Tarikh: 26 Februari
2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Pada alaf kehidupan yang semakin moden ini, umat Islam
sering kali berhadapan dengan persoalan berkaitan status halal makanan dan
minuman sesebuah restoran atau premis terutamanya yang dimiliki oleh golongan
non-Muslim. Justeru, artikel ini sedikit sebanyak akan membahaskan berkenaan
hukum makan di restoran non-Muslim yang menyediakan makanan halal secara lebih
terperinci.
Kepentingan
Mencari Yang Halal
Mengambil sumber makanan yang halal merupakan kewajipan
setiap individu Muslim kerana ia menjadi asas kepada keberkatan dalam
kehidupan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah
ayat 172 dan 168:
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ
لِلَّهِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang
beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami
berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah SWT.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ
حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ
عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang
ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah
Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi
kamu.
Tidak
dilupakan juga, bahawa Allah SWT bukan hanya menyuruh memastikan makan tersebut
bersumberkan yang halal sahaja bahkan konsep toyyiban (baik) juga
digandingkan sekali dalam hal ini kerana terdapat padanya segala kebaikan buat
umat Islam. Hal ini sepertimana disebutkan di dalam surah al-Baqarah ayat 168
yang lalu dan surah al-Maidah ayat 88. Menurut Ibn Kathir tayyib yang
dimaksudkan tersebut adalah sesuatu yang baik pada dirinya sendiri, tidak
memudaratkan tubuh badan dan tidak merosakkan akal.[1]
Justeru, dapat dirumuskan bahawa terdapat perintah dari Allah SWT untuk memakan
makanan yang halal dan juga baik demi memelihara kesejahteraan manusia,
sebaliknya makanan yang haram dan tidak baik hanya akan memberi kemudaratan
kepada manusia.
Begitu juga, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Anas
bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda;
طَلَبُ
الْحَلَالِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: Mencari rezeki yang halal
hukumnya wajib ke atas setiap orang muslim.[2]
(Riwayat al-Tabarani)
Walaupun begitu, umat Islam tidak dibebankan untuk
menyelidik secara mendalam terhadap perkara-perkara yang syubhah. Menurut Ibn
Rajab al-Hanbali, tidak menjadi kewajipan untuk bertanya dan menyelidik perkara
yang syubhah.[3] Oleh
itu, tidaklah diwajibkan dan tidak juga dilarang untuk umat Islam menyelidik
sesuatu perkara yang syubhah.
Namun, galakan menjauhi perkara
syubhah adalah yang paling utama. Bahkan kita digalakkan meninggalkan perkara
yang meragukan. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
دَعْ
مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
Maksudnya: Tinggalkan apa yang
meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.[4]
(Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, dalam hal ini tidak menafikan keutamaan bersikap
warak dalam memilih makanan. Rasulullah SAW menganjurkan terhadap umatnya agar
menyediakan makanan yang dibuat dengan ketakwaan dan disediakan bagi individu
yang bertakwa. Sabda Nabi SAW;
لَا
تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا، وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ
Maksudnya: Janganlah kamu bersahabat
melainkan dengan orang yang beriman dan
janganlah biarkan makananmu dimakan melainkan oleh orang
yang bertaqwa.[5]
(Riwayat al-Tirmizi)
Pengiktirafan
Halal Jakim
Pengiktirafan halal memainkan peranan penting dalam
memastikan produk makanan, minuman serta perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi
syarat-syarat yang telah digariskan oleh syarak. Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) merupakan badan utama yang bertanggungjawab dalam memberikan
pengiktirafan sijil halal kepada pengusaha restoran dan premis makanan. Proses
ini melibatkan pemeriksaan yang ketat mengikut kepada Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan, termasuk
pemeriksaan terhadap bahan mentah, peralatan, proses pengeluaran, dan
kebersihan premis. Hal ini tidak lain bagi menjamin setiap produk yang
dipasarkan adalah halal dan tayyib (baik serta bersih) selari dengan
tuntutan syarak.
Melihat kepada restoran dan premis
yang telah dinilai serta mendapatkan sijil halal JAKIM, pelanggan atau pengguna
mampu membuat keputusan yang lebih bijak dan bertanggungjawab dalam memilih
restoran yang dikunjungi tanpa rasa waswas.
Tambahan pula, restoran dan premis yang mempunyai sijil halal menjadi simbol kualiti
yang baik kerana memenuhi standard kebersihan dan juga berpotensi menjadi
pilihan utama pelanggan dari pelbagai latar belakang agama.
Bagi pengusaha non-Muslim yang
menawarkan makanan atau perkhidmatan kepada umat Islam, mendapatkan sijil halal
JAKIM adalah langkah yang sangat penting bagi membuktikan komitmen mereka dalam
memenuhi keperluan pelanggan Muslim. Perintah Perihal Dagangan yang
dikuatkuasakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 menetapkan bahawa semua
makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan jika
diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan
logo halal yang sah.[6]
Majlis Keselamatan Negeri (MKN) juga menegaskan bahawa tindakan tegas akan
diambil terhadap mana-mana pihak yang menggunakan logo halal tanpa kebenaran
selaras dengan peruntukan di bawah akta tersebut.[7]
Manakala sekadar moto ‘no pork, no lard’ atau ‘muslim friendly’ belum memberikan
jaminan bahawa status produk ataupun makanan yang disajikan adalah halal dan
bersih. Adalah menjadi tanggungjawab peribadi bagi setiap pelanggan Muslim
membuat pilihan yang bijak terlebih dahulu untuk mengenal pasti status premis
atau restoran yang dipilih dengan cara mengakses ke portal halal JAKIM dan
menyemak status premis tersebut.
