#85 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menyapu Muka Selepas Berdoa

Tarikh: 19 Mac 2025

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pengenalan

 

Amalan menyapu muka selepas berdoa merupakan salah satu perbuatan yang sering diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia secara umum dan di Malaysia secara khusus. Namun, timbul persoalan mengenai asal usul dan kedudukan amalan ini dalam ajaran Islam adakah ia bersandarkan kepada dalil yang sahih atau sekadar kebiasaan yang diwarisi secara turun-temurun, bahkan ia juga dianggap sebagai perkara bid’ah yang tidak disyariatkan dalam Islam. Justeru, artikel ini akan membincangkan mengenai pandangan ulama dan dalil terhadap amalan menyapu muka selepas berdoa bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada umat Islam.

 

Pensyariatan Doa

 

Doa adalah salah satu bentuk ibadah yang sangat dianjurkan dalam Islam. Ia merupakan medium komunikasi langsung antara hamba dengan Allah SWT tanpa perantara. Pensyariatan doa bukan hanya mencerminkan keperluan manusia kepada Tuhannya, tetapi juga menunjukkan kasih sayang Allah SWT yang selalu membuka pintu bagi hamba-Nya untuk memohon, bermunajat dan meminta pertolongan kepada-Nya.

 

Justeru, al-Quran banyak menekankan pentingnya berdoa dan menjadikan doa sebagai perintah yang langsung dari Allah. Antaranya sebagaimana Allah SWT menyebutkan dalam al-Quran melalui surah Ghafir ayat 60;

 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

 

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

 

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT amat menyukai kepada hamba-Nya yang berdoa kepada-Nya, kemudian Dia menjanjikan pengabulan bagi doa-doa yang dipanjatkan oleh hamba-Nya. Sebaliknya, bahawa Allah SWT amat murka bagi hamba-Nya yang sombong dan enggan dari berdoa kepada-Nya. Imam Ibn Kathir meriwayatkan pandangan Imam Sufyan al-Thauri, beliau berkata:

 

         يَا مَنْ أحبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ،

         وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ كَذَلِكَ غَيْرُكَ يَا رَبِّ

Maksudnya: Wahai Tuhan yang paling menyukai hamba-hamba-Nya yang meminta kepada-Nya dan mereka yang memperbanyakkan permintaan.

Dan wahai Tuhan yang paling membenci hamba-hamba-Nya yang tidak meminta kepada-Nya. Tidak ada yang sama seperti Engkau, wahai Tuhanku.[1]

 

Begitu juga, berdoa ini merupakan tuntutan dari Rasulullah SAW dan ia menjadi suatu ibadah di dalam agama Islam. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda;

 

الدُّعَاءُ ‌مُخُّ ‌العِبَادَةِ

Maksudnya: Doa adalah inti Ibadah.[2]

 

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Sebaliknya, jika seseorang hamba tidak berdoa kepada Allah SWT maka ia telah menempah kemurkaan dan mengundang kebencian Allah SWT terhadapnya. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

 

إِنَّهُ ‌مَنْ ‌لَمْ ‌يَسْأَلِ ‌اللهَ ‌يَغْضَبْ عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya, barang siapa yang tidak meminta kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan murka kepadanya.[3]

 

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan meninggalkan meminta iaitu berdoa kepada Allah SWT merupakan sikap sombong dan perasaan tidak memerlukan Allah SWT, sedangkan hal ini tidak dibenarkan bagi seorang hamba. Selain itu, ia merupakan salah satu punca kemurkaan Allah SWT. Kemudian Imam al-Tibi juga berkata bahawa sesungguhnya Allah SWT menyukai hamba-Nya yang sentiasa meminta atas sifat kemurahan daripada-Nya. Justeru, barang siapa yang tidak meminta kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan membencinya, dan orang yang dibenci itu pasti akan dimurkai tanpa keraguan.[4]

 

 

 

 

 

Amalan Menyapu Muka Selepas Berdoa

 

Dalil dan Penghujahan

 

Amalan menyapu muka selepas membaca doa adalah diharuskan. Hadis-hadis yang menganjurkan amalan menyapu muka selepas membaca doa merupakan syariat di dalam Islam kerana ia adalah perbuatan dan perlakuan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Antara hadis yang menyatakan perkara tersebut seperti;

 

·         Hadis yang diriwayatkan dari Umar RA berkata;

 

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW mengangkat kedua tangannya ketika berdoa, Baginda SAW tidak menurunkannya (menurunkan kedua tangan) sehingga Baginda SAW menyapukan kedua tangannya ke wajahnya.[5]

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Imam al-Tirmizi memberikan komentar bahawa status hadis ini adalah gharib kerana terdapat padanya seorang perawi bernama Hammad bin Isa yang bersendiri dalam meriwayatkan hadis ini dan amat sedikit periwayatan hadis beliau.[6] Selain itu, menurut Imam Ibn Hajar[7], Imam al-Dhahabi[8], Imam Ibn Abi Hatim[9] dan lain-lain di dalam kitab-kitab mereka menyatakan bahawa status bagi Hammad bin Isa adalah seorang perawi yang dhaif.  

