#86 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Solat Sunat Tarawih Selepas Solat Sunat Witir

HUKUM SOLAT SUNAT TARAWIH SELEPAS SOLAT SUNAT WITIR

Tarikh:  20 Mac 2025

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Solat sunat Tarawih merupakan salah satu ibadah sunat yang khusus dilakukan  pada bulan Ramadhan. Biasanya ia dilakukan secara berjemaah di semua masjid dan surau di Malaysia. Pengamalan di Malaysia, ada mereka yang melakukan sebahagian rakaat solat sunat Tarawih lalu disambung dengan solat sunat Witir 3 rakaat. Ada juga yang melengkapkan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat sebelum menyambung solat sunat Witir. Persoalan timbul kepada mereka yang memberhentikan solat sunat Tarawih pada sebahagian rakaat seperti rakaat ke-8 atau ke-10 lalu disambung dengan solat sunat Witir. Adakah mereka yang telah selesai melakukan solat sunat Witir boleh menyambung baki solat sunat Tarawih sehingga cukup 20 rakaat?

 

Solat Sunat Tarawih

Solat sunat Tarawih merupakan satu solat sunat yang afdal dilakukan secara berjemaah. Menurut pandangan muktamad mazhab al-Syafi’i, bilangan rakaat solat sunat Tarawih adalah sebanyak 20 rakaat dan setiap 2 rakaat terdapat sekali salam. Kata Imam al-Khatib al-Syirbini:

(و) الأصح (أن الجماعة تسن في التراويح) … وهي عشرون ركعة بعشر تسليمات في كل ليلة من رمضان

Maksudnya: Dan pandangan yang asah adalah disunatkan bagi solat sunat Tarawih dilakukan secara berjemaah… dan bilangannya sebanyak 20 rakaat dengan 10 kali salam pada satu malam.[1]

 

Waktu solat ini bermula selepas solat Isyak dan tamat apabila masuk waktu subuh. Kata al-Khatib al-Syirbini:

ووقتها ما بين صلاة العشاء ولو تقديما وطلوع الفجر الثاني

Maksudnya: Dan waktu solat sunat Tarawih adalah antara solat Isyak walaupun dilakukan secara jamak taqdim dengan terbit fajar subuh.[2]

 

Solat Sunat Witir

Solat sunat Witir adalah antara solat sunat yang tidak disyariatkan untuk melakukannya secara berjemaah pada bulan-bulan selain Ramadhan. Waktu solat ini bermula selepas solat Isyak dan berakhir semasa masuk waktu subuh. Walau bagaimanapun, disunatkan untuk melakukannya pada pengakhiran malam. Bilangan rakaat solat ini sekurang-kurangnya 1 rakaat dan yang paling banyak adalah 11 rakaat. Sekurang-kurang sempurna adalah sebanyak 3 rakaat. Dan yang lebih sempurna adalah 5 rakaat. Kemudian 7 rakaat. Kemudian 9 rakaat dan kemudian 11 rakaat. Boleh melakukannya dengan memisahkan solat ini menjadi 3 rakaat dan 2 salam. Boleh juga menyambungkannya menjadi 3 rakaat 1 salam dengan menjadikannya dengan sekali tasyahhud atau dua kali tasyahhud. Kata Imam al-Nawawi:

ومنه الوتر وأقله ركعة وأكثره إحدى عشرة وقيل: ثلاث عشرة ولمن زاد على ركعة الفصل وهو أفضل والوصل بتشهد أو تشهدين في الآخرتين ووقته بين صلاة العشاء وطلوع الفجر … ويسن جعله آخر صلاة الليل

Maksudnya: Dan daripadanya (solat yang disunatkan secara berjemaah) adalah solat Witir, bilangan rakaat yang paling sedikit adalah sebanyak satu rakaat dan yang paling banyak adalah sebelas rakaat. Ada dinyatakan bahawa: Tiga belas (rakaat) dan bagi sesiapa yang menambah lebih daripada satu rakaat, maka memisahkan (antara Witir dan solat lain) adalah lebih afdal. Namun, boleh juga dilakukan secara bersambung (tanpa memisahkan) dengan satu atau dua tahiyat pada dua rakaat terakhir dan waktunya (tempoh disunatkan Witir) adalah antara sepanjang selepas solat Isyak sehingga terbit fajar… disunatkan melakukannya di penghujung solat malam.[3]

 

Kata Imam al-Khatib al-Syirbini:

