#78 Taudhih Al-Hukmi : 10 MALAIKAT YANG MENJAGA MANUSIA

Tarikh: 26 November 2024

Disediakan oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar

 

Pendahuluan

Umat Islam mempercayai dan mengetahui malaikat adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan daripada cahaya. Wajib kepada setiap umat Islam untuk mengetahui 10 malaikat secara terperinci. 10 malaikat tersebut adalah Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, Malik, Ridhwan, Raqib, ‘Atid, Munkar dan Nakir. Umat Islam juga dituntut beriman dengan kewujudan malaikat Penjaga yang dikenali sebagai al-Malaikah al-Hafazah (الملائكة الحفظة). Dikatakan bilangan Malaikat Penjaga ini sebanyak 10 malaikat yang berada pada seseorang manusia. Oleh itu, artikel ini akan membahas berkaitan malaikat Penjaga terutama pada sudut bilangan malaikat ini.

 

Malaikat Penjaga (al-Malaikah al-Hafazah)

Malaikat Penjaga adalah malaikat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada setiap hamba-Nya meliputi setiap manusia dan jin. Kata al-Bajuri dalam Tuhfah al-Murid:

 

بكل عبد حافظوا وكلوا… وكلهم الله تعالى بكل عبد، وهو شامل للإنس والجن والملائكة… والظاهر أن الملائكة لا حفظة عليهم

 

Maksudnya: bagi setiap hamba ada malaikat Penjaga yang diutuskan… Allah SWT telah mengutuskan mereka malaikat Penjaga kepada setiap hamba-Nya yang meliputi manusia, jin dan malaikat… dan yang jelasnya malaikat tidak mempunyai penjaga.[1]

 

Manakala tugas malaikat Penjaga ini adalah menjaga hamba-hamba Allah SWT daripada sebarang kemudaratan. Menurut al-Bajuri dalam Tuhfah al-Murid:

 

وهل المراد بالحافظين في كلام المصنف الحافظون للعبد من المضار، أو الحافظون لما يصدر منه من قول أو فعل أو اعتقاد… والراجح الأول

 

Maksudnya: Adakah maksud al-hafizin yang disebut oleh pengarang (matan Jauharah al-Tauhid) adalah penjaga kepada para hamba Allah SWT daripada sebarang mudarat atau penjaga (pencatat) setiap apa yang terbit daripada ucapan, perbuatan mahupun iktikad seseorang… maka yang setepatnya adalah yang pertama.[2]

 

Kewujudan malaikat Penjaga ini dapat dibuktikan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 11:

 

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ

 

Maksudnya: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.

 

Juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

 

يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْعَصْرِ وَصَلاَةِ الْفَجْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ

 

Maksudnya: Para malaikat yang berada pada kamu semua saling silih berganti pada waktu malam dan siang. Mereka berkumpul semasa solat Asar dan solat Subuh. Kemudian, malaikat yang telah menjaga kamu semua pada waktu malam akan naik ke langit lalu Allah SWT tanya kepada malaikat tersebut walaupun Allah SWT lebih tahu: Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku ketika kamu meninggalkannya. Jawab para malaikat: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat dan kami datang kepadanya dalam keadaan mereka sedang solat.[3]

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis ini juga, dapat difahami bahawa kewujudan malaikat Penjaga itu memang benar-benar ada. Manakala, tugas malaikat Penjaga ini adalah melindungi seseorang daripada bahaya dan juga sebagai saksi kepada amalan yang dilakukan oleh seseorang.

 

Hadis 10 Malaikat Penjaga

Hadis yang menceritakan 10 malaikat Penjaga hanya ada satu riwayat sahaja seperti yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA katanya:

 

