#12 Taudhih Al-Falak : Justifikasi Imkan Ar-Rukyah Dalam Penetapan Takwim Hijri

 

Tarikh: 7.2.2025

Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman

Pendahuluan

Takwim atau kalendar merujuk kepada sistem penjadualan waktu yang digunakan untuk menyusun hari, bulan, dan tahun. Ini termasuk penentuan waktu untuk pelbagai aktiviti, perayaan, dan ibadah. Asas takwim yang digunakan di dalam ketamadunan Islam ialah Takwim Hijri iaitu kalendar yang menandakan bulan-bulan Hijriah, seperti Ramadhan dan Syawwal, serta waktu-waktu solat. Secara umumnya, Takwim Hijri berdasarkan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi, namun secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim iaitu Takwim Istilahi, Takwim Ijtimak Hakiki, Takwim Wujudul Hilal dan Takwim Imkan ar-Rukyah. Setiap jenis takwim mempunyai kepentingan dan sebab mengapa takwim tersebut digunakan di negara-negara Islam. Maka, apakah justifikasi penentuan Takwim Hijri di Malaysia yang berdasarkan Imkan ar-Rukyah?

Apakah Imkan ar-Rukyah dan Sejarah Penetapannya di Malaysia

Imkan ar-rukyah didefinisikan sebagai apa yang dihasilkan daripada hisab yang menunjukkan keberadaan anak bulan (hilal) setelah tenggelam matahari sekira-kira boleh pada adatnya dilihat anak bulan tersebut sekiranya tiada penghalang dengan mengambil kira semua kriteria-kriteria yang diiktiraf oleh ahli falak. Definisi ini telah disepakati bersama di dalam Wacana Intelektual Falak yang diadakan pada 3-5 Oktober 2024 bersamaan 29 Rabiul Awwal – 2 Rabiul Akhir 1446H di Hotel Klana Beach Resort Port Dickson. Wacana ini telah dihadiri wakil dari Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri, Jabatan-jabatan Mufti Negeri dan guru-guru sistem pengajian pondok.

Ringkasnya, Imkan ar-Rukyah merupakan satu kriteria yang dirumuskan berdasarkan kepada rekod kenampakan anak bulan atau kaedah dalam menjangkakan kenampakan anak bulan boleh kelihatan. Ia membawa maksud keadaan paling minima selepas ijtimak bagi bulan untuk berada di ufuk langit barat ketika matahari terbenam yang memungkinkan anak bulan dilihat[1]. Ia bertitik tolak daripada hasil teori dan kajian-kajian yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu seperti Ibn Tariq, al-Khawarizmi, al-Biruni, Ibn Yunus dan al-Tusi, kemudian diperkembangkan lagi secara saintifik oleh Fotheringham, Maunder, Ilyas, Odeh dan Amir[2].

            Takwim Imkan ar-Rukyah adalah berasaskan sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, yang mana penentuan bagi setiap awal bulan Hijri adalah dengan menetapkan syarat-syarat tertentu yang mesti dipenuhi bagi mensabitkan permulaan bulan baharu seperti ketinggian anak bulan dan elongasi bulan-matahari yang perlu dipenuhi[3]. Syarat-syarat ini atau disebut sebagai kriteria adalah berbeza mengikut sesebuah negara. Kriteria Imkan ar-rukyah mula diguna pakai di Malaysia pada tahun 1984 setelah kriteria tersebut diperkenalkan melalui Persidangan Anak Bulan  Negara-Negara  Islam  Sedunia  yang  berlangsung di Istanbul pada 27-30 November 1978. Kriteria yang dipersetujui dan diubah suai di Malaysia ialah awal bulan Hijri ditentukan ketika mana altitud anak bulan tidak kurang daripada 5.5º ketika matahari terbenam di bawah ufuk, dan jarak lengkung antara bulan dan matahari ketika matahari terbenam tidak kurang daripada 7.5º, serta tambahan kriteria umur bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak[4] ketika bulan terbenam[5].

