
PENENTUAN AWAL BULAN DAN PERBEZAAN MATLA’
Tarikh: 10 Mac 2025
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Penentuan awal bulan dalam kalendar Hijri merupakan aspek penting dalam kehidupan umat Islam. Setiap negara Islam mempunyai pendekatan kaedah yang berbeza, menjadikan tarikh awal bulan Hijri mungkin tidak seragam dan berbeza bagi setiap negara. Selain itu, perbezaan dalam menentukan awal bulan Hijri juga disebabkan wujudnya perbezaan matla’ iaitu keluasan atau had sempadan sesuatu tempat untuk melihat anak bulan. Justeru, artikel ini akan mengupas konsep matla’ dan kesan perbezaan matla’ dalam menentukan awal bulan.
Konsep perbezaan matla’
Kata matla’ berasal daripada perkataan bahasa Arab ṭa-la-a’, yang bermaksud terbit, muncul, atau nampak. Matla’ (مطلع) dengan huruf lam yang diberi harakat fathah membawa makna tempat dan waktu muncul[1]. Dalam istilah falak, matla’ merujuk kepada batas daerah berdasarkan jangkauan kenampakan anak bulan atau dalam erti kata lain, sempadan geografi berlakunya cerapan atau rukyah[2].
Konsep matla’ berkait rapat dengan pergerakan bumi dan bulan. Bumi yang berbentuk sfera berputar pada paksinya dari arah barat ke arah timur menyebabkan waktu terbit bulan atau matahari tidak sama di setiap tempat. Hal ini yang disebut sebagai perbezaan matla’ antara kawasan yang jauh jaraknya. Perbezaan ini turut mempengaruhi penentuan waktu melihat anak bulan pada setiap bulan Hijri kerana waktu kemunculan anak bulan adalah berbeza bergantung kepada kedudukan ufuk dan lokasi pencerap. Apabila sudut pandangan terhadap anak bulan berbeza mengikut lokasi, maka sebahagian anak bulan kelihatan di sebahagian kawasan, namun tidak kelihatan di kawasan yang lain.
Misalnya, matla’ bagi negara Arab Saudi dan Malaysia berbeza dengan jarak antara kedua-dua negara tersebut dianggarkan sekitar 7,000 kilometer, dengan perbezaan waktu lebih kurang lima jam. Kedudukan negara Arab Saudi yang lebih barat berbanding Malaysia memberikan peluang yang lebih tinggi untuk anak bulan kelihatan setelah matahari terbenam di negara tersebut kerana semakin ke barat sesebuah negara itu, maka semakin besar umur bulan menjadikan anak bulan lebih mudah kelihatan. Begitu juga bagi negara yang berada di bahagian barat seperti negara-negara di Benua Eropah dan Amerika Syarikat.
Rajah 1 : Matla’ bagi negara-negara yang berkedudukan lebih barat memberikan peluang yang lebih tinggi untuk anak bulan kelihatan di negara tersebut.
Perbezaan matla’ juga mempengaruhi tarikh penentuan hari perayaan Islam seperti Hari Raya Eidulfitri dan Hari Raya Eiduladha. Pada bulan Zulhijjah 1445H yang lalu, Malaysia telah menyambut Hari Raya Eiduladha pada 17 Jun 2024 sehari selepas Arab Saudi yang mengumumkan tarikh hari wukuf pada 15 Jun 2024 dan tarikh Hari Raya Eiduladha di Arab Saudi pada 16 Jun 2024. Perbezaan data anak bulan Zulhijjah 1445H antara Malaysia dan Arab Saudi adalah seperti berikut:
NEGARA | ALTITUD HILAL | JARAK LENGKUNG BULAN-MATAHARI | UMUR BULAN |
MALAYSIA (6 Jun 2024) | -1° 34’ | 4° 41’ | -1j31m |
ARAB SAUDI (6 Jun 2024) | 1° 36’ | 4° 17’ | 3j35m |
Rajah 2 : Perbezaan data anak bulan Zulhijjah 1445H antara Malaysia dan Arab Saudi. Data menunjukkan pada 6 Jun 2024, anak bulan tidak mungkin kelihatan di Malaysia kerana anak bulan berada di bawah ufuk. Namun, anak bulan telah wujud dan berada di atas ufuk di Arab Saudi. Hal ini memberikan kesan pada tarikh Hari Raya Eiduladha di mana Arab Saudi menyambut hari raya sehari sebelum Malaysia.
Penentuan awal bulan
Secara asasnya, perbezaan tarikh dalam menentukan awal bulan Hijri adalah disebabkan perbezaan kaedah yang diamalkan oleh negara-negara. Terdapat empat jenis takwim dalam menentukan tarikh awal bulan Hijri iaitu Takwim Istilahi, Takwim Ijtimak Hakiki, Takwim Wujudul Hilal dan Takwim Imkan ar-Rukyah. Malaysia menggunapakai takwim berdasarkan kriteria Imkan ar-Rukyah manakala negara-negara lain menggunapakai jenis takwim yang berbeza antaranya takwim berdasarkan kriteria Wujudul Hilal. Kriteria Imkan ar-Rukyah yang digunapakai oleh Malaysia bermaksud permulaan bulan baharu dikira apabila ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung anak bulan-matahari tidak kurang dari 6.4°[3]. Manakala menurut kriteria Wujudul Hilal, bulan baharu bermula apabila cukup sekadar ketika matahari terbenam pada hari cerapan, kedudukan anak bulan berada di atas ufuk tanpa mengambil kira ketinggian anak bulan tersebut.
