Tarikh: 21 Januari 2025
Disediakan oleh: Nor Hanani binti Ahmad
Pendahuluan
Wanita diciptakan oleh Allah SWT dengan beberapa
keistimewaan termasuk fasa didatangi haid pada tempoh tertentu. Fasa tersebut
bermula apabila seseorang wanita tersebut mencapai umur haid atau baligh. Namun
begitu, timbul persoalan apakah umur paling awal seorang wanita boleh didatangi
haid?
Definisi
Haid
Haid menurut ahli bahasa berasal dari kata السيلان (mengalir). Dikatakan pada bahasa حَاضَ الْوَادِي yang bermaksud air lembah itu mengalir[1]. Manakala
menurut istilah, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa:
وَالْحَيْضُ دَمٌ يُرْخِيه رَحِمُ الْمَرْأَةِ بَعْدَ بُلُوغِهَا
فِي أَوْقَاتٍ مُعْتَادَةٍ وَالِاسْتِحَاضَةُ سَيَلَانُ الدَّمِ فِي غَيْرِ
أَوْقَاتِهِ الْمُعْتَادَةِ[2]
Maksudnya: Haid ialah darah yang dikeluarkan dari rahim
wanita setelah beliau baligh pada waktu-waktu kebiasaan. Istihadhah
ialah darah yang mengalir pada waktu-waktu yang lain yang bukan kebiasaan.
Kitab
al-Iqna’ fi Hal Alfaẓ Abi Shuja’ pula mendefinisikan haid ialah:
دم جبلة أَي تَقْتَضِيه الطباع السليمة و (هُوَ) الدَّم
(الْخَارِج من فرج الْمَرْأَة) أَي من أقْصَى رَحمهَا (على سَبِيل الصِّحَّة)
احْتِرَازًا عَن الِاسْتِحَاضَة (من غير سَبَب الْولادَة) فِي أَوْقَات مَعْلُومَة[3]
Maksudnya: Darah kebiasaan iaitu
fitrah yang sihat, (yang keluar daripada faraj wanita) iaitu dari hujung rahim
wanita dalam keadaan sihat bagi membezakannya dengan istihadhah (selain
kerana bersalin) pada waktu-waktu yang diketahui.
Menurut istilah perubatan, haid
dikenali sebagai ‘menstruation’ dan ‘menses’ dalam Bahasa Inggeris yang
berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud bulan. Kitaran haid berlaku secara
bulanan dengan purata 28 hari setiap kitaran[4].
Permulaan Umur Haid
Tiada nas
syarak yang khusus ditemui dalam penentuan tempoh permulaan haid bagi seorang
wanita kerana ada hikmah yang tertentu[5]. Oleh kerana itu, kaedah
yang dipakai untuk perkara ini adalah dengan mengikut adat dan kebiasaan kaum
wanita dalam menentukan kebiasaan bagi permulaan kedatangan haid mereka.
Kebanyakan ulama antaranya Imam Shafi’i telah membuat kajian dan tinjauan mengenai
perkara ini dengan kaedah istiqra’ dan
mendapati umur sembilan tahun Qamariah
taqriban (secara lebih
kurang) adalah umur yang paling awal bagi kaum wanita kedatangan haid. Ia
sebagaimana dijelaskan di bawah:
Permulaan umur haid bagi wanita
adalah sekurang-kurangnya sembilan tahun Qamariah
atau Hijriah sebagaimana dinukilkan
oleh Imam Khatib al-Syirbini bahawa:
قَالَ الإِمَام الشَّافِعِي رَضِي الله تَعَالَى عَنهُ أعجل من
سَمِعت من النِّسَاء يحضن نسَاء تهَامَة يحضن لتسْع سِنِين أَي تَقْرِيبًا لَا
تحديدا فيتسامح قبل تَمامهَا بِمَا لَا يسع حيضا وطهرا دون مَا يسعهما وَلَو
رَأَتْ الدَّم أَيَّامًا بَعْضهَا قبل زمن الْإِمْكَان وَبَعضهَا فِيهِ جعل
الثَّانِي حيضا إِن وجدت شُرُوطه الْمَارَّة
Maksudnya: Imam al-Shafi’i RA berkata
wanita yang paling cepat aku dengar mengalami haid ialah wanita Tihamah, mereka
berhaid ketika berumur sembilan tahun taqriban
(secara lebih kurang) bukan secara tahdid
(tepat). Maka jika tidak cukup tempoh haid dan tempoh suci keduanya, sekiranya datang
darah sehari semalam sebelum sampai tempoh umur tersebut darah yang datang
kedua setelah itu adalah haid sekiranya mencukupi syarat keluarnya haid.