            Pada tahun 1992, Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah bersepakat untuk menyelaraskan kaedah penentuan awal bulan Ramadhan,  Syawwal dan Zulhijjah dalam kalangan negara-negara anggota berdasarkan rukyah dan hisab, lalu mengubahsuai Kriteria Imkan ar-Rukyah (KIR) sedia ada iaitu apabila kiraan memenuhi salah satu syarat berikut:

(a)    sewaktu matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2º dan jarak lengkung (bulan-matahari) tidak kurang daripada 3º; atau

(b)   ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam (selepas berlaku ijtimak)”.

 

KIR ini pada mulanya digunakan bagi penentuan awal bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah sahaja manakala bulan-bulan lain mengguna pakai Wujudul Hilal. Pada tahun 1995, Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam telah menetapkan penggunaan kriteria Imkan ar-Rukyah untuk semua bulan Hijriah dalam pelaksanaan Takwim Hijriah. Bermula tahun 2006, KIR 1992 disemak semula setelah hampir 16 tahun KIR 1992 diguna pakai serta diusul dan dibahaskan kembali di dalam siri-siri seminar dan muzakarah berulang kali sehingga mencapai persetujuan KIR yang baharu bagi anggota MABIMS dalam penentuan Takwim Hijri dan awal bulan Hijri iaitu; “Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan sama atau melebihi 3º dari ufuk dan jarak lengkung (sudut elongasi) bulan ke matahari tidak kurang dari 6.4º”. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-2/2021 yang bersidang pada 25 Rajab 1442H bersamaan 9 Mac 2021 memutuskan bahawa;

“Perubahan nilai Kriteria Imkan ar-Rukyah yang baharu iaitu ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung Bulan Matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4° dan bersetuju untuk pelaksanaannya pada tahun 2021 (Muharram 1443H) selaras dengan keputusan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Kali Ke-44”. Rajah 1.1 menunjukkan ilustrasi Kriteria Imkan ar-Rukyah 2021.

 

Rajah 1.1: Ilustrasi Kriteria Imkan ar-Rukyah 2021

Justifikasi Imkan ar-Rukyah

Takwim Hijri atau dikenali juga dengan Takwim Qamariyyah adalah berasaskan kepada perubahan kedudukan bulan. Takwim Hijri digunakan oleh umat Islam dalam menentukan waktu ibadah, hari kebesaran Islam, perbahasan-perbahasan Fiqh dan segala ibadah dalam Islam. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 189;

 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji”.

 

Takwim Hijri mempunyai 12 bulan iaitu bulan Muharram, Safar, Rabi’ul Awwal, Rabi’ul Akhir, Jumadal Ula, Jumadal Akhirah, Rajab, Sya’ban, Ramadhan, Syawwal, Zulqa’dah dan Zulhijjah. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Taubah ayat 36;

 

 إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati”.

 

Manakala, di dalam setiap bulan Hijri pula mempunyai 29 atau 30 hari bergantung kepada ijtimak dan kewujudan atau kenampakan anak bulan. Daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda;

 

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا”.‏ يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ[6]

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan tidak menghitung. Bulan itu begini dan begini…” (iaitu kadangkala 29 hari dan kadangkala 30 hari).

Syarak tidak menetapkan sesuatu kaedah khusus bagi penentuan awal bulan Hijri. Merujuk kepada nas-nas syarak, hanya menyentuh kepada bilangan bulan dalam setahun iaitu 12 bulan, dan juga pada bilangan hari dalam sebulan iaitu 29 atau 30 hari. Adapun dalam penentuan awal Ramadhan dan awal Syawwal, Islam telah menetapkan kaedah yang jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu”.