Berdasarkan kaedah yang diguna pakai oleh negara-negara ini, maka tarikh bagi mencerap anak bulan juga berbeza seiring dengan perbezaan matla’. Kaedah Imkan ar-Rukyah dalam penentuan anak bulan di Malaysia diselaraskan dengan anggota MABIMS iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura di mana negara-negara ini telah bersetuju untuk menyelaras kriteria Imkan ar-Rukyah yang baharu (KIR 2021) dalam penampakan anak bulan dalam kalangan negara-negara anggota berdasarkan rukyah dan hisab, mengambil kira faktor tempatan seperti keadaan geografi dan cuaca untuk memastikan ketepatan takwim selaras dengan realiti tempatan. Pendekatan ini membolehkan Malaysia membuat penetapan awal bulan yang seragam tanpa bergantung kepada matla’ negara lain, seperti Arab Saudi. Ini bertetapan dengan Hadis Kuraib berkenaan perbezaan matla’;
عَنْ كُرَيْبٍ أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ: فَقَدِمْتُ الشَّامَ، فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا، وَاسْتَهَلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ، وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ، فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ؟ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ، وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ: لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ، أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لَا هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ[4].
Maksudnya: Kuraib menceritakan bahawa Ummul Fadhl binti Harith telah mengutusnya kepada Mu’awiyah di Syam. Beliau berkata: Aku tiba di Syam, lalu menyelesaikan urusan yang diberikan kepadaku. Kemudian tibalah bulan Ramadhan dan aku melihat anak bulan pada malam Jumaat. Setelah itu, aku kembali ke Madinah pada akhir bulan. Lalu, Ibnu Abbas RA bertanya kepadaku tentang anak bulan dan berkata: Bilakah kalian melihat anak bulan? Aku menjawab: Kami melihatnya pada malam Jumaat. Beliau bertanya lagi: Engkau sendiri yang melihatnya? Aku menjawab: Ya, aku melihatnya, dan orang ramai juga melihatnya serta berpuasa, termasuk Mu’awiyah. Lalu, Ibnu Abbas RA berkata: Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu. Maka kami tetap berpuasa sehingga kami menyempurnakan tiga puluh hari, atau sehingga kami melihat anak bulan. Aku bertanya: Tidakkah cukup dengan rukyah Mu’awiyah dan puasanya? Ibnu Abbas RA menjawab, Tidak, demikianlah Rasulullah SAW memerintahkan kami.
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi RA dalam menghuraikan hadis ini mengatakan;
وإن رأوا الهلال في بلد ولم يروه في آخر فإن كانا بلدين متقاربين وجب على أهل البلدين الصوم وإن كانا متباعدين وجب على من راى ولم يجب على من لم ير[5].
Maksudnya: Dan jika mereka melihat anak bulan di sebuah negara tetapi tidak terlihat di negara lain, maka jika kedua-dua negara tersebut berdekatan, wajib ke atas penduduk kedua-dua negara untuk berpuasa. Namun, jika kedua-duanya berjauhan, maka wajib berpuasa ke atas mereka yang melihat anak bulan, dan tidak wajib ke atas mereka yang tidak melihatnya.
Maka, perbezaan matla’ diambil kira dalam menentukan awal bulan berdasarkan negara atau had sempadan sesuatu tempat untuk melihat anak bulan, tanpa perlu mengikuti negara lain, selagimana kaedah yang digunakan adalah berdasarkan rukyah atau hisab yang sahih.
Matla’ di Malaysia
Dalam konteks di Malaysia, konsep matla’ di dalam negara ini adalah seragam di mana sekiranya satu negeri telah nampak anak bulan, maka keseluruhan negeri di Malaysia akan diisytiharkan sedemikian. Malaysia yang berkeluasan 330,534km ini mempunyai tanda sempadan paling hujung antara barat dan timur. Dalam aktiviti cerapan anak bulan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah menentukan titik paling barat iaitu di Pulau Perak, Kedah manakala Tanjung Atiam di Lahad Datu, Sabah sebagai titik paling timur di Malaysia[6].
Rajah 3: Titik rujukan paling timur dan paling barat di Malaysia membentuk satu kawasan matla’ dalam penentuan awal bulan Hijri.
Sempadan ini merupakan sempadan satu matla’ di mana tarikh hitungan dan penentuan awal bulan Hijri adalah seragam dan tidak berbeza antara sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain. Mengikut Prosedur Cerapan Anak Bulan di Malaysia, kenampakan anak bulan khususnya bagi cerapan rasmi Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah perlu dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja oleh Mufti/ Ketua rombongan/ Pegawai Pelapor yang dilantik bagi membuat keputusan dan pelaporan yang holistik bagi keseluruhan negeri di Malaysia[7]. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja seterusnya akan mengisytiharkan keputusan pada malam cerapan dilakukan.