Begitu juga seperti yang dinyatakan
dalam hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aishah RA[6]:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَنَى
بِهَا وَهِيَ بِنْتُ تِسْعِ سِنِينَ وَقَدْ قَالَتْ عَائِشَةُ: ” إِذَا بَلَغَتِ
الجَارِيَةُ تِسْعَ سِنِينَ فَهِيَ امْرَأَةٌ
Maksudnya: Bahawa Nabi SAW mula
bersama (bersatu) dengannya semasa beliau berumur sembilan tahun. Kata ‘Aishah:
Apabila kanak-kanak perempuan mencecah usia sembilan tahun dia sudah menjadi
dewasa (iaitu hukumnya sama seperti wanita dewasa).
(Riwayat
al-Tirmizi)
Berdasarkan hadis di atas, yang
dimaksudkan dengan “kanak-kanak perempuan yang mencecah usia sembilan tahun
sudah dewasa” adalah apabila seseorang
telah baligh (didatangi haid) akan berlaku perubahan pada dirinya dari sudut
perasaan atau emosi serta mampu membezakan sesuatu perkara itu baik atau buruk[7].
Selain itu, umur sembilan tahun yang
dimaksudkan hendaklah berkait dengan perkara-perkara berikut:
(1) Sempurna
umur sembilan tahun
Sempurna sembilan tahun menurut Imam al-Nawawi ialah[8]
أَمَّا سِنُّ الْحَيْضِ، فَأَقَلُّهُ اسْتِكْمَالُ تِسْعِ سِنِينَ
عَلَى الصَّحِيحِ، وَمَا رَأَتْهُ قَبْلَهُ دَمُ فَسَادٍ
Maksudnya: Adapun umur haid,
sekurang-kurangnya adalah genap sembilan tahun menurut pendapat yang sahih.
Adapun darah yang dilihatnya sebelum itu dikira sebagai darah fasad.
Contoh: seorang perempuan yang dilahirkan pada 20 Muharram
1400H. Jadi, 20 Muharram 1409H cukup umurnya sembilan tahun.
(2) Sembilan
tahun dengan pengiraan tahun Hijrah bukan kiraan tahun Masihi.
(3) Sembilan
tahun bersifat taqriban (secara lebih kurang)
Menurut kitab Fath al-Wahhab karangan Syeikh al-Islam
Zakaria al-Ansoriy umur permulaan wanita haid adalah sembilan tahun Qamariah taqriban (secara lebih kurang)[9]:
أَقَلُّ سِنِّهِ تِسْعُ سنين ” قمرية ” تقريبا
Maksudnya: Sekurang-kurang umurnya
adalah sembilan tahun Qamariah taqriban (secara lebih kurang).
Taqriban yang dimaksudkan ialah tempoh
yang singkat yang tidak mampu menampung tempoh haid dan suci iaitu kurang 16
hari 16 malam[10].
Oleh itu, darah yang keluar itu akan dihukumkan sebagai darah haid apabila usia
wanita tersebut hampir sembilan tahun. Ukuran taqrib (lebih kurang) menurut fuqaha’ jika darah yang keluar dalam
tempoh kurang 16 hari 16 malam[11]
sebelum genap umur sembilan tahun hijri,
ia dihukumkan sebagai darah haid sekiranya menepati syarat-syarat haid.
