#84 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Solat Jamak Bagi Wanita Ketika Sakit Hendak Bersalin

Hukum Solat Jamak Bagi Wanita Ketika Sakit Hendak Bersalin

Tarikh: 6 MAC 2025

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Solat fardu 5 waktu merupakan kewajipan yang mesti dilakukan oleh semua umat Islam pada waktu yang telah ditetapkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 103:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا          

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya.

Kewajipan solat tidak terangkat bagi seseorang walaupun dalam keadaan sakit. Begitu juga bagi wanita hamil yang kebiasaannya akan menghadapi kesukaran dan kesakitan hendak bersalin. Namun begitu, adakah terdapat keringanan atau rukhsah yang diberikan kepada golongan ini untuk menunaikan solat jamak?

Keadaan Kesakitan Wanita Bersalin

Simptom hendak bersalin adalah berbeza bagi setiap wanita. Secara umumnya, tanda-tanda awal kelahiran adalah merasa sakit pada bahagian pinggang dan ari-ari atau rasa seperti hendak membuang air besar, sakit abdomen iaitu rahim mengeras disertai rasa kejang, keluar tanda iaitu mengalir darah bercampur lendir dari kemaluan serta turun air sedikit-sedikit atau pecah ketuban[1]. Keadaan ini biasanya berlaku pada usia kandungan mencecah lapan bulan atau 32 hingga 36 minggu[2].

Apabila proses kontraksi berlaku, kesakitan tersebut semakin dirasai oleh wanita yang hendak bersalin dalam tempoh waktu yang berjam-jam sehingga melepasi beberapa waktu solat fardu. Keadaan demikian memberi kesukaran kepada wanita yang hendak bersalin untuk bergerak dan menyucikan diri sebelum menunaikan ibadah solat. Kesakitan tersebut secara zahirnya dilihat merupakan suatu keuzuran dan kesukaran yang memerlukan kepada keringanan untuk menunaikan ibadah solat.

Perbahasan Ulama tentang Solat Jamak Kerana Sakit

Para fuqaha’ mempunyai pelbagai pendapat mengenai solat jamak kerana sakit iaitu:

  1. Pendapat pertama: Mengikut pendapat muktamad mazhab Hanafi dan mazhab Shafi’i tidak diharuskan seseorang yang sakit menjamakkan solat iaitu menggabungkan solat secara taqdim atau ta’khir disebabkan sakit. Menurut mazhab Hanafi tidak mengharuskan solat jamak kerana sakit sebagaimana kenyataan berikut[3]:

لا يجوز الجمع إلا في يوم عرفة للمحرم

Maksudnya: Tidak dibenarkan solat jamak kecuali pada Hari Arafah bagi orang yang sedang berihram haji.

Perkara ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA berkata[4]:

مَا رَأَيْتُ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى صَلَاةً إِلَاّ لِمِيقَاتِهَا إِلَاّ صَلَاتَيْنِ: صَلَاةَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِجَمْعٍ وَصَلَّى الْفَجْرَ يَوْمَئِذٍ قَبْل مِيقَاتِهَا

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menunaikan solat melainkan pada waktunya kecuali dua solat ini: solat Maghrib dan Isyak secara jamak, kemudian Baginda solat Subuh pada hari itu sebelum waktunya.

(Riwayat Muslim)

Manakala menurut mazhab Shafi’i, seseorang yang dalam keadaan berlaku lumpur, angin dan sakit tidak dibenarkan baginya untuk solat jamak sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Shirazi seperti berikut:

فأما الوحل والريح والمرض فلا يجوز الجمع لأجلها فإنها قد كانت في زمان النبي صلى الله عليه وسلم ‌ولم ‌ينقل ‌أنه ‌جمع ‌لأجلها وإن كان يصلي في بيته أو في مسجد ليس في طريقه إليه مطر ففيه قولان: قال في القديم: لا يجوز لأنه مشقة عليه في فعل الصلاة في وقتها وقال في الإملاء: يجوز لأن النبي صلى الله عليه وسلم كان يجمع في المسجد وبيوت أزواجه إلى المسجد وبجنب المسجد[5]

