#11 Taudhih Al-Falak : Fenomena Penjajaran Planet

FENOMENA PENJAJARAN PLANET  

Tarikh: 17 Januari 2025

Disediakan oleh: Encik Shahrin bin Ahmad & Nabeela Akrasha binti Surtahman

Pendahuluan

Baru-baru ini telah tular di media sosial akan berlakunya fenomena yang melibatkan tujuh planet, iaitu Utarid, Zuhrah, Zuhal, Musytari, Marikh, Uranus dan Neptun yang akan muncul dalam satu garis lurus sederet yang dikenali sebagai Penjajaran Planet atau ‘Planetary Parade‘ pada 25 Januari 2025. Hakikatnya berdasarkan hitungan falak, hanya enam planet sahaja dapat dilihat pada tarikh tersebut, dan kesemuanya berselerak dari ufuk timur ke ufuk barat.

Penjajaran Planet

Secara asasnya, semua planet termasuk matahari dan bulan, bergerak dan beredar dalam garisan edarannya yang dikenali sebagai ekliptik menurut hitungannya yang tertentu. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rahman ayat 5:

الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ بِحُسْبَانٍ

Maksudnya: “Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu”

Ayat ini menegaskan keteraturan gerakan cakerawala. Apa yang sedang diperkatakan mengenai Penjajaran Planet ketika ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ia merujuk kepada keadaan di mana hampir semua planet dapat dilihat secara serentak dalam satu malam dari perspektif bumi dan bukannya kelihatan berkumpul dalam satu kawasan kecil langit yang sama. Fenomena yang hampir sama telah berlaku pada bulan Jun tahun 2024 yang lalu yang melibatkan enam buah planet iaitu Utarid, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun.

Pada waktu Maghrib 25 Januari 2025, sebanyak enam planet sahaja kelihatan berdasarkan hitungan falak dan ianya berselerak dari ufuk timur ke ufuk barat. Planet Marikh kelihatan di ufuk timur, manakala Planet Zuhal dan Zuhrah berada di ufuk barat. Planet Musytari berada tegak di atas kepala, manakala Planet Neptun dan Uranus tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan memerlukan teleskop. Planet Utarid pula sebenarnya sudah pun terbenam pada ketika itu. Rujuk rajah 1 bagi melihat gambaran langit malam pada 25 Januari 2025.

Rajah 1: Langit malam pada 25 Januari 2025, di mana Planet Zuhrah (Venus), Zuhal (Saturn), Musytari (Jupiter) dan Marikh (Mars) boleh dilihat dengan mata kasar, manakala Planet Uranus dan Neptun boleh dilihat menggunakan teleskop. Planet Utarid (Mercury) berada di bawah ufuk berdekatan dengan matahari.

Bermulanya minggu ketiga bulan Februari, iaitu pada 16 Februari 2025, barulah tujuh planet akan kelihatan serentak di langit iaitu Utarid, Zuhrah, Zuhal, Musytari, Marikh, Uranus dan Neptun. Uniknya pada 1 Mac 2025, ketujuh-tujuh planet ini akan kelihatan bersama-sama anak bulan Ramadhan jika dicerap sejurus selepas matahari terbenam. Fenomena sebegini jarang berlaku dan masyarakat patut mengambil peluang untuk melihatnya.

Rajah 2: Keadaan langit pada waktu Maghrib 1 Mac 2025.

Fenomena Penjajaran Planet ini tidak memberikan kesan graviti atau perubahan cuaca yang signifikan kepada bumi. Hal ini kerana planet-planet seperti Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari Zuhal, Uranus dan Neptune tidak memberikan kesan yang ketara kepada bumi kerana saiznya yang kecil ataupun berkedudukan terlalu jauh dari bumi. Sebaliknya, kesan graviti terbesar yang kita alami adalah daripada bulan kerana jaraknya yang sangat dekat (384,400km), diikuti oleh matahari, yang walaupun berjarak jauh (149,680,000km) tetapi memiliki saiz yang sangat besar (109 kali saiz bumi). Selain itu, perubahan cuaca yang berlaku di bumi sekarang adalah berpunca daripada faktor dalaman bumi itu sendiri.

Kesimpulan

Fenomena ini menggambarkan kebesaran Allah SWT melalui penciptaan alam semesta yang begitu sempurna, seperti dalam firman-Nya dalam surah Fussilat ayat 53:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ

Maksudnya: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.

Masyarakat awam boleh menyaksikan fenomena Penjajaran Planet ini menggunakan mata kasar atau teleskop sama ada di rumah masing-masing atau dengan hadir ke Balai Cerap Selangor di Sungai Lang, Sabak Bernam. Semoga kita semakin tunduk dan turut mengagungkan al-Khaliq sebagai Sang Pencipta.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Accessibility Toolbar