Manakala darah yang keluar dalam tempoh 16 hari dan ke atas sebelum genap umur sembilan
tahun hijri ia dihukumkan sebagai
darah istihadhah atau darah penyakit. Tempoh 16 hari tersebut ditetapkan
berdasarkan asas bahawa 15 hari 15 malam adalah sekurang-kurang tempoh suci,
manakala 1 hari 1 malam adalah sekurang-kurang tempoh haid. Perkara ini seperti
dinukilkan dalam kitab Hashiah al-Bujairimi ‘ala Sharh al-Minhaj[12]:
(أَقَلُّ
سِنِّهِ تِسْعُ سِنِينَ) قَمَرِيَّةٍ (تَقْرِيبًا) فَلَوْ رَأَتْ الدَّمَ
قَبْلَ تَمَامِ التِّسْعِ بِمَا لَا يَسَعُ حَيْضًا وَطُهْرًا فَهُوَ حَيْضٌ
وَإِلَّا فَلَا
Maksudnya: Sekurang-kurang umur
adalah sembilan tahun Qamariah taqriban
(secara lebih kurang). Sekiranya dia melihat darah sebelum genap sembilan tahun
dalam kadar tempoh yang tidak mencukupi satu haid dan satu suci, maka ia adalah
haid, namun jika tidak begitu, maka ia bukanlah haid.
Jadual
Contoh Kiraan Haid.
Jadual berikut merupakan kiraan hari bulan hijrah, iaitu
bulan Syawwal.
Tempoh telus haid dan suci (istihadah) |
Tempoh
tidak telus haid dan suci (Haid) kurang
daripada 16 hari untuk lengkap umur 9 tahun |
9 tahun |
|||||||||||||||||||
1 |
2 |
3 |
4 |
5 |
6 |
7 |
8 |
9 |
10 |
11 |
12 |
13 |
14 |
15 |
16 |
17 |
18 |
19 |
20 |
21 |
22 |
|
|
|
|
|
|
|
|
Situasi A |
|
|
|
|
|
|
|
||||||
|
|
|
|
|
|
|
|
Darah haid |
|
|
|
|
|
|
|
||||||
Situasi B |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|||
Istihadah |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|||
|
|
Situasi C |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
||||
|
|
Istihadah |
Darah
haid |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jadual di atas menerangkan perbezaan situasi seorang
perempuan dalam menentukan jenis darah yang keluar ketika usianya berumur sembilan
tahun qamariah. Menurut jadual ini, pada 20 Syawwal merupakan tarikh
genap umurnya sembilan tahun hijri.
Oleh itu, darah yang keluar dalam tempoh kurang 16 hari sebelum genap umur sembilan
tahun hijri seperti situasi A
dihukumkan haid sekiranya menepati syarat-syarat haid. Manakala darah yang
keluar dalam tempoh 16 hari dan ke atas sebelum genap umur sembilan tahun hijri dihukumkan sebagai istihadhah.
Perbezaan
Tahun Hijri dan Masihi
Perbezaan tahun Hijri atau
Qamari dan masihi adalah seperti
kenyataan berikut:
)قَمَرِيَّةٌ)
نِسْبَةٌ إلَى الْقَمَرِ أَيْ الْهِلَالِ وَالْخَمْسَةُ الْبَاقِيَةُ فِي سِتَّةٍ بِثَلَاثِينَ
سُدُسًا فَيَخُصُّ كُلَّ سَنَةٍ مِنْ الثَّلَاثِينَ خُمْسُ يَوْمٍ وَسُدُسُهُ.