Misalnya, pada bulan Syawwal 1445H yang lepas, cerapan telah dijalankan di 29 lokasi cerapan rasmi pada tarikh 29 haribulan Hijri. Berdasarkan hisab yang telah dihitung, anak bulan Syawwal 1445H pada 29 Ramadhan iaitu 9 April 2024 telah mencapai kriteria minimum Imkan ar-Rukyah di mana jarak lengkung bulan-matahari melangkaui 6.4° iaitu pada 9°06’, dengan altitud bulan pada 7°12’ juga telah mencapai kriteria minimum 3°. Hasil cerapan menunjukkan anak bulan kelihatan di beberapa buah negeri seiring dengan hisab kenampakan anak bulan. Setelah cerapan dan keputusan laporan telah dilakukan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudiannya mengisytiharkan bahawa Hari Raya Eidulfitri 1445H akan disambut pada keesokan harinya pada 10 April 2024.
Rajah 4: Infografik kedudukan anak bulan Syawwal 1445H
Rajah 5: Anak bulan Syawwal 1445H kelihatan di Balai Cerap Teluk Kemang
Begitu juga pada bulan-bulan yang lain, proses cerapan akan dilakukan pada setiap 29 Hijri sama ada data-data hisab mencapai kriteria ataupun tidak. Adapun keputusan tarikh hari-hari penting Islam di Malaysia iaitu awal Ramadhan, Hari Raya Eidulfitri dan Eiduladha adalah bersandarkan keputusan cerapan rasmi yang dilakukan pada hari cerapan dan tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Penutup
Penentuan awal bulan Hijri adalah berdasarkan kaedah yang diguna pakai oleh sesebuah negara. Pada setiap akhir bulan Hijri, anak bulan akan dicerap bagi menentukan awal bulan Hijri yang berikutnya. Sekiranya anak bulan dapat dilihat di sesebuah kawasan, maka kenampakan anak bulan tersebut merangkumi kawasan dan sempadan yang sama yang dinamakan sebagai satu matla’. Malaysia mengamalkan kriteria Imkan ar-Rukyah, memastikan keseragaman dalam negara dalam menentukan awal bulan Hijri, awal bulan Ramadhan, Hari Raya Eidulfitri dan Eiduladha tanpa terikat kepada matla’ negara lain.
Rujukan
Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf. 1928. al-Majmū’ Sharh al-Muhazzab. Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Muniriah.
Azhari, S. 2005. Ensiklopedi Hisab Rukyat. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Faizatuz Zulfa & Muh. Arif Royyani. 2023. Matla’: Astronomical Rising Points Dan Problematika Keberlakuan Matla’, Jurnal Ahkam 2(2): 282-301.
International Astronomical Center. https://astronomycenter.net/icop/hej46.html?l=en [diakses pada 4 Februari 2025].
Jabatan Mufti Negeri Selangor. Prosedur Cerapan Anak Bulan di Malaysia. https://www.muftiselangor.gov.my/2024/04/05/prosedur-cerapan-anak-bulan-di-malaysia/ [diakses pada 4 Februari 2025].
Muhammad Ridzuan Hashim et. al. 2024. Amalan Maṭla’ al-Hilal Menurut Pandangan Ahli Falak dalam Penentuan Kalendar Hijri. Al-Basirah 14(2): 90-105.
Muslim, Muslim bin al-Ḥajjāj. 1998. Ṣaḥīḥ Muslim. Turki: Dār al-Tabā’ah al-Ᾱmirah.
[1] Faizatuz Zulfa & Muh. Arif Royyani. 2023. Matla’: Astronomical Rising Points Dan Problematika Keberlakuan Matla’, Jurnal Ahkam 2(2): 282-301.
[2] Azhari, S. 2005. Ensiklopedi Hisab Rukyat. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
[3] Kriteria ini telah dipersetujui pelaksanaanya pada tahun 2021 (Muharram 1443H) selaras dengan Keputusan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Kali Ke-44.
[4] Muslim, Muslim bin al-Ḥajjāj. 1998. Ṣaḥīḥ Muslim. Turki: Dār al-Tabā’ah al-Ᾱmirah. Hadis no. 1087. Jil. 3, ms. 126.
[5] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf. 1928. al-Majmū’ Sharh al-Muhazzab. Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Muniriah. Jil. 6, ms. 271.
[6] Muhammad Ridzuan Hashim et. al. 2024. Amalan Maṭla’ al-Hilal Menurut Pandangan Ahli Falak dalam Penentuan Kalendar Hijri. Al-Basirah 14(2): 97-98.
[7] Jabatan Mufti Negeri Selangor. Prosedur Cerapan Anak Bulan di Malaysia. https://www.muftiselangor.gov.my/2024/04/05/prosedur-cerapan-anak-bulan-di-malaysia/ [diakses pada 4 Februari 2025].