 

Namun, Imam Ibnu Hajar di dalam kitab Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam menyatakan bahawa hadis ini juga ditemui padanya syawahid atau penguat yang mengangkat kedhaifan hadis ini dan menjadikan kesemua jalur periwayatan hadis ini adalah hasan.[10]  Antara jalur periwayatan hadis ini seperti berikut:

 

·         Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, sabda Rasulullah SAW;

 

إِذَا ‌دَعَوْتَ ‌اللَّهَ ‌فَادْعُ ‌بِبَاطِنِ كَفَّيْكَ، وَلَا تَدْعُ بِظُهُورِهِمَا، فَإِذَا فَرَغْتَ فَامْسَحْ بِهِمَا وَجْهَك

 

Maksudnya: Sekiranya engkau berdoa kepada Allah SWT, maka berdoalah dengan menghadap kedua telapak tanganmu ke atas dan janganlah engkau berdoa dengan menghadapkan kedua tanganmu ke bawah. Apabila engkau selesai (berdoa), maka sapulah wajahmu dengan kedua tanganmu.[11]

 

(Sunan Ibn Majah)  

 

·         Riwayat daripada Abdullah bin ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

 

لَا تَسْتُرُوا الْجُدُرَ مَنْ نَظَرَ فِي كِتَابِ أَخِيهِ بِغَيْرِ إِذْنِهِ، فَإِنَّمَا يَنْظُرُ فِي النَّارِ سَلُوا اللَّهَ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ

 وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا فَإِذَا فَرَغْتُمْ فَامْسَحُوا بِهَا وُجُوهَكُمْ

Maksudnya: Janganlah kamu menutup dinding-dinding. Barang siapa yang melihat ke dalam kitab saudaranya tanpa izinnya, maka sesungguhnya dia seolah-olah melihat api neraka. Berdoalah kepada Allah dengan tapak tangan terbuka. Janganlah memohon kepada-Nya dengan menghadapkan telapak tanganmu ke bawah. Apabila kamu selesai (berdoa), maka sapulah wajahmu dengan kedua tanganmu.[12]

 

(Sunan Abu Daud)

 

Tidak berhenti di situ, Imam al-San’ani juga menyatakan bahawa amalan menyapu muka setelah selesai berdoa merupakan perbuatan yang disyariatkan dalam Islam. Selain itu, beliau juga menyatakan terdapat padanya hikmah di sebalik pensyariatan perbuatan tersebut. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitabnya Subul al-Salam;

 

‌وفيه ‌دليل ‌على ‌مشروعية مسح الوجه باليدين بعد الفراغ من الدعاء. قيل وكأن المناسبة أنه تعالى لما كان لا يردهما صفرا فكأن الرحمة أصابتهما فناسب إفاضة ذلك على الوجه الذي هو أشرف الأعضاء وأحقها بالتكريم

Maksudnya: Dan padanya terdapat dalil tentang pensyariatan menyapu muka dengan kedua tangan setelah selesai daripada berdoa. Dikatakan juga bahawa hikmahnya adalah kerana Allah SWT tidak akan mengembalikan kedua tangan tersebut dalam keadaan kosong, maka seakan-akan rahmat Allah SWT telah menyentuh kedua tangan tersebut sehingga wajar untuk mengalirkan (rahmat tersebut) ke wajah yang merupakan anggota tubuh paling mulia dan paling layak untuk dimuliakan.[13]

 

Selain itu,  di dalam kitab al-Adhkar karangan Imam Nawawi pada bab adab-adab ketika berdoa, beliau menyatakan bahawa;

 

Abu Hamid al-Ghazali telah menjelaskan di dalam Ihya’, adab berdoa itu ada sepuluh perkara, dan yang ketiga ialah:

 

استقبال القبلة ورفع اليدين، ويمسحُ بهما وجهه في آخره

Maksudnya: Menghadap kiblat dan mengangkat kedua belah tangan.

