#80 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menangguhkan Pengurusan Jenazah

Hukum Menangguhkan Pengurusan Jenazah

Tarikh:23/1/2025

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Pengurusan jenazah merupakan salah satu aspek penting dalam syariat Islam yang menunjukkan penghormatan terakhir kepada seorang Muslim yang telah meninggal dunia. Proses ini meliputi beberapa amalan, termasuk memandikan, mengkafankan, menyolatkan dan mengebumikan jenazah. Dalam Islam, terdapat penekanan khusus untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis-hadis Baginda. Tujuan utama menyegerakan pengurusan jenazah adalah untuk menghormati si mati, meringankan beban keluarga dan memenuhi tuntutan agama. Namun begitu, terdapat keadaan tertentu menyebabkan pengurusan jenazah perlu ditangguhkan sehingga waktu tertentu. Justeru, artikel ini ingin membincangkan hukum menangguhkan pengurusan jenazah serta keadaan-keadaan yang mengharuskannya berdasarkan pandangan para ulama.

Nas Berkaitan Menyegerakan Pengurusan Jenazah

Menyegerakan pengurusan jenazah merupakan suatu tuntutan syarak. Hal ini berdasarkan kepada beberapa buah hadis antaranya adalah hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ، فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا، وَإِنْ يَكُ سِوَى ذَلِكَ، فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ[1]

Maksudnya: Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

(Riwayat al-Bukhārī)

Hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ali Bin Abi Talib. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda kepada beliau:

يَا عَلِيُّ ، ثَلاَثٌ لاَ تُؤَخِّرْهَا : الصَّلاَةُ إِذَا آنَتْ ، وَالجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا

Maksudnya: Wahai Ali tiga perkara jangan engkau lewatkan. Solat jika ia telah masuk. Pengurusan jenazah jika telah datang kematian dan mengahwinkan seorang anak perempuan jika jumpa yang sekufu.[2]

(Riwayat  al-Tirmizi)

Hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Husayn bin Wahwah menyatakan bahawa:

أَنَّ طَلْحَةَ بْنَ الْبَرَاءِ مَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ فَقَالَ: إِنِّي لَا أَرَى طَلْحَةَ إِلَّا قَدْ حَدَثَ فِيهِ الْمَوْتُ فَآذِنُونِي بِهِ، وَعَجِّلُوا فَإِنَّهُ ‌لَا ‌يَنْبَغِي ‌لِجِيفَةِ ‌مُسْلِمٍ ‌أَنْ ‌تُحْبَسَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ أَهْلِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Talhah bin al-Barā’ telah jatuh sakit. Maka Rasulullah SAW datang menziarahinya dan bersabda: Sesungguhnya aku melihat Talhah telah mengalami tanda-tanda kematian, maka beritahulah aku apabila dia meninggal dunia, dan segerakanlah (pengurusannya), kerana tidak sewajarnya jenazah seorang Muslim ditahan lama di tengah-tengah keluarganya.[3]

(Riwayat Abu Daud)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fath al-Bari menghuraikan perihal menyegerakan pengurusan jenazah, beliau menyatakan:

وَالْحَاصِلُ أَنَّهُ يسْتَحبّ الْإِسْرَاع لَكِن بِحَيْثُ لاينتهى إِلَى شِدَّةٍ يُخَافُ مَعَهَا حُدُوثُ مَفْسَدَةٍ بِالْمَيِّتِ أَوْ مَشَقَّةٍ عَلَى الْحَامِلِ أَوِ الْمُشَيِّعِ لِئَلَّا يُنَافِيَ الْمَقْصُودَ مِنَ النَّظَافَةِ وَإِدْخَالِ الْمَشَقَّةِ عَلَى الْمُسْلِمِ[4]

Maksudnya: Kesimpulannya, disunatkan untuk menyegerakan (pengurusan jenazah), sekira-kira tidak sampai kepada tahap yang terlalu tergesa-gesa sehingga dibimbangi akan menyebabkan kerosakan pada jenazah atau kesulitan kepada orang yang memikul atau mengiringinya. Ini adalah bagi memastikan (pengurusannya) tidak bertentangan dengan tujuan asal iaitu menjaga kebersihan dan mengelakkan daripada menimbulkan kesulitan kepada kaum Muslimin.