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَخْبِرْنِي عَنِ الْعَبْدِ ‌كَمْ ‌مَعَهُ ‌مِنْ ‌مَلَكٍ؟ قَالَ: مَلَكٌ عَلَى يَمِينِكَ عَلَى حَسَنَاتِكَ، وَهُوَ أَمِيرٌ عَلَى الَّذِي عَلَى الشِّمَالِ، فَإِذَا عَمِلْتَ حَسَنَةً كُتِبَتْ عَشْرًا، وَإِذَا عَمِلْتَ سَيِّئَةً قَالَ الَّذِي عَلَى الشِّمَالِ لِلَّذِي عَلَى الْيَمِينِ: أَكْتُبُ؟ قَالَ: لَا لَعَلَّهُ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَيَتُوبُ، فَإِذَا قَالَ ثَلَاثًا، قَالَ: نَعَمْ، اكْتُبْ، أَرَاحَنَا اللَّهُ مِنْهُ، فَبِئْسَ الْقَرِينُ، مَا أَقَلَّ مُرَاقَبَتَهُ للَّهِ، وَأَقَلَّ اسْتِحْيَاءَهُ مِنَّا يَقُولُ اللَّهُ: (مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ) [ق: 18] وَمَلَكَانِ مِنْ بَيْنِ يَدَيْكَ وَمِنْ خَلْفِكَ، يَقُولُ اللَّهُ: (لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ) [الرعد: 11] وَمَلَكٌ قَابِضٌ عَلَى نَاصِيَتِكَ، فَإِذَا تَوَاضَعْتَ للَّهِ رَفَعَكَ، وَإِذَا تَجَبَّرْتَ عَلَى اللَّهِ قَصَمَكَ، وَمَلَكَانِ عَلَى شَفَتَيْكَ لَيْسَ يَحْفَظَانِ عَلَيْكَ إِلا الصَّلَاةَ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَمَلَكٌ قَائِمٌ عَلَى فِيكَ لَا يَدَعُ الْحَيَّةَ تَدْخُلُ فِي فِيكَ، وَمَلَكَانِ عَلَى عَيْنَيْكَ فَهَؤُلَاءِ عَشَرَةُ أَمْلَاكٍ عَلَى كُلِّ آدَمَيٍّ، يَنْزِلُونَ مَلَائِكَةُ اللَّيْلِ عَلَى مَلَائِكَةِ النَّهَارِ، لأَنَّ مَلَائِكَةَ اللَّيْلِ سِوَى مَلَائِكَةِ النَّهَارِ، فَهَؤُلَاءِ عِشْرُونَ مَلَكًا عَلَى كُلِّ آدَمَيٍّ، وَإِبْلِيسُ بِالنَّهَارِ وَوَلَدُهُ بِاللَّيْلِ

 

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Beritahu kepada aku berapa bilangan malaikat yang berada pada seseorang hamba? Sabda Baginda SAW: Ada malaikat di kananmu untuk mencatat kebaikan dan dia adalah ketua bagi malaikat yang berada di kirimu. Maka jika kamu melakukan kebaikan akan dicatat sepuluh ganjaran. Apabila kamu melakukan kejahatan, malaikat yang berada di kiri akan bertanya kepada malaikat yang berada di kanan: Perlukah aku catat? Jawab malaikat di kanan: Tidak perlu, semoga dia memohon keampunan dan bertaubat. Maka jika ditanya kali ketiga, jawab malaikat di kanan: Catatlah! Kita berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya dia seburuk-buruk teman. Sangatlah sedikit pendekatan dirinya kepada Allah SWT dan rasa malunya kepada kita. Firman Allah SWT: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaf: 18). Terdapat juga dua malaikat yang di depanmu dan juga dua malaikat di belakangmu. Firman Allah SWT: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. (al-Ra’d: 11). Ada juga malaikat yang memegang ubun-ubunnya. Jika kamu merendah diri kepada Allah SWT, Malaikat tersebut akan mengangkat darjatmu. Jika kamu sombong kepada Allah SWT, dia akan menghancurkanmu. Ada dua malaikat berada di bibirmu yang akan mencatat setiap kali kamu selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Ada satu malaikat yang berada di mulutmu yang tidak akan membenarkan ular masuk ke dalam mulutmu. Ada dua malaikat yang berada di matamu. Maka keseluruhannya ada 10 malaikat pada setiap manusia. Malaikat yang menjaga pada waktu malam menggantikan malaikat yang menjaga pada waktu siang. Hal ini kerana malaikat Penjaga waktu malam bukan malaikat Penjaga pada waktu siang. Maka keseluruhannya ada 20 Malaikat pada setiap manusia. Iblis mengganggu pada waktu siang dan anak-anaknya pada waktu malam.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabari dalam tafsir beliau[4] daripada al-Muthanna bin Ibrahim al-Amuli, daripada Ibrahim bin Abdul Salam bin Salih al-Qusyairi, daripada Ali bin Jarir, daripada Hammad bin Salamah, daripada Abdul Hamid bin Ja’far, daripada Kinanah al-Adawi.