Selain itu, menyapu kedua belah tangannya ke muka pada akhir doa

(setelah habis berdoa).[14]

 

Tambahan pula, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa antara adab berdoa adalah menyapu muka setelah selesai berdoa. Hal ini disebutkan di dalam kitab al-Majmu’:

 

ومن آداب الدعاء كونه في الأوقات والأماكن والأحوال الشريفة واستقبال القبلة ورفع يديه ومسح وجهه بعد فراغه

Maksudnya: Antara adab berdoa ialah doa itu dilakukan pada waktu-waktu, tempat-tempat dan keadaan-keadaan yang mulia. Selain itu, berdoa dalam keadaan menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan kemudian menyapunya ke muka setelah selesai berdoa.[15]  

 

Pandangan Fuqaha Mengenai Amalan Menyapu Muka Selepas Berdoa

 

Amalan menyapu muka selepas doa tidak boleh dikatakan sebagai amalan bid’ah yang tiada asal di sisi syarak sebagaimana pendapat yang dinyatakan dalam kitab Al-Fatwa al-Imam Izzuddin Abd Salam.[16] Hal ini kerana di sana terdapat pandangan fuqaha Shafi’iyyah yang membenarkan perbuatan menyapu muka setelah selesai membaca doa di luar solat, antaranya seperti berikut;

 

1)      Kitab Fath al-Mu’in:

 

‌ورفع ‌يديه ‌الطاهرتين حذو منكبيه ومسح الوجه بهما بعده

Maksudnya: Dan dia (Baginda SAW) mengangkat kedua tangan Baginda SAW yang suci sejajar dengan kedua bahu, lalu menyapu wajah dengan kedua tangan tersebut setelah selesai (berdoa).[17]

 

2)      Kitab al-Muqaddimah al-Hadaramiyyah:

 

ويندب فيه وفي كل دعاء رفع اليدين ثم مسح الوجه بهما والدعوات

Maksudnya: Disunatkan juga selepas solat dan setiap kali berdoa untuk mengangkat tangan dan kemudian menyapu muka dengan kedua-dua tangan setelah selesai berdoa.[18]

 

Namun begitu, terdapat juga keadaan yang tidak disunatkan seperti menyapu muka di dalam solat setelah selesai membaca doa atau menyapu selain dari muka, antaranya adalah pandangan fuqaha shafi’iyyah seperti berikut;

 

3)      Kitab al-Mughni al-Muhtaj:

 

وأما مسح غير الوجه كالصدر فلا يسن مسحه قطعا بل نص جماعة على كراهته.

وأما مسح الوجه عقب الدعاء خارج الصلاة، فقال ابن ‌عبد ‌السلام بعد ‌نهيه عنه

لا يفعله إلا ‌جاهل اهـ. وقد ورد في المسح بهما أخبار بعضها غريب وبعضها ضعيف،

ومع هذا جزم في التحقيق باستحبابه

Maksudnya: Adapun menyapu selain muka seperti dada, maka ia tidak disunatkan sama sekali, bahkan sebahagian ulama secara tegas menyatakan hukumnya adalah makruh. Adapun amalan menyapu muka selepas berdoa di luar solat, Ibn Abd Al-Salam menyatakan bahawa perbuatan tersebut adalah dari orang yang jahil. Hal ini kerana terdapat hadis-hadis mengenai menyapu muka dengan kedua tangan, sebahagiannya dianggap gharib (asing) dan sebahagian lagi dhaif (lemah). Namun demikian, mengikut pandangan yang benar (al-tahqiq) bahawa disunatkan perbuatan ini.[19]

 

4)      Kitab Hasyiah Baijuri:

 

ولا يسن مسح الوجه عقب الدعاء في الصلاة بل الأولى تركه، بخلافه خارجها فيسن مسح الوجه لا الصدر ولو خارجها

Maksudnya: Tidak disunatkan menyapu muka selepas berdoa dalam solat, bahkan yang lebih utama adalah meninggalkannya. Berbeza dengan doa di luar solat, disunatkan menyapu muka tetapi tidak pada bahagian dada, walaupun doa itu dilakukan di luar solat.[20]

 

Justeru, dapat disimpulkan bahawa hukum menyapu muka selepas berdoa adalah disunatkan ketika di luar solat, namun jika di dalam solat hukumnya menjadi makruh. Walau bagaimanapun, perbuatan menyapu muka setelah berdoa bukanlah sesuatu amalan yang direka tanpa ada asal dalam syarak. Maka, perbuatan menyapu muka selepas berdoa adalah boleh diamalkan bagi umat Islam lebih-lebih lagi ia telah menjadi adat bagi masyarakat Islam di Malaysia.

 

Kesimpulannya

 

Amalan menyapu muka selepas berdoa adalah diharuskan di sisi syarak, bahkan ia disunatkan ketika di luar solat menurut ulama mazhab Shafi’i. Hal ini kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan perbuatan tersebut. Tambahan pula, tiada larangan daripada Baginda secara khusus mengenai perbuatan tersebut. Justeru, ia juga tidak boleh dikatakan sebagai bid’ah kerana terdapat sokongan daripada hadis dan pandangan fuqaha yang membenarkan perbuatan tersebut. Di samping itu, menyapu muka selepas berdoa merupakan salah satu dari adab-adab berdoa namun sekiranya seseorang itu tidak menyapu mukanya selepas berdoa tidaklah menjadi kesalahan kerana perbuatan tersebut bukanlah bersifat wajib.