Hukum Menyegerakan Pengurusan  Jenazah

Para fuqaha bersepakat bahawa hukum asal bagi penangguhan pengurusan jenazah adalah tidak dibolehkan jika telah diyakini kematian si mati.

اتَّفَقَ ‌الْفُقَهَاءُ ‌عَلَى ‌أَنَّهُ ‌إِنْ ‌تُيُقِّنَ ‌الْمَوْتُ يُبَادَرُ إِلَى التَّجْهِيزِ وَلَا يُؤَخَّرُ ” لِقَوْلِهِ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ: لَا يَنْبَغِي لِجِيفَةِ مُسْلِمٍ أَنْ تُحْبَسَ بَيْنَ ظَهْرَيْ أَهْلِهِ وَتَشْهَدُ لَهُ أَحَادِيثُ الإِْسْرَاعِ بِالْجِنَازَةِ[5]

Maksudnya: Fuqaha bersepakat bahawa jika seseorang itu telah disahkan kematiannya dengan yakin, hendaklah bersegera menguruskannya dan tidak boleh ditangguhkan. Berdasarkan kepada hadis Nabi SAW: Tidak sepatutnya jenazah seorang Muslim ditahan di kalangan keluarganya, dan hadis-hadis lain yang menganjurkan untuk menyegerakan pengurusan jenazah menjadi penguat bagi hadis tersebut.

Namun begitu, tuntutan tersebut tidak bersifat mutlak dan tiada pengecualian. Bersesuaian dengan prinsip syarak yang meraikan waqi’ semasa masyarakat, terdapat keadaan tertentu atau keuzuran yang mengharuskan urusan pengurusan jenazah ditangguhkan.

Keuzuran Yang Dipertimbangkan Untuk Menangguhkan Pengurusan  Jenazah

Pengurusan jenazah hendaklah disegerakan dengan mengambil kira adab, keperluan syarak dan hak keluarga si mati. Penangguhan hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat alasan yang benar-benar kukuh tanpa mengabaikan hak jenazah untuk disempurnakan. Antara situasi yang dibenarkan penangguhan terhadap pengurusan jenazah adalah:

  1. Menunggu Kehadiran Waris Terdekat

Boleh menangguhkan pengurusan jenazah bagi tujuan menunggu kehadiran wali si mati dengan syarat penantian itu tidak terlalu lama sehingga menyebabkan jenazah mengalami perubahan. Imam al-Khatib menyatakan:

(وَلا تُؤَخَّرُ) الصَّلَاةُ (لِزِيَادَةِ مُصَلِّينَ) لِلْخَبَرِ الصَّحِيحِ «أَسْرِعُوا بِالْجِنَازَةِ» وَلا بَأْسَ بِانْتِظَارِ الْوَلِيِّ عَنْ قُرْبٍ مَا لَمْ يُخْشَ تَغَيُّرُ الْمَيِّتِ [6]

Maksudnya: (Dan tidak ditangguhkan) solat jenazah (demi menambah bilangan orang yang solat) berdasarkan hadis sahih: “Segerakanlah pengurusan jenazah”. Namun, tidak mengapa menunggu wali (kerabat terdekat), asalkan tidak dikhuatiri jenazah mengalami perubahan (kerosakan).