Maksud
Syubhah
Isu yang dibincangkan ini sangat
berkait rapat dengan permasalahan syubhah. Para ulama berbeza pandangan dalam
mentafsirkan makna syubhah. Syubhah berasal daripada perkataan Arab syibhu, syabahu dan syabihu iaitu menyerupai.[8] Manakala pada sudut istilah,
syubhah adalah sesuatu perkara yang samar dan tidak diketahui sama ada ianya
halal atau haram, hak atau batil.[9]
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula, syubhah adalah kesamaran (kerana
tidak jelas hukumnya antara halal dan haram).[10] Definisi ini bertepatan
dengan definisi syubhah di sisi Imam al-Nawawi.[11]
Manakala menurut Imam Ahmad bin
Hanbal pula, syubhah terdapat dua maksud. Pertama, syubhah adalah status yang
berada di antara halal dan haram. Kedua, syubhah adalah perkara yang halal bercampur
dengan perkara yang haram.[12]
Menurut Imam al-Bukhari pula, syubhah adalah perkara yang meragukan.[13]
Oleh itu, dapat dirumuskan definisi syubhah adalah sesuatu keraguan yang tidak
dapat dipastikan statusnya sama ada halal atau haram. Hal ini sebagaimana hadis
yang diriwayatkan daripada al-Nu‘man bin Basyir RA, sabda Nabi SAW:
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ
وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ
اتَّقَى الشُّبُهَاتِ
اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ
وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ
Maksudnya: Sesungguhnya perkara
halal itu jelas dan perkara haram itu jelas. Antara kedua-dua perkara tersebut
terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh orang ramai
berkaitannya. Maka, sesiapa yang menjauhi perkara syubhah terpeliharalah agama
dan kehormatannya. Dan sesiapa yang mendekati perkara syubhah, maka ia
mendekati perkara haram.[14]
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menjelaskan bahawa perkara yang halal itu jelas
dan perkara yang haram itu juga jelas. Walau bagaimanapun, terdapat di
antaranya satu perkara yang samar statusnya sama ada halal atau haram, iaitu
syubhah.
Pada asalnya, syubhah tidak dapat
dihukumkan dengan sebarang hukum sama ada ia halal mahupun haram. Hal ini
bertepatan dengan keterangan Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim:
وما لم يظهر للمجتهد فيه شيء وهو مشتبه، فهل يؤخذ بحله أم
بحرمته أم يتوقف فيه… الأصح
أنه لا يحكم بحلّ ولا حرمة
ولا إباحة ولا غيرها.
Maksudnya: Dan setiap sesuatu yang
tidak jelas bagi seorang mujtahid, maka ia adalah satu kesamaran (syubhah).
Adakah boleh dihukum sebagai halal atau haram
atau dia bertawaqquf mengenainya?
Pendapat yang asoh (lebih sahih)
adalah ia tidak dihukumkan sebagai halal, haram, harus atau selainnya.[15]
Justeru itu, syubhah adalah satu
keadaan yang tidak dapat dipastikan status halal atau haram bagi sesuatu
perkara. Perkara syubhah tidaklah dihukumkan haram atau harus atau halal secara
mutlak. Perkara syubhah juga banyak berlaku dalam kehidupan seharian Muslim
termasuk pengambilan makanan dan minuman. Oleh itu sebagai langkah
berjaga-jaga, perkara syubhah ini hendaklah dijauhkan.
Hukum Makan
Di Restoran Non-Muslim Yang Menyediakan Makanan Halal
Secara umumnya, hukum berurus niaga dengan non-Muslim adalah
diharuskan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah RA
katanya:
أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى
طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW
pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara
bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.[16]
(Riwayat
al-Bukhari)
Akan tetapi, berbeza pula hukumnya
berkenaan dengan makan di restoran non-Muslim.
Restoran non-Muslim yang terang-terangan menjual makanan dan minuman yang tidak
halal, maka jelas haram hukumnya makan di restoran sebegini. Manakala makan di
restoran non-Muslim yang mendakwa menyediakan makanan yang halal, tetapi tidak
memiliki pengiktirafan JAKIM, maka ia dikira sebagai syubhah yang perlu
dijauhkan.
Walaupun syubhah tidak dihukumkan
haram secara mutlak, ia juga bukanlah harus mahupun halal secara mutlak. Hal
ini berdasarkan hadis syubhah sebelum ini yang menyatakan bahawa sesiapa yang
menjauhi perkara syubhah, maka terpeliharalah agama dan kehormatannya. Manakala
sesiapa yang mendekati perkara syubhah, maka ia sedang mendekati perkara haram.