Berdasarkan dalil di atas, kaedah penentuan awal bulan Ramadhan dan Syawwal ditentukan melalui kaedah rukyah iaitu dengan melihat anak bulan pada tanggal 29 haribulan Hijri. Jika anak bulan terlihat, maka esok adalah permulaan bulan baharu, tetapi jika anak bulan tidak kelihatan maka esok disempurnakan kepada 30 haribulan. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

صوموا لرؤيته، وأفطروا لرؤيته، فإن غُمَّ عليكم، فصوموا ثلاثين يوماً

Maksudnya: “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat anak bulan. Apabila anak bulan terlindung awan daripada pandangan kamu, berpuasalah kamu selama 30 puluh hari (menjadikan bulan tersebut 30 hari)”.

(Riwayat Muslim)

Kaedah ini diqiyaskan dengan cara menentukan awal bulan Islam yang lain iaitu melalui rukyah semata-mata.

Apabila ilmu sains dan ilmu matematik berkembang, sarjana astronomi telah berjaya mencadangkan kaedah hisab atau pengiraan moden di dalam menentukan kewujudan anak bulan. Selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 5;

هُوَ الَّذِيْ جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاۤءً وَّالْقَمَرَ نُوْرًا وَّقَدَّرَهٗ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوْا عَدَدَ السِّنِيْنَ وَالْحِسَابَۗ مَا خَلَقَ اللّٰهُ ذٰلِكَ اِلَّا بِالْحَقِّۗ يُفَصِّلُ الْاٰيٰتِ لِقَوْمٍ يَّعْلَمُوْنَ

Maksudnya: “Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)”.

Dalam bidang astronomi, anak bulan merupakan fasa bulan yang berlaku apabila bulan, dalam gerakan orbit bulanannya mengelilingi bumi, berada di antara bumi dan matahari. Ketika itu, bulan, bumi dan matahari berada pada satu garisan yang dikenali sebagai ijtimak. Anak bulan adalah bulan sabit pertama yang kelihatan, iaitu setelah bulan mula bergerak daripada kesebarisannya dengan matahari. Bulan sabit pertama ini menandakan bermulanya bulan baharu dalam Takwim Hijri. Tempoh masa antara satu ijtimak ke satu ijtimak juga merupakan tempoh masa yang diperlukan oleh bulan untuk melengkapkan semua fasanya, adalah 29.5306 hari (atau 29 hari, 12 jam, 44 minit, dan 2.89 saat)[7].

Hisab yang dilakukan oleh ahli falak dan astronomi dianggap mempunyai ketepatan yang jitu berbanding pengamatan rukyah yang sering mempunyai keterbatasan situasi seperti faktor cuaca atau awan yang mendung. Hisab anak bulan juga telah melalui penyelidikan melalui cerapan yang panjang bagi memastikan maksud hisab tercapai yang tidak diragukan ketepatannya.

Berdasarkan kaedah hisab falak, terdapat empat jenis takwim dalam menentukan permulaan bulan baharu;

 

  1. Takwim Istilahi

Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.

  1. Takwim Hakiki

Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijrah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan Hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.

  1. Takwim Wujudul Hilal

Takwim yang berasaskan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya anak bulan di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.

4.      Takwim Imkan ar-Rukyah

Takwim Imkan ar-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan Hijriah mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

Penetapan takwim berdasarkan kaedah rukyah dan hisab Imkan ar-Rukyah hadir bagi mengharmonikan dua pihak (rukyah dan hisab) serta dalam masa yang sama mencapai maksud nas syarak. Hisab imkan ar-ru’yah secara literal bermaksud pengiraan kebolehnampakan anak bulan iaitu berdasarkan kajian dan penyelidikan yang berpanjangan, anak bulan pada kebiasaannya boleh kelihatan. Untuk mencapai tahap Imkan ar-Rukyah, maka diletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Kebolehnampakan anak bulan bukan semata-mata atas faktor lokasinya di atas ufuk, tetapi turut membabitkan ketinggiannya dari garis ufuk serta jauhnya anak bulan dari matahari.