Maksudnya: Adapun lumpur, angin dan sakit tidak dibenarkan solat jamak kerana keadaan tersebut. Sesungguhnya perkara tersebut pernah berlaku pada zaman Nabi SAW, namun tidak dinyatakan bahawa Baginda melakukan solat jamak kerana keadaan tersebut. Namun, jika seseorang solat di rumahnya atau di masjid yang jalan ke arahnya tidak kena hujan, terdapat dua pendapat: (1) Pendapat (qaul qadim) mengatakan ia tidak diharuskan kerana ia (keharusan melakukan jamak solat) adalah apabila berlaku kesulitan atau kesukaran untuk menunaikan solat pada waktunya; (2) Pendapat beliau dalam kitab al-Imla’: diharuskan kerana Nabi SAW pernah menjamakkan solat di masjid, rumah isteri-isterinya dan di sekitar masjid.

Imam al-Nawawi juga menjelaskan pendirian muktamad mazhab Shafi’i dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhadhdhab[6]:

(فَإِنْ قِيلَ) الْمَرِيضُ أَحْوَجُ إلَى الْجَمْعِ مِنْ الْمُسَافِرِ وَأَنْتُمْ لَا تُجَوِّزُونَهُ (قلنا) الاتيان بصلاتين متعاقبتين افعال كثيرة وقد يَشُقُّ عَلَى الْمَرِيضِ مُوَالَاتُهَا وَلَعَلَّ تَفْرِيقَهَا أَهْوَنُ عَلَيْهِ وَالْمُسَافِرُ يَشُقُّ عَلَيْهِ النُّزُولُ لِلصَّلَاةِ حَالَ سَيْرِ الْقَوَافِلِ وَقَدْ يُؤَدِّي إلَى ضَرَرِهِ

Maksudnya: (Dikatakan) orang yang sakit lebih memerlukan kepada jamak berbanding orang yang bermusafir sedangkan kalian tidak mengharuskannya. (Kami menjawab) Mengerjakan solat secara berturutan menuntut perbuatan yang banyak, dan ini lebih menyukarkan orang yang sakit. Justeru, memisahkannya adalah lebih meringankan mereka. Berbeza dengan orang yang musafir, adalah lebih menyukarkan mereka jika perlu turun untuk mengerjakan solat dalam keadaan rombongannya berjalan (perlu kepada jamak). 

2. Pendapat kedua: Menurut mazhab Maliki, sebahagian ulama mazhab Shafi’i seperti Imam al-Nawawi dan mazhab Hanbali menyatakan harus solat jamak bagi mereka yang sakit[7]. Sebahagian ulama mazhab Shafi’i yang mengharuskan solat jamak kerana sakit adalah seperti berikut[8]:

وَقَالَ جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِنَا: يَجُوزُ بِالْمَرَضِ وَالْوَحْلِ. مِمَّنْ قَالَهُ مِنْ أَصْحَابِنَا: أَبُو سُلَيْمَانَ الْخَطَّابِيُّ وَالْقَاضِي حُسَيْنٌ وَاسْتَحْسَنَهُ الرُّويَانِيُّ. فَعَلَى هَذَا يُسْتَحَبُّ أَنْ يُرَاعِيَ الْأَرْفَقَ بِنَفْسِهِ، فَإِنْ كَانَ يُحَمُّ مَثَلًا فِي وَقْتِ الثَّانِيَةِ قَدَّمَهَا إِلَى الْأُولَى بِالشَّرَائِطِ الْمُتَقَدِّمَةِ، وَإِنْ كَانَ يُحَمُّ فِي وَقْتِ الْأُولَى أَخَّرَهَا إِلَى الثَّانِيَةِ

Maksudnya: Telah berkata sebahagian daripada Ashab kami: harus (solat jamak) kerana sakit dan keadaan lumpur. Mereka yang menyatakan sedemikian adalah Imam Abu Sulaiman al-Khattabi, al-Qadhi Husayn dan al-Ruyaini. Oleh itu, adalah wajar bagi seseorang untuk mempertimbangkan kemudahan bagi dirinya. Sebagai contoh jika merasa sakit pada waktu solat kedua, boleh mendahulukan solat pada waktu solat pertama dengan syarat yang telah disebutkan sebelumnya. Jika merasa sakit pada waktu solat pertama boleh melakukannya pada waktu solat kedua.