Kebenaran melewatkan pengurusan jenazah untuk menunggu kehadiran wali adalah kerana mereka golongan yang lebih utama untuk mengimamkan solat jenazah.[7] Adapun yang dimaksudkan oleh para fuqaha dengan “mengalami perubahan pada jenazah” adalah keluar bau daripada jenazah tersebut. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Bujayrimi:

وَيُحْمَلُ ‌كَلَامُ ‌مَنْ ‌اسْتَثْنَاهَا كَصَاحِبِ التَّنْقِيحِ عَلَى مَا فِيهِ تَأْخِيرٌ، خُصُوصًا إذَا خِيفَ تَغَيُّرُ الْمَيِّتِ بِنَحْوِ ظُهُورِ رِيحٍ[8]

Maksudnya: Ditanggung maksud perkataan mereka yang mengecualikannya (kesegeraan solat jenazah) sebagaimana penyataan pengarang kitab al-Tanqih mengenai keharusan melewatkan solat jenazah, khususnya ketika dibimbangi berlaku perubahan pada jenazah seperti keluarnya bau.

  1. Tiada Kelengkapan Pengurusan Jenazah

Kelengkapan pengurusan jenazah merupakan salah satu daripada maslahat jenazah yang perlu diraikan. Imam al-Bujayrimi:

إِنْ احْتِيجَ إِلَى تَأْخِيرِ تَجْهِيزِ الْجَنَازَةِ لِتَحْصِيلِ مَصَالِحَ، كَحُضُورِ قَرَابَتِهِ أَوْ تَجْمِيلِ تَجْهِيزِهِ، فَلَا كَرَاهَةَ فِي التَّأْخِيرِ[9]

Maksudnya: Sekiranya terdapat keperluan untuk menangguhkan pengurusan jenazah bagi memperoleh maslahat seperti kehadiran keluarga atau untuk melengkapkan keperluan pengurusan jenazah,  maka penangguhan itu tidak dimakruhkan.

  1. Menunggu Jemaah yang Ramai untuk Disolatkan

Perihal ini dibahaskan oleh Imam Ibn Ḥajar al-Haytamī dalam kitab Tuḥfah al-Muḥtāj yang menyebutkan:

(وَلَا تُؤَخَّرُ) أَيْ لَا يُنْدَبُ التَّأْخِيرُ (لِزِيَادَةِ مُصَلِّينَ) أَيْ كَثْرَتِهِمْ وَإِنْ نَازَعَ فِيهِ السُّبْكِيُّ وَاخْتَارَهُ وَتَبِعَهُ الْأَذْرَعِيُّ وَالزَّرْكَشِيُّ وَغَيْرُهُمَا أَنَّهُ إذَا لَمْ يُخْشَ تَغَيُّرُهُ يَنْبَغِي انْتِظَارُ مِائَةٍ أَوْ أَرْبَعِينَ رُجِيَ حُضُورُهُمْ قَرِيبًا لِلْحَدِيثِ أَوْ لِجَمَاعَةٍ آخَرِينَ لَمْ يَلْحَقُوا وَذَلِكَ لِلْأَمْرِ السَّابِقِ بِالْإِسْرَاعِ بِهَا نَعَمْ تُؤَخَّرُ لِحُضُورِ الْوَلِيِّ إنْ لَمْ يُخْشَ تَغَيُّرٌ[10]

Maksudnya: (Dan jenazah tidak boleh ditangguhkan) iaitu tidak dianjurkan untuk menangguhkan pengebumian (untuk menambahkan bilangan jemaah) iaitu memperbanyakkan bilangan jemaah, meskipun pendapat ini dipertikaikan oleh As-Subki. Pandangan ini diikuti oleh Al-Adzra’i, Al-Zarkasyi dan yang lain. Mereka berpendapat bahawa jika jenazah tidak dikhuatiri berubah (rosak), maka wajar menunggu kehadiran seratus atau empat puluh orang yang ada kemungkinan hadir dalam waktu terdekat berdasarkan hadis atau menunggu jemaah lain yang belum sempat hadir. Namun, hal ini tetap perlu diperhatikan dalam konteks perintah sebelumnya untuk menyegerakan pengurusan jenazah. Benar, penangguhan boleh dilakukan bagi menunggu kehadiran wali (keluarga terdekat), asalkan tidak dikhuatiri perubahan (kerosakan jenazah).

