Tarikh: 19 NOVEMBER 2024
Disediakan oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan
Pendahuluan
Was-was
termasuk dalam salah satu sifat negatif yang menjadi beban psikologi, tidak
mudah untuk dihilangkan begitu saja serta memerlukan masa untuk
menghilangkannya. Akibat daripada was-was, seseorang itu merasakan ibadahnya
tidak sah dan akan mengulangi perbuatan ibadahnya. Perkara ini boleh memberikan
kesusahan melampau kepada dirinya jika tidak dibendung. Terdapat beberapa
pendedahan dan pendekatan yang perlu diambil kira bagi menangani was-was
terutama sekali apabila berkaitan perkara yang melibatkan ibadah seseorang.
Maksud
Was-was
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi
Keempat, was-was merupakan perasaan sangsi, curiga dan khuatir.[1]
Was-was dalam konteks psikologi dan perubatan sering dikaitkan dengan
Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). Penyakit OCD merupakan sejenis gangguan
mental di mana seseorang mengalami obsesi (pemikiran, dorongan, atau imej yang
berulang dan tidak diingini) dan kompulsi (tindakan berulang atau ritual yang
dilakukan untuk mengurangkan kecemasan yang disebabkan oleh obsesi).[2]
Tanggapan bahawa was-was merupakan satu bentuk penyakit yang menjadi
ujian bagi individu mungkin ada kebenarannya. Penyakit was-was boleh berpunca
daripada bisikan syaitan yang mempengaruhi seseorang untuk ragu-ragu khususnya
dalam urusan ibadah. Keadaan ini boleh menyebabkan individu tersebut cenderung
untuk berlebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Tidak dapat disangkalkan lagi
bahawa syaitan akan menggunakan pelbagai cara demi
menyesatkan manusia. Antara cara yang digunakan untuk menyesatkan manusia adalah
dengan mencampakkan perasaan was-was ke dalam hati manusia itu sendiri.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Nas ayat 5 dan 6:
ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ مِنَ ٱلْجِنَّةِ
وَٱلنَّاسِ
Maksudnya:
Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. Dari (golongan) jin dan
manusia.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA beliau
menyatakan bahawa antara cara syaitan mempengaruhi seseorang adalah dengan:
يوسوس بالدعاء إلى طاعته في صدور الناس حتى يُستجاب له إلى ما
دعا إليه من طاعته فإذا استجيب له إلى ذلك خَنَس[3]
Maksudnya:
Membisikkan seruan untuk mentaati dirinya (syaitan) ke dalam dada manusia
sehingga ia (bisikan tersebut) diikuti. Manakala apabila dia diikuti dalam hal
tersebut kemudian dia bersembunyi.
Saranan
Ulama Ketika Menghadapi Perasaan Was-was Dalam Perkara Ibadah
Para ulama amat mengambil berat
mengenai perkara ini kerana jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada
perkara yang lebih buruk. Antara saranan daripada para ulama ketika menghadapi
perasaan was-was semasa melakukan perkara ibadah adalah:
- Mempelajari
Tatacara Ibadah Yang Sahih
Cara membezakan hasutan syaitan dan kesilapan yang
berlaku dalam perkara ibadah adalah dengan ilmu. Mempelajari
tatacara ibadah yang sahih dapat membantu seseorang menghindari was-was.
Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama tidak akan mudah
terpengaruh dan terikut-ikut dengan arah kecenderungan beragama tanpa ilmu yang
benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya sendiri. Penyakit was-was akan mudah
mengambil alih peranan akal di mana seseorang tersebut beramal melakukan
sesuatu namun tidak mengetahui akan kesahihannya. Imam Ibn Hajar al-Haitami ada
menyebutkan:
أَنَّ
الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ
وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ
وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ
وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ[4]
Maksudnya: Sesungguhnya was-was itu tidak akan
menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal sehingga dia
tidak dapat membezakan (antara yang baik dan buruk). Sedangkan mereka yang
berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut
petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah (makruhah dan muharramah).
Antara inisiatif untuk keluar
dari belenggu kejahilan tersebut adalah dengan menghadiri majlis ilmu khusus
berkaitan ibadah, mempelajari ilmu teori dan praktikal dari sumber yang sahih
serta mengambil peluang menanyakan tentang kemusykilan agama kepada mereka yang
ahli. Pengetahuan yang benar dan luas dalam urusan agama khususnya dalam bab
ibadat akan mengelakkan dirinya daripada salah faham melibatkan perkara yang
membatalkan ibadat, syarat sah, syarat wajib dan sebagainya. Dengan demikian,
ia mampu memperbaiki perkara yang kurang serta terhindar dari perasaan was-was.
- Tidak Melayan Perasaan Was-was
Ketika ditanyakan kepada Imam Ibn Hajar
al-Haitami mengenai ubat bagi penyakit was- was, beliau mengatakan:
لَهُ
دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ
فَإِنَّهُ
مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ
قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا
وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ
إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي
كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا[5]
Maksudnya: Baginya (penyakit was-was itu) ubat
yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam
perkara yang di was-waskan itu). Meskipun wujud perasaan was-was dalam dirinya,
selagi dia tidak memperhatikan atau memberi perhatian kepada perasaan tersebut,
maka ia sebenarnya tidak wujud dan akan hilang dengan sendirinya selepas
beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah
diberi petunjuk untuk terlepas daripada penyakit was-was ini. Adapun mereka
yang melayan dan menurut perasaan was-was tersebut, ia tidak akan hilang bahkan
akan semakin bertambah sehingga boleh membawa kepada kegilaan atau keadaan yang
lebih buruk lagi seperti yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa
penyakit was-was dan terganggu oleh bisikan syaitan.
