masyarakat kita meninggalkan solat Witir
secara berjemaah bersama dengan imam dan terus keluar daripada tempat solat
kerana ingin pulang ke rumah atau ingin mengerjakan solat Witir secara
bersendirian di rumah. Bagi menjelaskan isu ini, perlu difahami bahawa solat
Witir turut disunatkan untuk dilakukan secara berjemaah di bulan Ramadhan.
Para fuqaha mazhab Syafie telah membahaskan persoalan ini
dalam kitab-kitab mereka. Antaranya melalui penyataan Imam Nawawi dalam kitab
beliau:
إذَا
اسْتَحْبَبْنَا الْجَمَاعَةَ فِي التَّرَاوِيحِ اُسْتُحِبَّتْ الْجَمَاعَةُ
أَيْضًا فِي الْوِتْرِ بَعْدَهَا[6]
Maksudnya:
Apabila kita digalakkan untuk mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah, maka
turut dituntut untuk mengerjakan solat Witir secara berjemaah bersama imam.
Selain
itu, Imam Khatib al-Shirbini ada menyatakan:
(وَأَنَّ الْجَمَاعَةَ تُنْدَبُ فِي الْوِتْرِ) فِي جَمِيعِ
رَمَضَانَ سَوَاءٌ أَصُلِّيَتْ التَّرَاوِيحُ أَمْ لَا صُلِّيَتْ[7]
Maksudnya: (Berjemaah itu turut dituntut untuk solat Witir)
sepanjang Ramadhan samada seseorang itu mengerjakan solat Tarawih ataupun
tidak.
Tambahan pula, dalam hadis yang lain menyebutkan bahawa kita
dituntut untuk mengerjakan solat berjemaah bersama dengan imam sehingga selesai
kerana ia mempunyai fadilat tertentu iaitu diberi ganjaran qiyam sepanjang malam. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada
Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ
قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كتب له قِيَامَ لَيْلَةٍ[8]
Maksudnya: Sesiapa yang berdiri (solat Tarawih dan solat
Witir di bulan Ramadhan) bersama imam sehingga dia (imam) selesai, dituliskan
baginya ganjaran orang yang qiyam
semalaman (iaitu seumpama bersolat sepanjang malam).
(Riwayat al-Tirmizi)
Kesimpulan
Kita menyaksikan masyarakat berpusu-pusu mengerjakan solat
Tarawih secara berjemaah di masjid atau surau pada bulan Ramadhan dan ini
adalah suatu yang baik dan patut dipuji. Walau bagaimanapun, solat Witir turut
dituntut agar dilaksanakan secara berjemaah bersama dengan imam di bulan
Ramadhan. Berbeza dengan bulan-bulan lain, solat Witir adalah lebih afdhal dikerjakan secara sendirian.
Mudah-mudahan penjelasan ini dapat meningkatkan pengetahuan kita mengenai
keutamaan dalam beramal.
[1] Abū al-Ḥusayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyayrī
Al-Nisāburī. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim,
Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu. Hadis no. 759.
[2] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf.
(1392H). Al-Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al-Hujāj. Beirut: Dār Iḥya
Al-Turāth Al-‘Arabiy. Jil. 6, Ms. 377.
[3] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī
Al-Shafiʿ. (1994M/1415H). Mughnī
Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār
Al-Kutub Al-Islamiyyah. Jil. 1, ms. 460.
[4] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī
Al-Shafiʿ. (1994M/1415H). Mughnī
Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār
Al-Kutub Al-Islamiyyah.. Jil. 1, ms. 452.
[5] Al-Bukhārī, Abū Abdullah Muḥammad Bin Ismā’il al-Bukhārī
al-Ja’fi (1993). Ṣaḥīh al-Bukhārī. Damsyik,
Syria: Dār Ibn Kathīr. Hadis no. 1981.
[6] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. Al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. Amman,
Jordan: Dar al-Fikr. Jil. 4, ms. 15.
[7] Al-Khāṭib Al-Shirbīnī.
Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1, ms.
455.
[8] Abu `Isa Muḥammad ibn ‛Īsa ibn Sawrah ibn Mūsa ibn al
Ḍaḥḥāk al-Sulamī at-Tirmidhī . Jami’
al-Tirmizi. Hadis no. 734.