Hukum Menyampaikan Khutbah Jumaat selain dalam Bahasa Arab
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Tarikh: 6 Mac 2025
Pendahuluan
Khutbah Jumaat mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan umat Islam, bagi membina kesedaran dan memperkukuh nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat. Hikmahnya adalah sebagai satu medium dalam menyebarkan syiar Islam, memperbaiki keimanan dan ketaqwaan, menyuburkan keinsafan, mengingati Allah SWT dan jua sebagai peringatan terhadap pesanan-pesanan berkenaan akhirat. Justeru itu, umat Islam yang mencukupi syaratnya diwajibkan mengerjakan solat Jumaat dan mendengar khutbah Jumaat sebagai satu tuntutan ta’abbudiyyah (kehambaan). Namun begitu, mutakhir ini terdapat isu yang mempersoalkan keabsahan khutbah Jumaat disampaikan dengan menggunakan bahasa asing selain bahasa Arab. Oleh itu, artikel ini akan mengupas berkenaan hukum menyampaikan khutbah Jumaat menggunakan bahasa Melayu yang menjadi pengamalan khususnya di Malaysia.
Rukun-rukun Khutbah
Secara umumnya, khutbah Jumaat yang dilaksanakan mesti menepati rukun-rukun yang telah ditetapkan. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa rukun-rukun khutbah mengandungi lima perkara[1]:
- Membaca hamdalah pada kedua-dua khutbah.
- Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada kedua-dua khutbah.
- Wasiat taqwa pada kedua-dua khutbah.
- Membaca doa untuk kaum muslimin khusus pada khutbah kedua.
- Membaca ayat Al-Qur’an pada salah satu khutbah (pada khutbah pertama lebih utama).
Oleh itu, sesuatu khutbah mestilah memenuhi rukun-rukun yang telah digariskan kerana ia membawa kepada keabsahan pelaksanaan khutbah Jumaat khususnya bagi khatib yang menyampaikan khutbah. Meskipun begitu, pelaksanaan di antara rukun-rukun tersebut disyaratkan adanya muwālāt (berturut-turut) yakni tidak terputus sesuatu rukun dengan rukun yang lain atau di antara dua khutbah dan solat Jumaat dengan sesuatu tempoh yang panjang secara uruf iaitu kadar dua rakaat solat sunat yang ringkas[2]. Para muazzin yang bertugas juga dikehendaki untuk segera melaksanakan iqamah setelah selesai khutbah yang kedua. Manakala Imam pula tidak disunatkan berdoa selepas iqamah untuk memastikan muwālāt tetap berlaku antara dua khutbah dan solat Jumaat. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Bujayrimi, katanya:
وَ) أَنْ (يُقِيمَ بَعْدَ فَرَاغِهِ) مِنْ الْخُطْبَةِ (مُؤَذِّنٌ وَيُبَادِرُ هُوَ لِيَبْلُغَ الْمِحْرَابَ مَعَ فَرَاغِهِ) مِنْ الْإِقَامَةِ فَيَشْرَعُ فِي الصَّلَاةِ وَالْمَعْنَى فِي ذَلِكَ الْمُبَالَغَةُ فِي تَحْقِيقِ الْوَلَاءِ الَّذِي مَرَّ وُجُوبُهُ
Maksudnya: Dan disunatkan seorang muazzin untuk melaungkan iqamah setelah selesai khutbah, dan disunatkan bagi khatib untuk segera menuju ke mihrab agar sampai di sana seiring dengan selesainya iqamah, lalu memulakan solat. Hikmah dalam perkara ini adalah untuk menegaskan kepentingan muwālāt (antara khutbah dan solat) yang telah disebutkan kewajibannya sebelum ini[3].
Dalam menjelaskan hal ini, ia dapat difahami bahawa perkara yang dapat memutuskan muwālāt adalah daripada perkara yang lalai seperti percakapan yang sia-sia. Namun begitu, jika ia berbentuk satu peringatan maka ia tidak dihukumkan sebagai putus muwālāt di antara rukun-rukun tersebut atau di antara dua khutbah dengan solat Jumaat kerana peringatan merupakan tujuan utama dalam pelaksanaan khutbah[4].