Imam al-Nawawi mengharuskan solat jamak kerana sakit bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA berkata[9]:

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي ‌غَيْرِ ‌خَوْفٍ ‌وَلَا ‌مَطَرٍ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah menunaikan solat jamak antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah bukan kerana takut atau hujan.

(Riwayat Muslim)

Ulama Mazhab Maliki mengharuskan solat jamak bagi mereka yang dalam kesakitan sebagaimana disebut oleh Ibn Rushd seperti berikut:

اتَّفَقَ مَالِكٌ وَجَمِيعُ أَصْحَابِهِ عَلَى إبَاحَةِ الْجَمْعِ بَيْنَ الْمُشْتَرِكَتَيْ الْوَقْتِ لِعُذْرِ السَّفَرِ وَالْمَرَضِ وَالْمَطَرِ فِي الْجُمْلَةِ[10]

Maksudnya: Imam Malik dan sekalian Ashabnya telah bersepakat bahawa harus solat jamak bagi dua waktu solat kerana keuzuran musafir, sakit dan hujan secara keseluruhannya.

Begitu juga disebut oleh Imam Ibn Qudamah seperti berikut:

ويجوز الجمع لأجل المرض وهو قول عطاء، ومالك. وقال أصحاب الرأي والشافعي: لا يجوز فإن أخبار التوقيت ثابتة فلا تترك بأمر محتمل. ولنا ما روى ابن عباس، قال: جمع رسول الله – صلى الله عليه وسلم – بين الظهر والعصر، وبين المغرب والعشاء من غير خوف ولا مطر. وفي رواية: من غير خوف ولا سفر. رواهما مسلم. وقد أجمعنا على أن الجمع لا يجوز لغير عذر، ثبت أنه كان لمرض، وقد روي عن أبي عبد الله أنه قال في حديث ابن عباس: هذا عندي رخصة للمريض والمرضع[11]

Maksudnya: Harus jamak sebab sakit. Ia merupakan pendapat Atha’ dan Malik. Manakala menurut pendapat Ashab al-Ra’yi dan Imam al- Shafi’i tidak mengharuskannya kerana penentuan waktu solat adalah tetap. Maka, tidak boleh diubah waktunya berdasarkan kepada perkara yang mempunyai kebarangkalian. Bagi kami, adalah apa yang telah diriwayatkan oleh Ibn Abbas katanya: Rasulullah menjamakkan solat antara Zohor dan Asar serta antara Maghrib dan Isyak bukan kerana takut dan hujan. Menurut riwayat lain: tanpa sebab takut dan musafir (hadis riwayat Muslim). Kami bersepakat bahawa solat jamak adalah tidak dibenarkan tanpa sebarang keuzuran. Telah sabit bahawa ia (solat jamak) dibenarkan kerana sakit. Diriwayatkan daripada Abu Abdullah bahawa beliau berkata dalam hadis Ibn ‘Abbas: Perkara ini menurutku adalah suatu keringanan bagi orang yang sakit dan menyusu.