وَأَمَّا السَّنَةُ الشَّمْسِيَّةُ فَهِيَ ثَلَاثُمِائَةِ يَوْمٍ وَخَمْسَةٌ
وَسِتُّونَ يَوْمًا وَرُبْعُ يَوْمٍ إلَّا جُزْءًا مِنْ ثَلَاثِمِائَةِ جَزْءٍ
مِنْ يَوْمٍ وَالسَّنَةُ الْعَدَدِيَّةُ ثَلَاثُمِائَةِ يَوْمٍ وَسِتُّونَ يَوْمًا
لَا تَزِيدُ وَلَا تَنْقُصُ[13]
Maksudnya: Qamariah adalah nisbah kepada qamari
atau bulan. 1 tahun qamariah
bersamaan 354 hari, ⅕ hari dan ⅙ hari kerana setiap 30 tahun terdapat tambahan
11 hari pecahan iaitu 11/30 hari. Manakala setahun shamsiah atau masihi bersamaan 365 hari dan ¼ hari iaitu bersamaan
365 hari 6 jam tiada bertambah atau berkurang.
Kiraan tahun qamari atau hijri tersebut jika dikira dalam minit iaitu
11/30 hari x 60 minit = 528 minit. Apabila ditukar kepada unit jam bersamaan
8.8 jam. 0.8 jam x 60 minit = 48 minit. Maka satu tahun qamariah
bersamaan 354 hari 8 jam 48 minit[14].
MASA |
TAHUN
HIJRIAH |
|
TAHUN
MASIHI |
PERBEZAAN |
1 Tahun |
354 hari 8 jam 48 minit |
|
365 hari 6 jam |
10 hari 21 jam 12 minit |
9 Tahun |
3189 hari 7 jam 12 minit |
|
3287 hari 6 jam |
97 hari 22 jam 48 minit |
Oleh itu, umur 9 tahun hijriah
bersamaan 8 tahun 8 bulan 23 hari 19 jam 12 minit masihi. Ini bermakna umur taqriban (secara lebih kurang) 15 hari
yang kurang daripada 16 hari adalah 8 tahun 8 bulan 7 hari 19 jam 13 minit
(atau 12 minit) iaitu ditolak dari 15 hari dari tahun hijriah[15]. Sembilan
tahun masihi bermakna umurnya telah mencecah 9 tahun 3 bulan 9 hari 9 jam hijriah.
Kesimpulan
Perbezaan tempoh antara tahun hijri dan tahun masihi menunjukkan terdapat perbezaan umur
seseorang dalam kiraan hijri dan masihi.
Perbahasan ulama di atas menjelaskan bahawa penentuan umur permulaan
kanak-kanak perempuan mengalami haid adalah mengikut tahun hijri iaitu sembilan tahun qamari
taqriban (secara lebih kurang) iaitu darah keluar kurang daripada 16 hari
sebelum genap umurnya sembilan tahun qamariah, darah itu dianggap
sebagai darah haid. Jika lebih daripada 16 hari dan ke atas, maka ia dianggap
sebagai darah istihadhah. Oleh itu, jika kanak-kanak perempuan tersebut
keluar darah ketika umur sembilan tahun masihi iaitu tempoh tersebut telah
melepasi genap umur sembilan tahun hijri ia dihukumkan sebagai darah haid jika
memenuhi syarat haid.
[1] Zakariyā
bin Muḥammad bin Zakariyā al-Anṣārī, Zāyn al-Dīn Abū Yaḥyā al-Sinīkī, Asnā al-Maṭālib fī Sharḥ Rawdh al-Ṭālib,
(t.p: Dār al-Kutub al-Islāmī, t.t), Jil. 1, Hal. 99.
[2] Abū
Zakariā Muḥy al-Dīn bin Sharf al-Nawawī,
al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhab, (Kāherah: Idārah al-Tibā’ah al-Munīriah,
1929), Jil. 2, hal. 342.
[3] Sham
sal-Dīn, Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Shirbīnī al-Shāfi’ī, al-Iqnā’ fī Ḥal Alfāẓ Abī Shujā’,
(Beirut: Dār al-Fikr, t.t), Jil. 1, Hal. 95.
[4] Portal
Rasmi Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia, maklumat diakses pada 7 Ogos
2024, http://myhealth.moh.gov.my/hormon-dan-kitaran-haid/
[5] Sham
sal-Dīn, Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Shirbīnī al-Shāfi’ī, al-Iqnā’ fī Ḥal Alfāẓ Abī Shujā’, Jil.