Menurut Imam al-Nawawi, hadis syubhah ini boleh membawa dua maksud. Pertama,
seseorang yang sering kali mengambil perkara syubhah boleh terambil perkara
haram secara tidak sengaja. Kedua, seseorang yang terlalu bermudah-mudahan
dalam mengambil perkara syubhah dikhuatiri boleh mendekatkan diri kepada
perkara yang haram.[17]
Oleh itu, perbuatan makan di
restoran non-Muslim yang menyediakan makanan halal dan tidak mempunyai
pengiktirafan JAKIM perlulah dielakkan dan dijauhi. Hal ini kerana perbuatan
tersebut boleh mendekatkan diri kepada perkara yang haram. Bahkan juga ditakuti
sekiranya perkara syubhah tersebut sebenarnya adalah haram.
Kesimpulan
Makan di restoran non-Muslim yang menyediakan makanan halal
dan tidak mempunyai pengiktirafan halal JAKIM dapat dihukumkan sebagai syubhah
yang perlu dielakkan dan dijauhi oleh umat Islam. Umat Islam ditekankan agar
menjauhkan diri daripada perkara syubhah kerana ia merupakan tuntutan dari
syarak. Pengambilan sijil halal daripada JAKIM merupakan suatu jaminan bahawa
makanan yang disediakan oleh sesebuah premis itu adalah halal. Namun begitu,
tidak dinafikan bahawa memilih makanan yang disediakan oleh orang Islam adalah
lebih afdhal dan ia merupakan suatu sifat warak dalam mencari makanan yang
diyakini bersih dan halal.
[1] Abū al-Fidā’ Ismāīl bin
Umar bin Kathir al-Qurasyī al-Baṣrī. Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm. (t.t.p:
Dār Ṭībah li al-Nasyr Wa al-Tawzī’, 1999). 1/478.
[2] Abū al-Qāsim Sulaymān bin Aḥmad al-Ṭabarānī, Al-Mu’jam al-Awsaṭ, (Kaherah: Dār
al-Ḥaramain, 1995), 8/272. No hadis.
8610. Menurut al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib
wa al-Tarhib (3/16):
“Isnadnya hasan, in sya’ Allah”. Kata
al-Hafiz al-Haythami dalam Majma‘
al-Zawa’id (10/294): “Isnadnya hasan”.
[3] Ibn Rajab al-Ḥanbalī, ʿAbdul Raḥmān bin Shihāb. Jāmiʿ al-ʿUlūm Wa al-Ḥikam. (Beirut:
Mu’assasah al-Risālah, 1997). 2/167.
[4] Abū Isā Al-Tirmiẓi. Sunān
Al-Tirmiẓi. (Mesir: Maktabah Muṣṭafā Al-Bābi Al-Halabi, 1975), 4/668. No
hadis. 2518. Kata al-Tirmizi: “Hadis sahih”.
[5] Abū
Isā Al-Tirmiẓi. Sunān Al-Tirmiẓi,
4/600. No Hadis: 2395. Kata al-Tirmizi: “Hadis hasan”.
[6] Perintah
Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, laman sesawang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, https://jheains.ns.gov.my/images/download/Perintah-Perihal-Dagangan–Perakuan–Penandaan-Halal-2011.pdf
[7] Larangan Guna Logo Halal Tak Sah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna,
diakses pada 20 Januari 2025, https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/03/11/tindakan-tegas-diambil-jika-menggunakan-logo-halal-tanpa-kebenaran/#:~:text=Kementerian%20Perdagangan%20Dalam%20Negeri%20Dan,menggunakan%20LOGO%20HALAL%20TANPA%20KEBENARAN.
[8] Abū Fadhl, Muḥammad bin Mukarram bin ‘Ali ibn Manzūr
al-Anṣārī, Lisān al-‘Arab. (Beirut:
Dār Ṣādir, 1414H), 13/503.
[9] Ibrahīm Muṣṭafā et. al, Al-Mu’jam
al-Wasīṭ, (t.t.p.: Dār al-Dakwah, t.t), 1/471.
[10] Maksud syubhah menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Laman sesawang: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=syubhah
[11] Al-Nawawī,
Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Minhāj Sharḥ
Ṣaḥīḥ Muslim. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-ʿArabī, 1972) 11/27.
[12] Ibn
Rajab, Zainuddīn Abū al-Farj ‘Abd al-Raḥmān al-Dimasyqiy, Jāmi’ al-‘Ulūm wa al-Ḥikam, (Beirūt: Muassasah al-Risālah,
1417H/1997M), jil. 1, ms. 199.
[13] Al-Bukhārī,
Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī.,
1/20..
[14] Al-Bukhārī,
Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī.
(Mesir: Sulṭāniyah, 1893) No hadis. 52, jil. 1, ms. 20.
[15] Al-Nawawī,
Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Minhāj Sharḥ
Ṣaḥīḥ Muslim. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-ʿArabī, 1972) 11/28.
[16] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893) No hadis: 2068.
[17] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth
al-ʿArabī, 1972) 11/29.