Tarikh: 19 Mac 2025
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Lailatul Qadar merupakan malam yang paling istimewa dalam bulan Ramadhan, ia adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Namun, tarikh tepat berlakunya malam ini tidak dinyatakan secara jelas. Oleh itu, umat Islam hanya berpandukan kepada hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama dalam mencari tarikh berlakunya malam tersebut. Artikel ini akan merungkai salah satu petunjuk waktu Lailatul Qadar berdasarkan hadis Rasulullah SAW berkenaan syiqq jafnah mengikut pandangan ulama dan hitungan falak.
Hadis Syiqq Jafnah
Lailah bererti apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar, manakala Qadar pula memberi makna kemuliaan atau hukum dan ketetapan. Panduan dalam mencari Lailatul Qadar telah dirakamkan di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Terdapat tiga pandangan ulama dalam menentukan tarikh berlakunya malam yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam ketika masuknya bulan Ramadhan. Artikel Taudhih al-Hukmi #47 yang bertajuk Pendapat Ulama Tentang Bila Berlakunya Lailatul Qadar telah membahas pandangan-pandangan tersebut dan dalil-dalil yang berkaitan dengannya[1]. Antara petunjuk dalam mencari Lailatul Qadar adalah hadis daripada Abu Hurairah RA yang berkata:
تَذَاكَرْنَا لَيْلَةَ القَدْرِ عِنْدَ رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَقالَ: أَيُّكُمْ يَذْكُرُ حِينَ طَلَعَ القَمَرُ وهو مِثْلُ شِقِّ جَفْنَةٍ؟[2]
Maksudnya: Kami teringat akan malam al-Qadr di sisi Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Siapakah di antara kalian yang teringat ketika bulan muncul (terbit) seperti syiqq jafnah?”
Dari segi bahasa, syiqq bermaksud bahagian sesuatu, separuhnya, atau sisinya. Manakala, jafnah bermaksud qas’ah iaitu mangkuk besar atau telaga kecil. Manakala, kata jamaknya ialah jifan dan jufun[3]. Istilah syiqq jafnah merujuk kepada bentuk bulan yang menyerupai separuh talam atau pinggan besar. Para ulama berbeza pendapat dalam mentafsirkan istilah ini. Imam Nawawi RA berpendapat bahawa bentuk bulan tersebut merujuk kepada akhir bulan Ramadhan. Beliau berkata;
وهو النصف والجفنة بِفَتْحِ الْجِيمِ مَعْرُوفَةٌ قَالَ الْقَاضِي فِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّهَا إِنَّمَا تَكُونُ فِي أَوَاخِرِ الشَّهْرِ لِأَنَّ الْقَمَرَ لَا يَكُونُ كَذَلِكَ عِنْدَ طُلُوعِهِ إِلَّا فِي أَوَاخِرِ الشَّهْرِ[4]
Maksudnya: Dan ia adalah separuh. Adapun jafnah dengan fathah pada huruf jim adalah sesuatu yang sudah diketahui. Al-Qadhi berkata: Di dalamnya terdapat isyarat bahawa keadaan ini hanya berlaku pada akhir bulan, kerana bulan tidak berada dalam keadaan sedemikian ketika terbitnya kecuali pada akhir bulan.
Ibnu Hajar al-Asqalani RA pula membawa riwayat yang berbeza iaitu daripada Abu Hazim di mana Abu Hasan al-Farisi menyatakan bahawa Lailatul Qadar berkemungkinan besar berlaku pada malam ke-27:
وَرَوَى مُسْلِمٌ أَيْضًا مِنْ طَرِيقِ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ تَذَاكَرْنَا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّكُمْ يَذْكُرُ حِينَ طَلَعَ الْقَمَرُ كَأَنَّهُ شِقُّ جَفْنَةٍ قَالَ أَبُو الْحَسَنِ الْفَارِسِيُّ أَيْ لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ فَإِنَّ الْقَمَرَ يَطْلُعُ فِيهَا بِتِلْكَ الصّفة[5]
Maksudnya: Muslim juga meriwayatkan melalui jalan Abu Hazim daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata: “Kami berbincang mengenai Lailatul Qadar, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Siapakah di antara kalian yang teringat ketika bulan muncul seperti syiqq jafnah (separuh talam)?’” Abu al-Hasan al-Farisi berkata: “Malam itu adalah malam ke-27, kerana pada malam itu bulan muncul dalam keadaan seperti yang disebutkan.”