Sakit yang dibenarkan solat Jamak

Syarat kesakitan yang membenarkan seseorang solat jamak ialah apabila mengalami kesukaran yang berat atau lemah untuk bergerak dalam melakukan solat pada waktunya[12] sebagaimana dinukilkan dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi Masa’il al-Mufidah bahawa:

ضابط المرض المبيح للجمع: أن تلحقه مشقة شديدة إذا صلى كل صلاة في وقتها وقال بعضهم: يجوز إذا كان المرض يبيح الجلوس في الصلاة

Maksudnya: Syarat sakit yang dimaksudkan yang membolehkannya untuk solat jamak adalah apabila ia menyebabkan kesukaran yang bersangatan apabila hendak menunaikan solat pada waktunya. Kata sebahagian ulama: harus bagi orang yang sakit melakukan solat jamak dalam keadaan duduk.

Maksud sakit yang membolehkan seseorang itu menunaikan solat secara jamak adalah sebagaimana berikut[13]:

  1. Menurut mazhab Hanbali adalah seperti yang dinyatakan oleh Ibn al-Qudamah iaitu sesuatu yang menyebabkan kesusahan (masyaqqah) dan kelemahan untuk menunaikan solat pada setiap waktu solat yang ditetapkan[14];
  2. Menurut mazhab Maliki sakit yang dimaksudkan adalah sehingga menghilangkan akal[15];
  3. Menurut al-Dardir sesiapa yang takut pitam, demam kekejangan atau pening sehingga masuk waktu solat kedua (Asar dan Isyak) maka boleh solat kedua-duanya pada waktu solat pertama. Jika seseorang telah tersedar dari rasa pitam dan apa yang datang selepasnya, dan dia telah melakukan solat yang kedua, maka dia hendaklah mengulangi solat kedua (yang tertinggal) pada waktu yang diperlukannya[16].

Pandangan yang menjadi pilihan adalah pandangan ulama yang mengatakan boleh atau harus dilakukan jamak solat kerana sakit, jika sakit itu mendatangkan masyaqqah atau kesukaran yang di luar dari kebiasaan terutamanya jika wujud kesukaran untuk bersuci bagi menunaikan solat. Ia juga merupakan salah satu rukhsah dalam Islam[17] khususnya kepada wanita yang sedang mengalami sakit yang bersangatan ketika hendak bersalin. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran

Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang disepakati para ulama:

المشقة تجلب التيسير

Maksudnya: kesulitan membawa kepada kemudahan[18]

Kaedah ini digunakan dalam kebanyakan perkara berkaitan ibadah seperti tayammum ketika ketiadaan air, keringanan bagi mereka yang sakit untuk solat secara duduk, baring dan sebagainya. Begitu juga bagi wanita yang bersangatan sakit ketika hendak bersalin diberi kelonggaran untuk menunaikan solat fardhu secara jamak.

Kesimpulan

Wanita yang hendak bersalin diuji dengan kesakitan yang kebiasaannya menyebabkan kesukaran dan kesusahan bagi mereka untuk bergerak atau mensucikan diri bagi menunaikan ibadah solat khususnya solat fardu. Kesakitan yang dialami adakalanya mengambil masa yang panjang sehingga melibatkan beberapa waktu solat fardu. Justeru itu, diharuskan bagi wanita yang mengalami sakit yang bersangatan ketika hendak bersalin untuk menunaikan solat fardu secara jamak tanpa qasar untuk solat Zohor dan Asar, begitu juga Maghrib dan Isyak sebagai keringanan bagi mereka untuk tetap menunaikan kewajipan solat fardu.

 

[1] Laman Web Rasmi Hospital Sungai Buloh, “Prosedur Bersalin”, https://jknselangor.moh.gov.my/hsgbuloh/ms/orang-awam/soalan-lazim-list/103-soalan-lazim-prosedur-bersalin.html

[2] Intan Mas Ayu Shahimi, Tenang Hadapi Proses Bersalin, Laman Sesawang Harian Metro, Tarikh Terbitan: 26 Ogos 2019, Maklumat diakses pada 12 September 2024, https://www.hmetro.com.my/hati/2019/08/489939/tenang-hadapi-proses-bersalin

[3] Wahbah bin Muṣṭafā Al-Zuḥailī, al-Fiqh Al-Islāmi wā Adillatuh, (Damsyik: Dār al-Fikr, t.t), jil. 2, ms. 1377.