Seseorang individu hendaklah
melatih dirinya agar mengabaikan perasaan was-was dengan menanamkan sikap yakin
terhadap sesuatu urusan yang dilakukan. Melayan perasaan was-was akan
menyebabkan penyakit itu bertambah buruk. Walaupun perkara ini sukar dilakukan
oleh orang yang ditimpa was-was, tetapi ia boleh dilakukan dan memerlukan usaha
dan latihan secara bertahap.
- Bersabar
Dan Terus Mencuba
Seseorang yang ditimpa penyakit
was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ia adalah ujian melawan kepada hasutan
syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Ketika diuji, seseorang itu
perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari perasaan
was-was tersebut. Sultan al-Ulama’ Imam al-‘Izz bin Abd al-Salam menyatakan:
دَوَاءُ
الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ وَأَنَّ
إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ فَيَكُونُ لَهُ
ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ فَإِذَا اسْتَشْعَرَ
ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ[6]
Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah
dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan. Sesungguhnya iblis,
dialah yang membawa (was-was) kepadanya dan orang yang sedang memerangi iblis,
baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh
Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka larilah daripadanya.
- Memohon Perlindungan Allah SWT
Syaitan akan selalu datang untuk
membisikkan was-was kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah
SWT amatlah penting dalam usaha mengekangnya. Rasulullah SAW pernah didatangi
oleh Saidina Uthman bin ‘Amru al-’As yang mengadu kepada Baginda SAW bahawa
dirinya sering diganggu oleh bisikan syaitan ketika mana di dalam solat dan
bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:
ذَاكَ
شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ
مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا[7]
Maksudnya: Itu adalah syaitan
yang namanya Khanzab. Jika kamu merasa gangguannya, maka mohonlah perlindungan
daripada Allah SWT dan meniup (sambil mengeluarkan sedikit air liur tanpa
meludah penuh) ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali.
(Riwayat
Muslim)
Selain itu, disarankan untuk
berdoa kepada Allah SWT seperti yang telah diajarkan di dalam firman-Nya iaitu
surah al-Mukminun ayat 97 dan 98:
وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ
ٱلشَّيَٰطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ
Maksudnya: Dan katakalah: Ya
Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku
berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku dari kedatangan mereka kepadaku.
Juga disarankan membaca doa yang
sering diamalkan oleh Baginda SAW seperti yang diriwayatkan daripada Saidatina
Aisyah RA iaitu:
يَا
مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ[8]
Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku
atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.
(Riwayat
Ahmad)
Oleh yang demikian, memohon pertolongan dan
perlindungan dari Allah SWT dengan yakin merupakan salah satu cara menangani
perasaan was-was dan ia merupakan bentuk ibadah yang mencerminkan pengakuan
kelemahan dan kebergantungan seseorang hamba kepada Allah SWT serta menunjukkan
bahawa setiap penyelesaian kepada suatu permasalahan hanya datang dari-Nya.
Kesimpulan
Was-was merupakan salah satu penyebab utama hilangnya khusyuk
seseorang dalam beribadah. Tidak dapat dinafikan, setiap manusia pasti
mengalami perasaan was-was kerana syaitan sentiasa berusaha untuk menghasut.
Namun, cara mengelakkan was-was adalah dengan mengikuti panduan yang telah
diajarkan oleh para ulama dalam menangani perasaan tersebut. Apabila seseorang
terhindar daripada was-was, maka dirinya akan terlindung daripada pelbagai
keburukan termasuklah sikap memberatkan diri dalam urusan agama.
Para ulama menyarankan agar memperkemaskan pengetahuan dengan
mempelajari tatacara ibadah yang sahih, mengambil sikap tidak peduli akan
perasaan was-was tersebut, bersabar dan terus mencuba serta memohon
perlindungan daripada Allah SWT. Wallahua’lam.
[1] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat.
[2] https://www.psychiatry.org/patients-families/obsessive-compulsive-disorder/what-is-obsessive-compulsive-disorder
[3] Imām al-Ṭabarī, Jāmi’
al-Bayān ‘an Ta’wīl Āy al-Qurān, (Mekah: Dār al-Tarbiyyah wa al-Turāth,
t.t), jil. 24, ms. 710.
[4] Imām Ibn Ḥajar al-Ḥaitami, al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubrā, (al-Maktabah al-Islāmiyyah,
1431H/2010M), jil. 1, ms. 150.
[5] Imām Ibnu
Ḥajar al-Ḥaitami, al-Fatāwā al-Fiqhiyyah
al-Kubrā, (al-Maktabah al-Islāmiyyah, 1431H/2010M), jil. 1, ms. 149.
[6] Al-Syeikh Muḥammad Ṣoleh al-Munjid, al-Qism al-‘Arabīy min Mawqi’ al-Islām Suāl
wa Jawāb, 1430H/2009M), no. 62839, jil. 6, ms. 1414.
[7] Abū Husayn Muslim bin al-Hajjāj bin Muslim
al-Qusyairī al-Nisāburī, Sahīh Muslim,
(Turki: Dār al-Tibā’ah al- ‘Amārah, 1915), no. hadis 2203, jil. 7, ms. 20.
[8] Al-Imām Ahmad bin Ḥanbal, Musnad Aḥmad, (Muassasah al-Risālah, 1421H/2001H), no. hadis 26133,
jil. 43, ms. 230.