وأدنى الكمال ثلاث، وأكمل منه خمس، ثم سبع، ثم تسع، ثم إحدى عشرة وهي أكثره

Maksudnya: Sekurang-kurang sempurna adalah sebanyak 3 rakaat. Dan yang lebih sempurna adalah 5 rakaat. Kemudian 7 rakaat. Kemudian 9 rakaat. Kemudian 11 rakaat dan hanya sebanyak ini sahaja.[4]

 

Berbeza pula semasa Ramadhan, solat sunat Witir sunat dilakukan secara berjemaah pada bulan mulia ini. Kata Imam al-Khatib al-Syirbini:

(وأن الجماعة تندب في الوتر) في جميع رمضان سواء أصليت التراويح أم لا صليت، فرادى أم لا، وسواء صلاة عقبها أم لا

Maksudnya: Sesungguhnya disunatkan berjemaah pada solat Witir sepanjang Ramadhan sama ada melakukan solat sunat Tarawih atau tidak. Sama ada solat Tarawih secara bersendirian atau tidak. Sama ada selepas solat Tarawih atau tidak.[5]

 

Status Solat Sunat Tarawih Selepas Melaksanakan Solat Sunat Witir

Hukum melakukan solat sunat Tarawih selepas solat sunat Witir adalah seperti berikut:

 

  1. Harus melakukan solat sunat Tarawih selepas solat sunat Witir. Hal ini kerana tiada larangan untuk melakukan apa-apa solat sunat selepas selesai melakukan solat sunat Witir. Bahkan diharuskan untuk melakukan solat sunat yang lain walaupun telah melakukan solat sunat Witir. Kata Imam al-Nawawi:

إذا أوتر ثم أراد أن يصلي نافلة أم غيرها في الليل جاز بلا كراهة  

Maksudnya: Jika seseorang telah melakukan solat sunat Witir, kemudian hendak melakukan solat sunat atau solat-solat yang lain pada malam itu, maka ia diharuskan dan tidak makruh.[6]

 

Tambahan pula, solat sunat Tarawih terlaksana jika diniatkan sebagai solat sunat Tarawih atau Qiyam ramadhan. Oleh itu, seseorang tetap akan mendapat fadhilat solat sunat Tarawih walaupun telah melakukan solat sunat Witir kerana mengikut kepada niatnya. Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

وأن ينوي التراويح أو قيام رمضان   

Maksudnya: Dan hendaklah seseorang itu berniat Tarawih atau Qiyam Ramadhan.[7]

 

  1. Sunat untuk melewatkan solat sunat Witir sehingga selesai solat sunat Tarawih atau solat-solat sunat yang lain. Justeru itu, bagi mereka yang berazam untuk melengkapkan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat adalah disunatkan untuk menyelesaikan Tarawihnya sebelum melakukan Witir sekalipun tidak melakukan solat sunat Witir secara berjemaah. Kata Imam al-Nawawi:

إذا استحببنا الجماعة في التراويح استحبت الجماعة أيضا في الوتر بعدها باتفاق الأصحاب فإن كان له تهجد لم يوتر معهم بل يؤخره إلى آخر الليل

Maksudnya: Jika kita menyatakan sunat untuk berjemaah ketika solat sunat Tarawih, begitu juga disunatkan berjemaah ketika solat sunat Witir (pada bulan Ramadhan) selepas melaksanakan solat sunat Tarawih dengan kesepakatan Ashab. Jika seseorang hendak melakukan tahajud maka hendaklah dia tidak Witir bersama jemaah bahkan melewatkannya sehingga ke penghujung malam.[8]

 

Hal ini juga bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, sabda Nabi SAW:

‌اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا

Maksudnya: Jadikanlah pengakhiran solat kamu itu adalah solat sunat Witir.

(Riwayat al-Bukhari)[9]

 

Akan tetapi, bagi mereka yang belum pasti melengkapkan bilangan rakaat Tarawih atau solat sunat yang lain, adalah digalakkan untuk melakukan solat sunat Witir terlebih dahulu. Kata Imam al-Khatib al-Syirbini:

وإلا أوتر بعد فريضة العشاء وراتبتها هذا ما في الروضة كأصلها، وقيده في المجموع بما إذا لم يثق بيقظته آخر الليل وإلا فتأخيره أفضل

Maksudnya: Dan jika tidak pasti (untuk bangun tahajjud) maka boleh solat sunat Witir selepas solat fardu isyak berserta rawatibnya seperti yang diterangkan dalam al-Raudah. Al-Majmu’ mengikatnya (pelaksanaan Witir sebelum tidur iaitu selepas solat fardu Isyak dan solat sunat rawatib) jika tidak pasti akan terjaga untuk bangun malam. Jika tidak sedemikian, maka melewatkan solat sunat Witir adalah lebih baik.[10]

 

  1. Melakukan solat sunat Witir sebanyak dua kali pada satu malam adalah tidak dibolehkan berdasarkan pandangan yang muktamad. Hal ini kerana terdapat larangan untuk melakukannya sebanyak dua kali. Hadis yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali RA, sabda Nabi SAW:

لَا وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya: Tiada dua Witir dalam satu malam.