[4] Abū al-Ḥusain Muslim bin al-Hujāj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ al-Imām Muslim, (Turki: Dār al-Tabā’ah al-‘Āmirah, 1334H/1916M), no. 1289, jil. 4, ms. 76.

[5] Abū Isḥāq Ibrāhīm bin ‘Alī bin Yūsuf al-Shīrāzī, al-Muhaẓab fi Fiqh al-Imām al-Shāfi’ī, (Dār al-Kutub ‘Ilmiah, t.t), jil. 1, ms. 198.

[6] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarḥ al-Muhadhdhab, (Kāherah: Idārah al-Tibā’ah al-Muniriah, 1929), Jil. 4, ms. 373.

[7] Antaranya Imam al-Qadhi Husayn, Ibn Suraij, al-Ruyaini, al-Mawardi, al-Darimi dan Mutawalli; Hassan bin Ahmad al-Kāf. (2022). Al-Taqrīrat al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah. Yaman, Hadramawt: Dār al-Mirāth an-Nabawiyyah. Jilid 1, ms. 322.

[8] al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf, Rawḍah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn, (Beirut: Maktab al-Islāmī, 1991), Jil. 1, ms. 401.

[9] Abū al-Ḥusain Muslim bin al-Hujāj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, Hadis No. 705, Jil. 2, Ms. 152.

[10] Shams al-Dīn Abū ‘Abd Allāh Muḥammad bin Muḥammad bin ‘Abd al-Raḥman al-Ṭarāblasī al-Maghribī, Mawāhib al-Jalīl fī Sharḥ Mukhtaṣar Khalīl, (t.t, Dār al-Fikr, 1992), Jil. 1, ms. 390.

[11] Ibn Qudāmah, Abū Muḥammad Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Qudāmah, al-Mughnī li Ibn Qudāmah, (Kāherah: Maktabah Kāherah, 1969), Jil. 2, ms. 204-205.

[12] Ḥassan bin Aḥmad al-Kaff, al-Taqrīrat al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah. Yaman, Hadramawt: Dār al-Mirāth an-Nabawiyyah. Jilid 1, ms. 322

[13] Mausū’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, Jil. 27, ms. 360.

[14]  Ibn Qudāmah, Abū Muḥammad Abdullah bin Aḥmad bin Muḥammad bin Qudāmah, al-Mughnī li Ibn Qudāmah, jil. 2, ms. 204-205.

[15] Mālik bin Anas bin Mālik bin ‘Āmir al-Aṣbaḥī al-Madanī, al-Mudawwanah, (Dār al-Kutub ‘Ilmiah, 1994), Jil. 2, ms. 157; al-Qarāfī, Abū al-‘Abbās Shihāb al-Dīn Aḥmad bin Idrīs bin ‘Abd al-Raḥman al-Mālikī, al-Zakhīrah, (Beirut: Dār al-Gharb al-Islāmīy, 1994), jil. 2, ms. 374

[16] Mausū’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, jil. 36, ms. 361; Aḥmad bin Muḥammad al-Ṣāwī al-Mālikī, Ḥāsyiah al-Ṣāwī ‘alā Syarḥ al-Ṣaghīr (Syarḥ al-Syeikh al-Dardīr li kitābihi al-Musammā), (Maktabah Muṣṭafā al-Bābīy al-Ḥalabīy, 1952), jil. 1, ms. 175.

[17] Muḥammad bin Aḥmad bin ‘Umar al-Shāṭirī, Sharḥ al-Yāqūt al-Nafīs fī Maẓhab Ibn Idrīs, (Beirut: Dār al-Minhāj), ms. 231.

[18] Jalāl al-Dīn ‘Abd al-Raḥman al-Suyūtī, al-Ashbāh wa al-Nazā’ir fī Qawā’id wa Furū’ Fiqh al-Shāfi’iyah, (Dār al-Kutub ‘Ilmiah, 1983), ms. 76-77.

Accessibility Toolbar