Hakikatnya dalam kaedah hisab Imkan ar-Rukyah, proses rukyah turut berlaku. Dalam kaedah ini, faktor yang turut diambil kira ialah cuaca dan kadar kecerahan langit yang mempengaruhi batas kemampuan penglihatan manusia. Hisab Imkan ar-Rukyah menurut sebahagian sarjana, adalah antara cara terbaik dalam penentuan awal bulan dalam kalendar Hijri kerana mempunyai sandaran syarak yang kuat, kerana masih berada dalam lingkaran kaedah rukyah. Asas sandaran kepada penggunaan kaedah ini adalah berdasarkan dalil-dalil sebagaimana yang dipegang oleh ahli rukyah dan ahli hisab.

Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj menukilkan pandangan Imam Syihabuddin al-Ramli;

وَفِي فَتَاوَى الشِّهَابِ الرَّمْلِيِّ سُئِلَ عَنْ الْمُرَجِّحِ مِنْ جَوَازِ عَمَلِ الْحَاسِبِ بِحِسَابِهِ فِي الصَّوْمِ هَلْ مَحَلُّهُ إذَا قُطِعَ بِوُجُودِهِ وَرُؤْيَتِهِ أَمْ بِوُجُودِهِ وَإِنْ لَمْ يُجَوِّزْ رُؤْيَتَهُ فَإِنَّ أَئِمَّتَهُمْ قَدْ ذَكَرُوا لِلْهِلَالِ ثَلَاثَ حَالَاتٍ ‌حَالَةً ‌يُقْطَعُ ‌فِيهَا ‌بِوُجُودِهِ ‌وَبِامْتِنَاعِ ‌رُؤْيَتِهِ ‌وَحَالَةً ‌يُقْطَعُ ‌فِيهَا ‌بِوُجُودِهِ ‌وَرُؤْيَتِهِ ‌وَحَالَةً ‌يُقْطَعُ فِيهَا بِوُجُودِهِ وَيُجَوِّزُونَ رُؤْيَتَهُ فَأَجَابَ بِأَنَّ عَمَلَ الْحَاسِبِ شَامِلٌ لِلْحَالَاتِ الثَّلَاثِ[8].

Maksudnya: “Dalam Fatawa Syihab al-Ramli, beliau ditanya mengenai pandangan yang lebih kuat tentang kebolehan ahli hisab beramal dengan hisabnya dalam penentuan puasa. Adakah kebolehan ini hanya berlaku apabila mereka yakin dengan kewujudan anak bulan dan kebolehan melihatnya, atau cukup dengan hanya yakin tentang kewujudannya meskipun mereka tidak membenarkan kebolehan melihatnya? Sesungguhnya para ulama ahli hisab telah menyebutkan bahawa anak bulan mempunyai tiga keadaan; Keadaan di mana mereka yakin anak bulan wujud tetapi mustahil untuk dilihat; Keadaan di mana mereka yakin anak bulan wujud dan boleh dilihat; dan Keadaan di mana mereka yakin anak bulan wujud dan mereka menganggap ada kemungkinan anak bulan dapat dilihat. Beliau menjawab bahawa amalan ahli hisab meliputi ketiga-tiga keadaan tersebut”.

Pandangan Imam Syihabuddin al-Ramli tentang kebolehan ahli hisab beramal dengan hisab dalam tiga keadaan anak bulan iaitu mustahil dilihat, pasti dapat dilihat, atau mungkin dapat dilihat berkait rapat dengan justifikasi penggunaan Imkan ar-Rukyah dalam penetapan awal bulan Hijri di mana prinsipnya menggabungkan rukyah dan juga hisab.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-119 yang bersidang pada 7 hingga 9 April 2021 telah membincangkan mengenai Pengisbatan Anak bulan dari Perspektif Syariah dan Astronomi bagi penyusunan Takwim Hijri dan permulaan puasa dan hari raya. Muzakarah berpendapat bahawa kenampakan anak bulan hendaklah memenuhi kriteria Imkan ar-Rukyah[9]. Kriteria yang diguna pakai kini iaitu ketinggian bulan tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung Bulan Matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4° adalah bersesuaian dengan konteks semasa menerusi hisab dan lapangan kajian serta perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan penetapan awal bulan adalah sahih dan tepat di samping mematuhi tatacara pensabitan anak bulan yang ditetapkan oleh JAKIM.