(Riwayat Abu Daud)[11]

 

Kata Imam al-Ramli:

(‌فإن ‌أوتر ‌ثم ‌تهجد أو عكس) أو لم يتهجد أصلا (لم يعده) أي لا تطلب إعادته، فإن أعاده بنية الوتر عامدا عالما حرم عليه ذلك، ولم ينعقد كما أفتى به الوالد – رحمه الله تعالى – لخبر «لا وتران في ليلة» وهو خبر بمعنى النهي

Maksudnya: Jika seseorang itu melaksanakan solat sunat Witir kemudian tahajud atau sebaliknya atau tidak melakukan tahajud langsung, maka tidak diulanginya iaitu tidak dituntut untuk mengulanginya. Jika dia seseorang mengulanginya dengan niat Witir secara sengaja dan mengetahui (larangannya) maka haram hukumnya melakukan dan tidak sah melakukannya seperti yang difatwakan oleh bapaku berdasarkan hadis “tiada dua Witir pada satu malam” yang memberi makna larangan.[12]

 

Walaupun begitu, terdapat juga pandangan daripada Imam al-Juwaini yang menerangkan kaedah pembatalan Witir bagi mereka yang telah melakukan solat sunat Witir pada awal malam dan mahu melakukan solat sunat Witir di penghujung malam. Seseorang boleh mulakan solat sunat lain dengan melakukannya sebanyak satu rakaat bagi menggenapkan bilangan Witir sebelum ini. Kemudian dia boleh melakukan apa-apa sahaja solat sunat dan diakhiri dengan solat sunat Witir untuk kali kedua. Kata Imam al-Nawawi:

وفيه وجه حكاه إمام الحرمين وغيره من الخراسانيين أنه يصلي من أول قيامه ركعة يشفعه ثم يتهجد ما شاء ثم يوتر ثانيا ويسمى هذا نقض الوتر

Maksudnya: Dan terdapat satu pandangan yang diriwayatkan daripada Imam al-Haramain al-Juwaini dan selain beliau daripada kalangan orang Khurasan bahawa seseorang boleh solat sebanyak satu rakaat bagi menggenapkan (bilangan Witir sebelum ini) kemudian dia bertahajud seperti yang dia mahu kemudian dia melakukan solat sunat Witir kali kedua dan ini dinamakan pembatalan Witir.[13]

 

Kesimpulan

Hukum melakukan solat sunat Tarawih setelah selesai melakukan solat sunat Witir adalah harus. Seseorang disunatkan untuk melewatkan solat sunat Witirnya sehingga selesai melakukan solat sunat Tarawih dan solat sunat yang lain. Akan tetapi, bagi mereka yang belum pasti menyempurnakan bilangan rakaat Tarawih atau solat sunat yang lain, maka digalakkan untuk melakukan solat sunat Witir terlebih dahulu. Seseorang dilarang untuk mengulangi solat sunat Witir untuk kali kedua setelah selesai melaksanakan baki solat sunat Tarawih atau solat sunat yang lain kecuali setelah melakukan pembatalan Witir.

 

 

 

 

 

[1] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994)

1/460

[2] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/461.

[3] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Minhāj al-Ṭālibīn Wa ʿUmdah al-Muftīn Fī al-Fiqh. (Syria: Dār al-Fikr, 2005) 36.

[4] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/452

[5] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/455.

[6] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Mesir: al-Ṭibā`ah al-Munīriyyah, 1929) 4/16.

[7] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983) 2/241.

[8] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. 4/15.

[9] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893) No. hadis: 460

[10] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/453.

[11] Abū Dāwūd, Sulaymān bin al-Ashʿath. Sunan Abī Dāwūd. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) No. hadis: 1440.

[12] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Fikr, 1984) 2/ 115.

[13] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. 4/15.

Accessibility Toolbar