Manakala, Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam menjelaskan tidak ada bentuk bulan seperti sisi pinggan yang separuh penuh kecuali pada malam ke-7 dan 21 Ramadhan[6].
وترجحت ليلة إحدى وعشرين بأنه أخبر أن القمر كان ليلته كشق جفنة، ولا يكون القمر كشق جفنة إلا الليلة السابع وليلة الحادي والعشرين.
Maksudnya: Dan malam ke-21 lebih kuat (rajih) kerana Baginda SAW memberitahu bahawa bulan pada malam itu kelihatan seperti syiqq jafnah (separuh talam). Sedangkan bulan hanya akan kelihatan seperti syiqq jafnah pada malam ke-7 dan malam ke-21.
Pandangan ulama berkenaan syiqq jafnah secara umumnya berkisarkan bentuk anak bulan yang menyerupai separuh talam di mana tarikh tersebut adalah berbeza-beza sama ada pada malam 21 atau 27 Ramadhan, namun tarikh-tarikh tersebut masih merujuk kepada hari-hari akhir bulan Ramadhan.
Peredaran Bulan dan Syiqq Jafnah Sebagai Bulan Separa
Bulan mengelilingi bumi dan berputar pada paksinya dari arah barat ke timur. Masa yang diambil bulan untuk melengkapkan semua fasanya dalam satu pusingan lengkap orbit adalah 29.5306 hari (atau 29 hari, 12 jam, 44 minit, dan 2.89 saat)[7].
Fasa bulan bermula dengan berlakunya ijtimak (conjuction). Ijtimak disifatkan sebagai pemisah antara fasa bulan lama dengan bulan baharu. Secara fizikalnya, ijtimak berlaku apabila bulan berada di antara bumi dengan matahari, masing-masing mempunyai longitud yang sama. Setelah berlakunya ijtimak, bulan beredar sedikit demi sedikit sehingga sebahagian bulan yang bercahaya mula kelihatan dari bumi sebagai anak bulan. Setelah beberapa hari, fasa bulan menjadi bulan separa (suku pertama). kemudian bulan purnama pada pertengahannya dan menuju ke fasa bulan separa (suku kedua) sehingga akhirnya berlakunya ijtimak menjadikannya fasa bulan yang baharu.
Rajah 1 : Perubahan fasa bulan
Berdasarkan hadis Rasulullah SAW berkenaan bulan muncul seperti syiqq jafnah yang diistilahkan sebagai separuh talam, maka keadaan bulan itu merujuk kepada separuh bulan, iaitu pada fasa bulan separa (suku pertama dan suku kedua). Pandangan ulama yang menafsirkan hadis tersebut pula menghuraikannya kepada fasa bulan yang akhir, maka fasa bulan separa pada suku kedua adalah lebih kuat dan rajih. Persoalannya timbul bilakah tarikh bulan separa berikut?
Adapun pandangan Ibn Hajar Asqalani dalam mensyarahkan hadis tersebut menukilkan kata-kata Abu Hasan al-Farisi iaitu pada 27 Ramadhan, ataupun pandangan Imam ‘Izz al-Din Abd al-Salam pada 21 Ramadhan, tarikh pada setiap fasa bulan tidaklah tetap dan seragam.
Jika dilihat pada kitaran penuh antara bulan baru ke bulan baru berikutnya mengambil masa 29.53 hari, maka bagi setiap empat fasa bulan utama mengambil kira-kira 7.38 hari. Daripada kiraan ini, fasa bulan separa bagi suku kedua jatuh pada hari ke-22 atau 23. Namun begitu, tarikh ini boleh berlaku lebih awal atau lebih lewat bergantung pada peredaran bulan dan umur anak bulan pada awal bulan. Hal ini kerana orbit bulan yang mengelilingi bumi adalah berbentuk elips menjadikan jarak bulan ke bumi sentiasa berubah-ubah dan mempunyai kelajuan orbit yang tidak tetap[8].
Misalnya, pada tahun 2024 yang lalu, keadaan bulan yang merujuk kepada syiqq jafnah adalah pada tarikh 2 April 2024 iaitu malam 23 Ramadhan 1445H. Seperti yang ditunjukkan pada rajah 2, bulan pada malam 23 Ramadhan itu berbentuk setengah seperti separuh talam.