 

Hadis dengan sanad ini hanya diriwayatkan oleh al-Tabari sahaja dan tiada riwayat lain ditemui berkaitan jumlah 10 Malaikat yang berada pada manusia. Kata Ibnu Kathir dalam tafsir beliau: Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Jarir al-Tabari sebagai sebuah hadis yang terlalu gharib (gharib jiddan).[5]

 

Pada sanad hadis ini terdapat perawi bernama al-Muthanna bin Ibrahim al-Amuli al-Ubulli.[6] Al-Muthanna meriwayatkan hadis ini daripada perawi bernama Ibrahim bin Abdul Salam bin Salih al-Qusyairi al-Tustari.[7] Al-Tabari banyak meriwayatkan hadis dengan riwayat ini dalam tafsir beliau. Kedua-dua perawi iaitu al-Muthanna dan Ibrahim bin Abdul Salam tidak dapat ditemui biografi mereka berserta pandangan nuqqad daripada kalangan imam hadis berkaitan mereka. Hanya al-Tabari sahaja yang meriwayatkan hadis-hadis al-Muthanna. Begitu juga, hanya al-Muthanna yang meriwayatkan hadis-hadis Ibrahim bin Abdul Salam. Maka dapat dihukumkan kedua-dua perawi ini majhul ain. Bahkan tidak ditemui mana-mana imam hadis yang meriwayatkan daripada kedua-dua perawi ini dalam kitab-kitab mereka. Maka, hadis ini dapat dihukumkan sebagai dhaif jiddan.

 

Riwayat-riwayat Berkaitan Bilangan Malaikat Yang Berada Pada Manusia

Terdapat beberapa hadis mahupun riwayat lain yang menunjukkan sejumlah malaikat yang berada pada manusia seperti berikut:

 

1)      Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili RA, sabda Nabi SAW:

 

وُكِّلَ ‌بِالْمُؤْمِنِ تِسْعوْنَ وَمِئَةُ مَلَكٍ يَذُبُّونَ عَنْهُ مَا لَمْ يَقْدِرْ عَلَيْهِ

 

Maksudnya: Seorang mukmin diwakili sebanyak 190 malaikat yang menjauhkannya daripada sesuatu yang tidak tertanggung oleh mukmin tersebut.[8]

 

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir daripada jalan ‘Ufair bin Ma’dan al-Himsi daripada Sulaim bin ‘Amir al-Khaba’iri daripada Abu Umamah al-Bahili RA. ‘Ufair bin Ma’dan telah dihukumkan dhaif oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani[9] dan juga al-Haithami.[10] Maka sanad hadis ini dapat dihukumkan sebagai dhaif.

 

2)      Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, kata beliau:

 

جَعَلَ ‌اللَّهُ ‌عَلَى ‌ابْنِ ‌آدَمَ ‌حَافِظَيْنِ ‌فِي ‌اللَّيْلِ، ‌وَحَافِظَيْنِ ‌فِي ‌النَّهَارِ، ‌يَحْفَظَانِ ‌عَلَيْهِ ‌عَمَلَهُ، ‌وَيَكْتُبَانِ ‌أَثَرَهُ

 

Maksudnya: Allah SWT telah menetapkan pada setiap manusia dua malaikat Penjaga pada waktu malam dan dua malaikat Penjaga pada waktu siang. Dua malaikat itu menjaga amalan manusia itu serta mencatat kesan amalan tersebut.

 

Hadis ini merupakan hadis mauquf yang diriwayatkan oleh al-Tabari dalam tafsir beliau daripada jalan al-Hasan bin ‘Atiyah al-‘Aufi daripada ‘Atiyah bin Sa’ad al-‘Aufi daripada Ibnu Abbas RA. al-Hasan bin ‘Atiyah telah dihukumkan dhaif oleh Abu Hatim[11] dan Ibnu Hajar.[12] Begitu juga ‘Atiyah bin Sa’ad al-‘Aufi telah dihukumkan dhaif oleh Abu Hatim[13] dan Ibnu Adi.[14] Maka sanad hadis ini dapat dihukumkan sebagai dhaif.

 

Setelah meneliti riwayat-riwayat yang telah disebutkan, tiada satu riwayat yang sahih mahupun hasan berkaitan jumlah malaikat Penjaga yang berada pada manusia. Bahkan, berlaku perbezaan pada bilangan mengikut riwayat-riwayat tertentu. Walaupun begitu, terdapat beberapa kemungkinan mengapa berlaku perbezaan jumlah malaikat Penjaga dalam riwayat-riwayat yang telah disebutkan. Hal ini telah dijelaskan oleh Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwa beliau:

 

ويمكن الجواب عن تخالف هذه المذكورات على تقدير صحتها كلها بأنه صلى الله عليه وسلم حيث ذكر القليل يحتمل أنه ‌أراد ‌حفظا ‌خاصا وحيث ذكر الكثير يحتمل أنه أراد حفظا عاما، ويحتمل أنه أعلم بالقليل ثم بأكثر منه، ويحتمل أن ذلك يختلف باختلاف الأشخاص؛ فمن الناس من يوكل به قليل ومنهم من يوكل به كثير