Penyampaian Khutbah menggunakan Bahasa selain Arab
Berhubung isu ini, adakah sesuatu khutbah disyaratkan menggunakan bahasa Arab secara keseluruhannya? Dalam hal ini, terdapat dua pandangan dalam kalangan fuqaha mazhab Shafi’i:
- Keseluruhan khutbah Jumaat wajib disampaikan dalam bahasa Arab. Ini adalah pandangan yang asoh sebagaimana dipersetujui oleh jumhur.[5] Hal ini kerana, khutbah dianggap sebagai zikir yang mesti disampaikan dalam bahasa Arab sebagaimana lafaz tasyahhud, dan takbiratul ihram. Mereka bersandarkan kepada hadis berikut:
وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: Dan solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat[6].
(Riwayat al-Bukhari)
Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah dalam bahasa Arab. Justeru, umat Islam dituntut melaksanakan ibadah mengikut tatacara yang telah diajarkan oleh Baginda. Namun menurut pandangan ini, jika dalam kalangan jemaah tiada seseorang yang fasih dalam bahasa Arab, maka khutbah boleh disampaikan dalam bahasa lain sebagai kelonggaran. Walau bagaimanapun, setiap individu bertanggungjawab mempelajari khutbah dalam bahasa Arab sebagaimana kewajipan seseorang yang tidak mampu melafazkan takbir dalam bahasa Arab untuk mempelajarinya. Sekiranya mereka tidak berusaha mempelajarinya setelah berlalu tempoh yang munasabah, mereka dianggap berdosa dan solat Jumaat yang didirikan tidak sah[7].
2. Menyampaikan khutbah tidak disyaratkan dalam bahasa Arab secara keseluruhannya namun ia hanya disyaratkan pada rukun khutbah sahaja. Ini adalah pandangan Imam Ibn Hajar al-Haytami dan ‘Ali al-Syubramalisi. Imam Ibn Hajar al-Haytami di dalam Tuhfah al-Muhtaj menyatakan:
(وَيُشْتَرَطُ كَوْنُهَا) أَيْ الْأَرْكَانِ دُونَ مَا عَدَاهَا (عَرَبِيَّةً) لِلِاتِّبَاعِ
Maksudnya: Rukun-rukun khutbah (bukan hal-hal di luar rukun) disyaratkan agar disampaikan dengan berbahasa Arab kerana ittiba’ (mengikut nabi)[8].
Begitu juga, sebagaimana dinyatakan oleh ‘Ali al-Syubramalisi pada menghuraikan kata-kata Imam al-Ramli di dalam Nihayat al-Muhtaj, katanya:
(قَوْلُهُ: كَمَا أَنَّ الْمُرَادَ بِهِمَا أَرْكَانُهُمَا) يُفِيدُ أَنَّهُ لَوْ كَانَ مَا بَيْنَ أَرْكَانِهِمَا بِغَيْرِ الْعَرَبِيَّةِ لَمْ يَضُرَّ
Maksudnya: (Imam al-Ramli berkata: Sebagaimana yang dimaksudkan dengannya ialah rukun-rukun khutbah). Ini menunjukkan bahawa jika terdapat di antara rukun-rukun itu sesuatu yang bukan dalam bahasa Arab, ia tidak akan memudaratkan (kesahihan ibadah tersebut)[9].
Analisis Pandangan
Berdasarkan kenyataan di atas, khutbah Jumaat menurut pandangan yang asoh mesti disampaikan dalam bahasa Arab. Namun begitu, Imam Ibn Hajar al-Haytami menyimpulkan pandangan ini bahawa disyaratkan bahasa Arab hanya kepada kaum Arab, adapun bagi kaum-kaum yang selainnya maka memadai disampaikan dengan bahasa yang difahami oleh setiap ‘Ajam (orang asing) kecuali pada ayat al-Quran yang sememangnya perlu dibaca dalam bahasa Arab[10].
Tambahan pula menurut pandangan kedua, penggunaan bahasa Arab ini hanyalah terpakai pada setiap rukun khutbah sebagaimana yang telah dijelaskan. Perihal ini turut dinyatakan dalam Taqrirat al-Sadidah pada menghuraikan syarat sah kedua-dua khutbah:
أَنْ تَكُونَ بِالْعَرَبِيَّةِ، أَيِ: الْأَرْكَانُ، وَذَلِكَ إِذَا كَانَ فِي الْقَوْمِ مَنْ يَعْرِفُ الْعَرَبِيَّةَ، وَإِلَّا فَيَكْفِي بِأَيِّ لُغَةٍ بِشَرْطِ أَنْ يَفْهَمَهَا الْحَاضِرُونَ، وَيَجِبُ عَلَيْهِمْ تَعَلُّمُ الْعَرَبِيَّةِ، وَإِلَّا أَثِمُوا مَعَ عَدَمِ صِحَّةِ جُمْعَتِهِمْ.