1, Hal. 99; Shams al-Dīn Muḥammad bin Abī al-Abbas Aḥmad bin Ḥamzah Shihāb
al-Dīn al-Ramlī, Nihāyah al-Muḥtāj ilā
Syarḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), Jil. 1, Hal. 324; Sham
sal-Dīn Muḥammad bin Abī al-‘Abbās Aḥmad bin Ḥamzah Shihāb al-Dīn al-Ramlī, Ghāyah al-Bayān Sharḥ Zubad Ibn Raslan,
(Beirut: Dār al-Ma’rifah, t.t), Hal. 68.
[6] Muḥammad
bin Īsa bin Saurah bin Musā bin al-Daḥāk al-Tirmiẓī, Sunān al-Tirmiẓī, Peny.
Aḥmad Muḥammad Syākir, (Meṣir: Syarikah Maktabah wa Matba’ah Muṣṭafa al-Bābī
al-Ḥalabī, 1975), No. 1109, Jil. 3, ms. 409.
[7] Abū
al-‘Alā Muḥammad ‘Abd al-Raḥman bin ‘Abd al-Raḥīm al-Mubārakfūrī, Tuḥfah al-Aḥūẓī bi Sharḥ Jāmi’ al-Tirmiẓī,
(Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiah, t.t), Jil. 4, Hal. 208.
[8] Al-Nawawī,
Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf, Rawḍah
al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn, (Beirut: Maktab al-Islāmī, 1991), Jil. 1,
134.
[9] Zakariyā bin Muḥammad bin Aḥmad bin Zakariyā al-Anṣārī, Fatḥ al-Wahhāb bi Syarḥ Minhaj al-Ṭulāb,
(Dār al-Fikr lil Ṭabā’ah wa al-Nasyr, 1994), Jil. 1, ms. 31; ‘Abd al-Raḥman bin
‘Abd Allāh bin ‘Abd al-Qādīr al-Saqāf, al-Ibānah wa al-Ifādhah fī Aḥkām al-Ḥaid
wa al-Nifās wa al-Istiḥādhah ‘alā Maẓhab al-Imām al-Shāfi’ī, (Kedah: Mataz
Publisher and Distributor, 2021), 25.
[10] ‘Abd
al-Raḥman bin ‘Abd Allāh bin ‘Abd al-Qādīr al-Saqāf, al-Ibānah wa al-Ifādhah fī
Aḥkām al-Ḥaid wa al-Nifās wa al-Istiḥādhah ‘alā Maẓhab al-Imām al-Shāfi’ī, Hal.
25.
[11] Sekurang-kurang
bilangan hari yang boleh berlaku sekali haid dan sekali suci dalamnya adalah 16
hari 16 malam. (Sekurang-kurang haid sehari semalam + sekurang-kurang suci 15
hari 15 malam = 16 hari 16 malam). Justeru, tempoh yang tidak telus haid dan
suci adalah tempoh kurang dari 16 hari 16 malam.
[12] Sulaymān
bin Muḥammad bin ‘Umar al-Bujayrīmī al-Miṣrī al-Shāfi’ī, Ḥashiah al-Bujayrīmī ‘alā Sharḥ al-Minhaj, (Maṭba’ah al-Ḥalabī,
1950), Jil. 1, Hal. 131.
[13] Aḥmad
bin Muḥammad bin Alī bin Ḥajar al-Haytamī, Tuḥfah
al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Meṣir: al-Maktabah al-Tijāriyah al-Kubrā,
1983), Jil. 1, ms. 384.
[14] Mansoor
bin Ismail, Tuḥfah al-‘Izzā’ fī Īdhāḥ
Masā’il Dimā’ al-Nisā’, (Kuala Lumpur: Miftahul Ulum, 2021), Jil. 1, hal.
81.
[15] Mansoor
bin Ismail, Jil. 1. Hal. 18.