Rajah 2: Keadaan bulan pada 2 April 2024 iaitu pada malam 23 Ramadhan 1445H menunjukkan keadaan bulan separa (suku kedua)
Pada tahun 2025, bulan separa bagi suku kedua mengikut hitungan falak berkemungkinan kelihatan di atas ufuk pada 22 Mac 2025 iaitu malam 22 Ramadhan 1446H dengan kadar peratusan fasa bulan 56% dan pada 23 Mac 2025 iaitu malam 23 Ramadhan 1446H dengan kadar peratusan fasa bulan 46%. Berikut merupakan jadual gambaran bulan daripada malam 21 Ramadhan sehingga malam 25 Ramadhan 1446H (Jadual 1).
Jadual 1: Imej bentuk bulan dan kadar peratusan fasa bulan di antara 21 Mac – 25 Mac 2025
Tarikh Miladi |
Tarikh Hijri |
Bentuk Bulan |
Kadar Peratusan Fasa Bulan |
21 Mac 2025 |
Malam 21 Ramadhan 1446H |
|
66% |
22 Mac 2025 |
Malam 22 Ramadhan 1446H |
|
56% |
23 Mac 2025 |
Malam 23 Ramadhan 1446H |
|
46% |
24 Mac 2025 |
Malam 24 Ramadhan 1446H |
|
36% |
25 Mac 2025 |
Malam 25 Ramadhan 1446H |
|
26% |
Perhitungan falak menunjukkan bentuk bulan seperti syiqq jafnah merupakan fasa bulan separa bagi suku kedua. Hal ini memberikan satu pendekatan yang lebih mendalam dalam usaha memahami petunjuk yang diberikan oleh Rasulullah SAW mengenai Lailatul Qadar. Walaupun tarikh sebenar malam yang penuh keberkatan ini tidak dapat dipastikan dengan tepat, berikutan wujudnya hadis-hadis lain selain hadis syiqq jafnah dan pandangan ulama yang menceritakan malam tersebut, namun analisis berdasarkan fasa bulan separa memberi satu perspektif tambahan dalam pencariannya.
Kesimpulan
Hadis mengenai bentuk bulan sebagai petunjuk Lailatul Qadar memberi ruang dan perspektif dalam kajian falak dan astronomi Islam. Dengan merujuk kepada peredaran dan perhitungan fasa bulan, tarikh yang berpotensi sebagai Lailatul Qadar dapat dihitungkan iaitu pada fasa bulan separa (suku kedua), sebagaimana yang disebut sebagai bentuk bulan seperti syiqq jafnah di dalam hadis. Walau bagaimanapun, tarikh fasa bulan separa ini adalah berbeza-beza mengikut bulan dan tahun bergantung kepada peredaran bulan dan umur anak bulan pada awal bulan tersebut. Hal ini bertetapan dengan sabda Nabi SAW yang mengatakan bahawa malam Lailatul Qadar ini boleh dicari dalam 10 malam terakhir Ramadhan, khususnya pada malam yang ganjil. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ، مِنَ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: Carilah malam al-Qadr itu pada malam ganjil dari 10 malam terakhir Ramadhan[9].
(Riwayat al-Bukhari)
Sebagai umat Islam, kita dianjurkan untuk menghidupkan seluruh 10 malam terakhir Ramadhan dengan ibadah kerana hakikat sebenar malam tersebut tetap menjadi rahsia yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
[1] Rujuk artikel yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui pautan berikut: https://www.muftiselangor.gov.my/2024/03/22/47-taudhih-al-hukmi-pendapat-ulama-terhadap-peristiwa-lailatul-qadr/
[2] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī Al-Nisāburī. 1955. Ṣahīh Muslim. Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, no. hadis 1170, jil. 2, ms. 829.
[3] ‘Izz al-Dīn Abd al-Salām. 1995. Maqāsid al-Ibādāt. Ms 52.
[4] Abū Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī. 1972. Al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim bin Hajjāj. Dar Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī: Beirut, Lubnan. Jil. 8, ms. 66.
[5] Ibn Hajar al-‘Asqalānī. 1959. Fatḥ al-Bārī Bi Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Jil. 4, ms. 264.
[6] ‘Izz al-Dīn Abd al-Salām. 1995. Maqāsid al-Ibādāt. Matba’ah al-Yamāmah. Ms 51-52.
[7] Baharuddin Zainal. 2004. Ilmu Falak. Kuala Lumpur: DBP. Ed. 2. Ms. 62; Mohd Faizal. 2022. Mukhtasar Ilmu Falak. Pulau Pinang: Baytul Hikma. Ms. 115.
[8] Baharuddin Zainal. 2004. Ilmu Falak. Ms. 62.
[9] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. 1993. Ṣahīh al- Bukhārī. Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr, no. hadis 1913, jil. 1, ms. 710.