            Justeru, apabila anak bulan memenuhi kriteria Imkan ar-Rukyah, tetapi anak bulan tidak kelihatan disebabkan cuaca mendung atau awan yang tebal, maka keesokan harinya dianggap sebagai bulan yang baharu, sebagaimana pandangan Imam al-Subki di dalam kitabnya Fatawa al-Subki;

وثم محل آخر اختلفوا فيه يمكن أن يؤخذ من الحديث ويمكن أن يعتذر عنه وهو ما إذا دل الحساب على أنه فارق الشعاع ومضت عليه مدة يمكن أن يرى فيها عند الغروب فقد اختلف العلماء في جواز الصوم بذلك وفي وجوبه على الحاسب وعلى غيره أعني في الجواز على غيره فمن قال بعدم الوجوب عليه وبعدم الجواز فقد يتمسك بالحديث ويعتضد بقوله – صلى الله عليه وسلم – «إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فاقدروا له» وفي رواية «فأكملوا عدة شعبان ثلاثين» وهذا هو الأصح عند العلماء ومن قال بالجواز اعتقد بأن المقصود وجود الهلال وإمكان رؤيته كما في أوقات الصلاة إذا دل الحساب عليها في يوم الغيم، وهذا القول قاله كبار ولكن الصحيح الأول لمفهوم الحديث[10]

Maksudnya: “Dan ada satu lagi isu yang diperselisihkan oleh para ulama yang boleh diambil daripada hadis dan boleh juga dikecualikan daripadanya, iaitu apabila dikira bahawa bulan telah terlepas dari cahaya matahari dan telah berlalu suatu tempoh di mana ia boleh dilihat ketika matahari terbenam. Para ulama berbeza pendapat mengenai keharusan berpuasa dalam keadaan tersebut dan sama ada wajib bagi mereka yang bergantung kepada kiraan (hisab) dan juga bagi orang lain, maksudnya dalam hal keharusan bagi orang lain. Sesiapa yang berpendapat bahawa tidak wajib dan tidak harus, mereka berpegang kepada hadis dan memperkuatkan pendapat mereka dengan sabda Nabi SAW: “Apabila kamu melihatnya (anak bulan), maka berpuasalah, dan apabila kamu melihatnya sekali lagi, maka berbukalah. Jika anak bulan tersembunyi daripada kamu (disebabkan awan), maka anggarkanlah ia.” Dalam riwayat lain disebutkan, “Sempurnakan bilangan bulan Syaaban menjadi tiga puluh hari.” Dan ini adalah pendapat yang paling sahih dalam kalangan ulama. Adapun mereka yang berpendapat bahawa ia harus, beranggapan bahawa yang dimaksudkan adalah kewujudan anak bulan dan kebolehan untuk melihatnya, seperti dalam penentuan waktu solat apabila hisab menunjukkan waktu solat dalam keadaan cuaca mendung. Pendapat ini juga dikemukakan oleh ulama-ulama besar, namun pendapat yang paling sahih adalah pendapat pertama berdasarkan kefahaman hadis tersebut”.

Bersandarkan dalil berikut, adapun pendapat muktamad dalam mazhab al-Shafi’i mengatakan bahawa wajib menyempurnakan 30 hari ketika anak bulan tidak kelihatan kerana mendung sesuai dengan hadis yang sarih. Akan tetapi, menurut pendapat muqabil al-asah dalam mazhab Shafi’i seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Subki; boleh untuk menetapkan awal bulan berdasarkan hisab yang memenuhi kriteria imkan ar-rukyah. Hal ini diguna pakai dalam membentuk Takwim Hijri khususnya di Malaysia.