 

Maksudnya: Kemungkinan jawapan bagi perbezaan riwayat-riwayat yang disebutkan jika ia sahih sekalipun, bahawa Nabi SAW menyebutnya dengan jumlah yang sedikit berkemungkinan ia adalah malaikat Penjaga yang khusus. Adapun Nabi SAW menyebutnya dengan jumlah yang banyak berkemungkinan ia adalah malaikat Penjaga yang umum. Berkemungkinan juga Nabi SAW memberitahu yang sedikit kemudian memberitahu yang banyak. Berkemungkinan juga jumlah malaikat Penjaga berbeza-beza mengikut individu. Ada yang diwakili oleh malaikat Penjaga yang sedikit dan ada juga yang banyak.[15]

 

Berdasarkan penerangan Ibnu Hajar ini, perbezaan jumlah berdasarkan perbezaan riwayat ini tidak bercanggah antara satu sama lain. Hal ini kerana ia diriwayatkan oleh Sahabat yang berbeza. Tambahan pula, boleh dianggap setiap individu dijaga oleh malaikat Penjaga dengan jumlah yang berbeza-beza. Oleh itu, tidak menjadi satu kewajipan kepada umat Islam untuk mempercayai serta berpegang dengan jumlah tersebut kerana riwayat yang menyebutkannya sama ada dhaif atau dhaif jiddan.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, malaikat Penjaga (al-Malaikah al-Hafazah) memang wujud berdasarkan ayat al-Quran dan hadis yang sahih. Manakala, jumlah bilangan malaikat Penjaga tidak dapat dipastikan secara tepat kerana terdapat perbezaan riwayat yang menyebut jumlahnya. Tambahan pula, riwayat-riwayat tersebut sama ada dhaif ataupun dhaif jiddan. Umat Islam tidak dituntut untuk mempercayai jumlah malaikat Penjaga, bahkan tidak digalakkan mempercayai bilangan tersebut.


[1] Al-Bājūrī, Ibrāhīm bin Muḥammad. Tuḥfah al-Murīd ʿAlā Jawharah al-Tawḥīd. (Syria: Maktabah Dār al-Daqqāq, 2016) 436.

[2] Al-Bājūrī. Tuḥfah al-Murīd ʿAlā Jawharah al-Tawḥīd. 436.

[4] Al-Ṭabarī, Muḥammad bin Jarīr. Jāmiʿ al-Bayān ʿAn Ta’wīl Āyy al-Qur’ān. (Mesir: Dār Hijr, 2001) 13/457.

[5] Ibn Kathīr, Ismāʿīl bin ʿUmar, Tafsīr al-Qur’ān al-ʿAẓīm. (Saudi: Dār Ṭaybah, 1999) 4/438.

[6] Al-Fālūjī, Akram bin Muḥammad Ziyādah. Muʿjam Syuyūkh al-Ṭabarī. (Jordan: al-Dār al-Athariyyah, 2005) 420.

[7] Al-Fālūjī, Akram bin Muḥammad Ziyādah. Al-Muʿjam al-Ṣaghīr Liruwāh al-Imām Ibn Jarīr al-Ṭabarī. (Jordan: al-Dār al-Athariyyah, 2010) 1/23.

[8] Al-Ṭabarānī, Sulaymān bin Aḥmad. Muʿjam al-Kabīr. (Mesir: Maktabah Ibn Taymiyah, 1994) no. hadis 7704.

[9] Al-ʿAsqalānī, Aḥmad bin ʿAlī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Saudi: Dār al-Minhāj, 2009) 424.

[10] Al-Haythamī, ʿAlī bin Abī Bakr. Majmaʿ al-Zawā’id Wa Manbaʿ al-Fawā’id. (Mesir: Maktabah al-Qudsī, 1994) 7/209.

[11] Ibn Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman bin Muḥammad. Al-Jarh Wa al-Taʿdīl. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-Islāmī, 1952) 3/26.

[12] Al-ʿAsqalānī. Taqrīb al-Tahdhīb. 199.

[13] Ibn Abī Ḥātim. Al-Jarh Wa al-Taʿdīl. 6/383.

[14] Ibn ʿAdī, Aḥmad bin ʿAdī. Al-Kāmil Fī Ḍuʿafā’ al-Rijāl. (Beirut: al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1997) 7/85.

[15] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Al-Fatāwā al-Ḥadīthiyyah. (Beirut: Dār al-Maʿrifah, t.t) 33.

 

Accessibility Toolbar