Justeru, hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مَيِّتٍ تُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلَّا ‌شُفِّعُوا ‌فِيهِ

Maksudnya: Tidaklah ada seorang jenazah yang disolatkan oleh sekumpulan umat Islam yang jumlahnya mencapai seratus orang dan mereka semua memohon syafaat untuknya, melainkan syafaat itu akan diterima untuknya.

(Riwayat Muslim)

Oleh itu, difahami bahawa hadis ini menunjukkan keutamaan dan kelebihan solat jenazah yang dilakukan secara berjemaah dalam jumlah yang ramai. Ia menjadi salah satu dorongan untuk mengumpulkan jemaah yang ramai dalam solat jenazah, di samping tidak melanggar anjuran syariat untuk menyegerakan pengebumian.

  1. Maslahat Jenazah

Antara keperluan untuk kemaslahan jenazah masa kini adalah keperluan menjalankan autopsi atau siasatan forensik ke atas mayat bagi membantu siasatan atau mengetahui punca kematian. Begitu juga apa-apa maslahat dan kebaikan lain untuk jenazah turut boleh dipertimbangkan dengan syarat penangguhan itu tidak terlalu lama sehingga memberi kesan dan menzahirkan perubahan kepada jenazah itu. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan:

‌فَالتَّأْخِيرُ ‌إذَا ‌كَانَ ‌يَسِيرًا ‌وَفِيهِ ‌مَصْلَحَةٌ ‌لِلْمَيِّتِ ‌لَا ‌يَنْبَغِي ‌مَنْعُهُ [11]

Maksudnya: Maka, jika penangguhan itu hanya sebentar dan terdapat kemaslahatan untuk jenazah, maka tidak wajar untuk melarangnya.

Kesimpulan

Para fuqaha bersepakat bahawa pengurusan jenazah mesti dilakukan dengan segera bertepatan dengan saranan Nabi SAW bagi memelihara kehormatan jenazah. Terdapat keadaan tertentu yang mengharuskan pengurusan jenazah ditangguhkan dengan syarat penangguhan itu tidak mendatangkan mudarat kepada jenazah tersebut.

[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Jil. 1, ms. 442. Hadis no. 1252.

[2] Abū Isā Al-Tirmiẓi. Sunān Al-Tirmiẓi. Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi, . Edisi kedua, (1975), no. hadis: 1075.

[3] Abu Dawud al-Asha’ath al-Azdi Al-Sijistani (m. 275H). Sunan Abu Dawud. Dar Risalah al-‘Alamiyyah. 2009, no. hadis: 3159.

[4] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1959), Jil. 3, ms. 383.

[5] Wizārah al-Awqāf. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Kuwait, Dār al-Salāsil, 2010). Jil. 7. ms. 16.

[6] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m. 977H).  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. 1994. Jil. 2, ms. 51.

[7] Abu Bakar Uthmān bin Muḥammad al-Dumyāṭī al-Syāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘Alā Ḥal Alfāz Fatḥ al-Mu’īn. (Beirut: Dār al-Fikr, 1997) Jil. 2, ms. 149.

(وقوله: إلا لولي) أي ‌إلا ‌لأجل ‌حضور ولي الميت ليصلي عليه، فإنه تؤخر الصلاة له، لكونه هو المستحق للإمامة. لكن محله إذا رجي حضوره عن قرب وأمن من التغير»

[8] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad. Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib. Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1995. Jil. 2, ms. 223.

[9] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad. Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib. Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1995. Jil. 1, ms. 422

[10] Al-Haytamī, Ahmad bin Muhammad bin Alī  bin Hajar. Tuḥfah al-Muḥtāj fī Syarḥ al-Minhāj wa al-Hawāsyī al-Sharwānī al-‘Abbādī. Jil. 3, ms. 192.

[11] Al-Haytamī, Ahmad bin Muhammad bin Alī  bin Hajar. Tuḥfah al-Muḥtāj fī Syarḥ al-Minhāj wa al-Hawāsyī al-Sharwānī al-‘Abbādī. Jil. 3, ms. 64.

Accessibility Toolbar