Maksudnya: Khutbah hendaklah disampaikan dalam bahasa Arab iaitu pada rukun-rukunnya, sekiranya terdapat dalam kalangan jemaah seseorang yang memahami bahasa Arab. Namun, jika tiada, maka memadai menggunakan mana-mana bahasa lain asalkan dapat difahami oleh para hadirin. Walaupun begitu, mereka tetap diwajibkan mempelajari bahasa Arab. Jika mereka gagal melaksanakannya, mereka berdosa dan solat Jumaat mereka dianggap tidak sah[11].
Oleh itu, sah khutbah yang disampaikan dalam bahasa Melayu pada tempat-tempat yang tidak dikategorikan sebagai rukun, namun ia mestilah berbentuk peringatan yang dapat memberi kesedaran kepada umat Islam khususnya terhadap urusan dan hukum hakam agama Islam. Perlu diingatkan bahawa khutbah Jumaat sewajarnya mengandungi nasihat yang membina untuk kaum muslimin, memberikan pencerahan, serta membawa kepada renungan yang bermanfaat. Ia tidak sepatutnya dipenuhi dengan percakapan yang sia-sia, cercaan atau penghinaan terhadap kumpulan tertentu, atau mana-mana pihak lain serta tidak mengandungi sebarang unsur mempromosi perniagaan demi kepentingan peribadi.
Kesimpulan
Khutbah Jumaat boleh disampaikan dalam bahasa Melayu dengan syarat menyebut rukun-rukunnya dalam bahasa Arab. Justeru para khatib perlu memastikan bahawa rukun-rukunnya dibaca dalam bahasa Arab dan perlu memastikan juga intipati khutbah tersebut berbentuk peringatan dan nasihat kepada masyarakat. Hal ini kerana, tujuan khutbah adalah sebagai peringatan, dan ia perlu dielakkan daripada sebarang percakapan sia-sia yang boleh mencemarkan keabsahan khutbah sebagai salah satu syarat sah solat Jumaat.
[1] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. (Beirut: Maktabah al-Islamiyy, t.t). Jil. 2, ms. 24-25.
[2] Ibn Hajar al-Haytamī, Tuḥfah al-Muḥtāj fi Syarh al-Minhāj, (Kaherah, Mesir: Maktabah al-Tijāriah al-Kubrā, 1983). Jil. 2 , ms. 457.
[3] Al-Bujayrimī, Hāsyiah al-Bujayrimī ‘Alā Syarh al-Minhāj, (Matba’ah al-Halabiy, t.t). Jil. 1, ms. 394.
[4] Ibn Hajar al-Haytamī, Tuḥfah al-Muḥtāj fi Syarh al-Minhāj, (Kaherah, Mesir: Maktabah al-Tijāriah al-Kubrā, 1983). Jil. 2 , ms. 457.
[5] Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadhdhab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah, t.t). Jil. 4, ms. 521.
[6] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah, 1993). Jil. 1, ms. 226. Hadis no. 605.
[7]Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. (Beirut: Maktabah al-Islamiyy, t.t). Jil. 2, ms. 26.
[8] Ibn Hajar al-Haytamī, Tuḥfah al-Muḥtāj fi Syarh al-Minhāj, (Kaherah, Mesir: Maktabah al-Tijāriah al-Kubrā, 1983). Jil. 2 , ms. 450.
[9] Syams al-Dīn al-Ramlī. Nihāyat al-Muhtāj ila Sharh al-Minhāj. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). Jil. 2, ms. 317.
[10] Ibn Hajar al-Haytamī, Tuḥfah al-Muḥtāj fi Syarh al-Minhāj, (Kaherah, Mesir: Maktabah al-Tijāriah al-Kubrā, 1983). Jil. 2 , ms. 450.
[11] Ḥassan bin Ahmad al-Kāff, al-Taqrīrāt al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah, (Yaman, Hadramawt: Dar al-Miras an-Nabawiyyah), ms. 333.