Penutup

Sebagai rumusan, penggunaan Imkan ar-Rukyah dalam menentukan awal bulan Hijri di Malaysia telah diselaraskan bersama-sama anggota MABIMS dalam penetapan Takwim Hijri negara. Selain rukyah (melihat anak bulan), Imkan ar-Rukyah menepati kaedah yang bersesuaian dalam menetapkan Takwim Hijri di Malaysia berpandukan nas syarak, pandangan para ulama dan kajian empirikal kenampakan anak bulan di Malaysia. Adapun pembangunan garis panduan JAKIM dan kaedah pensabitan kenampakan anak bulan di negara ini mempunyai usaha kolektif yang berterusan oleh semua pihak bagi memastikan kaedah yang digunakan tepat dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Rujukan

Ahmad bin Muhammad bin ‘Alī bin Hajar al-Haitamī. (1983). Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj. Beirut: Dār Ihya’ Turāth al-‘Arabi. Jil. 3.

Al-Bukhāri, Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. (1993). Sahih al-Bukhari. Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr.

al-Subkī, Taqi al-Dīn. Tt.  Fatāwā al-Subkī. Beirūt: Dār al-Ma’rifah. Jil. 1.

Azhari Mohamed. 2007. Syarat Kriteria Imkanur Rukyah: Perlukah Ada Dua Pilihan?, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Islam, 21 Jun 2007.

Baharuddin Zainal. 2004. Ilmu Falak. Kuala Lumpur: DBP. Ed. 2. Ms. 62; Mohd Faizal. 2022. Mukhtasar Ilmu Falak. Pulau Pinang: Baytul Hikma.

Jabatan Mufti Negeri Selangor. Tt. Soalan-soalan Lazim Berkaitan Falak. Shah Alam: Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Kompilasi Pandangan Hukum Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI). 2021. JAKIM.

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia .1983. “Kaedah Mensabitkan Hilal Bagi Menetapkan Awal Puasa/Hari Raya Puasa” (Memorandum untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja, 1983).

Mohd Saiful Anwar et. al. 2015. Sejarah Kriteria Kenampakan Anak Bulan di Malaysia, Jurnal al-Tamaddun 10(2), ms 61-75.


[1] Azhari Mohamed. 2007. Syarat Kriteria Imkanur Rukyah: Perlukah Ada Dua Pilihan?, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Islam, 21 Jun 2007.

[2] Mohd Saiful Anwar et. al. 2015. Sejarah Kriteria Kenampakan Anak Bulan di Malaysia, Jurnal al-Tamaddun 10(2), ms 62.

[3] Jabatan Mufti Negeri Selangor. Tt. Soalan-soalan Lazim Berkaitan Falak. Shah Alam: Jabatan Mufti Negeri Selangor. Ms. 9.

[4] Ijtimak adalah ketika mana bumi, bulan dan matahari berada pada garisan selari dan sesatah.

[5] Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia .1983. “Kaedah Mensabitkan Hilal Bagi Menetapkan Awal Puasa/Hari Raya Puasa” (Memorandum untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja, 1983).

[6] Al-Bukhāri, Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. (1993). Sahih al-Bukhari. Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir. Hadis no. 1814. Jil. 2. Ms. 675

[7]  Baharuddin Zainal. 2004. Ilmu Falak. Kuala Lumpur: DBP. Ed. 2. Ms. 62; Mohd Faizal. 2022. Mukhtasar Ilmu Falak. Pulau Pinang: Baytul Hikma. Ms. 115.

[8] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami. (1983). Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj. Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi. Jil. 3, ms. 373.

[9] Kompilasi Pandangan Hukum Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI). 2021. JAKIM. Ms. 66-67.

[10] al-Subki, Taqi al-Dīn. Tt.  Fatāwā al-Subkī. Beirūt: Dār al-Ma’rifah. Jil. 1, ms. 208.

Accessibility Toolbar