[1] Abū al-Fidā’ Ismāīl bin Umar bin Kathir al-Qurasyī al-Baṣrī. Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm. (t.t.p: Dār Ṭībah li al-Nasyr Wa al-Tawzī’, 1999), 7/153.

[2] Abū Isā Al-Tirmiẓi. Sunān Al-Tirmiẓi. (Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi, 1975), 5/456. Hadis no. 3371.

[3] Abū Isā Al-Tirmiẓi. Sunān Al-Tirmiẓi. 5/456. Hadis no. 3373.

[4] Abū al-‘Alā Muḥammad ‘Abdurraḥman bin ‘Abdurraḥīm al-Mubārakfūrī. Tuḥfah al-Aḥwadhī bi Sharḥ Jāmi’ al-Tirmidhī. (Beirūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t.), 9/221.  

[5] Abū Isā Al-Tirmiẓi. Sunān Al-Tirmiẓi. 5/463. Hadis no. 3386.

[6]  Abū Isā Al-Tirmiẓi. Sunān Al-Tirmiẓi. 5/463.

[7] Abū al-Fadhl Aḥmad bin Alī bin Muḥammad bin Aḥmad bin Ḥajr al-‘Asqalānī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Sūriyā: Dār al-Rashīd, 1982). 178.

[8] Shamsuddīn Abū Abdullah Muḥammad bin Aḥmad bin Uthmān al-Dhahabī. Mīzān al-‘Itidāl Fī Naqd al-Rijāl. (Beirūt: Dār al-Ma’rifah li al-Ṭibā’ah Wa al-Nashr, 1963). 1/598.

[9] Abū Muḥammad Abdurrahman bin Muḥammad al-Rāzī Ibn Abī Ḥātim. Al-Jarḥ Wa al-Ta’dīl. (Beirūt: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 1952). 3/145.

[10] Abū Fadhl Aḥmad bin Alī bin Muḥammad bin Ḥajr al-‘Asqalānī. Bulūgh al-Marām Min Adillah al-Aḥkām. (Riyāḍ: Dār al-Qubs li al-Nashr Wa al-Tawzī’, 2014). 563-564.

[11] Ibn Mājah Abū Abdullah Muhamad Yazid al-Qizwini. Sunan Ibn Mājah. (Qatar: Dār  Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah. t.t.), 1/373. Hadis no. 1181.

[12]Abū Daūd al-Ash’ath al-Azdī Al-Sijistānī. Sunan Abū Daūd. (t.t.p: Dār Risālah al-‘Ālamiyyah, 2009). 2/607. Hadis no. 1485. 

[13] Muḥammad bin Ismāīl al-Amīr al-Yamanī al-Ṣan’ānī. Subul al-Salām Sharḥ Bulūgh al-Marām. (Mesir: Dār al-Ḥadīs, 1997). 2/709.

[14] Abū Zakariyā Muḥiyuddīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī. Al-Adhkār. (Beirūt: Dār al-Fikr li Ṭibā’ah Wa al-Nashr Wa al-Tawzī’, 1994). 396.

[15] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. Al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. (Kāherah: Idārah al-Ṭibā’ah al-Munīriyyah, 1347H). 4/655.

[16] ‘Izzuddīn ‘Abdul ‘Azīz bin ‘Abdul al-Salām al-Salmī al-Shafi’ī. Kitāb al-Fatāwā. (Beirūt: Dār al-Ma’rifah, 1986). 46-47

[17] Zainuddīn Aḥmad bin ‘Abdul al-‘Azīz al-Malaibārī. Fatḥ al-Mu’īn bi Sharḥ Qurratu al-‘Ain bi Muhimmāt al-Dīn. (t.t.p: Dār Ibn Ḥazm, t.t.). 128.  

[18] Abdullah bin Abdurraḥman bin Abī Bakr Bafaḍal al-Ḥadramī. Al-Muqaddimah al-Ḥadramiyyah. (Dimashq: al-Dār al-Muttaḥidah, 1413H). 73.

[19] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿi.  Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. (t.t.p: Dār Al-Kutub Al-’Ilmiyyah. 1994). 1/70.

[20] Ibrāhīm bin Muḥammad bin Aḥmad al-Shāfi’i al-Bayjūrī. Ḥāshiyah al-Sheikh Ibrāhīm al-Bayjūrī ‘alā Fatḥ al-Qarīb al-Mujīb. (Indonesia: Dār al-Kutub al-Islāmiyyah, 2007). 1/312.

Accessibility Toolbar